Kesalahan-kesalahan Dalam Solat
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Terdapat 10 Kesalahan Dalam Solat :
1. Tidak berdiri lurus. Berdiri lurus bagi yang berkemampuan merupakan salah satu rukun solat. Apa yang diperhatikan, seseorang yang sakit tidak berdiri lurus semasa solat. Mereka terus duduk, tanpa berdiri lurus. Sewajibnya, mereka berdiri lurus dahulu, kemudian, barulah mereka boleh duduk. Ini adalah kerana mereka masih boleh berdiri dan berjalan! Macam mana mereka ke masjid sekiranya mereka tidak boleh berjalan? Perkara ini terkecuali sekerinya seseorang itu memang betul-betul tidak mampu untuk berdiri.
2. Takbiratul Ihram dilafazkan dengan salah. Contohnya, bertakbir dengan lafaz ﭐﷲ di mulut, dan ﺃﻛﺒﺮ di dalam hati. Walhal, lafaz takbiratul ihram adalah RUKUN QAULI, maka, ia WAJIB dilafazkan 100% di mulut tanpa meninggalkan satu hurufpun dalam kalimah ﭐﷲ ﺃﻛﺒﺮ . Selain itu, sekiranya makhraj lafaz takbiratul ihram ini salah, maka ia boleh juga membatalkan solat. Contohnya, melafazkan takbiratul ihram dengan suara angin (seperti suara orang berbisik).
3. Terdapat kesalahan dalam al-Fatihah. Al-Fatihah merupakan RUKUN QAULI yang wajib dilafazkan 100% oleh mulut dengan makhraj dan tajwid yang betul. Sekiranya membaca al-Fatihah dalam hati atau menggunakan suara angin, maka, ia boleh membatalkan solat.
4. Tidak thomakninah (berhenti seketika) dalam rukuk dan sujud. Kadar minimum untuk rukuk dan sujud adalah dengan kadar lafaz "subhanallah". Maksud hadis:
"Seburuk-buruk pencuri adalah orang yang mencuri dalam solatnya." Sahabat bertanya, "Bagaimana caranya mencuri solat itu wahai Rasulullah?" "Yaitu, yang tidak menyempurnakan rukuk, sujud dan bacaan di dalam solatnya" [HR Ahmad]
5. Sujud yang tidak sempurna, anggota sujud tidak dikenakan ke atas lantai. 7 anggota sujud tersebut adalah: muka (termasuk dahi dan hidung); kedua tapak tangan; kedua lutut dan penghujung 2 tapak kaki (ibu jari), sebagaimana sabdanya yang bermaksud:
"Aku telah memerintahkan agar sujud keatas tujuh tulang: keatas dahi, dan beliau mengisyaratkan ke hidungnya, 2 tangan, 2 lutut dan pada penghujung 2 tapak kaki (ibu jari)." [Muttafaqun 'Alaih]
6. Lafaz tahiyyaat akhir yang salah. Perkara ini merupakan antara kesalahan yang amat biasa dilakukan tetapi ramai yang tidak menyedarinya. Lafaz tahiyyaat wajib disebut dengan makhraj yang betul kerana ia adalah rukun qauli. Sekiranya lafaz tahiyyat itu dilafazkan dengan suara angin juga, ia akan membatalkan solat. Namun begitu, amat sukar untuk diterangkan berkaitan lafaz tahiyyat akhir yang betul di dalam ruang yang terbatas ini. Sebaik-baiknya, rujuklah guru agama yang hak.
7. Lafaz salam dibaca dalam hati, dilafaz dengan suara angin, atau melafazkan salam dengan makhraj dan huruf yang salah juga boleh membatalkan solat. Lafaz yang tepat adalah ﭐﻟﺴﻼﻢﻋﻠﻴﻜﻢﻭﺭﺣﻤﺔﭐﷲ (assalaamu'alaikum warahmatullaah). Sekiranya menyebut "asalaamu'alaikum", "salaamu'alaikum", menukar huruf ﻉ kepada ﺃ, huruf ﺡ kepada ﻫ, atau apa sahaja sebutan yang selain daripada ﭐﻟﺴﻼﻢﻋﻠﻴﻜﻢﻭﺭﺣﻤﺔﭐﷲ , ia akan membatalkan solat. Menyebut salam dalam hati juga boleh membatalkan solat, kerana lafaz salam pertama adalah rukun qauli, ia WAJIB dilafazkan 100% oleh mulut dengan makhraj dan tajwid yang betul.
8. Tangan berayun-ayun semasa i'tidal. Pergerakan anggota besar 3 kali berturut-turut boleh membatalkan solat. Tak tahulah kenapa orang suka sangat ayun tangan semasa i'tidal, yang macam buayan tu.
9. Tidak berhenti seketika, yakni i'tidal selepas rukuk.
10. Dada berpaling dari kibla
Bacaan solat untuk wanita haruslah juga sampai kedengaran telinga...tetapi ketika berjemaah oleh wanita sahaja.
Posted by abubasyer at 7:32 AM No comments: Links to this post
Labels: Solat (kesalahan-kesalahan)
Apakah Fungsi Pakaian Menurut Syari’at Islam?
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Apakah fungsi pakaian menurut Syari’at Islam?
Pakaian adalah nikmat Allah untuk melindungi badan manusia, menutup aurat mereka dan juga sebagai perhiasan bagi mereka. Fungsi-fungsi pakaian ini dijelaskan oleh Allah di dalam al-Quran;
“Dan Allah menjadikan bagi kamu pakaian-pakaian yang memelihara kamu dari panas dan sejuk, juga pakaian-pakaian yang memelihara kamu semasa berjuang” (an-Nahl, ayat 81).
يَابَنِي ءَادَمَ قَدْ أَنْزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَارِي سَوْآتِكُمْ وَرِيشًا وَلِبَاسُ التَّقْوَى ذَلِكَ خَيْرٌ ذَلِكَ مِنْ ءَايَاتِ اللَّهِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ
“Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian takwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat”. (al-A’raf:26).
Dalam ayat 26 dari surah al-A’raf di atas, ada tiga jenis pakaian yang disebut oleh Allah;
1. Pakaian untuk menutup aurat
2. Pakaian untuk perhiasan
3. Pakaian takwa
Menurut ulamak; “اللباس” dalam ayat tersebut ialah pakaian untuk menutup aurat. Adapun “الريش” ialah apa yang diambil/dipakai supaya nampak cantik pada luarannya, iaitu untuk perhiasan. Yang pertama (iaitu “اللباس”) adalah keperluan asas, sementara yang kedua adalah sampingan. Adapun pakaian takwa, menurut Ikrimah; maksudnya ialah pakaian orang-orang bertakwa pada hari kiamat. Menurut Ibnu ‘Abbas pula; ia bermaksud amal soleh dan kelakuan yang baik. Menurut Ibnu Aslam; ia adalah pakaian yang dipakai oleh seorang yang takutkan Allah, lalu ia menutup auratnya.[1]
Apakah syarat-syarat pakaian lelaki?
1. Hendaklah menutup kawasan aurat
2. Tidak jarang hingga menampakkan kulit tubuh (khususnya kawasan aurat)
3. Tidak sendat hingga menampakkan bentuk kawasan aurat
4. Tidak menyerupai pakaian perempuan
4. Tidak berlebihan atau menzahirkan kesombongan
6. Bukan pakaian syuhrah
7. Bukan diperbuat dari material yang diharamkan iaitu sutera.
8. Tidak menyerupai pakaian orang kafir atau golongan fasiq.
Apakah syarat-syarat pakaian wanita? [2]
1. Hendaklah menutup aurat
2. Tidak jarang atau nipis yang menampakkan kulit badan
3. Tidak ketat atau sendat hingga menampakkan bentuk tubuh
4. Tidak menyerupai pakaian lelaki
5. Tidak menyerupai pakaian orang kafir atau golongan fasiq
6. Tidak berlebihan dan menzahirkan kesombongan
7. Bukan pakaian syuhrah
8. Tidak mempunyai hiasan atau corak yang menarik pandangan lelaki.
Apa dalil bahawa pakaian mesti menutup aurat?
Pertama, tujuan pakaian antaranya adalah untuk menutup aurat sebagaimana ayat di atas tadi.
Kedua, terdapat dalil yang cukup jelas dari al-Quran dan as-Sunnah yang memerintahkan orang-orang Islam supaya menutup aurat.
Ketiga, para ulamak telah sepakat atas kewajipan menutup aurat ini.
(*Kupasan tentang aurat akan kita lakukan dalam satu tajuk yang khusus, Insya Allah).
Apa dalil tidak harus memakai pakaian yang jarang atau sendat?
Dalilnya ialah sabda Nabi s.a.w.;
صِنْفَانِ مِنْ أَهْلِ النَّارِ لَمْ أَرَهُمَا، قَوْمٌ مَعَهُمْ سِيَاطٌ كَأَذْنَابِ الْبَقَرِ يَضْرِبُونَ بِهَا النَّاسَ، وَنِسَاءٌ كَاسِيَاتٌ عَارِيَاتٌ مَائِلاَتٌ مُمِيلاَتٌ، رُؤُسُهُنَّ كَأَسْنِمَةِ الْبُخْتِ الْمَائِلَةِ، لاَ يَدْخُلْنَ الْجَنَّةَ وَلاَ يَجِدْنَ رِيحَهَا، وَإِنَّ رِيحَهَا لَتُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ كَذَا وَكَذَا
“Dua golongan dari ahli neraka yang aku belum melihat kedua-duanya iaitu; (1) Kaum yang membawa cambuk seperti ekor lembu untuk memukul manusia dengannya, dan (2) Wanita-wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencederungkan orang lain kepadanya. Kepala-kepala mereka umpama bonggol-bonggol unta yang senget. Mereka ini tidak akan dapat memasuki syurga dan tidak akan mencium baunya di mana bau syurga dapat dicium dari jarak perjalanan sekian sekian jauh”. (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)
Di dalam hadis di atas, Nabi s.a.w. menegaskan; salah satu golongan yang akan menjadi ahli neraka ialah wanita-wanita yang berpakaian tetapi telanjang, yakni mereka berpakaian tetapi di sisi agama mereka sebenar tidak berpakaian. Ia merangkumi yang berikut;[3]
1. Wanita-wanita yang memakai pakaian yang nipis yang masih menampakkan kulit atau bayangan tubuh mereka. Mereka berpakaian pada nama, namun telanjang pada hakikatnya.
2. Memakai pakaian yang menutup sebahagian aurat dan mendedahkan sebahagian lagi (yakni tidak menutupkan secara menyeluruh kawasan aurat yang wajib ditutup).
3. Memakai pakaian yang ketat atau sendat hingga menampak bentuk tubuh.
Apakah dalil tidak harus pakain lelaki menyerupai pakaian wanita dan sebaliknya?
Kerana Rasulullah melaknat orang lelaki yang meniru wanita dan wanita yang meniru lelaki sebagaimana yang diceritakan oleh Ibnu ‘Abbas r.a.;
لعن رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم المتشبهين من الرجال بالنساء والمتشبهات من النساء بالرجال
“Rasulullah s.a.w. telah melaknat lelaki-lelaki yang meniru-niru perempuan dan wanita-wanita yang meniru-niru lelaki”. (Riwayat Imam Bukhari).
Bagaimana yang dikatakan meniru itu? Dan apa contohnya?
Iaitu setiap pakaian yang khusus untuk lelaki iaitu diketahui oleh masyarakat bahawa ia sememangnya untuk lelaki, tidak harus untuk wanita memakainya. Begitu juga, pakaian yang khusus untuk perempuan iaitu diketahui oleh orang ramai bahawa ia sememangnya untuk wanita, tidak harus lelaki memakainya. Contohnya; wanita yang memakai seluar lelaki dan lelaki yang memakai kain wanita.
Di dalam hadis diceritakan; suatu hari Nabi s.a.w. masuk menemui isterinya Ummu Salamah. Ketika itu Ummu Salamah sedang memakai tudungnya. Lalu Nabi berkata kepadanya;
لَيَّةً لا ليَّتَيْنِ
“Lilitlah dengan satu lilitan sahaja, bukan dengan dua lilitan”. (Riwayat Imam Abu Daud dan al-Hakim. Menurut al-Hakim; hadis ini soheh. Tashih al-Hakim dipersetujui oleh Imam az-Zahabi. Lihat; Faidhul-Qadier, hadis no. 7744).
Menurut ulamak; tegahan Nabi di atas tujuannya ialah supaya cara pemakaian tudung oleh perempuan tidak menyerupai cara pemakaian serban oleh kaum lelaki iaitu dengan melilit di kepala dengan beberapa lilitan.[4]
Apakah dalil pengharaman sutera ke atas lelaki?
Iaitulah sabda Rasulullah s.a.w.;
حرَّمَ لباسُ الحريرِ والذَّهبُ على ذُكورِ أمَّتي وأحلَّ لأناثهِم
“Diharamkan memakai sutera dan emas ke atas lelaki-lelaki umatku dan dihalalkan bagi wanita-wanita mereka”. (Riwayat Imam at-Tirmizi dari Abi Musa al-Asy’ari r.a.. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan soheh)
Dalam hadis yang lain baginda bersabda;
من لبس الحرير في الدنيا لم يلبسه في الآخرة
“Sesiapa memakai sutera di dunia, ia tidak akan dapat memakainya lagi di akhirat”. (Riwayat Imam Bukhari, Muslim dan Ahmad dari Abi Umamah r.a.).
Adakah sutera tiruan juga dilarang?
Sutera yang diharamkan oleh hadis ialah sutera asli yang diperbuat dari benang dari ulat sutera. Itu yang dimaksudkan oleh hadis. Adapun sutera tiruan (yang dibuat dari bahan lain dari sutera asli itu iaitu benang dari ulat sutera) ia tidaklah termasuk dalam larangan hadis. Sesuatu yang tidak termasuk dalam larangan Syarak ia kekal dalam hukum asalnya iaitu harus.
Namun jika sifat kain sutera tiruan itu adalah terlalu lembut iaitu menyerupai kain wanita, sebaik-baiknya orang lelaki tidak memakainya kerana tidak bersesuaian dengan penampilan seorang lelaki.[5]
Apa dalil dilarang pakaian yang menyerupai orang kafir atau orang-orang fasiq?
Iaitu sabda Nabi s.a.w.;
من تشبه بقوم فهو منهم
“Sesiapa yang menyerupai suatu golongan, maka ia dari golongan tersebut”. (Riwayat Imam Abu Daud dari Ibnu ‘Umar r.a.).
Menurut Imam Ibnu Kathir; hadis ini merupakan larangan keras terhadap perbuatan meniru orang kafir sama ada dalam ucapan, perbuatan, pakaian, perayaan, ibadah dan sebagainya yang tidak disyariatkan untuk kita (umat Islam).[6]
Bagaimana yang dikatakan meniru itu? Apa contohnya?
Setiap pakaian yang memberi gambaran kepada orang lain bahawa si pemakainya adalah kafir atau menunjukkan bahawa ia adalah fasiq (tidak menjaga agama, yakni suka melakukan maksiat), maka ia termasuk dalam pengertian meniru orang kafir atau golongan fasiq. Contohnya; memakai pakaian yang mempunyai lambing salib atau lambang-lambang agama lain. Saidina ‘Ali menceritakan; aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda;
إِيَّاكُمْ وَلُبُوس الرُّهْبَان ، فَإِنَّهُ مَنْ تَزَيَّا بِهِمْ أَوْ تَشَبَّهَ فَلَيْسَ مِنِّي
“Jauhilah kamu dari memakai pakaian para Rahib. Sesiapa memakai pakaian seperti mereka atau menyerupai mereka, dia bukanlah dariku” . (Riwayat Imam ar-Rhabrani dalam al-Mu’jam al-Ausat. Menurut Imam Ibnu Hajar; sanadnya adalah La Ba’sa Bihi. Lihat; Fathul-Bari, bab al-Baranis).[7]
Apa dalil larangan berlebihan dan menzahirkan kesombongan dalam berpakaian?
Iaitu firman Allah;
وَلَا تُسْرِفُوا إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ
“…dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan….”.
وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ
“Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri”. (al-Hadid: 23)
Sabda Rasulullah s.a.w.;
من جر ثوبه خيلاء لم ينظر الله إليه يوم القيامة
“Sesiapa yang melabuhkan pakaian/kainnya kerana sombong, nescaya Allah tidak akan memandangnya pada hari kiamat”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Apa maksud pakaian Syuhrah? Apa dalil larangan terhadapnya?
Pakaian Syuhrah bermaksud pakaian yang dipakai untuk dikenali oleh orang lain, yakni untuk menunjulkan perbezaan diri dengan orang lain. Tujuannya sama ada untuk berbangga-bangga di hadapan orang lain dengan perasaan takjub dan besar diri (takbur) atau untuk menunjuk-nunjuk kezuhudan dengan perasan riyak dan nifak (berpura-pura). Dalil larangan pakaian Syuhrah ini ialah sabda Rasulullah;
مَنْ لَبِسَ ثَوْبَ شُهْرَةٍ فِي الدُّنْيَا، أَلْبَسَهُ اللهُ ثَوْبَ مَذَلَّةٍ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، ثُمَّ أَلْهَبَ فِيهِ نَارا
“Sesiapa memakai pakaian kemasyhuran, nescaya Allah akan memakaikan kepadanya pakaian kehinaan pada hari kiamat nanti. Kemudian ia akan dibakar dengan pakaiannya ke dalam neraka”. (Riwayat Ahmad, Abu Daud, Nasai dan Ibnu Majah dari Ibnu ‘Umar r.a.)
Ada seorang lelaki bertanya Ibnu ‘Umar r.a.; “Apakah pakaian yang baik untuk aku pakai?”. Jawab Ibnu ‘Umar; “Pakailah pakain yang sekira-kira kamu tidak akan diperlekehkan oleh orang-orang bodoh (as-sufaha’) (kerana buruknya pakain itu dan tidak ada nilai) dan tidak dikeji oleh orang-orang cerdik (hukama’) (kerana melampaui had kesederhanaan)”. (Riwayat Imam at-Thabrani).
Apakah dalil dilarang pakaian wanita mempunyai corak yang menarik perhatian lelaki?
Kerana ia termasuk di dalam pengertian tabarruj yang dilarang oleh al-Quran iaitu firman Allah;
وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَى
“dan hendaklah kamu (wahai isteri-isteri Nabi) tetap di rumahmu dan janganlah kamu bertabarruj (yakni berhias dan bertingkah laku) seperti orang-orang Jahiliyah yang dahulu ….”. (al-Ahzab: 33)
Menurut ulamak; at-Tabarruj bermaksud seorang wanita mendedahkan perhiasannya atau kecantikannya yang mendorong syahwat lelaki.[8] Pengertian tabarruj bukan hanya khusus kepada mendedahkan aurat sahaja, tetapi merangkumi semua perlakuan untuk menarik perhatian lelaki termasuk stail berpakaian, cara berjalan, cara bercakap, solekan dan sebagainya.
Adakah pakaian kanak-kanak juga perlu mematuhi cirri-ciri pakaian di atas?
Ya. Hukum bagi kanak-kanak juga adalah serupa. Dilarang ibu-bapa atau penjaga memakaikan kepada anak lelaki pakaian untuk perempuan dan begitu juga diharamkan memakaikan kepada anak perempuan pakaian untuk lelaki. Diceritakan bahawa suatu hari Saidina Umar r.a. melihat anak lelaki Zubair dipakaikan kepadanya pakaian dari sutera. Lalu Umar mengoyaknya dan berkata; “Janganlah kamu memakaikan kepadanya pakaian dari sutera”. Begitu juga, Ibnu Mas’ud pernah mengoyak pakaian sutera yang dipakaikan kepada anak lelakinya.[9]
Dikecualikan dalam masalah aurat. Kanak-kanak yang belum baligh tidaklah dituntut menutup aurat sebagaimana tuntutan ke atas orang dewasa. Namun ibu-bapa wajib melatih anak-anak dengan adab-adab Islam (termasuk adab berpakaian menutup) untuk membiasakan mereka apabila baligh nanti.[10]
Adakah Islam melarang berpakaian cantik?
Islam mengharuskan memakai pakaian yang cantik dan lawa tetapi janganlah melanggar had-had yang ditetap Allah, jangan membazir dan jangan takbur atau bongkak.
Imam Muslim meriwayatkan dari Ibnu Mas’ud, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda;
لا يدخل الجنة من كان في قلبه مثقال حبة من كبر
“Tidak masuk syurga seorang yang ada sifat takbur dalam hatinya walau sebesar biji sawi”.
Lalu berkata seorang lelaki;
أن الرجل يحب أن يكون ثوبه حسنا و نعله حسنا
“Jika seorang lelaki suka memakai pakaian yang cantik dan memakai kasut yang lawa, adakah dia juga dikatakan takbur?”.
Lalu jawab baginda;
إن الله جميل يحب الجمال ، الكبر بطر الحق و غمط الناس
“Tidak! Allah itu cantik dan Ia sukakan kecantikan. Yang dikatakan takbur itu ialah enggan menerima kebenaran (iaitu sombong terhadap kebenaran) dan memandang rendah terhadap manusia”.
Apa makna jilbab?
Di dalam al-Quran Allah memerintahkan wanita-wanita beriman memakai jilbab sebagaimana firmanNya;
يَاأَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلَابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَنْ يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا
“Hai Nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mu'min: "Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka". Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal[11], karena itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha pengampun lagi Maha penyayang”. (al-Ahzab: 59)
Menurut Imam Abu Bakar ibnu al-‘Arabi; para ulama’ berikhtilaf dalam mentafsirkan jilbab. Namun lafaz-lafaz yang mereka gunakan hampir memberi pengertian yang serupa di mana asasnya ialah pakaian yang menutup/melitupi badan. Dengan pengertian ini, maka ayat di atas merupakan arahan kepada sekelian wanita Islam supaya menutup badan mereka. Jika digabungkan ayat di atas dengan ayat dari surah an-Nur (iaitu ayat 31), maka had yang mesti ditutup ialah dari hujung rambut hinggalah ke tapak kaki kecuali muka dan dua tangan. Di sisi sebahagian fuqaha’, dikecualikan juga dua kaki. Pakaian yang dipakai untuk menutup badan itu hendaklah tidak jarang hingga menampakkan bayangan kulit dan juga tidak ketat hingga mendedahkan bentuk tubuh….[12]
Adakah terdapat fesyen tertentu bagi pakaian dalam Islam?
Tidak ada fesyen tertentu yang ditetapkan Islam bagi pakaian. Ia terserah kepada manusia untuk menentukannya mengikut pengalaman dan kebiasaan masing-masing kerana hal ini termasuk dalam perkara-perkara duniawi yang diberi kebebasan kepada manusia untuk menentukannya.
Syarak hanya menetapkan pakaian hendaklah menutupi aurat, tidak jarang, tidak ketat/sendat dan sebagainya tadi. Adapun bentuk, fesyen dan cara pemakaiannya, maka terserah kepada kebiasaan atau kehendak manusia selagi tidak bercanggah dengan ciri-ciri pakaian yang ditetapkan tadi.[13]
Apa hukum memakai pakaian labuh hingga melebihi buku lali?
Ada perbezaan antara lelaki dan wanita. Bagi wanita, digalakkan ia melabuhkan pakaiannya hingga menutupi keseluruhan kaki. Diriwayatkan dari Sofiyyah binti Abi ‘Ubaid r.a. yang menceritakan; Ummu Salamah (salah seorang isteri Nabi s.a.w.) semasa Nabi menyebutkan tentang celaan terhadap orang yang melabuhkan kain sarungnya, beliau bertanya; “Bagaimana dengan kaum wanita wahai Rasulullah? (yakni adakah mereka juga turut dilarang melabuhkan pakaian)”. Baginda menjawab; “Labuhkan sejengkal sahaja”. Ummu Salamah bertanya lagi; “Bagaimana jika masih terdedah kaki mereka?”. Nabi menjawab; “Labuhkan sehasta sahaja. Jangan lebih dari itu”. (Riwayat Imam Abu Daud dan at-Tirmizi).[14]
Adapun bagi lelaki, ada perbezaan pandangan di kalangan ulamak;[15]
1. Menurut segolongan ulamak; haram melabuhkan pakaian di bawah buku lali secara keseluruhannya. Pengharaman ini berdalilkan beberapa hadis antaranya sabda Nabi s.a.w.;
مَا أَسْفَلَ مِنْ الْكَعْبَيْنِ مِنْ الْإِزَارِ فَفِي النَّارِ
“Kain sarung yang di bawah dari dua buku lali adalah di dalam neraka” (Riwayat Imam al-Bukhari dari Abu Hurairah r.a.).[16]
2. Menurut sebahagian ulamak yang lain; diharamkan jika ada niat berbangga-bangga atau menyombong diri. Jika tanpa niat tersebut, tidaklah haram. Ini kerana terdapat hadis yang mengaitkan pengharaman melabuhkan pakaian itu dengan niat tersebut. Antaranya sabda Nabi s.a.w.;
لاَ يَنْظُرُ اللهُ إِلَىَ مَنْ جَرَّ ثَوْبَهُ خُيَلاَءَ
“Allah tidak memandang[17] (yakni tidak akan memberi rahmatNya) kepada orang yang melabuhkan pakaiannya kerana menyombong (atau berbangga-bangga diri)”. (Riwayat Imam Muslim dari Ibnu ‘Umar r.a.)
Lebih jelas lagi, ada hadis menceritakan tatkala Nabi s.a.w. berkata “Sesiapa melabuhkan pakaiannya kerana menyombong diri, Allah tidak akan memandang kepadanya pada hari kiamat”, Abu Bakar pun berkata kepada baginda; “Ya Rasulullah s.a.w., kain sarungku akan melabuh kecuali aku memegangnya”. Nabi berkata; “Engkau bukanlah dari golongan orang-orang yang melakukannya (yakni melabuhkan pakaian) kerana ingin menyombong”. (Riwayat Imam al-Bukhari, Abu Daud dan an-Nasai dari Ibnu ‘Umar r.a.).
Walaupun tidak haram, hukumnya adalah makruh. Imam Nawawi dalam kitabnya Syarah Soheh Muslim, tatkala menghuraikan hadis di atas beliau menyebutkan antaranya; “Tidak harus melabuhkan pakaian hingga ke bawah buku lali jika dengan tujuan menyombong diri. Jika bukan dengan tujuan tersebut, hukumnya adalah makruh…Kadar yang disunatkan ialah hingga ke tengah betis. Jika dari tengah betis hingga ke buku lali (tanpa melepasinya), hukumnya adalah harus. Jika labuh hingga melepasi buku lali, hukumnya adalah makruh kecuali ada niat menyombong diri, maka hukumnya adalah haram”.[18]
Adakah disunatkan membaca doa ketika memakai pakaian?
Abi Sa’id al-Khudri r.a. menceritakan; “Adalah Rasulullah s.a.w. apabila memakai pakaian baru, baginda akan menyebut nama pakaian baru itu sama ada serban, baju atau selendangnya, kemudian baginda membaca;
اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ أَنْتَ كَسَوْتَنـِيْهِ أَسْأَلُكَ خَيْرَهُ وَخَيْرَ مَا صُنـِعَ لَهُ وَأَعُوْذُ بـِكَ مِنْ شَرِّهِ وَشَرِّ مَا صُنِعَ لَهُ
Maksudnya; “Ya Allah! Untukmu segala pujian. Engkaulah yang memakaikanku pakaian ini. Aku memohon kepadaMu kebaikan pakaian ini dan kebaikan tujuan ia dibuat. Aku berlindung dari kejahatan pakaian ini dan kejahatan tujuan ia dibuat”.
(Riwayat Imam at-Tirmizi dan Abu Daud. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini adalah hasan).
Adakah harus wanita memakai seluar?
Harus dengan syarat-syarat berikut;[19]
1. Seluar itu dibuat khusus untuk wanita. Tidak harus ia memakai seluar lelaki kerana diharamkan wanita menyerupai lelaki.
2. Ia memakainya di bahagian dalam, yakni dilitupi oleh pakaian lain yang tidak menampakkan bentuk tubuhnya.
3. Jika tidak dilitupi dengan pakaian luar, tidak harus ia memakainya kecuali di hadapan suami atau mahramnya atau di hadapan wanita lain. Adapun di hadapan lelaki-lelaki ajnabi, tidak harus ia memakainya kerana pemakaian seluar sahaja (tanpa pakaian luar) menampakkan bentuk tubuh.
Digalakkan wanita memakai seluar di bahagian dalamnya (yakni di samping pakaian luar) kerana ia lebih menjaga aurat.[20]
Adakah Syarak menetapkan warna tertentu bagi pakaian wanita?
Syarak tidak menetapkan warna tertentu bagi pakaian wanita, begitu juga bagi pakaian lelaki. Namun hendaklah pakaian wanita tidak terlalu terang warnanya hingga menarik perhatian lelaki atau mempunyai corak yang boleh membangkitkan ghairah atau mencuri pandangan lelaki kepadanya. Kerana itu, para ulamak menyukai jika wanita memakai pakaian berwarna gelap kerana ia kurang menarik perhatian berbanding warna lain.[21]
Apakah warna yang paling baik bagi pakaian lelaki?
Warna putih. Dari Samurah bin Jundab r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda; “Pakailah pakaian berwarna putih kerana sesungguhnya ia lebih suci dan lebih baik dan kafankanlah dengannya jenazah-jenazah kamu”. (Sunan at-Tirmizi, an-Nasai, Ibnu Majah, Musnad Imam Ahmad)
Hadis di atas menunjukkan keutamaan pakaian putih dari pakaian-pakaian berwarna lain. Disunatkan memakai pakaian berwarna putih dan mengkafankan jenazah dengan kain yang berwarna putih. Begitu juga, pakaian putih adalah paling baik dipakai untuk menghadiri solat Jumaat, solat Jamaah, bertemu ulamak atau pembesar.[22]
Adakah harus memakai pakaian berwarna lain dari putih?
Ya, Harus. Walaupun Nabi s.a.w. menyukai warna putih, namun dalam pemakaian baginda sendiri tidaklah baginda hanya memakai pakaian berwarna putih sahaja. Baginda juga memakai pakaian berwarna lain dari putih. Perhatikan hadis-hadis berikut;
1. Aisyah r.a. menceritakan; “Rasulullah s.a.w. keluar pada suatu pagi dengan memakai kain yang diperbuat dari bulu hitam”. (Riwayat Imam Muslim, at-Tirmizi dan Abu Daud)
2. Qailah binti Makhramah r.a. menceritakan; “Aku melihat Nabi s.a.w. dan pada badan baginda terdapat dua kain sarung yang telah lusuh (buruk) yang dicelup dengan za’faran, namun warna za’faran itu telah pun pudar”. (Riwayat Imam at-Tirmizi)
3. Abi Rimsah menceritakan; “Aku melihat Nabi s.a.w. dan baginda memakai dua kain burdah berwarna hijau”. (Sunan an-Nasai, Abu Daud, Musnad Ahmad)
4. ‘Aun bin Abi Juhaifa’ meriwayatkan dari bapanya yang menceritakan; “Aku melihat Rasulullah s.a.w. memakai kain/pakaian berwarna merah dan aku lihat seolah-olah (putih) bercahaya dua betis baginda”. Berkata Sufyan (yang merupakan antara perawi hadis ini); “Kami berpandangan kain yang dimaksudkan itu ialah Hibarah”. (Riwayat at-Tirmizi, Imam Ahmad dan Imam at-Thabrani)
5. Al-Barra’ bin ‘Azib r.a. menceritakan; “Aku tidak pernah melihat seorang pun dari manusia yang lebih kacak dengan pakaiannya berwarna merah dari Rasulullah. Rambut baginda panjangnya hampir mencecah dua bahunya”. (Sunan an-Nasai, Soheh Muslim, Musnad Ahmad)
Nota Hujung;
[1] Tafsir al-Jalalain dan Tafsir Ibnu Kathir.
[2] Al-Halal wa al-Haram, hlm. 161-162.
[3] Al-Albisah Wa az-Zinah, hlm. 127.
[4] Lihat; ulasan Imam Abu Daud dalam Sunannya (Kitab al-Libas, Bab Fi al-Ikhtimar). Lihat juga; al-Albisah Wa az-Zinah, hlm. 186).
[5] Fatwa Syeikh al-Munajjid (http://www.islam-qa.com/ar/ref/30812/الصناعي).
[6] Lihat; Tafsir al-Quran al-Adziem, surah al-Baqarah, ayat 104.
[7] Al-Albisah Wa az-Zinah, hlm. 183.
[8] Fathul-Qadier, Imam as-Syaukani.
[9] Tasyabbuh Yang Dilarang di Dalam Fiqh Islam, Jamil bin Habib al-Luwaihiq, hlm. 138-139.
[10] Fatawa Ulama’ Baladil-Haram, hlm. 748.
[11] Yakni mudah dikenali bahawa mereka adalah wanita merdeka, bukan hamba. Atau mudah dikenali bahawa mereka adalah wanita Islam, bukan wanita kafir. (Lihat as-Asas fi at-Tafasir).
[12] Dipetik dari Fatwa mufti Mesir tahun 1981 iaitu Syeikh Jadul-Haq ‘Ali Jadul-Haq. (Rujukan; Mausu’ah Fatawa Dar al-Iftak al-Mishriyyah, ter. Majlis al’A’la Li asy-Syuun al-Islamiyyah, Mesir).
[13] Dipetik dari Fatwa mufti Mesir tahun 1981 iaitu Syeikh Jadul-Haq ‘Ali Jadul-Haq. (Rujukan; Mausu’ah Fatawa Dar al-Iftak al-Mishriyyah, ter. Majlis al’A’la Li asy-Syuun al-Islamiyyah, Mesir).
[14] Syarh as-Sunnah, Imam al-Baghawi, 7/11.
[15] Al-Albisah Wa az-Zinah, hlm. 170-173.
[16] Maksud hadis ialah; kawasan kaki yang dikenai oleh kain sarung yang dilabuhkan melepasi dua buku lali, kawasan itu akan diazab di dalam neraka sebagai balasan kepada pemakainya (ulasan Imam al-Khattabi. Lihat; al-Albisah Wa az-Zinah, hlm. 170).
[17] Yakni Allah tidak akan merahmatinya atau tidak akan memandangnya dengan pandangan rahmat (Lihat; al-Albisah Wa az-Zinah, hlm. 169).
[18] Syarah Soheh Muslim, juz. 14, Kitab al-Libas Wa az-Zinah.
[19] Al-Albisah Wa az-Zinah, hlm. 130 dan 187. Fatawa ‘Ulama’ Baladil-Haram, hlm. 750.
[20] Al-Albisah Wa az-Zinah, hlm. 201.
[21] Al-Albisah Wa az-Zinah, hlm. 126. Fatwa Syeikh al-Munajjid (baca di; http://www.islam-qa.com/ar/ref/898).
[22] Raudhatul-Muttaqien, 2/314.
No comments:
Post a Comment