Wasiat Ketujuh Nabi SAW. Kepada Ali k.w
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Rasulullah SAW berpesan kepada Saidina Ali k.w yang bermaksud :
"Wahai Ali ! Allah tidak menjadikan apapun dalam tubuh manusia yang paling utama, kecuali mulut (lisan). Sesungguhnya mulutnyalah yang mengiring dirinya masuk syurga atau masuk neraka. Maka dari itu penjarakanlah (jagalah) mulut kerana mulut itu bagaikan anjing (gila)."
"Wahai Ali ! Janganlah engkau mencaci-maki orang Islam atau mencaci-maki binatang kerana cacian itu akan kembali dirimu sendiri."
"Wahai Ali ! Kuasailah lisanmu dan biasakanlah dia mengucapkan yang baik, kerana tidak ada yang lebih berbahaya bagi manusia pada hari kiamat yang melebihi ketajaman lisannya."
"Wahai Ali ! Jauhilah tukang caci-maki kerana ia suka membuka aib orang dan ia tidak akan masuk syurga."
"Wahai Ali !Tidaklah dianggap beragama bagi orang yang tidak mempunyai rasa takut kepada Allah. Dan tidaklah berakal orang yang tidak menjaganya. Dan tidaklah beriman orang yang tidak menjaga kesucian dirinya. Dan tidaklah sempurna ibadah orang yang tidak berilmu. Dan tidaklah mempunyai harga diri orang yang tidak bersedekah. Dan tidaklah bertaubat orang yang tidak mempunyai taufik Allah. Dan tidaklah ada rasa murah hati bagi orang yang tidak mempunyai rasa malu."
"Wahai Ali ! Barangsiapa yang tidak mahu menjaga dirinya dari maksiat, maka perut bumi itu lebih patut baginya daripada muka bumi kerana sesungguhnya tidak ada iman di dalam hatinya."
"Wahai Ali ! Pokok menjaga kesucian hati itu adalah meninggalkan yang haram dan yang diharamkan Allah, sedangkan puncak kemuliaan itu adalah meninggalkan kemaksiatan."
"Wahai Ali !Sesungguhnya orang yang berbudi luhur itu tingkatannya (bagaikan) orang yang berpuasa, bangkit untuk beribadah, dan berperang di jalan Allah."
"Wahai Ali ! Jadilah engkau orang yang selalu bermuka manis (cerah). Kerana sesungguhnya Allah menyukai orang yang selalu manis mukanya dan tidak menyukai orang yang mukanya masam dan berwajah sinis."
"Wahai Ali ! Pokoknya ibadah itu adalah diam, kecuali berzikir kepada Allah SWT."
"Wahai Ali ! Kebanyakan tidur dapat mematikan hati dan menghilangkan kebaikan, sedangkan memperbanyakkan dosa dapat mematikan hati dan mendatangkan penyesalan."
"Wahai Ali ! Barangsiapa diberi nikmat oleh Allah lalu bersyukur, dan kalau diuji-Nya lalu bersabar, dan jika berbuat salah lalu memohon ampun, maka ia masuk syurga dari pintu mana saja dikehendaki."
"Wahai Ali ! Janganlah engkau bersenang ria kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang bergembira ria. Tetaplah engkau bersedih kerana sesungguhnya Allah menyukai orang yang bersedih."
"Wahai Ali ! Tiadalah dari suatu hari yang baru, kecuali ia berkata, “Hai anak Adam ! Aku adalah hari baru. Terhadap asalmu aku menjadi saksi (hari ini). Maka renungkanlah perbuatan yang kamu kerjakan.”
No comments:
Post a Comment