Tiga Ciri-ciri Orang Soleh
أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Salah satu golongan yang yang mendapat rahmat Allah SWT adalah golongan solihin iaitu orang mukmin yang sentiasa beramal soleh semata-mata kerana Allah SWT. Terdapat tiga ciri-ciri atau tanda-tanda seseorang itu layak menjadi orang soleh.
Sabda Nabi SAW kepada kepada Saidina Ali k. wj : "Wahai Ali ! Tanda-tanda (ciri-ciri) orang soleh itu ada tiga :
Pertama : Selalu memperbaiki hubungan dengan Allah SWT. melalui amal soleh.
Kedua : Selalu memperbaiki agamanya dengan beramal soleh.
Ketiga : Selalu reda terhadap manusia dari apa yang diredai dirinya."
Huraiannya :
Pertama : Selalu memperbaiki hubungan dengan Allah SWT. melalui amal soleh.
Orang mukmin sentiasa menjaga hubungannya dengan Allah SWT. salah satu cara adalah dengan berzikir kepada Allah SWT . Zikir adalah merupakan amalan yang dapat dilakukan tanpa mengira masa, suasana, dan ketika tertentu kerana di dalam pengertian yang seluas-luasnya, zikir adalah merangkumi segala perbuatan yang menggambarkan ketaatan kepada Allah S.W.T dan dilakukan semata-mata untuk mencari keredhaanNya.
Mengikut Imam An-Nawawi, zikir merangkumi segala aspek gerak hati, sebutan dan amalan dan beliau menganggap semua majlis yang dianjurkan di atas dasar ketaatan kepada Allah adalah termasuk di dalam majlis zikir. Contohnya, majlis ilmu, majlis mengingati Allah dan Rasul-Nya dan majlis mengingati kisah perjuangan para salaf as-soleh. Said bin Jabir berkata, zikir itu ibadat yang menghampirkan seseorang itu kepada Allah SWT. Imam Hassan Al-Banna pula menyebut bahawa setiap urusan yang dilakukan di dalam rangka menghampirkan diri kepada Allah adalah zikir.
Membaca al-Quran adalah merupakan salah satu ibadat zikir yang utama. Setiap perkataan dan huruf yang disebut akan diberikan pahala.
Ibadat zikir mempunyai pelbagai fadhilat. Ia dapat dirasakan secara rasa dan perasaan lahiriah dan sebahagiannya pula hanya dapat dirasakan oleh perasaaan batiniah. Setiap orang dikurniakan fadilat yang berbeza-beza. Ia bergantung kepada tingkat keimanan dan ketakwaan mereka kepada Allah SWT.
Semakin banyak kita berzikir, beristighfar, membaca al-Quran dan solat tahajjud maka akan terjalinlah hubungan yang rapat dengan Allah SWT.
Dalam sebuah hadis dari Bilal r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Hendaklah kamu qiamul lail (solat malam), kerana sesungguhnya solat malam itu adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu, dan mendekatkan diri kepada Allah, mencegah dari perbuatan dosa, dan menutupi dosaatau kejahatan-kejahatan dan mengusir penyakit dari badan.” ( Hadis Riwayat Ahmad, Tirmizi, Hakim dan Baihaqi.)
Dari Abu Hurairah bahwasanya Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Rabb kita turun ke langit dunia pada setiap malam iaitu ketika sepertiga malam terakhir. Dia berfirman:'Siapa yang berdoa kepada-Ku, maka akan Aku kabulkan, siapa yang meminta kepada-Ku, maka akan Aku berikan, dan siapa yang yang memohon ampun kepadaKu, maka akan Aku ampuni'.”(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Memberi nasihat yang baik untuk mentaati Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya adalah juga satu cara untuk kita menghampirkan diri kepada Allah SWT .
Maksud Hadis Qudsi: Berkata Abu Umamah Al-Bahili r.a. bahawasanya Nabi SAW telah bersabda: Allah telah berfirman:"Sebaik-baik persembahan yang dapat diberikan hamba-Ku kepada-Ku ialah menyampaikan nasihat kerana Aku." (Hadis Riwayat: Ahmad, Hakim dan Abu Nu'aim)
Kedua : Selalu memperbaiki agamanya dengan beramal soleh.
Orang mukmin sentiasa memperbaiki agamanya iaitu dengan menuntut ilmu dan mengikuti proses tarbiah. Dengan peningkatan ilmunya dia akan meningkatkan amalan-amalan solehnya dan menyampaikan dakwah kepada orang lain.
Nabi SAW bersabda yang maksudnya, ”Barangsiapa menuntut ilmu bererti menuntut jalan ke syurga”. (Hadis Riwayat Muslim)
Firman Allah SWT maksudnya : “Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.”
(Surah Fathir : 28)
Ilmu tidak akan bermanfaat apabila ilmu tersebut tidak diamalkan. Allah SWT. berfirman menegur orang-orang yang tidak mengerjakan apa yang ia katakan atau ajarkan,
{يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لِمَ تَقُولُونَ مَا لَا تَفْعَلُونَ * كَبُرَ مَقْتًا عِندَ اللَّهِ أَن تَقُولُوا مَا لَا تَفْعَلُونَ}
“Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan” (Surah Ash Shof : 2-3)
Dan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim dari sahabat Usamah bin Zaid r.a ia berkata,
“يؤتى بالرجل يوم القيامة فيلقى فى النار فتنتدلق اقتاب بطنه فيدور بها كما يدور الحمار فى الرحى، فيجتمع إليه أهل النار، فيقولون: يافلان، مالك؟ ألم تكن تأمر بالمعروف وتنهى عن المنكر؟ فيقول بلى، كنت أمر بالمعروف ولا آتيه وأنهى عن المنكر وأتيه”
“Aku mendengar Rasulullah SAW. bersabda maksudnya, “Di hari kiamat didatangkan seseorang lalu dicampakkan ke dalam Neraka maka terburailah usus-ususnya, dia berputar-putar dengan ususnya seperti seekor keledai berputar-putar pada ikatannya. Maka penghuni Neraka mengerumuninya, mereka berkata, ‘Hai fulan, ada apa denganmu? Bukankah dulu engkau mengajak kepada kebaikan dan mencegah dari kemungkaran?’ ia menjawab, ‘Benar, aku mengajak kepada kebaikan tetapi aku tidak mengerjakan dan aku melarang dari kemungkaran tetapi aku melakukannya”.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Apabila kita sampaikan ilmu kepada orang lain dan ilmu tersebut diamalkan dan disampaikan semula secara berterusan hingga ke hari kiamat, maka kita tetap akan mendapat ganjaran pahala yang berterusan.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang memberi contoh kebaikan, maka ia mendapat pahala dan pahala orang-orang yang meniru perbuatannya hingga hari kiamat; dan sesiapa yang memberi contoh kejahatan, maka ia mendapat dosa dan dosa orang-orang yang meniru perbuatannya hingga hari kiamat.” (Petikan Kitab Tanbihul Ghafilin halaman 13).
Ketiga : Selalu reda terhadap manusia dari apa yang diredai dirinya.
Sifat reda, bersyukur dan qanaah dengan apa yang ada , adalah salah satu sifat orang soleh yang mukmin.
Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud :
"Siapa yang tidak bersyukur dengan pemberian yang sedikit, dia juga tidak akan bersyukur dengan pemberian yang banyak. Siapa yang tidak mensyukuri manusia, bererti dia juga tidak mensyukuri Allah. Memperkatakan nikmat Allah adalah tanda syukur, dan mengabaikannya adalah kufur. Berjemaah itu dirahmati, sedangkan berpecah belah itu mengundang azab." (Hadis Riwayat Ahmad dalam Musnad Ahmad)
Qanaah ialah kepuasan hati dengan rezeki yang ditentukan Allah. Dikatakan bahawa Allah menentukan lima perkara pada lima tempat iaitu kemuliaan pada ketaatan, kehinaan pada maksiat, kehebatan pada ibadat malam, hikmat kebijaksanaan pada perut yang kosong dan kekayaan pada sifat qanaah.
Qanaah bukanlah bermaksud hilang semangat untuk berkerja lebih keras demi menambah rezeki dan produktiviti. Malah, ia bertujuan supaya kita sentiasa bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan Allah.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Jadilah kamu seorang yang warak, nanti kamu akan menjadi sebaik-baik hamba Allah, jadilah kamu seorang qanaah, nanti kamu akan menjadi orang yang paling bersyukur kepada Allah, sedikitkanlah ketawa kerana banyak ketawa itu mematikan hati.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)
Abu Bakar al-Maraghi pernah berkata, “Orang yang bijaksana itu mengurus urusan dunianya dengan qanaah, urusan akhiratnya dengan bersegera, ilmu dan bersungguh-sungguh.”
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Barang siapa yang mengerjakan amal solih, baik lelaki, mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan kami berikan kepadanya kehidupan yang baik.” (Surah al-Nahl, ayat 97)
Majoriti ahli tafsir mengatakan bahawa kehidupan yang baik di dunia ialah dengan qanaah. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidaklah kekayaan itu dengan banyak harta, tetapi sesungguhnya kekayaan itu ialah kekayaan jiwa.”
( Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita bermuhasabah dan meningkatkan amal soleh kita, banyakkan berzikir dan beribadah. Sesungguhnya Allah SWT menyediakan syurga seluas langit dan bumi adalah untuk orang-orang mukmin yang sentiasa beramal soleh ketika di dunia ini.
Allah S.W.T. berfirman maksudnya : “Sungguh orang yang beriman dan beramal soleh untuk mereka disediakan Syurga Firdaus sebagai tempat tinggal” (Surah al-Kahfi ayat 107)
No comments:
Post a Comment