Pilihlah Pemimpin Berdasarkan Ketakwaan Kepada Allah SWT Dan Berkelayakan.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Allah SWT memberi tanggungjawab yang berat kepada pemimpin sebagai satu amanah bagi membawa golongan yang dipimpin mencapai kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. Semakin tinggi kepemimpinan yang disandang, semakin banyaklah tanggungjawab yang mesti dilunaskannya.
Firman Allah SWT maksudnya : “Allah SWT menjanjikan kepada orang yang beriman dan beramal soleh di kalangan kamu, bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, seperti mana Dia telah menjadikan orang sebelum mereka, khalifah-khalifah yang berkuasa.” (Surah an-Nur, ayat 55)
Bagi meraih keberkatan Allah SWT, pemimpin perlu faham kehendak rakyat dan berusaha menunaikannya manakala rakyat pula mesti taat dan bekerjasama menjayakan sebarang usaha bagi meningkatkan kesejahteraan hidup mereka.
Semua manusia, baik pemimpin atau rakyat tidak sunyi daripada sifat lupa dan khilaf sama ada secara sedar atau tidak. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita untuk memberi peringatan atau teguran supaya pemimpin dapat membetulkan kesilapan dan segera memohon keampunan daripada Allah SWT.
Bagaimanapun dalam membuat teguran, nasihat atau kritikan, biarlah yang membina, tidak menjatuhkan aib serta mengikut adab budaya hormat-menghormati. Cara ini dapat memelihara ikatan ukhuwah selain menyedarkan mereka yang melakukan kesilapan supaya bertaubat pada Allah SWT.
Pemimpin merupakan lambang kekuatan, keutuhan, kedisiplinan dan persatuan. Namun harus disedari juga bahawa pemimpin bukanlah hanya sekadar lambang. Oleh itu, ia memerlukan kecekapan, kelayakan dan aktiviti yang utama untuk memimpin bawahannya.
Melihat ciri-ciri pemimpin, khususnya sebagai seorang muslim, tentu kalian tidak boleh sembarangan memilih pemimpin. Jangan sampai ibarat “memilih kucing dalam karung” yang kemudian hari akan mencalarkan kita semula.
Hubungan pemimpin dengan rakyat hendaklah sentiasa kukuh, saling sokong-menyokong dalam menyusun program dan agenda kerja demi kesejahteraan rakyat serta negara.
Umat Islam hendaklah bersatu padu secara menyeluruh di atas landasan al-Quran dan hadis. Perpaduan berasaskan keimanan akan mengangkat martabat umat Islam di dunia dan di akhirat. Kejayaan kerajaan Islam menjatuhkan dua kuasa besar dunia Rom dan Parsi dicapai kerana semangat persaudaraan ukhwah fillah Islamiah.
Dalam era pasca kemerdekaan ini, umat Islam di Malaysia masih berdepan cabaran getir dari dalam dan luar negara. Maruah diri dan kedaulatan negara tidak dapat dipertahankan jika ada perselisihan dan pertentangan dalam negara.
Cabaran ini menuntut kekuatan daya juang, semangat kental dan ketahanan sehingga titisan darah terakhir. Islam mewajibkan umatnya berjihad mempertahankan agama dan negara daripada sebarang ancaman musuh.
Nabi SAW bersabda maksudnya : “Agama Islam tidak akan kuat kecuali dengan jemaah dan jemaah tidak akan berjalan kecuali ada pemimpinnya, dan pemimpin tidak akan ada gunanya jika tidak ditaati.”
Sebagai umat Islam yang bermaruah, kita hendaklah kasih dan cinta kepada agama dan tanah air. Kita bertanggungjawab mendukung usaha mengekalkan keamanan dan kesejahteraan yang sedang kita nikmati hari ini.
Sahabat yang dimuliakan,
Jika dahulu, para sahabat Rasullulah SAW sangat takut jika dipilih menjadi seorang pemimpin, tetapi sekarang, ramai yang berlumba-lumba untuk menjadi pemimpin. Semua mengaku yang terbaik dan sanggup menjatuhkan lawannya dengan apa cara sekalipun!
Sabda Rasulullah SAW ketika baginda menyampaikan hadis yang diriwayatkan dari Abu Hurairah: “Sesungguhnya kalian nanti akan sangat bercita-cita menjadi pemimpin, padahal kelak di hari kiamat ia akan menjadi penyesalan.” (Hadis Riwayat Bukhari).
Memilih pemimpin bukanlah perkara remeh, sebab calon yang dipilih itulah yang akan membawa slogan pemimpin rakyat untuk membuat dan menjalankan dasar-dasar yang menentukan nasib ribuan malah jutaan jiwa rakyat. Suka tidak suka, calon yang terpilih itulah yang akan menulis dakwat sejarah di negeri ini.
Walau apapun sejarah itu masih tanda tanya besar, apakah akan menjadi dakwat emas yang sentiasa dikenang atau dakwat hitam yang sentiasa dikenang dengan kenangan hitam. Mampukah dia menjadi pemimpin sejati atau menjadi pemimpin yang mengkhianati amanat rakyat?
Seorang mukmin tidak akan membiarkan pemimpin yang tidak amanah dan banyak membuat kesalahan dan penyelewengan di atas harta negara dibiarkan terus mentadbir negara. Mereka perlu ditukar dan digantikan dengan pemimpin yang lebih telus, amanah dan bermaruah. Harta dan kekayaan negara dan hak rakyat perlu dipelihara demi masa depan umat Islam dan rakyat jelata seluruhnya. Kesilapan memilih pemimpin seolah-olah kalian membenarkan kezaliman terus bermaharajalela dan kerakusan pemimpin dibiarkan terus berkuasa.
Memilih pemimpin negara kelak pada PRU13 adalah satu tanggungjawab yang sangat besar dan berat dan sudah tentunya menjadi pemimpin negara juga merupakan tangungjawab yang lebih berat. Sebagai pemilih pemimpin, kalian perlu melantik dan mengetahui hak kalian untuk memilih pemimpin yang memiliki insaniah yang sangat murni budi pekertinya di samping bertangungjawab dalam beriman kepada Allah SWT.
Yang pastinya pilihan kalian adalah untuk pemimpin yang sentiasa berlaku adil kepada rakyat dan menerima teguran dan kritikan daripada rakyat secara terbuka dan tiada karenah birokrasi.
Kalian sudah tentunya tidak lupa akan peristiwa reaksi rakyat bangkit melawan pemimpin yang tidak berlaku adik seperti contohnya di Tunisia, Mesir dan Libya baru-baru ini. Kalian dapat lihat bagaimana Zine el Abidine Ben Ali, Hosni Mubarak dan Muaamar Gaddafi yang satu ketika dahulunya disanjung tinggi kemudian dijatuhkan oleh rakyat sendiri kerana telah berpaling tadah kepada Islam.
Sahabat yang dihormati,
Memimpin adalah amanah dan tanggungjawab yang akan dipersoalkan di akhirat nanti. Amanah dan tanggungjawab ini tidak akan terlaksana tanpa adanya pemimpin yang berwibawa memeliki ciri-ciri dan sifat-sifat yang tertentu, sesuai dengan tugas dan tanggungjawabnya, mengajak manusia mengabdikan diri sesungguhnya kepada Allah SWT melalui kerja-kerja memakmurkan bumi Allah SWT, melakukan islah, menegakkan kebenaran, mengujudkan keamanan, keharmonian dan kesejahteraan dalam masyarakat dan negara.
Berdasarkan amanah dan tanggungjawab seorang pemimpin, maka orang yang lemah dan tidak memiliki kelayakan tidak boleh menjadi pemimpin. Oleh itu melantik seorang pemimpin (samaada ahli Parlimen atau Dewan Undangan Negeri) yang tidak memiliki kelayakan kepada sesuatu jawatan sedangkan masih ada orang yang lebih layak kepada jawatan tersebut, merupakan suatu pengkhianatan besar kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW. Dan sangat bertentangan dengan ajaran syariat Islam kerana akibat dari perbuatan itu, masyarakat dan negara akan musnah dan tergadai serta diangkat keberkatannya.
Sabda Rasulullulah SAW maksudnya : "Apabila disandarkan pekerjaan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah kiamat (saat kehancuran)".
Sabda Rasulullulah SAW lagi; "Barang siapa melantik seseorang sebagai pemimpin/pegawai di dalam sebuah kumpulannya sedangkan masih ada di kalangan mereka orang yang lebih layak, orang yang lebih disukai Allah SWT daripadanya maka sesungguhnya dia telah mengkhianati Allah SWT dan Rasul-Nya dan mengkhianati orang-orang yang beriman".
Demi menjaga kepentingan umat dan negara, demi menjaga pengaruh keduniaan agar tidak meresab masuk ke dalam jiwa pemimpin, Rasulullah SAW melarang meminta sesuatu jawatan di dalam pemerintahan, apa lagi merebut tanpa kelayakan dan persediaan yang mencukupi. Sabda Rasulullulah SAW yang bermaksud; "Kami demi Allah, tidak akan melantik ke jawatan pemerintahan ini, orang yang memohonnya dan juga orang yang sangat-sangat berkeinginan untuk mendapatkannya".
Sifat loba dan sifat tamak dan menginginkan jawatan akan mendorong seseorang untuk berbuat zalim dan dosa demi untuk mendapatkannya. Apabila sudah dapat berjawatan maka akan dipergunakannya untuk kepentingan-kepentingan dirinya. Adapun orang yang diberikan jawatan berdasarkan kelayakkan, sedangkan ia tidak mengingin kan jawatan itu, maka Allah SWT akan memberikan pertolongan dan taufik kepadanya di dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang pemimpin yang merupakan amanah daripada Allah SWT.
Sahabat yang dikasihi,
Orang yang menginginkan jawatan kerana mengejar pangkat, mencari pengaruh, mengumpul harta kekayaan, kemewahan duniawi semata-mata, sangat terdedah kepada melakukan sebarang penyelewengan, pengkhianatan dan penipuan semasa menjalankan tugas dan tanggungjawabnya. Kepada mereka ini diingatkan bahawa pengkhianatan dan penipuan yang dilakukan oleh seorang pemimpin sangat besar kesan dan akibatnya keatas diri, keluarga, rakyat dan negara. Diatas perbuatannya itu ia akan menanggung kesusahan hidup di dunia dan di akhirat dan dia akan menyesal kerana diseksa oleh Allah SWT di dalam Neraka Jahanam nanti.
Sabda Rasulullulah SAW yang bermaksud; ‘Tiadalah seorang hamba Allah SWT yang diberi tugas pemimpin untuk memimpin rakyat kemudian dia mati di hari kematiannya dalam keadaan dia menipu rakyatnya melainkan Allah swt mengharamkannya dari memasuki syurga’. (Hadis Muttafaq’alaih)
Oleh itu kalian jangan tersilap ketika membuat pemilihan kepada siapakah amanah yang besar ini hendak diserahkan? Jika kalian memilih orang yang tidak berkelayakan maka akibatnya negara akan diwariskan oleh orang-orang zalim dan fasik, yang akan membuat banyak kerosakan dimula bumi ini.
No comments:
Post a Comment