Wasiat Ketiga Nabi SAW Kepada Ali k.w..
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Rasulullah SAW .bersabda kepada Sayidina Ali k.w. yang bermaksud :
"Wahai Ali ! Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan menjauhi (perbuatan) haram dan perbualan kosong, maka Allah Maha Pengasih akan meredainya dan mewajibkannya masuk kedalam syurga."
"Wahai Ali ! Barangsiapa yang mengerjakan puasa Ramadhan dengan enam hari di bulan Syawal, Allah menulis baginya pahala puasa satu tahun penuh."
"Wahai Ali ! Janganlah sekali-kali engkau mengumpat seseorang. Sesungguhnya mengumpat itu merosakkan ibadah puasa dan orang yang suka mengumpat kelak akan memakan dagingnya sendiri."
Puasa (bahasa Arab: صوم) secara bahasanya boleh diertikan sebagai menahan diri. Daripada segi istilah syara' bermaksud menahan diri daripada makan atau minum untuk suatu jangkamasa tertentu.
Puasa ertinya menahan diri daripada makan dan minum serta segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai dari terbit fajar sehinggalah terbenam matahari. Umat Islam juga dikehendaki menahan diri daripada menipu, mengeluarkan kata-kata buruk atau sia-sia, serta bertengkar atau bergaduh. Ini kerana puasa merupakan medan latihan memupuk kesabaran, kejujuran serta bertolak ansur sesama sendiri. Secara tidak langsung amalan puasa akan menyuburkan sikap murni di dalam diri pelakunya. Adalah menjadi harapan kita agar kesemua nilai yang baik ini akan terus dipraktikkan ke bulan-bulan berikutnya.
Firman Allah SWT maksudnya : “ Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertakwa. “ (Surah Al-Baqarah ayat 183)
Hadis Rasulullah SAW maksudnya : Ditegaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya yang diriwayatkan oleh Ahmad, An- Nasa'i dan Al Baihaqi dari Abu Hurairah, yang bermaksud:
"Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadan bulan yang penuh berkat. Allah telah fardukan ke atas kamu berpuasa padanya. Sepanjang bulan Ramadan itu dibuka segala pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan"
No comments:
Post a Comment