Allah Maha Berkuasa di Seluruh Alam
Sahabat yang dirahmati Allah,
Pada Allah-lah hakikat manfaat dan mudarat. Tiada suatu apapun yang dapat memberikan manfaat maupun mudarat melainkan dengan izin-Nya. Allah-lah yang menghina dan Allah-lah yang memulikan. Sesiapa yang dimuliakan Allah, maka dialah orang mulia. Barangsiapa yang dihinakan Allah, sesungguhnya benarlah dia seorang yang hina. Segalanya adalah milik Allah.
Segalanya bersumber daripada khazanah Allah s.w.t.. Khazanah yang tiada batas dan hadnya. Khazanah Allah yang maha luas, seluas Kudrat dan Iradat Allah yang tiada had dan batasnya. Khazanah yang pintunya tidak pernah tertutup dan isinya tidak pernah berkurang.
Jika berhimpun seluruh manusia dan jin daripada yang awal sehingga yang terakhir daripada mereka di satu lapangan, lalu dengan serentak masing-masing berdo'a memohon kepada Allah setiap hajat dan keinginan mereka, dengan bahasa masing-masing yang bermacam-macam lagi berbagai, pasti, pasti dan pasti!. Segala permohonan mereka itu dapat didengar dan dapat difahami oleh Allah s.w.t.
Dan jika Allah s.w.t. memakbulkan setiap do'a dan permintaan tersebut, nescaya tidak berkurang satu apa pun daripada Allah s.w.t., melainkan ibarat setitis air daripada lautan yang terbentang luas. Inilah Kudrat Allah, itulah khazanah Allah s.w.t. Di tangan Allah ada Sunnatullah (hukum-hukum peraturan Allah), dan di tangan Allah jugalah adanya Kudratullah (kemutlakan kekuasaan Allah).
Sahabat yang dimuliakan,
Allah s.w.t. Maha Berkuasa di atas setiap makhluk ciptaan-Nya. Harus dan bebas bagi Allah untuk menjadikan atau melakukan sesuatu berdasar asbab (sebab-akibat) dan harus bagi Allah untuk melakukan sesuatu menyalahi asbab. Bahkan harus bagi Allah untuk melakukan sesuatu tanpa asbab. Pisau yang sama di tangan Nabi Ibrahim a.s. mampu membelah batu, tetapi pisau yang itu juga tidak dapat melukakan Ismail r.a. Api yang marak membakar ranting-ranting dan puntung-puntung kayu yang membukit dengan lahapnya, tetapi api yang menggunung itulah yang tidak mampu membakar walau sehelai roma Nabi Ibrahim a.s.
Untuk hidup, kita perlukan udara, air dan makanan, tetapi apakah yang dapat menjadi punca kehidupan kepada Nabi Yunus a.s. selama dia berada sekian hari lamanya di dalam perut ikan Nun? Yang ada hanyalah segala kematian; tanpa makanan dan tanpa minuman dan tanpa udara. Inilah yang dinamakan Kudratullah, yang ada bersama Nabi Yunus a.s. ialah Kudrat Allah, bukan hanya sekadar Sunnatullah lagi. Apabila Allah menginginkan sesuatu itu tidak binasa, ia pasti tidak akan binasa.
Firman Allah bermaksud: “Dan apabila hamba-Ku bertanya mengenai Aku, maka (jawablah) sesungguhnya Aku dekat. Aku memakbulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia meminta kepada-Ku.” (Surah al-Baqarah, ayat 186)
Sesungguhnya apabila Allah mencintai hamba-Nya, ia dapat dilihat dengan jelas dan dirasa melalui hati bersih. Ketika Allah mencintai seorang hamba, maka jatuhlah ke dalam hati hamba itu ilham suci yang membuat dia mengenali tanda kecintaan-Nya.
Ada beberapa tanda yang boleh dirasa oleh hati manusia antaranya:
Tanda Allah mencintai seseorang ialah apabila dia menjadi begitu berminat dengan ibadah. Adakalanya sesetengah orang berusaha sekuat-kuatnya untuk beribadah, hatta melebihi kapasiti diri sebagai insan lemah. Tujuannya hanya satu iaitu mahu mencintai Allah.
Tetapi ibadahnya seolah-olah kosong tanpa rasa, tawar tiada kemanisannya, semangat imannya maju dan mundur, turun dan naik, akhirnya tenggelam pula dipukul arus dunia. Ketika beribadah semestinya seseorang mampu menghadirkan keyakinan bahawa saat itu Allah mencintai dirinya.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Jika Allah mencintai seorang hamba maka Ia berfirman :" Wahai Jibril sesungguhnya aku mencintai si polan maka cintailah dia.”
(Riwayat Imam Ahmad)
Maka orang yang yakin bahawa Allah mencintai dirinya tidak pernah rasa was-was adakah ibadahnya diterima atau tidak? Jauh sekali rasa takbur kerana dia yakin yang menolongnya untuk melakukan ketaatan adalah Allah juga. Bukan kerana kehebatan dan kewarakan, melainkan Allah yang menuntun ke jalan takwa.
Kemudian dia sampai kepada satu makrifah mendalam mengenai Allah iaitu cinta Allah kepada hamba-Nya jauh lebih agung daripada cinta sesama insan. Manusia boleh mengkhianati ibu bapanya atau anak dan isterinya, kawan atau kekasih atas alasan tidak mendapat keuntungan daripada perhubungan itu. Tetapi cinta Allah kekal tidak pernah luntur walaupun dicabar oleh sepak terajang hamba derhaka.
Tanda Allah mencintai seseorang ialah apabila maksiat membuat dia bangkit mendekati Allah. Adakalanya dosa boleh mendatangkan manfaat iaitu apabila dosa itu akhirnya membawa kepada keinsafan, taubat dan istighfar.
Kemudian seseorang bangkit mengejar Allah, berusaha mendapatkan hatinya yang hilang di belantara maksiat. Ia sama sekali tidak berputus asa daripada rahmat Allah. Ia sentiasa mengingati janji Allah Yang Maha Pengampun.
Sahabatku,
Walaupun yang ada pada masa itu hanyalah segala asbab kebinasaan. Laut yang sama Allah s.w.t. gunakan untuk menyelamatkan Nabi Musa a.s. dan pengikutnya, dengan laut yang sama juga Allah telah binasakan Fir'aun dan segala bala tenteranya. Manusia pada hukumnya memerlukan pencantuman benih daripada ibu dan bapanya untuk dilahirkan ke muka bumi ini, tetapi siapakah yang telah menjadikan Nabi Isa a.s. tanpa bapa, malah yang menjadikan Nabi Adam a.s. tanpa ibu dan bapa? Dialah Allah, tiada Tuhan melainkan Dia. Dalam genggaman-Nyalah segala sesuatu.
Bagaimana Allah s.w.t. telah menghancurkan tentera Abrahah dengan dihantar-Nya burung-burung yang kecil, membawa bersama-sama mereka batu kerikil yang kecil. Cukup untuk menyebabkan Abrahah dan tentera bergajahnya hancur berkecai, bagai daun yang dimakan ulat. Sedangkan ketika itu Abdul Mutalip dan pemimpin arab tidak berupaya melawan tentera Abrahah untuk mempertahankan Ka'abah.
Oleh itu marilah sama-sama kita mentauhidkan Allah s.w.t. dengan sifat yakin dan sahih. Yakin dengan sebenar-benar-Nya bahawa kesempurnaan, ketunggalan, kehebatan, kebesaran dan kekuasaan Allah s.w.t. darisegi Zat, Af'aal, Asma' dan Sifat. Kalimah 'Laa ilaaha illallah' ini menuntut supaya kita mengosongkan apa jua sesuatu selain Allah daripada hati kita. Hanya Allah dan kesukaan-kesukaan Allah yang layak memenuhi hati kita. Hanya undang-undang dan peraturan hidup daripada Allah s.w.t. sahaja kita terima dan undang-undang lain kita tolak.
Di dalam sebuah hadis Qudsi ada disebut. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud, " Wahai hamba-Ku! Hatimu adalah taman-Ku; dan Syurga-Ku adalah tamanmu. Sekiranya engkau tidak bakhil kepada-Ku dengan tamanmu bahkan engkau tempatkan makrifah-Ku di dalam hatimu, nescaya Aku tidak akan bakhil kepada kamu dengan taman-Ku dan Aku akan tempatkan engkau di dalamnya!"
Akhirkata, yakinilah bahawa semuanya berada dalam pengetahuan dan perhitungan Allah s.w.t. Hati kita hendaklah dipenuhi keyakinan, hanya dengan mengikut perintah Allah, kita akan berjaya. Dan apabila melanggar perintah Allah pasti ada kegagalan dan kehinaan. Janji Allah adalah benar. Akhirat adalah benar, Barzakh adalah benar. Mahsyar adalah benar. Syurga adalah benar. Neraka adalah benar. Segala janji Allah pasti akan berlaku kerana sesungguhnya :'Tiada Tuhan melainkan Allah'
No comments:
Post a Comment