Friday, March 14, 2014

PENAWAR HATI

Amalkanlah Lima Penawar Untuk Hati.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Hati merupakan raja dalam kerajaan diri. Ia mempunyai kelebihan daripada semua anggota lahir. Ia adalah raja yang luar biasa, yang sangat ditaati oleh rakyatnya. Dialah pentadbir manusia yang menjalankan kehidupan yang sangat luas.

Hati yang sejahtera dipanggil juga sebagai jiwa yang tenang. Mereka yang mempunyai maqam nafsu mutmainnah (jiwa yang tenang) adalah mereka yang Tuhan ikhtiraf sebagai hamba-Nya dan layak memperolehi ganjaran Syurga-Nya di akhirat nanti.

Untuk memiliki hati yang sejahtera dan tenang maka ianya perlu kepada penawarnya. Di dalam kitab at-Tibyan fi adabi hamlatil Quran, susunan Imam an-Nawawi, beliau ada menukilkan kata-kata seorang ahli ma’rifat bernama Ibrahim Khawwash.

Katanya penawar hati itu ada lima :

Pertama : Membaca al-Quran dengan meneliti maksudnya.
Ramai juga orang yang baca al-Quran. Tapi biasanya membaca tanpa memerhati maksud ayat yang dibaca. Sebab itulah  ramai di kalangan umat Islam yang membaca al-Qur'an tetapi melanggar hukum agama, iaitu kerana tidak memahami apa yang dibaca.

Kekuatan besar dari sentuhan Al-Qur’an ini dirasakan benar oleh para sahabat Rasulullah kerana memang mereka menerima Al-Qur’an ini dengan segenap hati, pikiran dan kemauan mereka.

Seperti yang diriwayatkan oleh Ath-Thobroni dan Al-Baihaqi dari Abdullah bin Amr bin Ash bahwa ia berkata: “Ketika turun surah Az-Zalzalah, maka serentak Abu Bakar yang sedang duduk waktu itu menangis.

Maka Rasulullah s.a.w. pun menghampirinya dan bertanya, “Apa yang membuat engkau menangis wahai Abu Bakar?”.

Surah inilah yang membuat aku menangis”.

Maka Rasulullah menenangkan dengan sabdanya:“Jika kalian tidak pernah melakukan dosa dan kesalahan, maka Allah akan menciptakan kaum lain yang mereka itu melakukan salah dan dosa kemudian mereka bertaubat dan Allah mengampuni mereka.”

Maka sangat tepat ungkapan Dr. Yusuf Al-Qaradlawi yang menegaskan bahawa:“Al-Qur’an adalah “roh Rabbani” kekuatan Rabbani yang akan mampu menghidupkan dan menggerakkan akal fikiran dan hati. Sebagaimana Al-Qur’an juga undang-undang Allah yang mengatur kehidupan manusia sebagai individu dan bangsa secara kolektif.”

Kedua : Mengosongkan perut.
Dari sudut kesihatan fizikal, pakar kesihatan bahkan Nabi s.a.w. sendiri mengatakan bahawa perut adalah punca penyakit. Mengosongkan perut dengan erti kata berpuasa atau bersederhana ketika makan.

Sabda Nabi s.a.w. maksudnya : "Orang Islam itu tidak makan kecuali lapar, dan mereka berhenti makan sebelum kenyang. "

Kata Imam Shafie, perut kita terbahagi kepada tiga iaitu sepertiga makanan, sepertiga air dan sepertiga lagi udara."

Jika keseimbangan antara ketiga-tiganya tidak di capai, maka kita akan menjadi malas untuk beribadat ataupun untuk bekerja. Apabila perut kurang diisi dengan makanan, maka kita menjadi rajin dan ringan tulang untuk menambahkan ibadat kita. Tidak hairanlah jika kita dapat menggandakan amalan kita pada bulan puasa berbanding bulan-bulan yang lain.

Ketiga : Bangun bersolat malam.
Ramai orang boleh bangun malam tetapi bangun kerana untuk qadha' hajat atau kerana anak menangis, atau kerana ingin melihat perlawanan bola sepak, atau juga kerana hendak makan sahur. Tetapi bangun untuk bersolat malam walau dua rakaat, memang sangat berat.

Solat Tahajjud ini hanyalah solat sunat tetapi ianya adalah solat sunat mu’akkad (yang di tuntut). Sekiranya junjungan besar kita Rasulullah s.a.w. begitu bersungguh-sungguh memastikan ibadah ini dilaksanakan sehingga bengkak-bengkak kakinya kenapa kita masih berat hati untuk melakukannya. Apatah lagi solat tahajjud ini merupakan solat yang paling utama sesudah solat fardhu.

Dalam sebuah hadis dari Bilal r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Hendaklah kamu qiamul lail (solat malam), kerana sesungguhnya solat malam itu adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu, dan mendekatkan diri kepada Allah, mencegah dari perbuatan dosa, dan menutupi dosaatau kejahatan-kejahatan dan mengusir penyakit dari badan.” ( Hadis Riwayat Ahmad, Tirmizi, Hakim dan Baihaqi.)

Keempat : Bertadharruk (memohon doa) kepada Allah pada waktu sahur.
Ramai juga beranggapan, waktu sahur hanyalah untuk makan sebelum berpuasa dalam bulan Ramadhan. Sebenarnya, antara waktu mustajab do'a ialah ketika waktu sahur.

“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman Syurga, dengan mata air-mata air terpancar padanya. (Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan. Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja masa dari waktu malam, untuk mereka tidur. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun)”.
(Surah al-Dzaariyaat ayat15-18)

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud :"Allah s.w.t. turun ke langit dunia apabila tinggal sepertiga malam yang terakhir dan berkata : 'Ada sesiapa yang memohon kepada-Ku untuk Kumakbulkan, ada sesiapa yang meminta kepada-Ku untuk Kuberikan, ada sesiapa yang beristighfar memohon ampun untuk Kuampunkan?"
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kelima : Duduk di majlis orang-orang soleh.
Duduk menghadiri majlis-majlis ilmu, berada bersama-sama orang baik tentu menenangkan hati dan jiwa.

Firman Allah s.w.t. maksudnya :“Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman.”(Surah Az-Dzariyat ayat 55)

Sabda Nabi s.a.w. maksudnya : “Sesungguhnya para Malaikat mengepakkan sayap-sayapnya bagi penuntut ilmu kerana redha dengan apa yang dilakukan.”(Hadis Riwayat Tirmidzi).

Hadis yang lain sabda Nabi s.a.w. maksudnya : "Seseorang yang keluar dari rumahnya untuk menuntut ilmu niscaya Allah akan mudahkan baginya jalan menuju Syurga "(Hadis Sahih Riwayat Al Jami)

"Barang siapa berjalan untuk menuntut ilmu maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke Syurga". (Hasid Riwayat Muslim).

“Barangsiapa melalui suatu jalan untuk mencari suatu pengetahuan (agama), Allah akan memudahkan baginya jalan menuju Syurga.”(Hadis Riwayat Bukhari)

"Siapa yang keluar untuk menuntut ilmu maka dia berada di jalan Allah sampai dia kembali" (Hadis Shahih Riwayat Tirmidzi)

“Siapa yang mati ketika menuntu ilmu, untuk menobat dan memperkasakan Islam maka jarak antaranya dengan para nabi di Syurga kelak adalah sekadar satu tingkat sahaja.”(Hadis Riwayat  ad-Darini)

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita amalkan lima penawar atau petua untuk memulihkan hati-hati kita supaya ianya sejahtera dan sihat daripada segala penyakit hati. Jika kita biarkan hati kita yang sedang sakit dan tidak di cari penawarnya dikhuatiri hati yang sakit ini akan terus menjadi parah dan payah untuk diubati. Syarat untuk memasuki Syurga Allah hati itu mestilah hati yang bersih, sihat dan sejahtera.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :"Wahai mereka yang berjiwa mutmainnah (tenang), kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan (kamu) redha dan diredhai (Tuhan), maka masuklah kamu ke dalam golongan hamba-hamba-Ku dan masuklah ke dalam Syurga-Ku."
(Surah Al-Fajr ayat 27-30).

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML