Hiasilah Akhlak Kalian Dengan Sifat Malu
السَّلاَمُ عَلَيْكُم
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Sifat malu itu adalah satu fitrah kurniaan Allah SWT kepada semua manusia . Sifat inilah yang membezakan di antara manusia dangan haiwan. Apabila manusia sudah hilang sifat malu maka taraf manusia adalah sama dengan haiwan atau mungkin lebih rendah lagi.
Sifat malu juga adalah sifat terpuji kerana sesiapa yang memilikinya akan terlepas daripada segala kejahatan disebabkan sifat malu menghalang seseorang melakukan kesalahan serta kemungkaran.
Apabila seseorang mempunyai sifat malu maka ianya akan meninggikan darjat keimanannya seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:“Sifat malu itu akan menghasilkan kebaikan.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Iman mempunyai lebih daripada enam puluh cabang. Adapun malu adalah salah satu cabang dari cabang iman."
(Hadis riwayat Bukhari)
Hilangnya perasaan malu dalam jiwa boleh menyebabkan seseorang insan itu tanpa segan silu mengerjakan maksiat Mengenai hubungan iman dan malu, Ibnu Quthaibah berkata, sifat malu dapat menghalang dan menghindarkan seseorang melakukan kemaksiatan seperti iman. Maka sifat malu disebut sebagai iman, seperti sesuatu dapat diberi nama dengan nama lain yang dapat menggantikan makna perkataan tersebut.
Sifat malu adalah gabungan daripada sifat takut akan dosa dan keinginan untuk menjaga kesucian diri. Namun sifat malu tidak seharusnya menyebabkan seseorang itu mensia-siakan hak Allah dan Rasul-Nya, diri sendiri serta ahli keluarganya.
Kita tidak boleh malu menuntut ilmu, melaksanakan amar makruf nahi mungkar atau malu untuk bekerja mencari nafkah. Sifat malu sebegini adalah malu yang tercela dan hanya menunjukkan kelemahan jiwa seseorang insan
Oleh itu hendaklah kita memupuk dalam jiwa perasaan malu yang positif kerana ia adalah akhlak Islam yang dituntut. Sabda Baginda yang bermaksud: "Sesungguhnya setiap agama memiliki akhlak, dan akhlak Islam adalah malu."
(Hadis riwayat Imam Ibnu Majah)
Rasulullah SAW bersabda lagi: "Sesungguhnya Allah Maha Pemalu (al-Hayaa) dan Maha Menutupi (al-Sitr), Dia mencintai rasa malu dan yang tertutup. Apabila salah seorang daripada kalian mandi, maka hendaklah dia menutupi diri."
(Hadis riwayat Imam Abu Dawud)
Sahabat yang dimuliakan,
Malu antara sifat terpuji yang melambangkan ketinggian budi pekerti muslim dan ketebalan imannya. Sifat malu juga satu petanda membuktikan iman itu bertapak kukuh dalam jiwa sanubarinya, sebaliknya mereka yang tidak mempunyai rasa malu bermakna sudah hilang imannya.
Rasulullah SAW. bersabda bermaksud: “Malu dan iman itu adalah teman yang seiring jalan. Jika salah satu daripadanya terangkat (tiada), nescaya terangkat (tiada) juga yang satu lagi.”
(Hadis riwayat Muslim)
Di dalam hadis yang lain Nabi s.a.w. bersabda maksudnya :
"Malulah kamu sekelian kepada Allah dengan sebenar-benarnya. "
"Wahai Rasulullah bukankah kita sudah malu dengan Allah?"
Sabda Nabi SAW maksudnya : "Bukan itu yang di namakan malu dengan Allah, akan tetapi yang di namakan malu dengan Allah yang sesungguhnya adalah orang yang sudah boleh menjaga kepalanya dari maksiat dan apa yang ada di kepalanya, dan menjaga perutnya jangan sampai masuk barang yang haram, dan menjaga kemaluannya jangan sampai berzina, dan menjaga tangan dan kakinya dari perbuatan maksiat, dan ingat dengan mati, dan ingat bahawa dirinya akan rosak. Dan barangsiapa yang menghendaki kebahagiaan akhirat hendaklah meninggalkan kesenangan dunia dan memilih kebahagiaan akhirat daripada dunia, barangsiapa yang sudah dapat mengerjakan semua yang telah tersebut di atas barulah orang tersebut di namakan orang yang malu kepada Allah, orang yang malu kepada Allah adalah orang yang malu bila melakukan maksiat sehingga tidak jadi mengerjakan maksiat dan itulah yang di namakan malu yang sesungguhnya."
Seorang yang mempunyai budi pekerti yang baik adalah mereka yang rasa malu bila mengerjakan maksiat. Sentiasa berbuat baik, benar perkataannya, tidak berkata dengan perkataan yang keji (lucah), sedikit bicaranya kecuali ada menfaatnya, banyak amal soleh, sedikit kesalahannya, tidak berlebih-lebihan dalam semua perkara, suka menyambung persaudaraan, bersopan santun, banyak bersabar, sentiasa bersyukur kepada Allah, kasih sayang terhadap orang lain, menjaga diri dari yang tercela, tidak mudah marah, tidak mengadu domba (menghasut) orang lain, tidak mengumpat, tidak dengki dan iri hati, tidak bakhil, kalau dia mencintai sesuatu hanya kerana Allah dan membenci sesuatu juga kerana Allah dan kalau dia marah juga marah kerana Allah.
Ramai wanita Islam hari ini mendedahkan aurat tanpa rasa segan silu. Menampakkan perhiasan diri tanpa ada perasaan malu kepada Allah SWT . Bersolek berlebih-lebihan, berwangi-wangian, pakaian yang menjolok mata hingga menampakkan bentuk tubuh badannya dan seksi, kadangkala merobah bentuk asal wajahnya dengan di lakukan pembedahan plastik, menggunakan botox dan lain-lain, semua ini tidak menampakkan ciri-ciri wanita solehah.
Sahabat yang dikasihi,
Di sudut yang lain pula, kita lihat gejala sosial telah melanda dengan hebatnya para remaja lelaki dan perempuan berdua-duaan dan berpasang-pasangan tanpa segan dan malu memenuhi taman-taman bunga, pusat membeli belah, tepi-tepi pantai dan pusat-pusat hiburan.
Dalam keadaan seperti ini siapakah yang perlu di salahkan? Untuk mengubati penyakit-penyakit ini setiap kita (ibu bapa, guru-guru,alim ulama', para da'ie, pertubuhan dan persatuan Islam, jemaah Islam dan jabatan Agama Islam) berperanan dan bersatu tenaga untuk merawat dan jalankan proses pemulihannya. Kita tidak boleh menggunakan cara dan kaedah lain, melainkan kembali kepada kaedah rawatan yang di jalankan oleh Rasulullah SAW iaitu membaiki aqidah dan keimanan manusia terlebih dahulu sebelum membaiki kelemahan-kelemahan yang lain.
Apa sahaja berbentuk kelucahan adalah amalan dan kesukaan iblis dan syaitan. Iblis dan syaitan akan bekerja keras untuk menghancurkan sifat malu dan kesucian manusia. Islam menganggap semua ini sebagai zina. Zina mata, zina perasaan, zina lisan. Ia akan menjurus kepada zina yang sebenarnya. Allah s.w.t. melarang semua ini, firman-Nya di dalam surah Al-Isra' ayat 32 yang bermaksud, "Dan janganlah kamu menghampiri zina. Sesungguhnya ia (zina) itu adalah perbuatan keji dan satu jalan yang jahat (membawa kerosakan)."
Akhirkata apabila proses tarbiah dan dakwah berjalan dan berfungsi sepenuhnya di dalam masyarakat, akan lahirlah individu-individu Muslim Mukmin yang beriman dan bertakwa kepada Allah SWT dan perasaan malu kepada Allah SWT berfungsi dalam kehidupan kita.
No comments:
Post a Comment