Thursday, May 15, 2014

PILIH PASANGAN BERAKHLAK, BERILMU DAN BERAGAMA




KEPADA remaja yang sedang mencari pasangan, marilah kita menghayati kisah seorang sahabat dan pasangannya yang mentaati Allah dan rasulnya dalam membina rumah tangga.


Ia ketaatan luar biasa kepada Rasulullah dalam memilih pasangan kerana melihat pilihan Rasulullah itulah yang paling terbaik. Ketaatan itulah menjadikan peribadi isteri serta suami sebagai serikandi yang mewarnai tinta sejarah penuh gemilang. 


Pada zaman Rasulullah, terdapat seorang pemuda Ansar yang kurang menarik raut wajahnya. Tubuhnya pendek dan kulitnya sangat hitam yang bernama Julaibib. 


Julaibib berusaha mencari seorang wanita yang sesuai untuk dijadikan isterinya, tetapi malangnya tiada seorang pun yang sudi kepadanya. 


Maka Julaibib pergi bertemu Rasulullah mengadukan masalahnya. 


Apabila Rasulullah mengetahui masalah Julaibib, lantas baginda sendiri berusaha mencarikan jodoh buatnya. Maka Rasulullah bertemu dengan salah seorang sahabatnya dan menyatakan hajatnya, “Wahai fulan, engkau kahwinkanlah aku dengan anak gadismu.” 


“Baiklah, aku terima dengan senang hati,” jawab sahabat itu. “Tetapi pinangan itu bukan untuk aku,” kata Rasulullah selanjutnya. “Untuk siapa?” Pada mulanya dia sangka Rasulullah ingin meminang anaknya untuk dirinya sendiri. 


“Untuk Julaibib,” jawab Rasulullah. “Wahai Rasulullah, kalau begitu berilah aku tempoh supaya aku dapat bermusyawarah bersama ibunya dahulu.” 


Dia pun segera pulang ke rumahnya dan di dalam hatinya timbul pertanyaan bagaimanakah nanti kalau isterinya menolak hajat Rasulullah. Jika menolak pinangan Rasulullah, tentulah tidak baik bagi orang Mukmin. 


Tetapi kalau dia menerima, tentu dia teruji dengan bermenantukan Julaibib yang dianggap sebagai lelaki yang tidak laku. “Rasulullah meminang anak gadis engkau,” katanya kepada isteri sebaik saja dia sampai ke rumah. 


“Aku terima dengan hati yang terbuka,” sahut isterinya. “Tetapi bukan untuk baginda. Jadi untuk siapa? Untuk pemuda yang bernama Julaibib.” 


“Untuk Julaibib. Aku tidak akan mengahwinkan anakku dengan dia, demi Allah,” jawab isterinya dengan tegas sekali. Mendengar itu, dengan segera dia kembali menemui Rasulullah dan menyampaikan penolakan isterinya. 


Tiba-tiba terjadi sesuatu yang tidak terduga sama sekali. Rupa-rupanya anak gadisnya mendengar perundingan kedua orang tuanya. Dia kesal kerana kedua ibu bapanya menolak pinangan Julaibib yang bererti menolak ketentuan Rasulullah. 


“Apakah ibu dan ayah akan menolak keputusan Rasulullah?” Anak gadis itu bertanya kepada kedua ibu bapanya. “Beritahukan kepada Rasulullah aku menerimanya kerana baginda tidak akan membiarkan aku tersia-sia.” 


Demikian yakinnya gadis itu kepada keputusan Rasulullah. Mendengar ketegasan anaknya, sahabat itu pun segera kembali bertemu Rasulullah. 


“Permintaan tuan diterima,” katanya kepada Rasulullah. Maka Rasulullah pun segera mengahwinkan Julaibib dengan anak perempuannya itu.” 


Ya Allah, limpahkanlah keberkatan ke atas anak gadis ini dengan sepenuhnya dan janganlah Engkau biarkan hidupnya dalam keadaan susah payah,” 


Doa Rasulullah untuk pasangan pengantin baru itu. Peristiwa itu sangat besar ertinya sampaikan ahli sejarah tidak menyebut nama gadis itu dan orang tuanya, disebabkan ketinggian iman gadis itu menyambut ketentuan Allah dan Rasul-Nya lebih daripada kepentingan diri mereka. Julaibib sebenarnya seorang pahlawan ulung walaupun agak hodoh rupanya. Dia akhirnya syahid ketika menyertai peperangan bersama Rasulullah. 


Baginda sendiri yang menguburkan jenazahnya. Setelah itu, isterinya menjadi balu terhormat. Kedua-dua pasangan suami isteri itu mendapat penghargaan daripada Rasulullah. 


Julaibib diiktiraf kerana keberaniannya manakala isterinya dinilai daripada ketinggian imannya. Tidak sedikit pun dia buruk sangka dengan Rasulullah yang menjodohkannya dengan Julaibib yang terkenal kerana tiada rupa itu. 


Malahan, dia sedar itulah jodohnya yang sesuai buat dirinya. Dia tahu sesungguhnya Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang dan kasih sayang Allah lebih daripada sayangnya seorang ibu terhadap anaknya. 


Jadi tentulah Allah tidak mempersia-siakan hidupnya dengan menjodohkannya dengan Julaibib. Sudah pasti ada hikmah besar di sebalik perkahwinan itu nanti. 


Sebab itulah dia reda dengan pilihan Rasulullah untuk dirinya. Dia menghargai pilihan Rasulullah yang mana dia yakin Rasulullah tidak akan membuatnya terhina dengan mengahwinkannya dengan Julaibib. 


Itulah yang sepatutnya kita contohi. Bilamana ada orang datang meminang, janganlah dipentingkan sangat mengenai rupa dan kedudukannya, tetapi utamakan akhlak, ilmu dan agama yang ada pada dirinya. 


Yang penting, bakal suami itu dapat memberi kebahagiaan di dunia serta membimbing isteri dan keluarganya mencapai kebahagiaan lebih hakiki di akhirat kelak. 


Rumah tangga yang ditadbirkan oleh orang yang beriman sahaja yang akan aman damai laksana syurga yang indah. Itulah yang dikatakan syurga yang disegerakan. 


Apa ertinya rupa cantik dan kedudukan tinggi, tapi rumah tangga porak peranda. Suami curang terhadap isteri, manakala isterinya juga bermain kayu tiga di belakang suami. 


Apa yang dibanggakan dengan harta kekayaan melimpah ruah, tetapi hati tetap tidak senang malah selalu bimbang dan cemas kerana diburu orang ke mana pergi. 


Memadailah rezeki yang sedikit Allah kurniakan tetapi berkat. Memadailah suami yang dijodohkan tiada rupa asalkan suami itu dapat memberi kebahagiaan di dunia dan akhirat.


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML