Wasiat Kesebelas Nabi s.a.w. (Keutamaan Bertaubat Kepada Allah)
Dari Al-Aghari bin Yasar Al-Muzany r.a. beliau berkata : Rasulullah s.a.w. bersabda : "Wahai sekelian manusia, bertaubatlah kamu kepada Allah dan mintalah ampun kepada-Nya kerana aku bertaubat tidak kurang dari seratus kali dalam sehari."
(Hadis Riwayat Muslim)
Dari Abu Hurairah r.a., beliau berkata : Saya mendengar Rasulullah s.a.w bersabda :" Demi Allah, saya minta ampun kepada Allah dan bertaubat kepada-Nya tidak kurang dari tujuh puluh kali sehari."
(Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Dari Abi Hamzah, Anas bin Malik Al-Anshari, pelayan Rasulullah, beliau berkata : Rasulullah s.a.w. bersabda : "Allah lebih suka terhadap taubat hamba-Nya melebihi sukanya salah seorang di antara kamu yang kehilangan unta kemudian terjumpa di masa dia berada di tengah hutan belentara."
(Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).
Dalam riwayat Muslim, hadis itu berbunyi :
"Allah lebih senang menerima taubat seorang hamba-Nya melebihi dari kesukaan orang yang berkenderaan di hutan di mana kenderaannya hilang padahal kenderaan itu pernah membawa bekal makanan dan minuman sehingga dia putus harapan untuk mendapatkannya kembali lalu duduk di bawah pokok dengan kecewa dan putus asa. Tiba-tiba ketika dia bangun dari tidurnya kenderaannya telah balik semula dihadapannya lengkap dengan perbekalannya. Maka segeralah dia memegang kendalinya sambil berkata : Ya Allah, Engkau Hambaku dan aku Rabb-Mu." Terlajak lidahnya kerana sangat gembira."
Dari Abi Musa, Abdullah Ibni Qais Al Asy'ari r.a berkata : Nabi s.a.w bersabda : "Bahawa Allah membentangkan pengampunan-Nya di waktu malam , supaya bertaubat orang yang berdosa di waktu siang. Dia membentangkan pengampunan-Nya di waktu siang supaya bertaubat orang yang berdosa di waktu malam sehingga matahari terbit dari sebelah barat."
(Hadis Riwayat Muslim)
No comments:
Post a Comment