Friday, January 3, 2014

TUDUHAN ZINA ATAU LIWAT

Membuat Tuduhan Zina atau Liwat Tanpa Saksi Adalah Ciri-ciri Orang Fasiq

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabt yang dirahmati Allah,
Umat Islam hari ini telah berada didalam keadaan yang amat parah sekali. Mereka meninggalkan hukum dan ajaran Islam. Mereka sanggup berceramah kesana kemari semata-mata untuk membuat tuduhan dan membuat fitnah dengan mengatakan seseorang itu berzina dan meliwat tanpa membawa bukti dan 4 orang saksi lelaki yang adil. Umat Islam yang lain menyokong dan bersorak seronok kerana mereka menjadi jaguh untuk mengumpat, memfitnah dan mengadu domba! Demi pangkat, nama, wang manusia sanggup mengadaikan maruah diri mereka sendiri dan mereka sedang menyediakan diri mereka untuk menjadi muflis di hari akhirat jika tidak bertaubat.

Setiap tuturkata kita, dan dakwaan kita akan dipertanggungjawabkan dihadapan Allah S.W.T. Jika menurut hukum Islam, seseorang yang membuat tuduhan  wajib sediakan empat orang saksi lelaki yang adil. Jika beliau gagal menyediakan 4 orang lelaki saksi yang adil, maka dia akan dikenakan hukuman Qazaf.

Apa itu Hukum Qazaf?

Menuduh seseorang yang baik lagi suci berzina tanpa mengemukakan 4 orang saksi lelaki yang adil, hukumnya adalah haram dan termasuk dalam dosa besar dan wajib dikenakan hukuman had qazaf (sebat) sebanyak 80 kali sebat, dan tidak boleh diterima penyaksiannya selama-lamanya, kerana dia adalah orang yang fasiq.

Firman Allah S.W.T.  yang bermaksud : "Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan zina kepada perempuan-perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawa 4 orang saksi, maka sebatlah mereka 80 kali sebat, dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya, kerana mereka itu adalah orang-orang yang fasiq." (Surah an-Nur ayat 4)

Siapa yang tuduh orang berzina atau siapa yang tuduh orang meliwat tanpa 4 orang saksi lelaki yang adil ; Allah S.W.T.  telah tetapkan 3 jenis hukuman kepada mereka ini.

i) Sebatlah mereka dengan 80 kali sebatan.
ii) Jangan kamu terima kesaksian mereka selama-lamanya.
iii) Allah memanggil  mereka ini sebagai orang yang fasiq.

Sahabat yang dimuliakan,
Akhir-akhir ini di sana sini membicarakan persoalan liwat dan politik. Namun di tengah-tengah tuduhan oleh pihak terbabit, semua pembaca dan mereka yang mengikuti isu terbaru politik Malaysia ini agar BERAWAS-AWAS. Ia tidak seperti mempercayai tuduhan-tuduhan lain .

Menurut hukum Islam, semua individu Islam perlu berawas dalam mempercayai atau menyebarkan apa jua berita yang dibawa oleh orang fasiq berkaitan zinanya seseorang dan juga liwat. Imam Ibn Qudamah dan lain-lain ulama silam yang berautoriti menyebut dengan jelas bahawa menuduh liwat tanpa saksi termasuk dalam hukum qazf. ( Al-Mughni, 9/72 ; Syarh Muntaha Al-Iradat, 3/599 ; Kasyyaf Al-Qina', 6/433)

Imam Abi Ishak As-Shirazi As-Syafie  berkata : "Tidak diterima dalam tuduhan liwat kecuali empat saksi kerana ia adalah sama seperti zina dalam (keperluan saksinya) untuk disabitkan hukum" ( Al-Muhazzab, 3/332)

Tanpa berhati-hati, seseorang yang percaya dan menyebarkannya dan menyokong dengan membuat demontrasi boleh jatuh dalam kesalahan Qazaf yang amat besar dosanya di sisi Islam.

Imam Al-Qurtubi berkata sebab turun ayat ini adalah antara kepada kes fitnah terhadap Sayidatina Aisyah ataupun kes Hilal bin Umaiyah (yang menuduh istreinya berzina) atau lainnya, namun yang terpenting hukumnya berjalan terus.

Walalupun ayat kelihatan menyebut kesalahan menuduh zina dan liwat kepada seorang wanita, namun tuduhan kepada lelaki juga termasuk dalam ayat ini secara sepakat ulama dan ijma ulama (Al-Jami Li Ahkam Al-Quran,  Al-Qurtubi).

RINGKASAN SYARAT-SYARAT

Qazaf mempunyai beberapa syarat :-

1)  Syarat kepada penuduh :

 a. Beraqal

 b.  Sudah baligh

2)  Syarat BENDA YANG DITUDUH untuk dianggap qazaf

Menuduh dengan salah satu antara tiga tuduhan yang mewajibkan dihukum, iaitu ZINA dan LIWAT atau menafikan nasab anak sendiri ( ertinya menuduh isteri berzina). ( Al-Fawakih Al-Dawani, 2/211)

3) Syarat orang yang dituduh

a. Beraqal
b. Baligh
c. Islam
d. Merdeka diri
e. BERSIH DARI tuduhan yang dilemparkan kepadanya.

Justeru, kalian semua dinasihatkan agar semua yang membaca berita hangat terkini dalam arena politik Malaysia hari ini agar menahan diri dan menyerahkannya kepada pihak hakim untuk meneliti bukti-bukti kedua-dua pihak, sebagaimana disebutkan oleh Allah S.W.T. :-


ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاء

Para ulama sepakat bahawa ayat ini menunjukkan wajibnya si penuduh membawakan saksi seramai empat orang. Perbincangan terperinci berkenaan hal ini terlalu panjang. Namun saksi inilah kuncinya, tanpanya, kita tidak atau belum boleh mempercayai satu apa pun berkenaan tududan zina dan liwat atau kita mencari nahas di akhirat. (Al-Mughni, 9/72 ; Syarh Muntaha Al-Iradat, 3/599 ; Kasyyaf Al-Qina', 6/433)

Sahabat yang dikasihi,
Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah S.A.W.  bersabda yang maksudnya, " Siapa yang menutup keaiban orang Islam, Allah akan menutup keaibannya didunia dan diakhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba itu selagi hamba itu mahu menolong saudaranya."
(Hadis Riwayat Muslim).

Dari hadis yang lain Abu Hurairah r.a menceritakan bahawa Rasulullah S.A.W.  bersabda yang bermaksud, " Tahukah kamu apakah ghaibah? Jawab sahabat, "Allah dan Rasul yang lebih mengetahui. " Maka Rasulullah s.a.w. bersabda , "Ghaibah itu jika kamu menyebut (membicarakan) hal keadaan saudaramu yang tidak suka hal itu disebut atau dibicarakan kepada orang lain, maka itu bererti ghaibah." Lalu Rasulullah S.A.W. ditanya," Bagaimana kalau saudaraku itu memang begitu? "Jawab Rasulullah s.a.w " Jika kamu sebut itu benar ada padanya maka itu ghaibah. Tetapi jika ia tidak benar, itu buhtan (membuat kepalsuan untuk memburukkan nama orang lain).

Buhtan adalah perbuatan paling keji kerana membuat kepalsuan untuk memburukkan orang lain, jika mengumpat saja boleh menjuruskan seseorang kedalam kemurkaan Allah S.W.T. maka lebih-lebih lagi fitnah akan mendatangkan dosa besar dan mendapat laknat daripada Allah S.W.T.

Dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud :
“Tahukah kamu siapakah dia orang muflis?”

Sahabat-sahabat baginda menjawab :
“Orang muflis di antara kami, ya Rasulullah ialah orang yang tidak ada wang ringgit dan tidak ada harta benda.”

Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud :
“Sebenarnya orang muflis dari kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat membawa sembahyang, puasa dan zakat , sedang datangnya itu dengan kesalahan memaki hamun orang ini, dan menuduh orang itu , memakan harta orang orang ini , menumpah darah orang itu dan juga memukul orang . Maka akan di ambil dari amal kebajikannya serta di beri kepada orang ini dan orang itu , kemudian kiranya habis amal kebajikannya sebelum habis di bayar kesalahan-kesalahan yang di tanggungnya , akan di ambil pula dari kesalahan-kesalahan orang yang di aniayakannya serta di timpakan keatasnya , kemudian ia di humbankan kedalam neraka.”
(Hadis Riwayat Muslim dan Turmizi)

Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa amal soleh yang di lakukan sesaorang belum tentu menjamin dia akan masuk syurga , sekiranya di samping dia membuat amal soleh tersebut dia juga melakukan amal kejahatan yang membawa kepada dosa. Apabila berlaku proses timbangan segala amalan-amalan manusia yang baik dan buruk , maka sekiranya habis amalan kebaikannya di bayar atas kesalahannya tadi maka ketika ini dia akan jadi orang muflis. Segala penyesalannya sudah tidak berguna lagi kerana dia akan di masukkan kedalam neraka.

Oleh itu ingatlah, bahawa orang yang paling rugi di akhirat nanti adalah orang muflis , semasa di dunia tidak berhati-hati dalam tindakan dan amalannya, banyak di dorong oleh hawa nafsu dan pujukan syaitan. Pepatah melayu ada berkata : “Ikut hati mati, ikut rasa binasa dan ikut nafsu lesu .“  Suka mengumpat, suka menuduh, suka memfitnah, suka mempercayai berita fitnah, suka menyokong berita dari orang fasiq, maka diri sendiri yang akan menanggung azab di hari akhirat.

Apabila manusia dengan mudah menuduh seseorang yang baik melakukan zina atau liwat, dan mendapat sokongan orang ramai dan mereka mempercayainya, darisegi hukum Islam yang menuduh dan yang menyokong mendapat saham yang sama dan tidak dikurangkan walaupun sedikit inilah ciri-ciri orang muflis dihari akhirat. Jangalah kita mengadaikan masa depan kita dengan membuat dosa besar dengan menyokong, mempercayai dan menyebarkan berita yang tidak benar kepada orang lain.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML