Wednesday, January 1, 2014

WASIAT KEEMPAT NABI MUHAMMAD S.A.W

Wasiat Keempat Nabi SAW Kepada Ali k.w

 Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, 
Rasulullah SAW  berpesan kepada Sayidina Ali r.a. maksudnya :
"Wahai Ali ! Sesungguhnya para waliyullah (kekasih Allah) itu tiadalah memperoleh keluasan rahmat dan reda-Nya dengan sebab banyaknya ibadah. Mereka memperolehnya kerana kemurahan hati mereka dan memandang remeh terhadap urusan harta dunia."

"Wahai Ali ! Orang yang pemurah itu dekat dengan Allah, dekat dengan rahmat-Nya serta jauh dari seksa-Nya, sedangkan orang bakhil (kedekut) itu jauh dari Allah, jauh dari rahmat-Nya serta dekat dengan seksa-Nya."

"Wahai Ali ! Saya melihat tulisan pada pintu syurga yang berbunyi "Syurga itu diharamkan bagi setiap orang yang bakhil (kedekut), orang yang derhaka kepada kedua orang tuanya, dan bagi orang yang suka mengadu domba (mengasut)."

Wahai Ali ! Ketika Allah mencipta syurga, maka syurga bertanya kepada Allah :
'Ya Tuhanku, untuk apakah Engkau menciptakan aku?'

'Untuk setiap orang yang bermurah hati dan orang-orang yang bertakwa,' jawab Allah SWT.

'Kalau begitu saya senang sekali.' ucap syurga.

Kemudian neraka pun bertanya kepada Allah ketika ia diciptakan :
'Ya Tuhanku, untuk apakah Engkau menciptakan aku?'

'Untuk setiap orang yang bakhil (kedekut) dan sombong.'

'Ooh.....,baiklah saya untuk mereka,' ucap neraka."

"Wahai Ali ! Barangsiapa menentang hawa nafsunya, syurgalah tempat ia kembali. Dan barangsiapa yang menuruti hawa nafsunya, Neraka Jahannamlah tempatnya."

"Wahai Ali ! Takutlah pada orang murah hati, kerana doanya akan dikabulkan Allah.

Wahai Ali ! Barangsiapa yang memberi makan orang Muslim dengan hati tulus, Allah mencatatnya sejuta kebaikan dan menghapuskan sejuta keburukan. Di samping itu, ia diangkat sampai seribu tingkat mertabatnya.

Wahai Ali ! Cintailah saudaramu sebagaimana engkau mencintai dirimu sendiri."

"Wahai Ali ! Anjurkanlah berbuat baik kepada mereka yang sedang ceria wajahnya. Dan hormatilah tetamu sebab rezeki tetamu yang singgah kerumah sesaorang pun ikut singgah di situ. Dan kalau ia meninggalkan rumah itu, dosa penghuni rumah itu lenyap bersama kepergian tetamu tersebut. Lalu terhapuslah dosa-dosa itu jauh ditengah lautan."

"Wahai Ali ! Malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah yang ada lukisannya atau patung atau orang yang menyakiti kedua orang tuanya atau rumah yang tidak pernah dikunjungi tetamu."

"Wahai Ali ! Berbuatlah kebajikan, walaupun terhadap orang-orang rendahan."

Saidina Ali k.w bertanya maksudnya  : "Ya Rasulullah, apa yang di maksudkan orang rendahan itu?'

Baginda SAW  menjawab, 'Ialah orang-orang yang tidak mahu mendengar nasihat, orang yang tidak mahu menghentikan perbuatan yang seharusnya dihentikan, dan orang yang tidak memperhatikan terhadap apa yang dikatakan dan apa yang dikatakan.'

"Wahai Ali ! Sedekah yang sembunyi-sembunyi itu dapat mereda murka Allah dan dapat menarik rezeki dan berkah yang banyak. Maka berpagi-pagilah kalau bersedekah. Kerana sesungguhnya bahaya itu turun pagi hari, sebelum bahaya turun, bersedekahlah sehingga dapat menolak bahaya di udara."

"Wahai Ali ! Apabila engkau bersedekah, maka sedekahlah yang terbaik (paling berkualiti) yang ada disisi engkau. Kerana dengan sesuap makanan yang halal itu lebih disukai Allah SWT. daripada bersedekah ratusan kati tetapi haram. Dan sedekah yang engkau keluarkan sebelum engkau meninggal itu lebih baik daripada ratusan kati sesudah meninggal dunia."

"Wahai Ali ! Bersedekahlah untuk orang-orang yang telah meninggal dunia. Sesungguhnya Allah SWT telah menyuruh para malaikat agar membawa sedekah orang-orang yang hidup untuk orang-orang yang telah meninggal dunia sehingga mereka sangat gembira sebagaimana gembiranya mereka ketika di dunia. Dan mereka pun berkata :
"Ya Allah, ampunilah orang-orang yang menerangi kubur kami dan berilah mereka kabar gembira dengan syurga."

"Wahai Ali ! Beramallah dengan ikhlas hanya kerana Allah. Sesungguhnya Allah tidaklah menerima amal, melainkan dari orang yang benar-benar ikhlas kerana Allah. "

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML