Hayati Empat Amalan-amalan Ahli Syurga
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya di dalam syurga itu terdapat kamar-kamar atau gedung-gedung yang bahagian luarnya dapat dilihat dari bahagian dalamnya, dan bahagian dalamnya dapat dilihat dari bahagian luarnya, Allah SWT telah mempersiapkan buat orang yang suka memberi makan orang miskin, lembut dalam berbicara, suka berpuasa, dan mengerjakan solat di malam hari sewaktu manusia sedang tidur. (Hadis Riwayat Tirmidzi)
Berdasarkan hadis di atas Nabi SAW menjelaskan bahawa keindahan syurga itu adalah
"kamar-kamar atau gedung-gedung yang bahagian luarnya dapat dilihat dari bahagian dalamnya, dan bahagian dalamnya dapat dilihat dari bahagian luarnya" dalam hadis yang lain ada riwayat menyatakan :
Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, ia berkata bahwa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam bersabda,
قَالَ اللَّهُ أَعْدَدْتُ لِعِبَادِى الصَّالِحِينَ مَا لاَ عَيْنَ رَأَتْ ، وَلاَ أُذُنَ سَمِعَتْ ، وَلاَ خَطَرَ عَلَى قَلْبِ بَشَرٍ ، فَاقْرَءُوا إِنْ شِئْتُمْ ( فَلاَ تَعْلَمُ نَفْسٌ مَا أُخْفِىَ لَهُمْ مِنْ قُرَّةِ أَعْيُنٍ )
Maksudnya : “Allah berfirman: Aku sediakan bagi hamba-hamba-Ku yang soleh syurga yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga dan tidak pernah terbetik dalam hati manusia.” Bacalah firman Allah Ta’ala, “Tak seorang pun mengetahui berbagai nikmat yang menanti, yang indah dipandang sebagai balasan bagi mereka, atas apa yang mereka kerjakan.” (Surah. As Sajdah ayat 17) (Hadis Riwayat. Bukhari no. 3244 dan Muslim no. 2824)
Di dalam hadis di atas di jelaskan bahawa terdapat empat amal soleh yang disukai oleh Allah SWT sehingga Dia mempersiapkan untuk memasukkan ke dalam syurga-Nya.
Amalan-amalan tersebut adalah seperti berikut :
1. Suka memberi makan orang miskin
2. Lembut dalam berbicara
3. Suka berpuasa
4. Solat di waktu malam
Huraiannya :
1. Suka memberi makan orang miskin.
Bersedekah dengan memberi makan orang miskin samaada memberi makanan atau wang ringgit adalah satu tuntuan agama kerana dengan bantuan tersebut kita akan meringankan beban mereka yang hidup dalam kesusahan dan makan minum tidak sempurna.
Nabi SAW bersabda maksudnya : "Orang yang mengusahakan bantuan (pertolongan) bagi janda dan orang miskin ibarat berjihad dijalan Allah dan ibarat orang solat malam. Ia tidak merasa lelah dan ia juga ibarat orang berpuasa yang tidak pernah berbuka."
(Hadis Riwayat Bukhari)
2. Lembut dalam berbicara.
Sifat orang mukmin adalah sentiasa berlemah lembut ketika berbicara dan tidak menyombongkan dirinya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang dikurniakan sifat lemah lembut nescaya ia akan memperolehi kebaikan dalam semua hal.” (Hadis Riwayat Muslim)
Sifat berlemah-lembut adalah akhlak yang mulia yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya. Oleh itu orang yang memiliki sifat lemah lembut adalah orang yang sangat beruntung. Melatih diri untuk dapat memiliki sifat mulia ini dapat dimulakan dengan menahan diri apabila marah dan mempertimbangkan baik buruknya sesuatu perkara sebelum bertindak. Orang yang lemah lembut melambangkan orang yang sentiasa sabar dan tenang (tidak tergesa-gesa) dalam segala urusan.
3. Suka berpuasa.
Dari Abu Hurairah, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud : ”Allah `Azzawajalla berfirman: “Semua amalan umat manusia adalah untuk dirinya, kecuali puasa. Sebab, ia adalah untuk-Ku dan Aku yang akan memberinya ganjaran” (Hadis Riwayat Ahmad, Muslim dan An-Nasai`)
Dari Abu Umamah, katanya yang bermaksud : ”Aku datang kepada Rasulullah SAW, lalu aku katakan: “Berilah kepadaku suatu amalan yang membolehkan diriku masuk ke dalam syurga. “Maka Nabi SAW bersabda: “Hendaklah kamu berpuasa, kerana ia merupakan amalan yang tidak dapat di tandingi oleh amalan yang lain”. Kemudian aku mendatangi Nabi SAW untuk kali kedua, maka sabdanya: “Hendaklah kamu berpuasa”.(Hadis Riwayat Ahmad, An-Nasa`i dan Al-Hakim yang menyatakan kesahihannya)
4. Solat di waktu malam.
Solat satu ibadah khusus solat sunat yang amat dituntut untuk dikerjakan oleh seorang mukmin adalah solat tahajud. Kekuatan solat tahajud adalah dapat membina hubungan hati dengan Allah SWT.
“Tahajud” bermaksud bangun dari tidur pada waktu tengah malam. Solat tahajud boleh dikerjakan di permulaan, pertengahan atau penghabisan malam, asalkan sesudah menunaikan solat Isyak. Akan tetapi sebaik-baik waktu melakukannya ialah sepertiga malam yang terakhir. Sekurang-kurangnya solat tahajud dikerjakan dua rekaat.
Firman Allah SWT maksudnya : “Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman syurga, dengan matair-matair terpancar padanya. (Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan. Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja masa dari waktu malam, untuk mereka tidur. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun)”. (Surah al-Zaariyaat ayat 15-18)
Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita pertingkatkan amal ibadah dan amal soleh kita setiap hari dan beristiqamah dalam beramal. Hayatilah empat amal soleh di atas sebagai amalan tambahan untuk mendekatkan diri kita kepada Allah SWT. Jika amalan ini kita laksanakan berterusan dengan ikhlas kerana Allah SWT maka tidak ada balasan yang lebih baik melainkan akan mendapat balasan untuk memasuki syurga Allah SWT.
No comments:
Post a Comment