Thursday, February 13, 2014

AKHLAK ISLAM

Memikirkan Empat Perkara Dapat Meningkatkan Darjat di Sisi Allah SWT.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dikasihi kerana Allah,
Dalam serah sahabat Rasulullah SAW terdapat pertemuan dua orang sahabat Nabi SAW pada waktu pagi iaitu Saidina Ali bin Abi Talib k.wj dan Salman al-Farsi r.a. Selepas memberi salam, Ali k.wj bertanya khabar kepada Salma r.a. Selepas menjawab salam Salman menceritakan keadaannya pada pagi itu.

"Ya Amirul Mukminin, pagi ini aku disedihkan oleh empat perkara."

 Selepas mendapati Ali inginkan jawapan, Salman pun menjelaskan :

"Pertama, sedih memikirkan keluarga yang menuntut roti kepadaku.

Kedua, sedih memikirkan suruhan Allah terhadapku.

Ketiga, sedih memikirkan pujukan syaitan terhadap rohku.

Keempat, sedih memikirkan tuntutan malaikat terhadap rohku."

Mendengar penjelasan itu Ali mententeramkan hati Salman dengan katanya :

"Wahai Salman, gembiralah kerana keempat-empat itu menambahkan darjatmu."

Kemudian, Ali menceritakan peristiwa dia bertemu Rasulullah yang bertanya khabar kepadanya.

Jawab Ali, "Ya Rasulullah, aku berada dalam empat kesedihan :

Pertama, sedih memikirkan anak-anakku di rumah yang tiada sebarang makanan kecuali air.

Kedua, sedih memikirkan taat kepada Allah.

Ketiga, sedih memikirkan akibatku.

Keempat, sedih memikirkan malaikat pencabut roh."

Nabi SAW  bersabda yang maksudnya, "Wahai Ali, bergembiralah kerana sesungguhnya sedih memikirkan keluarga adalah tabir dari api Neraka. Sedih memikirkan taat kepada Allah itulah kesejahteraan dari seksa. Sedih memikirkan akibat itu adalah perjuangan yang lebih utama daripada ibadah selama 60 tahun. Sementara sedih memikirkan malaikat itu adalah pelebur semua dosa".

Berdasarkan hadis di atas jika terdapat empat perkara pada diri seorang mukmin akan meningkatkan darjatnya di sisi Allah SWT. Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

Pertama, sedih memikirkan anak-anakku di rumah yang tiada sebarang makanan kecuali air.

Kedua, sedih memikirkan taat kepada Allah.

Ketiga, sedih memikirkan akibatku.

Keempat, sedih memikirkan malaikat pencabut roh."

Huraiannya :

Pertama, sedih memikirkan anak-anakku di rumah yang tiada sebarang makanan kecuali air.

Tanggungjawab seorang bapa adalah berikhtiar mencari nafkah untuk ahli keluarganya, untuk menyediakan makan, minum, tempat tinggal dan pendidikannya.Sedih memikirkan keperluan keluarga tidak mencukupi dan berusaha bersungguh-sungguh untuk memenuhi keperluan keluarga adalah dapat menghalang (tabir) daripada seksaan api neraka.

Bekerja yang diniatkan semata-mata kerana Allah dalam rangka mengamalkan firman-Nya (untuk melaksanakan kewajiban mencari nafkah untuk keluarga):

وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ لا تُكَلَّفُ نَفْسٌ إِلا وُسْعَهَا

"...Dan kewajiban ayah menanggung nafkah dan pakaian mereka dengan cara yang patut. Seseorang tidak dibebani lebih dari kesanggupannya." (Surah al-Baqarah ayat 233)

Maka itu jelas termasuk kerja yang bernilai ibadah. Namun demikian, jenis pekerjaan tersebut haruslah yang dibolehkan oleh syariat. Keluar bekerja dengan kerja yang halal adalah dikira sebagai jihad dijalan Allah SWT.

Setiap yang dinafkahkan oleh seorang suami kepada keluarganya, kerana bernilai ibadah, maka akan diberi ganjaran oleh Allah 'Azza wa Jalla, sebagaimana sabda Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam:
"...Dan sesungguhnya, tidaklah engkau menafkahkan sesuatu dengan niat untuk mencari wajah Allah, melainkan engkau diberi pahala dengannya sampai apa yang engkau berikan ke mulut isterimu akan mendapat ganjaran." (Hadis Riwayat Bukhari no. 1295 dan Muslim no. 1628)

Kedua, sedih memikirkan taat kepada Allah.

Sedih memikirkan taat kepada Allah itulah kesejahteraan dari seksa dihari akhirat nanti. Seorang mukmin yang sentiasa bermuhasabah dirinya untuk mentaati Allah SWT dan Rasul-Nya, menjauhkan diri daripada larangan-Nya adalah sifat hamba yang dikasihi-Nya. Sentiasa berusaha bersungguh-sungguh memperbaiki dirinya , bertaubat dan beristighfar kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT maksudnya : "Katakanlah, 'Taatlah kepada Allah, dan rasul.'Tetapi jika mereka berpaling, maka sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang kafir" (Surah Ali Imran ayat 32)

Firman-Nya lagi yang bermaksud : "Tetapi sesiapa antara kamu yang patuh kepada Allah, dan rasul-Nya, dan membuat amal soleh, Kami akan memberikan upahnya dua kali; Kami menyediakan untuknya rezeki yang mulia." (Surah al-Ahzab ayat 31)

Ketiga, sedih memikirkan akibatku.

Sedih memikirkan akibat itu adalah perjuangan yang lebih utama daripada ibadah selama 60 tahun. Perasaan sedih yang menguasai diri seorang mukmin itu di atas perbuatan dan amalannya yang bertentangan dengan kehendak Allah SWT akan membuatkan dirinya berdoa dan bermunajat dimalam hari hingga menitiskan air mata penyesalan, kerana rasa tidak sanggup menanggung azab seksa yang amat dahsyat di hari akhirat nanti. Pahala yang akan dikurniakan oleh Allah SWT keatas hamba-hamba-Nya yang sentiasa memikirkan akibat dosa yang dilakukan dan terus beristighfar meminta keampunan Allah SWT adalah lebih baik daripada beribadah sunat selama 60 tahun.

Doa yang diajarkan oleh Nabi SAW maksudnya :"Ya Allah, Engkaulah Tuhanku. Tidak ada Tuhan kecuali Engkau. Engkau telah menciptakan diriku, sedangkan aku adalah hamba-Mu dan aku berada di atas perjanjian-Mu sebatas kemampuanku. Aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan perbuatanku. Aku mengakui nikmat yang Engkau limpahkan kepadaku dan mengakui dosa-dosaku, maka ampunilah aku, kerana tidak ada yang mengampuni dosa kecuali Engkau.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Keempat, sedih memikirkan malaikat pencabut roh.

Sedih memikirkan malaikat itu adalah pelebur semua dosa. Orang yang sentiasa mengingati kematian dan memikirkan bahawa satu hari nanti malaikat maut akan datang mencabut nyawanya akan dapat menginsafkan dirinya dan akan sentiasa membuat persiapan untuk kematian.

Allah berfirman yang bermaksud: "Setiap yang hidup akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu akan kembali." (Surah al-Anbiya' ayat 35)

Orang yang tidak pernah menginati kematian adalah orang yang rugi kerana jika kematiannya sampai sedangkan dia tidak bersedia maka dia akan menyesal.

Firman Allah dalam Surah al-Mukminun 23 ayat 99-100 maksudnya : "Sehingga apabila tiba maut kepada salah seorang di kalangan mereka, berkatalah ia: 'Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia). Supaya aku dapat mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan'. Tidak! Bahkan sesungguhnya ia hanya perkataan yang dia ucapkan, sedang di hadapan mereka ada barzakh hingga hari mereka dibangkitkan semula."

Sahabat yang dirahmati Allah,
Marilah kita hayati empat perkara yang terdapat dalam hadis di atas supaya dapat meningkatkan darjat kita di sisi Allah SWT dan juga  dengan memikirkannya dan sedih di atas perkara tersebut akan menjadi tabir daripada api neraka, menjauhkan diri daripada seksaan di hari akhirat, lebih baik beribadah selama 60 tahun dan menjadi pelebur dosa yang kita lakukan.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML