“Malam tadi Lailatul Qadar…!” Seorang teman saya melontarkan kata-kata ‘famous’ itu kepada saya.
Saya tidak tahu hendak respon apa terhadap lontarannya itu. Yang pasti ia dalam pengetahuan ALLAH. Cuma ada suatu tanda yang dapat saya ingat berdasarkan hadith yang pernah saya baca iaitu jika Lailatul-Qadar berlaku malam tadi, tentunya matahari pagi ini tidak secerah biasa. Sinarannya bahkan boleh dipandang dengan mata. Tidak silau pancarannya. ALLAHU A`LAM.
Kenapa saya kata ungkapan di atas sebagai ungkapan yang ‘famous’?
Kebiasaannya apabila tiba 10 hari atau 10 malam terakhir Ramadhan, saya akan mendengar orang-ramai mengungkapkannya di mana-mana samada di alam nyata atau di alam siber. Ia cukup ‘famous’ berlegar di mulut-mulut masyarakat.
Dan apabila saya mendengar kenalan-kenalan mengungkapkan kata-kata ‘famous’ tersebut iaitu “malam tadi Lailatul Qadar…!”, datang kepada saya akan perasaan yang sama. Iaitu penyesalan dan kekecewaan. Bukan sedikit perasaan itu mencuit hati ini. Berombak juga perasaan saya.
Hati mula membisik “ah, kenapalah tidak aku tak ‘stay-up’” atau “kenapalah aku tak buat ini dan buat itu?” dan sebagainya. Itulah saban tahun perasaan yang sama. Penyesalan dan kekecewaan. Saya tidak tahu mengenai dengan tuan/puan. Saya secara peribadi apabila mendengar orang mengungkapkannya, itulah perasaan saya. Bagai diserbu seribu pertanyaan ke dada ini.
Dan tahun ini tentunya saya akan mendengar ada orang menyebutnya lagi. Ia biasa dilontarkan orang di sekeliling apabila berada pada 10 hari/malam terakhir bulan Ramadhan. Setiap tahun ia diungkapkan. Saya agak pasti saya akan mendengarnya lagi. Masing-masing suka buat spekulasi. Dan kalau boleh saya tidaklah mahu dilanda penyesalan dan kekecewaan lagi.
Untuk itu, apa yang mesti saya lakukan dan bagaimana caranya?
Ya, saya mesti memburu dan mengintai-ngintai Lailatul-Qadar. Caranya iaitu dengan mengisi 10 malam terakhir ini dengan amalan-amalan yang diredhai oleh ALLAH Subhanahu wa Ta`ala. Setiap malam! Bukan memilih-milih malam tertentu sahaja untuk beribadah.
Nabi sallAllahu `alaihi wasallam sendiri apabila tiba 10 malam terakhir Ramadhan, Baginda akan menggandakan ibadahnya kepada ALLAH Ta`ala sebagaimana diceritakan oleh `A’isyah radhiAllahu ‘anha:
“Bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam apabila telah masuk 10 terakhir dari bulan Ramadhan, diramaikannya waktu malam, dibangunkannya keluarganya dan diikat eratnya kain sarungnya.”
(HR al-Bukhari & Muslim)
Dan walaupun ada beberapa pendapat ulama yang menyarankan agar kita memburunya pada hari-hari tertentu berdasarkan nas-nas hadith, namun sebaik-baiknya kita isilah masa 10 malam terakhir ini dengan amalan-amalan yang diredhai ALLAH Ta`ala. Bahkan menggandakan amalan-amalan tersebut di 10 akhir Ramadhan ini. Ini kerana Lailatul-Qadar boleh berlaku bila-bila malam. Bahkan bukan hanya pada 10 terakhir Ramadhan, mungkin juga sebelum itu lagi telah berlaku. ALLAHU A`LAM.
Beberapa hal mengenai Lailatul-Qadar boleh dibaca di sini, insyaALLAH:
Doa Lailatul-Qadar
Buat para muslimah yang uzur syar`i seperti haid dan nifas, janganlah terlalu bersedih hati. Kalian masih boleh melakukan beberapa amal ibadah walaupun memang benar kalian tidak boleh menghidupkan 10 malam terakhir dengan mengerjakan solat.
Tulisan ini ada menyentuh beberapa cadangan amalan ibadah yang boleh dilakukan oleh para muslimah yang mengalami haid/nifas:
Amalan alternatif buat wanita yang haid/nifas.
Itulah serba sedikit yang mahu disentuh dalam tulisan ini. Pokoknya persediaan dan pengisian kepada Lailatul-Qadar itulah yang terpenting.
Mudah-mudahan kali ini, jika saya mendengar lagi ada orang menyebut “malam tadi Lailatul-Qadar…!” saya boleh tersenyum dan bersyukur kepada ALLAH Ta`ala kerana ada pengisian yang berguna telah dilakukan ‘malam tadi’ demi mendapatkan keredhaan ALLAH `Azza wa Jalla. Tiada lagi penyesalan dan kekecewaan harap-harapnya.
Dan antara tips yang paling ringkas dikongsikan oleh para ulama supaya kita tidak terlepas dari kebaikan Lailatul-Qadar ialah mengisi setiap malam Ramadhan atau 10 malam terakhir Ramadhan dengan:
Solat Maghrib dan `Isya’ secara berjemaah.
Mendirikan malam-malam Ramadhan dengan solat sunat Tarawih secara berjemaah.
Itu yang paling ringkas. Tentulah lain-lain ibadah seperti membaca al-Quran dan bertahajjud sangat-sangat digalakkan supaya kebaikan yang banyak dari Lailatul-Qadar yang dijanjikan ALLAH buat hamba-hambaNYA menyinggah juga kepada diri kita sama, amin…
Jika Terlepas Lailatul-Qadar…
Jika betul kita sudah terlepas dari mendapat kebaikan dari Lailatul-Qadar, maka janganlah putus asa. Teruskanlah ibadah, malah gandakannya lagi. Kerana Ramadhan itu sendiri adalah bulan yang penuh dengan keberkatan. Ia bulan keampunan besar-besaran. Pintalah kepada ALLAH agar diampunkan dosa-dosa yang lalu. Semoga hari-hari dan malam-malam Ramadhan yang masih berbaki memberi kesan kepada keimanan dan ketaqwaan kita, insyaALLAH.
Baca mengenai bulan Ramadhan dan keampunan di sini, insyaALLAH:
Semoga ALLAH Ta`ala mengampunkan dosa-dosa kita semuanya dan mudah-mudahan kita diberikan hidayah dan taufiq olehNYA, amin…
Sekadar muhasabah,
No comments:
Post a Comment