Tiga Amalan Yang Membantu di Alam Barzah
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, "Apabila mati seseorang manusia itu, akan terputus daripadanya segala amalannya kecuali tiga perkara; iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang sentiasa mendo'akannya."
(Hadis Riwayat Muslim)
Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap manusia di dunia ini akan mengalami kematian. Apabila datang ianya tidak boleh ditangguhkan lagi walaupun sesaat. Oleh itu sebelum kematian datang, kita perlulah membuat persiapan dengan melaksanakan amal-amal soleh, memperbanyakkan amal ibadah dan membuat sebanyak mungkin kerja-kerja kebajikan yang akan mendatangkan keredhaan Allah s.w.t, dan meninggalkan segala larangan Allah s.w.t. yang boleh mendatangkan dosa.
Teman yang setia yang akan mengiringi seseorang apabila ia kembali ke alam barzah adalah segala amalan-amalan kebaikan dan kejahatan yang di kerjakan ketika di dunia. Alam barzah adalah alam persingahan sementara sebelum berlakunya Hari Qiyamat dan menuju ke alam akhirat. Samaada seseorang itu tinggal disini seperti duduk ditaman-taman Syurga atau pun duduk di salah satu lubang dari lubang-lubang api Neraka, bergantung dengan amalan mereka ketika di dunia. Mereka yang berdosa akan mendapat siksaan disini iaitu siksa kubur sebelum siksaan sebenar yang akan diterima semasa di hari akhirat nanti.
Walau bagaimana pun, berdasarkan hadis di atas, masih terdapat lagi tiga peluang seseorang yang telah meninggal dunia untuk dia mendapat tambahan pahala yang berterusan membantunya sebagai saham akhirat yang akan membantunya ketika proses timbangan amal dijalankan nanti atau untuk mengurangkan azab siksaan kubur yang diterimanya. Tiga perkara tersebut adalah sedekah jariah, ilmu yang dimanfatkan dan anak soleh yang mendo'akannya.
Pertama, sedekah jariah :
Termasuk dalam sedekah jariah adalah mewakafkan tanah dan membina rumah anak-anak yatim dan miskin, masjid, sekolah agama dan tahfiz, hospital, rumah kebajikan, pusat pemulihan dadah dan akhlak, menghadiahkan al-Qur'an dan kitab-kitab agama.
Kedua, ilmu yang dimanfatkan :
Mengajarkan ilmu kepada orang lain. Termasuk juga menulis buku, risalah dan menyebarkan ilmu melalui vedio, internet dan teknologi makluman lain. Nabi s.a.w ada bersabda yang bermaksud, "Sampaikan daripadaku walaupun sepotong ayat." (Riwayat al-Bukhari). Termasuk juga ilmu sains dan teknologi yang mendatangkan banyak manfaat kepada kehidupan manusia.
Ketiga, do'a daripada anak yang soleh :
Anak yang soleh sebenarnya lahir daripada didikan ibu bapanya semasa hidup di dunia. Ibu bapa menghantar ke sekolah diberinya didikan agama, di ajarkannya iman dan akhlak yang mulia. Segala pengorbanan ibu bapa membesarkannya dari aspek fizikal, pemikiran, emosi dan kerohanian. Ibu bapa telah memberikan segala-galanya hingga ia menjadi anak yang soleh. Untuk membalas jasa baik ibu bapa yang telah meninggal dunia anak yang soleh sentiasa mendo'akan mereka dengan kata-kata, "Ya Allah, ampunilah dosaku dan dosa kedua ibu bapaku, kasihanilah mereka seperti mana mereka mengasihi diriku sewaktu aku kecil dahulu."
Sahabat yang dimuliakan,
Sebagai persiapan untuk bekalan kita untuk bertemu Allah s.w.t. maka perlulah di pertingkatkan amal ibadah, amal soleh dan amal kebaikan dan meninggalkan segala bentuk kejahatan yang membawa kepada dosa. Kita sediakan dua bekalan iaitu bekalan yang kita akan bawa bersama-sama ketika kematian dan amal kebaikan kita tinggalkan di dunia tetapi sahamnya dapat kita perolehi (tiga perkara seperti hadis di atas).
No comments:
Post a Comment