Friday, January 3, 2014

TIGA GOLONGAN YANG DIMULIAKAN

Muliakanlah Tiga Golongan Untuk Mendapat RedHa Allah.

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Pada malam aku di Israkkan, aku mendengar Allah berfirman maksudnya : 'Hai Muhammad! Perintahkan umatmu supaya memuliakan tiga golongan iaitu ibu bapa, alim ulama dan penghafaz Al Quran'."

Kenapakah Allah S.W.T. memerentahkan Nabi S.A.W. untuk memberitahu umatnya bahawa Dia memerintakkan (mewajibkan) untuk memberi kemuliaan kepada tiga golongan iaitu ibu bapa, alim ulama dan penghafaz al-Quran.?

Jika kita meneliti ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi  terdapat banyak arahan yang dinyatakan oleh Allah dan Rasul-Nya terhadap tiga golongan tersebut.

Huraiannya adalah seperti berikut :

Pertama : Memuliakan kedua ibu bapa.

Kedudukan atau darjat ibu bapa di sisi Allah sangat mulia dan tinggi sekali, sehingga menjadi sebagai ukuran penentu bagi keredaan dan kemurkaan Allah. Ini sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: "Keredaan Allah terletak pada keredaan ibu bapa dan kemurkaan Allah pula terletak pada kemurkaan ibu bapanya."
(Hadis Riwayat Tirmizi dan Hakim).

Berdasarkan maksud hadis di atas, seharusnya sebagai insan yang memiliki kesempurnaan akal, kita berusaha untuk mencapai keredaan ibu bapa. Namun dalam masyarakat kita, lebih-lebih lagi pada zaman sekarang ini, kenyataannya masih ramai yang belum insaf dan tidak prihatin terhadap keterangan hadis di atas. Mereka dengan tanpa rasa segan silu, melakukan penderhakaan terhadap ibu bapa yang banyak berjasa.

Orang yang derhaka kepada ibu bapanya, akan disegerakan Allah balasannya tanpa ditangguh-tangguhkan. Ini sebagaimana sabda Rasulullah saw yang bermaksud: "Setiap dosa mungkin ditangguhkan seksanya sesuai dengan kehendak Allah sampai hari kiamat kecuali dosa terhadap ibu bapa..." (Hadis Riwayat Tirmizi).

Balasan setimpal disediakan Allah bagi orang yang menderhaka kepada ibu bapa ialah tidak akan dapat masuk syurga. Perhatikan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:"Hak Allah atas empat orang yang tidak akan dimasukkan ke dalam Syurga dan tidak akan merasakan kenikmatannya iaitu, orang yang sentiasa minum arak, pemakan riba, pemakan harta anak yatim dan orang yang tidak suka kedua orang tuanya." (Hadis Riwayat Hakim).

Oleh itu, sebagai muslim yang takut seksaan Allah serta selalu mengharapkan keredaan-Nya, hendaklah selalu berbuat baik, menunjukkan muka manis, menyenangkan hati ibu bapa dan sebagainya sebagai tanda terima kasih dan kesyukuran kepada Allah.

Sikap yang baik inilah yang selalu diinginkan oleh ibu bapa daripada anaknya. Jika terlanjur melakukan penderhakaan terhadap mereka, segera meminta ampun ampun serta bertaubat kepada Allah yang bersifat Maha Pengasih, Maha Penyayang sentiasa bersedia untuk memberi keampunan kepada setiap hamba yang memohon keampunan daripada-Nya.

Kedua : Memuliakan alim ulama.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : “Sesungguhnya yang paling takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya adalah para ulama.”
(Surah Fathir ayat 28)

Orang yang paling takut kepada Allah S.W.T. adalah ulama. Ulama adalah orang mukmin yang berilmu dan menghayati ilmu tersebut dan beristiqamah. Ilmu yang bermanfaat yang dimilikinya akan disampaikan kepada orang lain dengan hati yang ikhlas dan semata-mata mencari reda Allah S.W.T.

Ulama adalah pewaris Nabi. Di dalam hadis ada memperjelaskan bahawa tugas-tugas utama bagi golongan ulama yang bertanggungjawab sebagai penyimpan amanah warisan Rasulullah S.A.W.  adalah untuk mengekalkan ketulinan ajaran-ajaran Islam dari apa jua bentuk pencemaran atau penambahan. Sabda Nabi S.A.W. maksudnya : “Sesungguhnya para ulama adalah pewaris para Nabi. Para Nabi tidak mewarisi dinar dan tidak pula dirham, namun (mereka) mewariskan ilmu. Sehingga sesiapa yang telah mengambilnya (ilmu tersebut), bererti telah mengambil bahagian yang sempurna.”
(Hadis Riwayat Abu Dawud di dalam Sunannya)

Ibnu Abbas berkata : "Ulama ialah orang-orang yang mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas setiap sesuatu. Dan tambahnya lagi : Orang alim tentang Allah Maha Penyayang ialah orang yang tidak melakukan syirik dengan Allah sesuatu pun serta dia menghalalkan apa yang dihalalkan dan mengharamkan apa yang diharamkan. Dia turut memelihara wasiatNya disamping yakin bahawa dia tetap akan menemuiNya dan Dia bakal menghitungkan amalannya."

Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : “Siapa saja yang tidak peduli terhadap urusan kaum muslim, maka dia bukanlah kaum muslim. Siapa saja yang di pagi hari dan di petang hari tidak menjadi penasihat untuk Allah, Rasul, kitab dan imam-Nya serta seluruh kaum muslim, maka dia bukan termasuk muslim.” (Al-Hafidh Jalaluddin as-Suyuthi, Jami’ al-Masanid wa al-Marasil)

Oleh itu, para ulama terdahulu benar-benar telah meletakkan dirinya menjadi pendakwah dan pendidik, bukan hanya orang yang berilmu, tetapi bagaimana ilmu mereka boleh digunakan untuk mewujudkan kemaslahatan umat dan dilaksanakan semata-mata kerana Allah S.W.T.

Daripada Abdullah bin Umar telah berkata : Aku mendengar Rasulullah S.A.W. telah bersabda yang bermaksud : "Sesungguhnya Allah tidak menarik ilmu dengan menariknya secara mengejut sebaliknya Allah akan menarik ilmu itu dengan mematikan para ulama sehingga tiba suatu masa yang tiada lagi ada ulama maka manusia akan memilih ketua-ketua mereka dari kalangan orang jahil lalu apabila mereka ditanya maka dikeluarkan fatwa yang sesat maka sesatlah mereka serta menyesatkan pula orang lain."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Berdasakan ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi S.A.W diatas jelaslah kepada kita betapa pentingnya ulama dimuliakan dan dihormati. Tanda seorang itu beriman dan bertakwa dia akan memuliakan ulama sebagai pewaris Rasulullah S.A.W. Tetapi jika ulama telah menyimpang daripada landasan sebenarnya dan membiarkan kemungkaran dihadapan mata tidak ditegur dan di ambil tindakkan atau sentiasa membenarkan kemungkaran yang dibuat oleh umarak maka ulama seperti ini akan hilang kewibawaannya dan dia tidak akan dihormati. Ulama perlu tegas di dalam amar makruf nahi mungkar dan bersedia memikul amanah yang besar iaitu mendaulatkan Islam dan menegakkan hukum-hukum Allah S.W.T. di atas muka bumi ini.

Berlaku juga di dalam masyarakat kita para alim ulama dihina dan difitnah di media masa dan umarak kerana mereka ingin menegakkan ajaran Islam. Perlu diingat mereka yang bertanggungjawab memfitnah ulama yang ikhlas dan warak  akan mendapat laknat Allah S.W.T di dunia dan akhirat . Allah S.W.T akan menarik keberkatan dalam hidup mereka.

Ketiga :  Memuliakan Penghafaz al-Quran.

Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya : “Sesungguhnya Allah memiliki kerabat-kerabatnya di kalangan manusia". Lalu mereka bertanya : "Siapakah mereka ya Rasulullah S.A.W?" Jawab baginda : "Mereka adalah ahli al-Quran, merekalah kerabat Allah (Ahlullah)  dan orang-orang pilihannya.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Sabda Rasulullah lagi, maksudnya : "Barangsiapa membaca Al Quran dan mengamalkannya, menghalalkannya yang halal dan mengharamkan yang haram maka Allah memasukkannya ke dalam syurga dan dia boleh memberi syafaat 10 orang keluarganya yang sudah pasti masuk neraka." (Hadis Riwayat Tarmizi)

Dari Abi Umamah ra. ia berkata, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Bacalah olehmu al- Quran, sesungguhnya ia akan menjadi pemberi syafaat pada hari kiamat kepada para pembacanya (penghafalnya).”
(Hadis Riwayat Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah S.A.W. bersabda,maksudnya : "Tidak ada orang yang berkumpul di salah satu rumah Allah untuk membaca dan mempelajari al-Quran,kecuali mereka akan memperolehi ketenteraman,diliputi rahmat,dikelilingi para malaikat dan mereka sentiasa disebut-sebut oleh Allah di kalangan para malaikat (yg di langit)."(Hadis Riwayat Muslim, At-Tirmizi,Ibnu Majah dan Abu Daud)

Begitu mulianya seorang yang menjadi penghafaz al-Quran. Allah S.W.T memberi penghormatan dan ganjaran yang besar kepada penghafaz al-Quran di dunia dan akhirat . Allah S.W.T. sendiri meminta Nabi S.A.W. memberitahu kepada umat untuk memuliakan penghafaz al-Quran kerana mereka adalah golongan yang membawa al-Quran di dada-dada mereka dan menjamin kesucian al-Quran tidak boleh diselewengkan oleh orang kafir dan munafik.

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah kita memuliakan tiga golongan yang dimuliakan oleh Allah S.W.T. semata-mata untuk mendapat keredaan Allah S.W.T. Janganlah kita merosakkan masa depan kita di hari akhirat nanti dengan kita derhaka kepada ibu bapa, menghina ulama dan membenci penghafaz al-Quran. Jadilah diri kita mukmin yang soleh dan solehah dengan mentaati dan menghormati kedua ibu bapa, mencintai para alim ulama dan penghafaz al-Quran.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML