Tujuh Amal Soleh Yang Menyusul Seorang Mukmin Semasa di Alam Barzakh
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dikasihi kerana Allah,
Sabda Rasulullah SAW maksudnya : “ Sesungguhnya amal soleh yang akan menyusul seorang mukmin setelah dia meninggal dunia kelak ialah ilmu yang dia ajarkan dan sebarkan, anak soleh yang ia tinggalkan, mushaf al-Quran yang dia wariskan, masjid yang dia bangunkan, rumah tempat singgah musafir yang dia dirikan, sungai (saliran) yang dia alirkan, dan sedekah yang dia keluarkan di kala sihat dan masih hidup. Semuanya ini akan menyusul ketika dia meninggal dunia kelak.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah dan Baihaqi)
Berdasarkan hadis di atas terdapat tujuh (7) perkara amalan yang dilakukan oleh seorang mukmin akan mendapat pahala yang berterusan mengalir kepadanya walaupun dia telah meninggal dunai . Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :
1. Ilmu yang dia ajarkan dan sebarkan.
2. Anak soleh yang ia tinggalkan.
3. Mashaf al-Quran yang dia wariskan.
4. Masjid yang dia bangunkan.
5. Rumah tempat singah musafir yang dia dirikan
6. Sungai (saliran) yang dia alirkan.
7. Sedekah yang dia keluarkan di kala sihat dan masih hidup.
Huraiannya :
1. Ilmu yang dia ajarkan dan sebarkan.
Ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang menunjukkan pemiliknya kepada sifat tawaduk, mengamalkan ilmu yang disampaikan, sentiasa bermujahadah, menjaga hati, menjaga anggota zahir dari melakukan maksiat, takut kepada Allah, berpaling daripada dunia dan penuntut dunia, menjauhi orang-orang yang mengasihi dunia, meninggalkan apa yang ada di dunia kepada ahli dunia, suka memberi nasihat kepada makhluk, baik perilaku terhadap makhluk, suka duduk bersama golongan ulama, memuliakan kekasih-kekasih Allah SWT dan menghadapkan diri kepada apa yang mereka utamakan.
Apabila kita sampaikan sesuatu ilmu kepada orang lain dan ilmu tersebut diamalkan dan disampaikan semula secara berterusan hingga ke hari kiamat, maka kita tetap akan mendapat ganjaran pahala yang berterusan. Begitu juga sebaliknya ilmu yang memudaratkan orang lain atau ilmu bermaksiat kepada Allah SWT, pengamal dan penyampainya akan mendapat dosa disisi Allah dan dosa yang berterusan sehingga hari kiamat jika di amalkan dan diikuti oleh seseorang. Oleh itu jauhilah diri kita daripada perbuatan dan amalan yang boleh menyesatkan diri kita sendiri dan menyesatkan orang lain.
Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Tiadalah suatu sedekah yang lebih besar yang disedekahkan manusia seperti penyebaran ilmu.” (Hadis Riwayat Tabarani)
Dalam hadis Nabi SAW maksudnya : “Dari ‘Imran bin Hashin r.a bahwa Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Akan ditimbang di hari kiamat nanti tinta para ulama akan ditimbang dengan darah syuhada, maka bobot tinta ulama lebih unggul mengalahkan darah syuhada”(Hadis Riwayat Al-Marhabi- Ad-Durrul Mantsur 6h332)
Nabi SAW bersabda yang bermaksud, " Sampaikan daripada aku walaupun satu ayat".
Setiap kalimah, pengajaran, ilmu, tazkirah, risalah, nasihat yang kita ambil daripada ayat-ayat al-Quran, hadis Nabi SAW dan kata-kata sahabat Nabi SAW, ulama yang muktabar dan wali Allah adalah merupakan ilmu-ilmu yang bermanfaat yang akan dapat menambahkan pahala dan amal soleh ketika kita hidup di dunia ini.
2. Anak soleh yang ia tinggalkan.
Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya : "Apabila mati seseorang manusia maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga punca : sedekah yang berkekalan , atau Ilmu yang dimanfaatkan oleh orang , anak yang soleh yang mendoakannya. " (Hadis Riwayat Muslim).
Anak yang soleh adalah seorang anak yang sentiasa berbakti kepada kedua ibu bapanya samaada semasa mereka masih hidup atau pun ketika mereka sudah meninggal dunia. Jika ibu bapanya masih hidup dia akan menghormati, menyayangi dan mematuhi perintah kedua ibu bapanya tanpa derhaka dan menyakiti hati mereka. Tidak terkeluar perkataan 'ah' atau memarahi ibu bapanya. Jika mereka sudah meninggal dunia sentiasa dia mendoakan kesejahteraan dan mohon keampunan daripada Allah SWT supaya mereka terselamat daripada azab kubur dan di ampunkan dosa-dosa mereka.
'Anak soleh yang ditinggalkan' ini menunjukkan bahawa doa itu bukanlah satu-satunya kebajikan yang boleh disampaikan oleh sianak kepada orang tuanya, malah kelahiran anak yang soleh dalam sebuah masyarakat itu sendiri merupakan satu sumber kabajikan yang besar kepada orang ramai yang akan sampai pahalanya kepada orang tuanya kerana dialah yang menjadi pemimpin Islam yang amanah, penyumbang hidayah dengan berdakwah kepada masyarakat, pembela agama, penyuruh kebaikan dan pencegah kajahatan dan kerana setiap anak yang soleh itu tidak akan lupa mendoakan orang tuanya yang meninggal kelak.
Dalam hadis yang lain terdapat kenyataan bahawa setiap amalan kebajikan yang dilakukan sianak dengan niat disampaikan pahalanya kepada orang tuanya akan disampaikan Allah SWT. Sekiranya kita mengharapkan doa anak-anak kita satu waktu nanti , sekarang apakah tugas kita sebagai anak kepada kedua ibubapa kita ?.
Sekarang adakah kita sudah menjadi anak yang soleh seperti yang dikehendaki?. Berapa banyak sedekah kita?,berapakah banyak kah ilmu yang kita ajarkan kepada orang lain? dan selalukah kita doakan untuk kedua orang tua kita?
Firman Allah SWT maksudnya :" Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya."(Surah al-Tur ayat 21)
Ayat di atas secara jelas menjelaskan kelebihan dua hala di dalam hubungan ibu bapa dan anak dan cucu mereka di akhirat kelak. Orang-orang yang beriman akan ditempatkan di dalam syurga bersama dengan ibu bapa serta anak dan cucu mereka sebagai salah satu bentuk nikmat dan hiburan kepada mereka.
Bahkan Allah akan mengangkat darjat ibu bapa yang soleh kerana doa anak-anak mereka, begitu juga meninggikan darjat anak dan cucu disebabkan amal soleh ibu bapa (Tafsir Ibn Kathir)). Menurut Imam al-Razi, ayat ini juga menjadi bukti bahawa kasih sayang ibu bapa yang beriman berterusan sehingga ke akhirat (Tafsir al-Razi).
Walaubagaimanapun nikmat ini hanya dikhususkan kepada ibu bapa dan anak dan cucu yang sama-sama beriman dan mati di dalam iman sahaja.
3. Mashaf al-Quran yang di wariskan.
Makshaf al-Quran yang ditinggalkan untuk kegunaan anak-anaknya dan cucu-cicitnya setelah dia meninggal dunia. Termasuk juga naskah al-Quran yang telah diwakafkan di masjid-masjid atau sekolah-sekolah agama. Termasuk juga meninggalkan kitab-kitab tafsir al-Quran, kitab-kitab hadis Nabi SAW, buku-buku agama yang merangkumi bidang akidah, fiqah, tasauf dan cabang-cabang ilmu Islam. Selagi kitab-kitab dan buku-buku agama tersebut dibaca dan di ambil manfaat oleh anak-anak dan cucu-cicitnya, para pelajar dan orang ramai maka dia akan mendapat pahala yang berterusan di alam barzakh.
Firman Allah SWT maksudnya : “Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya”(Surah al-’Alaq (96) ayat 1-5)
Al-Quran Surah al-’Alaq ayat 1-5 diatas menyatakan bahwa perintah Allah untuk membaca itu diulang, dua kali: “Bacalah, Bacalah” maksudnya membaca dan membaca, maka dapat kita dapati bahawa membaca dan membaca itu ialah belajar yang sungguh-sungguh dan lebih mendalam lagi ialah berusaha keras untuk memajukan ilmu pengetahuan agama.
Untuk membaca dan belajar perlu kepada al-Quran, kitab-kitab dan buku-buku agama maka manfaatnya sungguh banyak untuk kegunaan umat Islam.
Diriwayatkan hadis daripada Othman bin Affan r.a. berkata: "Telah bersabda Rasulallah SAW : ‘Sebaik-baik atau yang paling afdhal (atau yang paling utama) (adalah) bagi barangsiapa yang belajar dan mengajarkan al-Quran."(Hadis Riwayat Ibnu Majah dan Termidzi)
4. Masjid yang dia bangunkan.
Di antara sabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam mengenai keutamaan dan kelebihan membina masjid ialah:
مَنْ بَنَى لله مَسْجِدًا بَنَى اللهُ لُه فى الجنة مثلَهُ
(رواه مسلم)
Maksudnya: “Sesiapa yang membina masjid kerana Allah nescaya Allah akan membina baginya di dalam syurga (binaan) seumpamanya.”
(Hadis riwayat Muslim)
Masjid yang dibina itu tidaklah mengira sama ada besar atau kecil semuanya akan mendapat ganjaran daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala sepertimana hadis yang diriwayatkan daripada Anas r.a bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:
من بنى لله مسجدا صغِيرًا كَانَ أم كبيرًا بَنَى الله لَهُ بيتًا فِى الجَنّةِ
(رواه الترمذى)
Maksudnya: “Bahawasanya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda maksudnya : “Sesiapa yang membina masjid sama ada kecil atau besar nescaya Allah ‘Azza wa Jalla akan membangunkan baginya sebuah rumah di dalam syurga.”
(Hadis riwayat At-Tirmidzi)
Selagi umat Islam menggunakan masjid tersebut pahalanya akan mengalir terus kepada mukmin tersebut yang telah memberi sumbangan samaada dia masih hidup atau pun telah meninggal dunia.
5. Rumah tempat singgah musafir yang dia dirikan.
Wakaf adalah suatu perkara yang mendapat tempat yang istimewa di sisi Allah. Seseorang muslim digalakkan untuk melaksanakan wakaf buat manfaat orang lain, dengan memenuhi keperluan mereka yang memerlukan semata-mata kerana mencari keredhaan Allah. Wakaf juga merupakan salah satu amal soleh yang utama yang akan berguna kepada para pewakaf setelah mereka meninggal dunia.
Membina rumah tempat singgah musafir sebagai wakaf untuk kegunaan umat Islam adalah satu jalan yang boleh mendatangkan pahala yang berterusan. Dalam realiti kita sekarang ini hampir tidak ada lagi rumah musafir yang diberi penginapan percuma kepada umat Islam yang bermusafir kerana dimana-mana sahaja kita akan berjumpa hotel, rumah tumpangan atau resort yang dikenakan bayaran menyewa bilik.
Oleh itu jika ada dikalangan umat Islam yang berkemampuan untuk mewakafkan rumah penginapan musafir secara percuma (hanya dikenakan dengan bayaran yang minima untuk bayaran api, air, pengurusan dan penyelenggaran) maka usaha-usaha murni ini akan mendapat ganjaran yang besar disisi Allah SWT.
Takrifan asal wakaf ialah sesuatu itu ‘dibekukan’ manakala hasilnya diinfakkan di jalan Allah. Dalam sebuah hadis, Ibnu Umar r.a. telah berkata:
“Umar bin al-Khattab r.a. telah diberikan bahagian dalam bentuk sebidang tanah di Khaibar. Beliau pergi berjumpa Rasulullah SAW. dan bertanya kepada baginda tentang apa yang sepatutnya dilakukan dengan tanah tersebut. Kata Umar: ‘Wahai Rasulullah! Aku telah diberikaan sebidang tanah di Khaibar sedangkan aku belum pernah menerima harta yang lebih berharga daripada itu. Apakah yang engkau perintah aku lakukan?’ Baginda bersabda: ‘Sekiranya kamu mahu, kamu boleh bekukannya dan memberi dalam bentuk sedekah.’ Lalu Umar r.a. telah menjadikannya sebagai sedekah dan menetapkan bahawa ia tidak boleh dijual atau diwarisi. Beliau juga memberikan sedekah kepada fakir miskin, kaum kerabat dan hamba kerana Allah. Begitu juga kepada para musafir dan tetamu. Katanya lagi: ‘Tidak dikira berdosa seseorang yang diamanahkan menjaganya kemudian memakan hasilnya secara berpatutan atau memberi makan kepada orang lain tanpa menyimpan apa-apa untuk masa akan datang.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
6. Sungai (saliran) yang dia alirkan.
Membina saluran air yang di ambil daripada sungai yang mengalir untuk kegunaan orang ramai samaada untuk minum atau pertanian adalah satu usaha yang mulia di sisi Allah SWT. Selagai manusia dan binatang boleh mendapat manfaat daripada air sungai ini maka usaha-usaha yang murni iniakan mendapat pahala yang besar di sisi Allah SWT.
Firman Allah SWT maksudnya : “Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebaikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran.” (Surah al-Maidah ayat 2)
Termasuk juga sumbangan kita untuk membina telaga-telaga baru untuk kegunaan manusia di kampung-kampung yang tidak ada lagi bekalan air paip atau sekolah-sekolah agama atau tahfiz yang tidak cukup bekalan air untuk kegunaan para pelajarnya.
Termasuk juga member sumbangan atau membiayai sepenuhnya untuk memasang paip-paip air dan tangki air untuk kegunaan masjid baru atau sekolah agama baru .
7. Sedekah yang dia keluarkan di kala sihat dan masih hidup.
Pada hakikatnya sedekah bertujuan memastikan wujudnya keadaan hidup bantu-membantu dalam masyarakat. Selain mendekatkan diri kepada Allah, sedekah juga membuka peluang yang luas kepada orang mukmin untuk berlumba-lumba melakukan kebajikan dengan mewakafkan harta mereka di jalan Allah. Sesungguhnya Islam menggalakkan memberi sedekah dan sedekah jariah berupa harta wakaf bagi membesarkan pengertian ihsan dan at-takaful (saling membantu sesama orang Islam) bagi merealisasikan tujuan syariat yang menyarankan agar melakukan kebaikan dan tolong-menolong dalam perkara kebaikan dan takwa.
Sabda Nabi SAW maksudnya : “Sesiapa yang memberi makan kepada seorang mukmin sehingga dapat mengenyangkannya daripada lapar, nescaya Allah akan memasukkannya ke dalam sebuah pintu daripada pintu-pintu syurga, dan tiadalah yang dapat memasukinya melainkan orang sepertinya.” (Hadis Riwayat Tabarani)
Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah S.A.W. bersada yang maksudnya, "Siapa yang melapangkan satu kesusahan orang yang beriman daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan melapangkan orang itu satu kerumitan dari kerumitan akhirat. Dan siapa yang memudahkan orang yang susah, Allah akan memudahkannya didunia dan diakhirat. Siapa yang menutup keaiban orang Islam, Allah akan menutup keaibannya didunia dan diakhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba itu selagi hamba itu mahu menolong saudaranya." (Hadis Riwayat Muslim).
Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita amalkan tujuh (7) perkara amal soleh yang dinyatakan oleh hadis diatas yang akan menjadi bekalan dan pahalanya menyusul kepada kita walaupun kita telah meninggal dunia dan berada di alam barzakh.
Orang mukmin yang cerdik akan berusaha menyiapkan pelaburan jangka panjang untuk kebaikannya kerana ketika itu semua amalannya akan terputus melainkan tujuh perkara yang di usahakan semasa hidup di dunia. Harta yang tersimpan dirumah dan di bank belum tentu menjadi milik kita sebelum ianya digunakan dijalan Allah SWT dan sedekah jariah yang dilakukan semata-mata kerana Allah SWT.
No comments:
Post a Comment