Friday, January 3, 2014

TUDUHAN ZINA TANPA EMPAT ORANG SAKSI

Jauhi Membuat Tuduhan Zina Kepada Orang Mukmin Tanpa Ada Empat Orang Saksi

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, 
Salah satu dosa besar dalam Islam adalah menuduh seorang mukmin berzina tanpa membawa empat orang saksi lelaki yang adil.

Rasulullah SAW bersabda : 

اِجْتَنِبُواالسَّبْعَ الْمُوْ بِقَاتِ اَلشِّرْكُ بِاللهِ وَالسِّحْرُ وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِىْ حَرَّمَ اللهُ اِلاَّ بِالْحَقِّ وَاٰكِلُ الرِّبَا وَاٰكِلُ مَالِ الْيَتِيْمِ وَالتَّوَ لِّى يَوْمَ الزَّحْفِ وَقَذْ فَ الْمُحْصَنَا تِ الْغَا فِلاَ تِ الْمُؤْ مِنَا تِ. رواه البخار ى و مسلم.

Maksudnya : "Jauhilah tujuh macam dosa yang bertingkat – tingkat (besar), diantaranya ialah :

1. Mempersekutukan Allah

2. Sihir

3. Membunuh diri yang diharamkan Allah kecuali dengan hak.

4. Makan harta riba

5. Makan harta anak yatim

6. Lari dari peperangan

7. Menuduh wanita yang beriman yang tidah tahu menahu dengna perbuatan buruk dengan apa yang difitnahkan kepadanya."

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Betapa beratnya tuduhan tanpa membawa saksi sehingga turun ayat al-Quran dalam surah an-Nur ayat 4-5 yang bermaksud : "Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka sebatlah mereka (yang menuduh itu) dengan 80 kali sebatan, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang-orang yang fasik.”

Ulama memberi tafsiran bahawa mereka yang membuat tuduhan tanpa empat orang saksi walaupun mereka telah bertaubat selepas membuat tuduhan maka hukuman tetap dijalankan keatas mereka (80 kali sebatan) dan persaksiannya tidak boleh diterima selama-lamanya, hanya sifat fasik akan terhapus apabila mereka bertaubat.

Sahabat yang dimuliakan,
Terdapat satu kisah benar berlaku dizaman Imam Malik rahmatullah alaih bahawa seorang wanita (Jurumandi Jenazah) telah terlintas dihatinya menuduh wanita ini (mayat tersebut) berzina maka tangannya telah melekat dikemaluan mayat wanita tersebut.

Seorang telah meninggal dunia. Ketika Jurumandi Jenazah mencuci kemaluan mayat, tangan Jurumandi telah melekat di kemaluan mayat. walaupun telah dicuba berkali-kali untuk menarik tangannya, tetapi masih tetap terlekat di kemaluan mayat.

Setelah beberapa lama masa berlalu, dan masih tiada jalan penyelesaian, maka masalah ini telah ditanya kepada ulama yang ada. Sebahagian pendapat ada yang berkata supaya menyiat kulit tangan Jurumandi supaya tangannya dapat dipisahkan dan ada yang membangkang kerana kasihan kepada Jurumandi.

Sebahagian berkata supaya dipotong kemaluan mayat ada yang membangkang kerana ia adalah menyeksa jenazah. Mereka saling bantah-membantah dan tidak dapat mencari jalan penyelesaian. Kemudian mereka teringat bahawa ada ulama yang lebih faqih daripada mereka iaitu Imam Malik rahmatullah alaih, lalu mereka pergi dan bertanya kepada Imam Malik rahmatullah alaih akan masalah ini.

Ketika mereka sampai berjumpa Imam Malik, beliau sedang mengajar ilmu kepada orang ramai lantas Imam Malik rahmatullah alaih menyarankan supaya disebat Jurumandi itu dengan 80 sebatan.

Maka mereka pun menyebat Jurumandi tersebut. sebaik sahaja sebatan yang ke-80 selesai, maka terlepaslah tangan Jurumandi daripada kemaluan jenazah.

Setelah selesai jenazah tersebut dikebumikan maka Imam Malik pun bertanya kepada Jurumandi apa sebenarnya yang telah berlaku.?

Berkata Jurumandi : "Ketika aku mencuci kemaluan jenazah, terdetik di dalam hatiku bahawa mungkin jenazah ini telah berzina. Secara tiba-tiba tanganku melekat dan tidak boleh ditarik keluar."

Semua perkara berlaku dengan izin Allah SWT, bahawasanya Allah SWT ingin menunjukkan kekuasaan-Nya bahawa tidak boleh seseorang mukmin itu prasangka buruk kepada saudaranya yang lain.

Di dalam kisah di atas, Jurumandi hanya membuat tuduhan di dalam hatinya sahaja, tiada siapa (manusia) pun yang mendengarnya. itupun telah dianggap bersalah dan perlu dibersihkan melalui 80 sebatan.

Sahabat yang dimuliakan,
Bersangka buruk dan mencari-cari keburukan adalah dilarang oleh Allah SWT seperti mana firman-Nya yang bermaksud : " Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak tergelincir ke dalam sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa. Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang. Dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat), maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan Allah) dan bertakwalah kamu kepada Allah. Sesungguhnya Allah Penerima Taubat, lagi Maha Mengasihani." (Surah al-Hujurat, ayat 12)

Pada hari ini kita hidup di dalam dunia siber tanpa sempadan tuduhan zina dan liwath telah menjadi perkara biasa dan menjadi senda gurauan. Terlalu mudah manusia mereka cipta tuduhan fitnah dengan membuat vedio seks, melalui you tube, gambar-gambar superimpose dan mudah dihantar untuk di 'share', 'link' dan 'like' dan menuduh seseorang berzina (memuat turun adigan palsu) adalah suatu tuduhan yang berat, dan perlu mengemukakan empat orang saksi yang adil, jika tidak, maka penuduh layak dikenakan 80 sebatan.

Kalian perlulah berhati-hati amat berbeza daripada segi hukum jika menuduh seseorang rasuah tanpa bukti dengan menuduh seseorang berzina tanpa empat orang saksi. Walaupun kedua-duanya dosa besar tetapi jika sabit kesalahan seseorang yang menuduh seseorang rasuah tanpa bukti akan dikenakan hukum takzir sedangkan menuduh seseorang berzina kena hukum had iaitu disebat 80 kali sebatan. 

Jika wanita dalam kisah diatas tangannya melekat dikemaluan mayat setelah disebat 80 kali baru terlepas maka adakah lelaki dan wanita dalam masyarakat kita yang menuduh dan bersetuju dengan tuduhan fitnah zina tersebut boleh terlepas? Tidak! semua mereka tidak akan terlepas diakhirat nanti tetap akan mendapat balasan yang dahsyat jika tidak bertaubat dan meminta maaf kepada orang yang dituduh. Ketika di mahkamah Allah SWT nanti pahala yang dibawa akan menjadi 'penebus' dan 'pertukaran' dengan dosa-dosa yang dibuat dahulu ketika di dunia.

Sahabat yang dikasihi,
Sering kali kita dipesan, jika terdapat 99 kebaikan dalam diri kita, dan ada hanya satu keburukan dalam diri kita, hendaklah kita memerhatikan akan satu keburukan tersebut, sebaliknya jika terdapat 99 keburukan pada diri saudara kita, dan terdapat hanya satu kebaikannya, maka hendaklah kita memandang kepada satu kebaikan tersebut. Oleh itu jauhilah sifat hasad dengki, buruk sangka, cepat membuat tuduhan dan amat mudah percaya berita-berita akhbar yang banyak membuat pemalsuan untuk melariskan jualan. Sesuatu berita buruk itu lebih baik kita tidak percaya daripada mudah percaya kerana tidak rugi kita meninggalkan berita negatif kerana ianya boleh menjerumuskan kita ke dalam neraka nauzubillahiminzalik.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML