Sunday, May 18, 2014

ATAS NAMA CINTA


ATAS nama cinta, hati ini tak mungkin terbagi, sampai nanti bila aku mati, cinta ini hanya untuk engkau. 


Atas nama cinta, ku relakan jalanku merana, asal engkau akhirnya denganku, ku bersumpah atas nama cinta".


Cinta mempunyai pelbagai tafsiran. Lirik lagu "atas nama cinta" nyanyian penyanyi Rossa di atas adalah satu contoh bagaimana cinta ditafsirkan dalam bentuk sumpah setia dan pengorbanan. 



Benarkah begitu? Cinta adalah pertautan emosi yang berlaku di dalam satu hubungan interpersonal lelaki dan perempuan. 


Jatuh cinta adalah normal dan ia sebahagian daripada kehidupan. Bercinta tidak salah asalkan tidak menyimpang daripada landasan agama, moral dan tatasusila budaya.


Dalam proses mencari cinta manusia sering bertemu dengan pelbagai pilihan. Pelbagai pepatah dan ungkapan tercipta. 


Ada yang kata mencari cinta bagaikan membeli kasut. Pada mulanya mencari kasut yang cantik dipandang tetapi akhirnya memilih kasut yang selesa dipakai.
Hakikatnya, apa yang dicari tidak lebih daripada satu hubungan yang bahagia. 


Ia menjadi asas kepada kesejahteraan emosi. Cinta juga berevolusi untuk matang. Mari lihat bagaimana proses ini berlaku.



Pada peringkat awal, pasangan bercinta akan mengalami perasaan yang sangat indah dan berbunga-bunga. Semua kelihatan begitu sempurna tanpa sebarang cacat-cela. 


Namun begitu, apabila hubungan tersebut mencapai tempoh tertentu, mereka mula sedar tentang wujudnya perbezaan pendapat di antara mereka.


Bagaimanapun, mereka menafikan kewujudan perbezaan tersebut. Ada pihak yang mengalah walaupun dengan perasaan tidak puas hati. Mereka terus hanyut dibuai asmara dengan harapan keadaan ini akan kekal selamanya. Masa yang berlalu mendedahkan lebih banyak ketidakserasian. 



Mereka kekal dengan cara yang sama, malah tidak pernah menyuarakan hasrat untuk berbincang. Ini disangka untuk mengelakkan perbalahan.


Akibatnya tiada sebarang jalan penyelesaian diperolehi. Perasaan tidak puas hati akhirnya memuncak dan hubungan tersebut mula renggang dengan sendirinya. Tiada lagi keindahan, yang tinggal adalah "jiwa kacau" dan "merana".


Menilai makna cinta hanya ada dua pilihan. Sama ada membiarkan ia berakhir dengan perpisahan atau memulihkan semula perhubungan. 


Untuk itu mereka perlu tahu apakah makna cinta sebenar dan menilai sama ada elemen tersebut pernah hadir atau tidak dalam sejarah percintaan mereka.


Elemen paling penting adalah perasaan cinta itu sendiri yang perlu wujud antara satu sama lain. Cinta mungkin tidak pernah wujud sekiranya anda selalu merasa tidak selesa ketika bersama.


Pasangan yang bercinta perlu hormat menghormati antara satu sama lain. Mereka perlu sentiasa menutup keburukan pasangan dan tidak merendah-rendahkan maruah diri antara satu sama lain.


Pasangan bercinta perlu saling memberi dan menerima. Pemberian tidak semestinya dalam bentuk hadiah atau wang ringgit sahaja. 


Ia semudah membiarkan pasangan membuat keputusan dalam perkara seharian seperti memilih restoran makan malam atau menentukan tempat percutian.


Cinta memerlukan keserasian pemikiran, personaliti dan seksual. Pasangan perlu mampu meluahkan perasaan secara terbuka di antara satu sama lain. Malah adakalanya perlu tidak merasa malu untuk menangis.


Cinta memerlukan kepercayaan. Kepercayaan biasanya terhakis apabila berlakunya kecurangan. 


Ini akan menyebabkan pasangan lebih berhati-hati dan kadangkala menjadi cemburu buta. Percayalah, apabila luka tersebut semakin sembuh, kepercayaan akan kembali.


Cinta juga memerlukan kemaafan dan keikhlasan. Setiap manusia pernah tersilap tetapi bukan bermakna mereka tidak boleh insaf dan berubah. 


Pasangan yang tidak mampu memaafkan akan menyimpan dendam dan mudah mengungkit kisah lama dalam pertikaian kecil sekalipun. Jangan khianati kemaafan dan peluang kedua yang diberi.


Cinta memerlukan kesetiaan dan pengorbanan. Ia perlu dibuktikan untuk membangkitkan perasaan dihargai. 


Berkorban tidak bermaksud menyerahkan semua yang kekasih minta. Ingat, cinta sejati tidak merosakkan diri atau menghabiskan wang ringgit.


Cinta tidak membenarkan sebarang bentuk penderaan dan ketagihan. Ini kerana tiada gunanya bercinta sekiranya anda menderita ketiadaan wang atau ditinggal keseorangan oleh pasangan yang ketagihan judi atau dadah.


Buatlah pertimbangan dengan bijak. Perbetulkan makna cinta anda dan jangan sampai tersalah langkah.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML