Amalkan 3 Perkara Yang Menyelamatkan dan Tinggalkan 3 Perkara Yang Membinasakan.
أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Tiga perkara yang menyelamatkan iaitu takut kepada Allah ketika bersendirian dan dikhalayak ramai, berlaku adil pada ketika suka dan marah, dan berjimat cermat ketika susah dan senang dan tiga perkara yang membinasakan iaitu mengikut hawa nafsu, terlampau bakhil dan kagum seseorang dengan dirinya sendiri." (Riwayat Abu Syeikh).
Berdasarkah hadis di atas terdapat tiga perkara yang menyelamatkan dan tiga perkara yang membinasakan. Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :
Perkara-perkara yang menyelamatkan:
1. Takut kepada Allah ketika bersendirian dan dikhalayak ramai.
2. Berlaku adil pada ketika suka dan marah.
3. Berjimat cermat ketika susah dan senang.
Perkara-perkara yang membinasakan:
1. Mengikut hawa nafsu.
2. Terlampau bakhil.
3. Kagum seseorang dengan dirinya sendiri.
Huraiannya :
Perkara-perkara yang menyelamatkan :
1. Takut kepada Allah ketika bersendirian dan dikhalayak ramai
Orang-orang yang takut kepada Allah ialah golongan yang selamat dari keinginan untuk melakukan perbuatan jahat dan berbuat maksiat samaada ketika bersendirian atau ketika berada bersama khalayak ramai. Ramai manusia boleh menyamar menunjukkan alim ketika berada bersama orang ramai tetapi secara senyap-senyap melakukan maksiat ketika berseorangan dan tidak diketahui oleh sesiapa. Al-Quran sudah menegaskan, bahawa orang yang paling takut kepada Allah di antara hamba-hambaNya tidak lain adalah orang-orang yang berilmu.
Firman Allah SWT maksudnya : “Sesungguhnya yang paling takut kepada Allah adalah ulama (orang berilmu).” (Surah Fathir ayat 28)
Diriwayatkan dari Abu Hayyan At-Taimy, bahwa dia berkata, "Orang-orang yang berilmu terdiri dari tiga golongan: Pertama, orang yang mengetahui Allah namun tidak mengenal perintah Allah. Kedua, orang yang mengetahui perintah Allah namun tidak mengenal Allah. Ketiga, orang yang mengetahui Allah dan juga mengetahui perintah Allah." (Kitabul Iman, Imam Ibn Taimiyah).
Sedangkan Imam Ibn Taimiyah menegaskan, "Selagi seseorang melakukan sesuatu, sementara dia juga mengetahui bahawa sesuatu itu mendatangkan mudarat kepadanya, maka orang seperti ini layaknya orang yang tidak berakal. Sebab, ketakutan kepada Allah mengharuskan ilmu tentang Allah, maka ilmu tentang Allah juga mengharuskan ketakutan kepadaNya. Dan takut kepada Allah harus melahirkan ketaatan kepadaNya. Orang-orang yang takut kepada Allah adalah orang-orang yang mengerjakan perintah-perintahNya serta menghindari segala bentuk larangan-Nya."
Dari Anas ra., ia berkata; Rasulullah SAW pernah berkhutbah dengan khutbah yang selama aku hidup tidak pernah mendengarnya. Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : "Andaikata kalian mengetahui apa-apa yang aku ketahui, maka niscaya kalian akan sedikit tertawa dan banyak menangis. Kemudian sahabat menutupi wajah mereka dan menangis tersedu-sedu. (Mutafaq ‘alaih)
Dari AbuHurairah ra., ia berkata; Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : "Ada tujuh golongan yang Allah akan menaunginya pada saat tidak ada naungan kecuali naungan-Nya. …. Orang yang mengingat Allah ketika sendirian sehingga bercucuran air matanya". (Mutafaq ‘alaih)
Dari Abu Yazid Usamah bin Zaid bin Haritsah r.a yang berkata, "Aku mendengar Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud : 'Seseorang didatangkan pada hari kiamat, lalu dilempar ke neraka. Maka keluarlah isi perutnya. Dengan isi perut yang keluar itu ia berputar-putar seperti himar yang mengitari porosnya. Para penghuni neraka berkumpul di dekatnya, seraya mengatakan, 'Wahai si Fulan! Apa yang terjadi padamu? Bukankah (dulu) kamu memerentah kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang mungkar?' Ia menjawab, 'Ya, memang dulu aku memerintahkannya kepada yang makruf , namun aku tidak melaksanakannya dan mencegah dari yang mungkar, namun aku melanggarnya'." (Hadis Riwayat Muttafaq Alaih)
2. Berlaku adil pada ketika suka dan marah.
Orang mukmin akan berlaku adil kepada sesiapa saja samaada ketika suka atau marah . Biasanya ketika marah seseorang itu akan mengikut emosi bukan daripada akal yang waras dan akan bertindak dengan melakukan ketidak adilan.
Tetapi Allah SWT melarang perbuatan seperti ini sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Wahai orang beriman! Hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa juga) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwa kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”
(Surah Al-Maidah, ayat 8)
Antara misi utama Islam diutuskan kepada seluruh alam untuk menyebarkan mesej keadilan dan kesaksamaan dalam kehidupan manusia sejagat. Mesej ini yang mengiringi perutusan nabi dan rasul kepada kaum masing-masing.
Justeru, Islam menganjurkan umatnya melaksanakan keadilan dalam setiap aspek kehidupan mereka. Tambahan pula, perintah itu datang seiringan dengan sifat Allah sendiri yang Maha Adil dan mengharamkan Zat-Nya daripada melakukan kezaliman.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Wahai hamba-Ku! Sesungguhnya Aku telah mengharamkan sifat kezaliman dalam ZatKu dan Aku juga mengharamkan sifat itu di kalangan kamu. Oleh itu, jangan kamu zalim menzalimi antara sesama kamu.” (Hadis Riwayat Muslim)
Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud : "Orang yang terkuat di kalangan kamu semua ialah orang yang dapat mengalahkan hawa nafsunya di ketika dia marah dan orang yang tersabar ialah orang yang suka memberikan pengampunan di saat dia berkuasa memberikan balasan (kejahatan orang yang menyakitinya)" (Hadis Riwayat Baihaqi)
3. Berjimat cermat ketika susah dan senang.
Islam menggalakkan umatnya berjimat cermat samaada ketika senag atau susah dan dilarang boros dan membazir. Kerana membazir itu adalah saudara syaitan.
Islam begitu menitikberatkan persoalan berhemat dalam membelanjakan harta atau wang, dan Islam menegaskan agar umatnya tidak melakukan pembaziran yang hanya akan mendatangkan kerugian. Pembaziran diambil dari kalimah Bahasa Arab iaitu yang bermaksud membazir atau boros. Manakala dari sudut istilah syarak pula membawa maksud sesuatu yang dikeluarkan pada jalan yang bukan hak (kebenaran).
Ibnu Mas’ud menjelaskan bahawa pembaziran adalah perbuatan menafkahkan (mengeluarkan) atau menggunakan harta pada jalan maksiat yakni tidak pada jalan yang diperintahkan oleh Allah S.W.T dan tidak berlandaskan tuntutan sunah Rasulullah S.A.W.
Manakala Ibnu Kathir pula mentakrifkan pembaziran sebagai perbuatan mensia-siakan nikmat Allah kepada perkara-perkara maksiat yang melanggar perintah Allah S.W.T.
Dalam membincangkan tentang konsep pembaziran, ramai di kalangan kita yang tersalah anggap hingga menyempitkan ruang lingkup pembaziran kepada wang dan harta benda sahaja. Sesungguhnya konsep pembaziran itu sangat luat skopnya dan ruang perbincangannya mencakupi perkara-perkara bersifat material (kebendaan) dan bukan material.
Perkara-perkara yang berbentuk kebendaan meliputi harta benda seperti wang ringgit, makanan, minuman, pakaian, air, tenaga (elektrik dan minyak petrol) dan sebagainya. Manakala pembaziran dari sudut bukan material pula termasuklah tenaga, masa, ilmu, perbuatan manusia, kuasa, usia dan sebagainya.
Firman Allah S.W.T. dalam Surah Al-Israa' ayat 26-27, yang bermaksud: "...dan janganlah kamu belanjakan harta kamu dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang yang membazir (boros) itu adalah saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur (engkar) kepada Tuhannya".
Marilah kita amalkan sifat suka bersyukur, jauhi sama sekali sifat atau sikap kufur itu. Kemudian jangan kita menjadi saudara syaitan dengan sebab amalan suka membazir atau boros.
Perkara-perkara yang membinasakan:
1. Mengikut hawa nafsu.
Jihad melawan hawa nafsumu adalah sebesar-besar jihad, kerana nafsu inilah yang akan menjadi penghalang untuk kamu berjihad melawan orang-orang kafir apabila sampai masa dan saatnya panggilan jihad berkumandang. Apabila kamu berjaya menundukkannya, itulah kemenangan yang paling utama dan luhur, yang memungkinkan kepadamu untuk melanjutkan perjalanan, meneruskan dakwah dan memenangkan perjuangan hidup.
Kejayaan ini hanya akan lahir dari keimanan, keikhlasan, kejujuran, kesabaran dan keberanian dalam mengucapkan perkataan yang benar dan yakin terhadap janji Allah, "Itulah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya."
Nabi Musa a.s. pernah bertanya kepada Allah SWT. yang bermaksud :
"Ya Rabbi, bagaimanakah saya akan mengetahui samaada seseorang itu Kamu cintai dan redha ataupun kamu benci dan murka?".
Jawab Allah SWT. yang bermaksud :
"Bila sahaja Aku cinta dan redha kepada seseorang maka Aku permudahkan baginya untuk berzikir kepada-Ku dan Aku pelihara dirinya daripada melakukan perkara-perkara yang haram, sebaliknya bila Aku benci dan murka kepada seseorang maka akan Ku lalaikan ia daripada memperingati-Ku dan Aku biarkan ia dikuasai oleh hawa nafsunya supaya terjerumus melakukan perkara-perkara yang haram sehinggalah ia layak menerima seksaan dan balasan-Ku".
2. Terlampau bakhil.
Sifat bakhil adalah satu sifat mazmumah (sifat yang buruk) .
Sabda Nabi SAW bersabda yang bermaksud, "Tidak akan berkumpul dalam hati seorang hamba bersifat bakhil dan keimanan"
Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda yang bermaksud , "Maafkanlah kesalahan orang yang murah hati (dermawan).Sesungguhnya Allah melihat tangannya jika dia terjatuh. Seorang pemurah hati dekat kepada Allah, dekat kepada manusia dan dekat kepada syurga. Seorang yang bodoh tapi murah hati (dermawan) lebih di sukai Allah daripada seorang alim (tekun beribadah) tapi bakhil" (HadisRawahul at Tabrani)
Nabi SAW mengajarkan kita doa supaya terhindar daripada sifat pengecut, bakhil penyakit nyanyuk dan berlindung dari fitnah dunia dan azab kubur : "Ya Allah , sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari sifat pengecut , dan dari sifat bakhil, aku mohon perlindunganMu dari ditimpa penyakit nyanyuk , serta aku mohon perlindunganMu dari fitnah dunia dan azab kubur .
Nabi SAW berwasiat kepada Ali k.wj. yang maksudnya : "Wahai Ali ! Orang yang pemurah itu dekat dengan Allah, dekat dengan rahmat-Nya serta jauh dari seksa-Nya, sedangkan orang bakhil (kedekut) itu jauh dari Allah, jauh dari rahmat-Nya serta dekat dengan seksa-Nya. Wahai Ali ! Saya melihat tulisan pada pintu syurga yang berbunyi "Syurga itu diharamkan bagi setiap orang yang bakhil (kedekut), orang yang derhaka kepada kedua orang tuanya, dan bagi orang yang suka mengadu domba (mengasut)."
3. Kagum seseorang dengan dirinya sendiri.
Sifat kagum dengan diri sendiri adalah sifat ujub iaitu salah satu sifat tercela dan bukan sifat orang mukmin. Ujub ertinya berbangga-bangga dengan menganggap besar nikmat dan merasa tenteram pada dirinya, tetapi lupa bahawa nikmat tersebut kepada Pemberinya, iaitu Allah SWT.
Penyebab utamanya adalah kerana berbangga diri dan bersikap sombong. Kerana Allah sahajalah Yang Maha Besar dan Maha Agung. Sikap yang baik ialah bertawaduk dan merasa hina di sisi Allah SAW.
Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita mengikut arahan Nabi SAW iaitu dengan mendekatkan diri kita daripada tiga perkara yang menyelamatkan dan membawa kepada kebaikan dan kebahagiaan iaitu sentiasa takut kepada Allah SWT, berlaku adil dan berjimat cermat sebaliknya menjauhkan diri daripada perkara yang dibenci oleh Allah SWT dan yang akan membinasakan iaitu mengikut hawa nafsu, sifat bakhil dan merasai kaum dengan diri sendiri.
No comments:
Post a Comment