Friday, March 14, 2014

PENCERAIAN

Jauhilah Penceraian Untuk Mencari Keredhaan Allah

Sahabat yang dirahmati Allah,



Setiap manusia memerlukan perkahwinan, kerana dengan perkahwinan yang sah perhubungan intim diantara lelaki dan perempuan dapat dilakukan, manusia memerlukan seks kerana ia adalah fitrah yang dianugerahkan Allah s.w.t. Namun keperluan seks perlu diimbangi dengan nilai akhlak iaitu dengan pernikahan menurut ketetapan syarak agar ia mendapat keberkatan dan dikira sebagai ibadah.  Hubungan yang tidak halal atau seks luar nikah atau zina adalah haram serta berdosa besar.


Walaupun Islam telah memberi jalan yang mudah untuk membolehkan hubungan intim antara lelaki dan wanita, namun ada di antara orang Islam masih memilih untuk melakukan perzinaan hingga melahirkan anak luar nikah. Lebih buruk lagi apabila anak-anak yang dilahirkan tanpa perkahwinan yang sah dibunuh dan dibuangkan merata tempat tanpa rasa takut kepada Allah s.w.t.


Sahabat yang dimuliakan,
Perkahwinan merupakan satu ikatan resmi dan suci antara dua pasangan yang disatukan. Perkahwinan atas dasar cinta, suka sama suka mahupun perkahwinan yang diatur pastinya menuntut komitmen yang tinggi dari kedua-dua pasangan dan biasanya mempunyai tujuan yang sama iaitu membina satu kehidupan yang dikongsi bersama. Dari perkahwinan lahirnya keturunan dan seterusnya terbina satu institusi keluarga. 


Namun tidak semua perkahwinan akan terjamin kekal bahagia selamanya dan ke akhirnya sebagaimana yang diidamkan. Banyak perkahwinan yang berakhir separuh jalan sahaja atas pelbagai sebab dan alasan. Ada yang meletakkan kesalahan pada pasangan lelaki dan tidak kurang juga wanita yang dipersalahkan. Ada juga kegagalan perkahwinan disebabkan wujudnya pihak ketiga di antara pasangan yang berkahwin.


Jangka masa perkahwinan tidak boleh dijadikan penentu kepada punca perceraian. Ada perkahwinan yang bertahan berpuluh tahun tetapi diakhir-akhir usia, perceraian berlaku juga. Tidak kurang juga perceraian yang berlaku pada pasangan yang tempoh berkahwin hanya sehari, seminggu mahupun sebulan. Inai masih merah dijari, sudah diceraikan. Perceraian tidak mengenal usia, bangsa, pangkat mahupun status ekonomi. 


Kaya atau miskin tidak boleh dijadikan faktor penentu kebahagiaan dalam perkahwinan. Di negara kita kes-kes perceraian yang sering menjadi perhatian adalah di antara golongan selebriti dan juga golongan korporat terkemuka. Bukan kerana golongan ini yang selalu menjadikan perceraian ini perkara biasa tetapi kerana kisah mereka ini terpaksa dikongsi dengan awam memandangkan mereka ini adalah golongan terkenal. Hakikat sebenarnya perceraian berlaku pada mana-mana juga pasangan yang puncanya hanya pasangan-pasangan ini sahaja yang lebih tahu. 


Dari maklumat yang diperolehi, kadar penceraian di Malaysia bagi pasangan beragama Islam sahaja disifatkan agak dahsyat. Dalam sehari purata 56 kes perceraian berlaku di Malaysia dan sebanyak 359 berlaku sebulan berdasarkan kepada statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada tahun 2007. Dari jumlah ini Lembah Klang mencatatkan jumlah tertinggi iaitu tiga daripada sepuluh pasangan di Kuala Lumpur, bercerai. Jumlah perceraian sepanjang tahun 2007 adalah 20,529. 


Manakala bagi tahun 2008, data yang diambil dari Januari sehingga Jun 2008 menunjukkan perceraian sebanyak 9,765. Trend perceraian di kalangan umat Islam di Malaysia setiap tahun kian meningkat dan keadaan itu amat membimbangkan. Tambahan pula perceraian sudah merangkumi angka melebihi kira-kira 10 peratus daripada jumlah perkahwinan setiap tahun.


Sahabat yang dihormati,
Walaupun Islam membenarkan penceraian (talak) tetapi ianya adalah perkara halal yang sangat dibenci oleh Allah s.w.t. Dari Ma’ruf dari Muharib bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya :  “Allah tidak membuat sesuatu yang halal tidak disukainya selain talak” (Riwayat Abu Dawud)


Kenapakah umat Islam sanggup bercerai sedangkan bercerai itu adalah satu yang dibenci oleh Allah s.w.t. Nabi s.a.w menggalakkan umatnya berkahwin bukannya bercerai berai kerana bercerai berai mendatangkan kesan yang sangat negatif. Kesan yang negatif yang terpaksa ditanggung adalah anak-anak. Anak-anak akan menjadi magsa jiwa mereka tersiksa kerana sikap keegoan ibu bapa mereka,  masing-masing tidak mahu mengalah dan mempertahankan pendapat masing-masing. Anak-anak akan merasa diri mereka tidak disayangi dan lebih parah lagi apabila mereka berebut untuk mendapat hak penjagaan keatas anak-anak mereka.


Sebenarnya tanpa disedari syaitan telah membisikkan pada telinga orang Mukmin supaya memutuskan ikatan perkahwinan yang telah di bina supaya berlaku porak peranda dikalangan suami isteri dan anak-anak mereka. Walaupun hanya disebabkan perkara kecil sahaja.


Allah s.w.t. berfirman maksudnya : "Iblis berkata: “Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menjadikan daku sesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalan-Mu yang lurus (Shirat al-Mustaqim). Kemudian aku datangi mereka dari hadapan mereka, dari belakang mereka, dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur.” 
(Surah al-A’raaf  ayat 16-17)


Perjanjian, atau lebih tepat, tipu daya syaitan ini benar-benar telah dilaksanakannya sejak dari zaman awal Islam sehinggalah pada masa kini. Syaitan menghalang umat Islam dari jalan Allah yang tulen lagi benar. Kemudian ia membuat banyak jalan-jalan yang baru. Dalam ayat di atas, syaitan menyebut bahawa ia akan datang dari hadapan, belakang, kanan dan kiri. Empat arah ini bukan bererti empat jalan, tetapi bererti kepelbagaian jalan yang dibukakannya. Ini umpama seorang yang berkata: “Musuh datang menyerangku dari hadapan, belakang, kanan dan kiri.” Kenyataan ini tidak bererti ada empat orang musuh, tetapi bererti ada banyak musuh yang datang dari semua sudut. Apabila syaitan berjaya memecah belahkan keluarga Islam (berlaku talak) akan bergegar Arasy Allah s.w.t. kerana penceraian tersebut inilah yang dikehendaki oleh syaitan dan syaitan juga akan mendatangkan  permusuhan , benci membenci, pendedahan aib masing-masing dan memutuskan silaturahim di antara dua keluarga . Syaitan suka jika umat Islam tak dapat masuk Syurga.


Dari Al-Zuhri bahawa Rasulullah s.a.w.  bersabda maksudnya : "Tidak akan masuk Syurga bagi yang memutuskan silaturahim". 
(Riwayat Al-Imam Muslim)

Sahabat,
Sebagai seorang Muslim Mukmin untuk kita megelakkan daripada berlakunya penceraian perlulah menghiasi diri kita dengan akhlak Islam yang terpuji. Berpeganglah dengan beberapa kaedah yang dianjurkan Islam supaya mahligai yang telah dibina dapat diselamatkan dan sentiasa mendapat rahmat dan keberkataan daripada Allah s.w.t.


Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :
1. Kawallah  perasaan marah dan cubalah memberi kemaafan.
Semua manusia pada dasarnya memiliki sifat marah, kerana marah adalah salah satu tabiat manusia. maka agama tidak melarang marah, tetapi kita diperintahkan untuk dapat mengendalikan marah dan senantiasa menjadi pema’af.


Fiirman Allah s.w.t yang bermaksud : “Jadilah pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta jangan pedulikan orang-orang yang bodoh”
(Surah Al-A'raaf ayat 199)


Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : "Orang yang terkuat di kalangan kamu semua ialah orang yang dapat mengalahkan hawa nafsunya di ketika dia marah dan orang yang tersabar ialah orang yang suka memberikan pengampunan di saat dia berkuasa memberikan balasan (kejahatan orang yang menyakitinya)"
(Hadis Riwayat Baihaqi)


2. Bersyukur dengan rezeki yang ada dan bersifat qana'ah.(menerima seadanya sahaja)
Isteri kena redha dengan rezeki yang diperolehi oleh suaminya, janganlah diharapkan kemewahan melebihi daripada kemampuan suami, dunia ini adalah tempat sementara dan tempat kesenangan yang sebenar adalah di hari akhirat. Ramai para wanita masuk Neraka kerana mereka tidak bersyukur di atas rezeki yang dimiliki oleh suaminya. Lihatlah orang yang lebih miskin daripada kita supaya rasa bersyukur itu akan terbina dijiwa kita.


3. Jangan mendengar hasutan atau fitnah daripada orang lain yang cuba nak meruntuhkan keluarga yang sedang dibina. Bertenang dan bersikap terbuka dan hormatilah suami atau isteri masing-masing. Kerana sikap hormat menghormati akan membina rasa kasih sayang yang berterusan.

4. Isteri perlu bersikap terbuka jika suaminya ingin berpoligami jika memang suaminya berkemampuan, dan haram bagi isteri meminta cerai kerana masaalah poligami kerana hak poligami telah termaktub sebagai salah satu daripada hukum Islam. Dalam hadis Nabi s.a.w mengatakan isteri yang meminta cerai daripada suaminya kerana tidak ada asas yang dibenarkan syarak tidak akan mendapat mencium keharuman Syurga.
Kawallah emosi dan bersikap bertenang janganlah kerana sikap gopoh gamah dalam sesuatu perkara menyebabkan kita dimurkai oleh Allah s.w.t.

5. Suami perlulah bertanggungjawab untuk memberikan nafkah zahir dan batin dan janganlah mengambil kesempatan di atas sifat lemah lembut isteri hingga menzalimi isteri, ingatlah jika pergolakkan rumah tangga berpunca dari sikap suami kurang bertanggung jawab dia akan menanggung dosa dan akan memikul beban yang berat di hari akhirat nanti.
Akhirkata cubalah selamatkan rumah tangga kalian jika telah berlaku pergolakkan, kerana pahala yang besar menanti kalian jika kalian semua dapat bersabar di atas ujian rumah tangga ini. Ingatlah  Allah s.w.t Maha Pengampun dan Maha Penyayang, apakah kita tidak boleh memberi kemaafan kepada pasangan kita jika ada sesuatu yang menyenggung perasaan kita.? Dunia ini tempat yang tidak kekal abadi kita tak akan dapat duduk lama di dunia ini dari itu janganlah kerana nak seronok di tempat yang sementara ini kita akan menderita ditempat yang kekal abadi.

Penceraian Dalam Islam
Di dalam Islam, penceraian merupakan sesuatu yang dilaknat oleh Islam tetapi diharuskan dengan alasan dan sebab-sebab tertentu. Penceraian boleh dilakukan dengan cara talak, fasakh dan khuluk atau tebus talak.

Talak :
Talak menurut bahasa bermaksud melepaskan ikatan dan menurut syarak pula, talak membawa maksud melepaskan ikatan perkahwinan dengan lafaz talak dan seumpamanya. Talak merupakan suatu jalan penyelesaian yang terakhir sekiranya suami dan isteri tidak dapat hidup bersama dan mencari kata sepakat untuk mecari kebahagian berumahtangga. Talak merupakan perkara yang dibenci Allah s.w.t tetapi dibenarkan.

Hukum Talak :

Hukum Penjelasan 
1. Wajib :
a) Jika perbalahan suami isteri tidak dapat didamaikan lagi
b) Dua orang wakil daripada pihak suami dan isteri gagal membuat kata sepakat untuk perdamaian rumahtangga mereka
c) Apabila pihak kadi berpendapat bahawa talak adalah lebih baik
d) Jika tidak diceraikan keadaan sedemikian, maka berdosalah suami

2. Haram :
a) Menceraikan isteri ketika sedang haid atau nifas
b) Ketika keadaan suci yang telah disetubuhi
c) Ketika suami sedang sakit yang bertujuan menghalang isterinya daripada menuntut harta pusakanya
d) Menceraikan isterinya dengan talak tiga sekali gus atau talak satu tetapi disebut berulang kali sehingga cukup tiga kali atau lebih

3. Sunat :
a) Suami tidak mampu menanggung nafkah isterinya
b) Isterinya tidak menjaga maruah dirinya

4. Makruh :
Suami menjatuhkan talak kepada isterinya yang baik, berakhlak mulia dan mempunyai pengetahuan agama 

5. Harus :
Suami yang lemah keinginan nafsunya atau isterinya belum datang haid atau telah putus haidnya 

Rukun Talak :

Perkara Syarat 
1. Suami Berakal
2. Baligh
3. Dengan kerelaan sendiri

Isteri Akad nikah sah :
1. Belum diceraikan dengan talak tiga oleh suaminya
2. Lafaz ucapan yang jelas menyatakan penceraiannya
3. Dengan sengaja dan bukan paksaaan

Contoh Lafaz Talak :
1. Talak Sarih :
Lafaz yang jelas dengan bahasa yang berterus-terang seperti “Saya talak awak” atau “Saya ceraikan awak” atau “Saya lepaskan awak daripada menjadi isteri saya” dan sebagainya.

2. Talak Kinayah :
Lafaz yang digunakan secara sindiran oleh suami seperti “Pergilah awak ke rumah mak awak” atau “Pergilah awak dari sini” atau “Saya benci melihat muka awak” dan sebagainya. Namun, lafaz kinayah memerlukan niat suaminya iaitu jika berniat talak, maka jatuhlah talak tetapi jika tidak berniat talak, maka tidak berlaku talak.

Jenis-jenis Talak :
1. Talak Raj’i
Suami melafazkan talak satu atau talak dua kepada isterinya. Suami boleh merujuk kembali isterinya ketika masih dalam idah. Jika tempoh idah telah tamat, maka suami tidak dibenarkan merujuk melainkan dengan akad nikah baru.

2. Talak Bain :
Suami melafazkan talak tiga atau melafazkan talak yang ketiga kepada isterinya. Isterinya tidak boleh dirujuk kembali. Si suami hanya boleh merujuk setelah isterinya berkahwin lelaki lain, suami barunya menyetubuhinya, setelah diceraikan suami barunya dan telah habis idah dengan suami barunya.

3. Talak Sunni :
Suami melafazkan talak kepada isterinya yang masih suci dan tidak disetubuhinya ketika dalam tempoh suci

4. Talak Bid’i :
Suami melafazkan talak kepada isterinya ketika dalam haid atau ketika suci yang disetubuhinya.

5. Talak Taklik :
a. Talak taklik ialah suami menceraikan isterinya bersyarat dengan sesuatu sebab atau syarat. Apabila syarat atau sebab itu dilakukan atau berlaku, maka terjadilah penceraian atau talak.
Contohnya suami berkata kepada isteri, “Jika awak keluar rumah tanpa izin saya, maka jatuhlah talak satu.” Apabila isterinya keluar dari rumah tanpa izin suaminya, maka jatuhlah talak satu secara automatik.

b. Talak Taklik ia juga boleh berlaku selepas akad nikah (ia dipraktikkan di Malaysia dan wajib oleh semua pengantin lelaki untuk melafaznya), berkata, “Jika saya menyeksa isteri saya dengan sengaja, atau saya meninggalkan isteri saya selama empat bulan berterusan dengan sengaja tanpa kerelaannya, dan jika ia mengadu kepada kadi atau naib kadi, apabila disabitkan oleh kadi atau naib kadi maka jatuhlah talak satu ke atas isteri saya.”

c. Talak Taklik ia juga boleh berlaku dengan cara, “Jika saya menyeksa isteri saya dengan sengaja, atau saya meninggalkannya selama empat bulan berterusan tanpa kerelaannya, dan jika ia mengadu kepada kadi atau naib kadi serta membayar RM 1.00 sebagai tebus talak, apabila disabitkan oleh kadi atau naib kadi maka jatuhlah talak satu ke atas isteri saya dengan nilai tebus talak tersebut.”

Fasakh
Fasakh ertinya menurut bahasa ialah rosak atau putus. Manakala menurut syarak pula, pembatalan nikah disebabkan oleh sesuatu sifat yang dibenarkan syarak, misalnya, perkahwinan suami isteri yang difasakhkan oleh kadi disebabkan oleh suaminya tidak mempu memberi nafkah kepada isterinya. 

Fasakh tidak boleh mengurangkan bilangan talaknya. Fasakh hanya boleh dituntut oleh isteri sekiranya terdapat beberapa sebab atau kecacatan yang terdapat pada pihak suaminya. 

Mengikut mazhab Shafie, seorang isteri boleh menuntut Fasakh melalui kadi atau mahkamah disebabkan oleh :
1. Kekurangan suaminya seperti gila (berkekalan atau sekejab); 
2. Penyakit kusta; 
3. Penyakit sopak; 
4. Penyakit yang menghalang mereka daripada melakukan persetubuhan; 
5. Suami tidak mampu memberi nafkah belanja kepada isterinya seperti makan dan minum serta tempat tinggal, pakaian, 
6. Tidak memberi mahar dengan cara tunai sebelum bersetubuh kerana kepapaan atau muflis atau sebagainya; 
7. Suami tidak bertanggungjawab dengan meninggalkan isterinya terlalu lama dan tidak memberi khabar berita; 
8. Suami yang menzalimi dan memudaratkan isterinya; 
9. Suami yang fasik serta melakukan maksiat terhadap Allah dan tidak menunaikan kewajipan kepada Allah; dan 
10. Murtad salah seorang (suami atau isteri).

 Cara melakukan Fasakh :

Jika suami atau isteri mempunyai sebab yang megharuskan Fasakh maka ia perlu membuat aduan kepada pihak kadi supaya membatalkan perkahwinan mereka . Jika dapat dibuktikan pengaduan yang diberikan adalah betul, pihak kadi boleh mengambil tindakan dan membatalkannya .

Pembatalan perkahwinan dengan cara Fasakh tidak boleh dirujuk kembali melainkan dengan akad nikah yang baru. 

Khuluk atau Tebus Talak :

Perpisahan antara suami dan isteri melalui Tebus Talak sama ada dengan menggunakan lafaz talak atau khuluk. Pihak isteri boleh melepaskan dirinya daripada ikatan perkahwinan mereka jika ia tidak berpuas hati atau lain-lain sebab. Pihak isteri hendaklah membayar sejumlah wang atau harta yang dipersetujui bersama dengan suaminya, maka suaminya hendaklah menceraikan isterinya dengan jumlah atau harta yang ditentukan.

Hukum Khuluk adalah berdasarkan surah al-Baqarah ayat 229 maksudnya : “Tidak halal bagi kamu mengambil apa-apa yang telah kamu berikan kepada mereka suatu jua pun, kecuali jika takut kedua-duanya tidak akan mengikut peraturan Allah s.w.t.. Jika kamu takut bahawa tidak akan mengikut peraturan Allah maka tiadalah berdosa kedua-duanya tentang barang yang jadi tebus oleh perempuan.”

Talak boleh jatuh dengan menyebut “Saya menceraikan kamu dengan bayaran RM 10,000,” dan isterinya menjawab, “Saya menerimanya.” Apabila suami melafazkan demikian, dan isterinya menyahut tawaran itu, dengan serta-merta jatuhlah talak dengan khuluk dan isterinya wajiblah beridah. Suami isteri hanya boleh merujuk dengan akad nikah baru sahaja.

Tujuan Khuluk :
1. Memhara hak wanita 
2. Menolak bahaya kemudaratan yang menimpanya 
3. Memberi keadilan kepada wanita yang cukup umurnya melalui keputusan mahkamah. 

Rujuk :
Menurut bahasa rujuk boleh didefinisikan sebagai kembali. Manakala menurut syarak, ia membawa maksud suami kembali semula kepada isterinya yang diceraikan dengan ikatan pernikahan asal (dalam masa idah) dengan lafaz rujuk.

Hukum Rujuk :

Menurut bahasa rujuk boleh didefinisikan sebagai kembali. Manakala menurut syarak, ia membawa maksud suami kembali semula kepada isterinya yang diceraikan dengan ikatan pernikahan asal (dalam masa idah) dengan lafaz rujuk.


Hukum Rujuk

Hukum Penjelasan 

1. Wajib bagi suami yang menceraikan isterinya yang belum menyempurnakan gilirannya dari isteri-isterinya yang lain .
2. Haram suami merujuk isterinya dengan tujuan untuk menyakiti atau memudaratkan isterinya itu 
3. Makruh apabila penceraian lebih baik antara suami dan isteri 
4. Harus sekirannya rujuk boleh membawa kebaikan bersama .

Rukun Rujuk :

Perkara Syarat :
1. Suami Berakal
2. Baligh
3. Dengan kerelaan sendiri

Isteri Telah disetubuhi
1. Berkeadaan Talak Raj’i
2. Bukan dengan Talak Tiga
3. Bukan cerai secara Khuluk
4. Masih dalam idah.

Lafaz ucapan yang jelas menyatakan rujuk :
1. Tiada disyaratkan dengan khiar atau pilihan
2. Disegerakan tanpa dikaitkan dengan taklik atau bersyarat
3. Dengan sengaja dan bukan paksaan

Contoh lafaz rujuk

1. Lafaz Sarih :
Lafaz terang dan jelas menunjukkan rujuk. Contoh : “Saya rujuk awak kembali” atau “Saya kembali semula awak sebagai isteri saya.”

2.Lafaz Kinayah :
Lafaz kiasan atau sindiran. Contoh : “Saya jadikan awak milik saya semula” atau “Saya pegang awak semula”. Lafaz Kinayah perlu dengan niat suami untuk merujuk kerana jika dengan niat rujuk, maka jadilah rujuk. Namun jika tiada niat rujuk, maka tidak sahlah rujuknya.

Perceraian Dalam Islam Adalah Jalan Terakhir Menamatkan Perkahwinan.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Didalam agama Islam, untuk memulakan sebarang perhubungan di antara lelaki dan perempuan (persetubuhan), mereka ini haruslah melalui bernikah dengan cara yang sah dan halal mengikut apa yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Perkahwinan itu sungguh indah. Hubungan cinta manusia dengan manusia akan lahir melalui perkahwinan. Didalam perkahwinan, kita mampu mengenali seseorang perempuan atau lelaki dengan lebih mendalam. Perkahwinan akan halal dan bahagia jika niat kita mengahwini seseorang itu baik semata-mata kerana Allah SWT. Mengajak manusia ke arah kebaikan merupakan suatu perkara yang amat sukar. Tetapi jikalau kita mengajak ke arah keburukan, tidak perlu ajak atau cakap sudah pasti mereka boleh lakukan dengan sendirinya.

Islam mengalakkan pembinaan Baitul Muslim atau rumah tangga Islam ianya satu kewajipan supaya di dalamnya wujud keharmonian dan kasih sayang di antara suami, isteri dan anak-anaknya. Kekuatan satu umat adalah bergantung kepada perjalanan keluarga-keluarga muslim ini. Jika keluarga-keluarga ini dapat dilahirkan maka akan terbinalah masyarakat Islam dan ketika inilah baru akan melahirkan Daulah Islamiah yang akan menjalankan undang-undang Allah SWT.

Walaubagimana pun sekiranya berlaku pergeseran atau perselisihan di dalam keluarga Islam, masih ada jalan-jalan penyelesaian yang disediakan oleh Islam demi kebaikan semua pihak .

Pertama perlu diusahkan perdamaian secara baik oleh suami isteri tersebut dan boleh mendapat bantuan daripada ahli keluarga yang lain semata-mata untuk menyelesaikan kebuntuan perselisihan yang berlaku.

Pihak unit kaunseling di jabatan agama dan pakar-pakar motivasi yang lain boleh memainkan peranan mereka untuk menjernihkan suasana yang keruh yang berlaku di dalam keluarga tersebut. Sekiranya cara-cara lain sudah tidak berkesan dan masaalah yang berlaku bertambah parah maka Islam akan mengunakan cara terakhir  walaupun dibenci Allah SWT iaitu PERCERAIAN atau TALAK.

Adapun hadis riwayat Abu Daud yang bermaksud : “Perkara halal yang paling dibenci Allah ialah talak”

Maka talak itu jika membawa kebaikan seperti mengelakkan kezaliman antara suami dan isteri atau anak-anak, maka itu adalah suatu kebaikan. Jika membawa keburukan maka keburukan atau perkara negatif dibenci oleh Allah dan Rasul-Nya.

Sahabat yang dimuliakan,
Menurut statistik yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tahun lalu, kadar perceraian meningkat berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Jumlah perceraian pada 2007 adalah 20,529 kes berbanding 131,086 perkahwinan.

Secara puratanya, dalam sehari lebih 56 perceraian berlaku dan 359 perkahwinan berlangsung. Kadar perceraian ini meningkat dari tahun ke tahun.

Punca krisis rumah tangga yang dikenal pasti adalah kerana tidak serasi, kecurangan, poligami, kerenah dan campur tangan keluarga yang keterlaluan, masalah kesihatan pasangan termasuk kesuburan, suami isteri bermain kayu tiga, masalah hutang banyak, masalah ekonomi, pengangguran, peluang kerja terhad, komitmen kerja, kerjaya terlalu tinggi, simptom cemburu buta, kurangnya didikan moral, penderaan dan pengabaian.

Sudah sampai masanya pihak berkuasa memikirkan suatu mekanisme pencegahan khusus kepada pasangan yang hendak bercerai, sama ada yang baru membuat laporan kaunseling di jabatan agama Islam atau yang sudah mendaftarkan kes perceraian di mahkamah dan mereka diarahkan mengikuti suatu kursus yang khusus dalam tempoh tertentu, agar bahtera rumah tangga yang mula terumbang-ambing itu boleh diselamatkan.

Halangan dari sudut perundangan mungkin ada, namun ianya ada jalan keluar untuk merealisasikan perkara ini. Soal rezeki, jodoh, ajal dan yang seumpamanya adalah di tangan yang Maha Esa, namun Islam tidak menyuruh penganutnya menyerah mudah kepada takdir tanpa sebarang usaha untuk menyelamatkan perkahwinan yang sedang dibina.

Sahabat yang dihormati,
Untuk mengetahui apakah itu talak dan jenis-jenisnya maka di jelaskan disini secara ringkas.

Talak maksudnya adalah pemutusan tali perkawinan. Talak merupakan sesuatu yang disyariatkan. Dan yang menjadi dasarnya adalah Al-Quran dan al-Hadis serta ijmak.

Sebelum berlaku talak perlu dijalankan kaunsling dan perbincangan secara baik terlebih dahulu, sekiranya sudah tidak ada penyelesaian secara makruf dan masing-masing sudah tidak ada persefahaman masa ketika ini talak adalah jalan sebaik-baiknya.

Orang yang memerhatikan hukum-hukum yang terkandung dalam masalah talak akan merasai bahawa perhatian Islam terhadap institusi rumah tangga dan keinginan Islam demi kekalnya hubungan baik antara suami isteri. Sebab itu, apabila Islam membolehkan talak, ia tidak menjadikan kesempatan menjatuhkan talak hanya sekali yang kemudian hubungan kedua suami isteri terputus begitu saja selama-lamanya, tidak demikian, namun memberlakukannya sampai beberapa kali.
Allah SWT berfirman, ”Talak (yang dapat di rujuki) dua kali. Setelah itu boleh rujuk lagi dengan  orang yang makruf atau menceraikan dengan cara yang baik.”  (Surah Al-Baqarah ayat 229).

Apabila seorang laki-laki mentalak isterinya, talak pertama atau talak  kedua, maka ia tidak berhak baginya untuk mengusir isterinya dari rumahnya sebelum berakhir masa idahnya, bahkan pihak isteri tidak boleh keluar dari rumah tanpa izin dari suaminya.

Hal itu disebabkan Islam sangat menginginkan segera hilangnya perasaan marah yang boleh menyalakan api perceraian. Kemudian Islam menganjurkan agar kehidupan harmonis rumah tangga, boleh  segera pulih kembali seperti semula, dan inilah yang disebutkan Rabb kita dalam firman-Nya,  ”Hai Nabi jika kamu menceraikan isteri-isterimu, maka hendaklah kamu ceraikan mereka pada waktu mereka dapat (menghadapi) iddahnya (yang wajar) dan hitunglah waktu iddah itu serta bertakwalah kepada Allah Rabbmu. Janganlah kamu keluarkan mereka dari rumah mereka dan janganlah mereka (di izinkan) keluar kecuali kalau melakukan perbuatan keji yang terang. Itulah hukum-hukum Allah dan barang siapa yang melanggar hukum-hukum Allah, maka sesungguhnya dia telah berbuat zalim terhadap dirinya sendiri. Kamu tidak mengetahui barang kali Allah mengadakan sesudah itu suatu hal yang baru.” (Surah Ath-Thalaq ayat 1)

Setelah bercerai dalam tempoh idah berkemungkinan pihak suami menyesal atas keputusan mentalak isterinya, dan Allah Ta’ala menjadikan di dalam kalbunya keinginan kuat untuk rujuk (kembali) kepadanya sehingga yang demikian lebih mudah dan lebih sesuai untuk proses rujuk.

Jenis-jenis Talak

Talak jika dilihat dari segi lafaz terbagi kepada dua iaitu :

1. Talak Sarih (yang dinyatakan secara tegas)

2. Talak Kinayah (dengan sindiran).

Huraiannya :

1. Talak Sarih (yang dinyatakan secara tegas) ialah talak yang difahami dari makna perkataan ketika diucapkan, dan tidak mengandung kemungkinan makna yang lain.

Contohnya, ”Aku ceraikan engkau dengan talak satu"

Dengan ucapan di atas maka  jatuhlah talak, baik bergurau, main-main ataupun tanpa niat.

Kesimpulan ini didasarkan pada hadis dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi SAW, baginda bersabda, ”Ada tiga hal  yang sungguh-sungguh, jadi serius dan gurauannya jadi serius (juga) : nikah, talak, dan rujuk.” (Hadis Hasan: Irwa-ul Ghalil no:1826 dan Tirmidzi II:328 no:1195).

2. Talak Kinayah, ialah  talak yang dinyatakan secara sindiran.

Contohnya : ”Hendaklah engkau kembali kepada keluargamu" dan yang lain-lain cara.

Talak seperti diatas  maka tidak akan terjadi talak, kecuali diiringi dengan niat. Jadi apabila pihak suami menyertai ucapan itu dengan niat talak maka jatuhlah talak; dan jika tidak maka tidak terjadi talak.

Dari Aisyah r.a. berkata, Tatkala puteri al-Jaun menikah dengan Rasulullah SAW dan beliau (kemudian) mendekatinya, ia mengatakan, ”’Auudzubillahi minka (aku berlindung kepada Allah darimu). Maka kemudian baginda bersabda kepadanya, ”Sungguh engkau telah berlindung kepada Zat  Yang Maha Agung, kerana itu hendaklah engkau bergabung dengan keluargamu.” (Hadis Sahih Riwayat Nasa’i no:3199, Fathul Bari IX:356 no:5254, Nasa’i VI:150).

Dari Ka’ab bin Malik r.a., ketika ia dan dua rakannya tidak bicara  oleh Nabi SAW, kerana mereka tidak ikut bersama baginda pada waktu perang Tabuk, bahawa Rasulullah SAW pernah mengirim utusan menemui Ka’ab (agar menyampaikan pesan baginda kepadanya), ’Hendaklah engkau menjauhi isterimu!” Kemudian Ka’ab bertanya, ”Saya harus mentalaknya, ataukah apa yang harus aku lakukan?” Jawab Beliau, ”Sekedar menjauhinya, jangan sekali-kali engkau mendekatinya.” Kemudian Ka’ab berkata, kepada isterinya, ”Kembalilah engkau kepada keluargamu.” (Muttafaqun ’alaih: Fathul Bari III: 113 no:4418, Muslim IV:1120 no:2769, ’Aunul Ma’bud VI:285 no:2187 dan Nasa’i VI:152). (Perkataan Ka'ab ini bukan bermaksud menceraikan isterinya.)

Talak Munajazah dan Talak Mu'allaq.

Kedudukan talak adakalanya berbentuk Munajazah (terjadi pada masa itu juga)  dan adakalanya berbentuk Mu’allaqah.( terjadi tidak pada masa itu).

Talak Munajazah ialah pernyataan talak yang sejak dikeluarkannya pernyataan tersebut pengucap bermaksud untuk mentalak, sehingga ketika itu juga jatuhlah talak.

Contohnya: ia berkata kepada isterinya : "Engkau tertalak".

Hukum Talak Munajazah ini terjadi pada masa itu juga, ketika diucapkan oleh orang yang bersangkutan dan tepat sasarannya.

Talak Mu’allaq, iaitu seorang suami menjadikan jatuhnya talak bergantung pada syarat. Contohnya, ia berkata kepada isterinya: "Jika engkau pergi ke tempat itu, maka engkau ditalak."

Hukum Talak Mu’allaq ini apabila dia bermaksud hendak menjatuhkan talak ketika terpenuhinya syarat. Maka jatuh talaknya sebagaimana yang diinginkannya.

Talak cara taklik :

Cerai taklik bermaksud perceraian yang berlaku kerana suami telah bertaklik. Taklik ialah perkataan Arab yang memberi maksud (dalam bahasa Melayu) bergantung, tergantung atau bergantungan. Biasanya diterjemahkan sebagai cerai bersyarat. Manakala daripada segi Istilahnya, ialah perceraian yang berlaku kerana suami telah melafazkan talak atau cerai ke atas isteri dengan syarat-syarat atau peristiwa yang tertentu. Seperti kata suami “apabila saya meninggalkan isteri selama empat bulan tanpa nafkah, dan isteri telah mengadu kepada hakim syarie serta telah membuat bayaran RM1 bagi pihak diri saya, maka jika sabit kesalahan, pada masa itu jatuhlah satu talak khalie”.

Fasakh :

Fasakh ertinya menurut bahasa ialah rosak atau putus. Manakala menurut syarak pula, pembatalan nikah disebabkan oleh sesuatu sifat yang dibenarkan syarak, misalnya, perkahwinan suami isteri yang difasakhkan oleh kadi disebabkan oleh suaminya tidak mempu memberi nafkah kepada isterinya.

Fasakh tidak boleh mengurangkan bilangan talaknya. Fasakh hanya boleh dituntut oleh isteri sekiranya terdapat beberapa sebab atau kecacatan yang terdapat pada pihak suaminya.

Mengikut mazhab Shafie, seorang isteri boleh menuntut Fasakh melalui kadi atau mahkamah disebabkan oleh :
1. Kekurangan suaminya seperti gila (berkekalan atau sekejab);
2. Penyakit kusta;
3. Penyakit sopak;
4. Penyakit yang menghalang mereka daripada melakukan persetubuhan;
5. Suami tidak mampu memberi nafkah belanja kepada isterinya seperti makan dan minum serta tempat tinggal, pakaian,
6. Tidak memberi mahar dengan cara tunai sebelum bersetubuh kerana kepapaan atau muflis atau sebagainya;
7. Suami tidak bertanggungjawab dengan meninggalkan isterinya terlalu lama dan tidak memberi khabar berita;
8. Suami yang menzalimi dan memudaratkan isterinya;
9. Suami yang fasik serta melakukan maksiat terhadap Allah dan tidak menunaikan kewajipan kepada Allah; dan
10.Suami dijatuhkan hukuman penjara disebabkan kesalahan jenayah.
11. Murtad salah seorang (suami atau isteri).

Pembahasan Talak Raj'i dan Talak Ba’in

1. Talak Raj'i (rujuk)

Talak Raj'i adalah talak di mana suami boleh merujuk kembali isteri yang diceraikannya itu dan diletakkan kembali di bawah jagaannya selama iddah masih belum tamat. Ini boleh dilakukan dengan niat dan keinginan yang semata-mata untuk merujuk kembali kepada isterinya.

2. Talak Ba'in (nyata)

Talak Ba'in adalah talak di mana suami tidak lagi dapat merujuk kembali akan isterinya atau dengan erti kata yang lain talak yang memisahkan sama sekali isteri dari suaminya. Talak Ba'in pula dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Ba'in Sughra dan Ba'in Kubra.

i. Talak Ba'in Sughra

Talak Ba'in Sughra adalah talak yang kurang dari 3 kali. Maksudnya bila seseoranq suami menjatuhkan talak kali yang pertama (1) atau kali yang kedua (2) ke atas isterinya kemudian si suami tidak pula merujuk kembali akan isterinya itu sehinggalah tamat tempoh iddah, maka dengan sendirinya talak ini jatuh menjadi Talak Ba'in Sughra. Suami masih boleh berkahwin semula dengan bekas isterinya yang ditalak itu tetapi dengan syarat mestilah diakad nikahkan yang baru serta membayar mahar kahwin dan memenuhi syarat-syarat dan rukun perkahwinan.

 ii. Talak Ba'in Kubra

Talak Ba'in Kubra adalah talak yang kali ke tiga (3) dijatuhkan oleh suami ke atas isterinya. Dengan jatuhnya talak kali ke tiga ini, maka terpisahlah seorang isteri dari suaminya sama sekali. Pasangan yang bercerai pada bilangan talak yang ke tiga tidak lagi boleh dirujuk atau untuk berkahwin semula sehinggalah bekas isteri itu berkahwin dengan lelaki lain dan disetubuhinya. Selepas itu wanita ini bercerai semula dengan suami keduanya maka dengan cara ini suami yang pertama bolehlah berkahwin semula dengan bekas isterinya itu.

Sahabat yang dikasihi,
Untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat perlulah suami isteri memahami tanggungjawab masing-masing. Perkahwinan yang sebenarnya bukan setakat perkahwinan yang sementara di dunia ini tetapi perkahwinan ini akan berpanjangan di syurga nanti apabila masing-masing layak memasuki syurga Allah SWT. Di syurga nanti akan dipertemukan kembali semua ahli keluarga suami, isteri ,anak-anak cucu-cicit dan lain-lain lagi, yang dekat dan jauh.

Nilai sebenar yang perlu kalian letakkan sebelum berpisah dengan pasangan kalian (bercerai) jika terpaksa berpisah adalah nilai Allah SWT, nila agama dan nilai dosa dan pahala. Jangan letakkan nilai harta, rupa paras, pangkat dan kedudukan kerjaya. Jika bersama boleh menjauhkan kalian daripada rahmat Allah dan menjauhkan daripada syurga lebih baik berpisah daripada menaggung dosa. Pertemuan dan perpisahan adalah resam kehidupan duniawi pilihlah yang terbaik untuk masa hadapan kalian di akhirat bukannya di dunia yang serba fana yang tidak akan kekal.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML