Ummat Islam mula berpuasa Ramadhan melalui proses Rukyah iaitu apabila nampaknya anak bulan (hilal) yang menandakan masuknya bulan Ramadhan (1 Ramadhan).
Melihat anak bulan dilakukan pada tarikh 29 Sya’ban. Jika anak bulan kelihatan, maka ibadah puasa akan bermula keesokan harinya. Jika tidak kelihatan anak bulan, bulan Sya’ban akan dicukupkan 30 hari, dan ibadah puasa Ramadhan akan bermula lusanya.
Beberapa dalil tentang melihat anak bulan ialah:
Hadith 1
Ibnu Umar radhiAllahu ‘anhu berkata: Aku mendengar Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Apabila engkau sekalian melihatnya (bulan) berpuasalah, dan apabila engkau sekalian melihatnya (bulan) berbukalah, dan jika awan menutupi kalian maka perkirakanlah.” (Muttafaq Alaihi)
Menurut riwayat Muslim: “Jika awan menutupi kalian maka perkirakanlah tiga puluh hari.”
Menurut riwayat Bukhari: “Maka sempurnakanlah hitungannya menjadi tigapuluh hari.”
Hadith 2
Ibnu Umar radhiAllahu ‘anhu berkata: “Orang-orang melihat bulan sabit, lalu aku beritahukan kepada Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam bahwa aku benar-benar telah melihatnya. Lalu beliau berpuasa dan menyuruh orang-orang agar berpuasa.” (Riwayat Abu Dawud. Hadith shahih menurut Hakim dan Ibnu Hibban)
Hadith 3
Dari Ibnu Abbas radhiAllahu ‘anhu bahwa ada seorang Arab Badui menghadap Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam, lalu berkata: “Sungguh aku telah melihat bulan sabit (tanggal satu).” Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam bertanya: “Apakah engkau bersaksi bahwa tiada Tuhan selain Allah?” Ia berkata: “Ya”. Beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam bertanya: “Apakah engkau bersaksi bahwa Muhammad itu utusan Allah.” Ia menjawab: “Ya”. Beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Umumkanlah pada orang-orang wahai Bilal, agar besok mereka berpuasa.” (Riwayat Imam Lima. Hadith sahih menurut Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban, sedang Nasa’i menilainya mursal)
Di negara kita, terdapat beberapa tempat yang telah dikenalpasti mudah untuk melihat anak bulan (hilal) ini. Tempat-tempat ini telah dijadikan stesen melihat anak bulan yang rasmi seperti yang ditetapkan oleh pemerintah negara kita. Berikut saya petik dari sumber Bernama:
Menurut kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia, Majlis Raja-Raja, tempat melihat anak bulan pada malam tersebut adalah:
Pontian Kecil di Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu (Melaka); Teluk Kemang (Negeri Sembilan); Bukit Melawati (Selangor); Pulau Angsa (Selangor); Bukit Jugra (Selangor), Pantai Pasir Panjang (Perak); Pantai Aceh (Pulau Pinang); Kampung Pulau Sayak (Kedah); Pemandangan Indah, Pulau Langkawi (Kedah); Menara Alor Setar (Kedah).
Bukit Besar, Kuala Terengganu (Terengganu); Bukit Kemuning (Terengganu); Pulau Perhentian (Terengganu); Balai Cerap KUSZA, Bukit Peraksi, Pasir Puteh (Kelantan); Bukit Kampong Tembeling, Kuala Krai (Kelantan); Menara Bangunan SEDC, Kota Bharu (Kelantan).
Tanjong Lubang, Miri (Sarawak); Teluk Bandung, Kuching (Sarawak), Tanjung Batu, Bintulu (Sarawak); Balai Cerap Al-Biruni, Putatan, Sabah; Bukit Tanjong Batu, Nenasi (Pahang); Gunung Berincang, Cameron Highlands (Pahang); Bukit Pelindong, Kuantan (Pahang).
Menara Universiti Malaysia Sabah (Labuan); Menara Kuala Lumpur (Kuala Lumpur); Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, dan Kuala Sungai Baru, Simpang Empat (Perlis).
Majlis Raja-Raja mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan Rukyah serta Hisab, dan pengisytiharan tarikh permulaan puasa akan dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia melalui Radio dan Televisyen
Selamat menjalani ibadah puasa bulan Ramadhan. Mudah2an kita berTaqwa, amin.
No comments:
Post a Comment