Adakah kita telah menjalani Ramadhan dengan baik dan sempurna?
ALLAH Subhanahu wa Ta`ala telah menawarkan kepada kita akan pengampunan semua dosa-dosa yang lalu seandainya kita menjalani Ramadhan dengan baik dan sempurna. Tawaran besar-besaran ini sewajarnya direbuti oleh para mukmin. Piawai baik dan sempurna di sisi ALLAH ialah dengan menjalaninya secara ‘imaanan wa ihtisaaban’.
1) ‘Imaanan wa ihtisaaban’ pada mengerjakan ibadah puasa di siang Ramadhan.
عَنْ اَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ اَنَّ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم قَالَ: مَنْ صَامَ رَمَضَانَ اِيْمَانًا وَ احْتِسَابًا غُفِرَلَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ. متفق عليه
Maksudnya:
Dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:
“Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan hanya mengharapkan pahala/keredhaan daripada ALLAH, maka diampunilah dosanya yang telah lampau”
(Muttafaqun `alaih)
2) ‘Imaanan wa ihtisaaban’ pada mendirikan solat sunat di malam Ramadhan.
عَنْ اَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ اَنَّ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم قَالَ: مَنْ قَام رَمَضَانَ اِيْمَانًا وَ احْتِسَابًا غُفِرَلَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ. متفق عليه
Maksudnya:
Dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:
“Barangsiapa yang mengerjakan solat sunat pada malam Ramadhan penuh keimanan dan hanya mengharapkan pahala/keredhaan daripada ALLAH, maka diampunilah dosanya yang telah lampau.”
(Muttafaqun `alaih)
3) ‘Imaanan wa ihtisaaban’ pada beribadah di Malam Al-Qadar (Lailatul-Qadr).
عَنْ اَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ اَنَّ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم قَالَ: مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ اِيْمَانًا وَ احْتِسَابًا غُفِرَلَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ. متفق عليه
Maksudnya:
Dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:
“Barangsiapa yang beribadah pada malam Al-Qadar dengan penuh keimanan dan hanya mengharapkan pahala/keredhaan daripada ALLAH, maka diampunilah dosanya yang telah lampau.”
(Muttafaqun `alaih)
‘Imaanan’ dengan makna penuh keimanan kepada perintah ALLAH. Turut dan patuh akan ketetapan dan suruhan ALLAH. Bulat ikhlas dan taat kepada ALLAH Ta`ala.
Dan ‘Ihtisaaban’ pula dengan makna bersungguh-sungguh beribadah demi mengharapkan ganjaran atau keredhaan ALLAH Jalla wa A`la. Bukan sekadar angan-angan pengharapan itu. Harap sungguh-sungguh dengan menyertakan diri akan ibadah sesuai dengan syariat yang telah ditinggalkan oleh RasulNYA sallAllahu `alaihi wasallam. Amalan-amalan sunnah yang kecil atau besar serta ilmu-ilmu berkaitan dibelek-beleknya, dipelajarinya, diulangkajinya dan difahaminya supaya mendapat kefahaman yang mendalam tentang hukum-hakam dan perkara-perkara sunat yang boleh menambahbaikan lagi kualiti ibadahnya. Dari kefahaman tersebut, lalu diamalkan sedayanya demi mengharapkan kecintaan daripada ALLAH `Azza wa Jalla dan balasan daripadaNYA.
Ayuh, mari kita sama-sama muhasabah diri mengenai tahap ibadah kita pada bulan Ramadhan ini. Supaya ia dijalani dengan piawai yang ALLAH kehendaki iaitu ‘imaanan wa ihtisaaban’. Dan supaya kembali lurus niat kita dan betul pula cara kita menjalaninya sesuai dengan cara yang telah dilakukan oleh kekasih ALLAH, Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam.
Moga-moga ALLAH Ta`ala mengurniakan keampunanNYA buat kita, hamba-hambaNYA yang kerdil lagi lemah ini. Dan semoga kita tergolong di kalangan hamba-hambaNYA yang muttaqin, amin.
Sekadar muhasabah diri sendiri,
No comments:
Post a Comment