Thursday, January 2, 2014

WANITA DARI SUDUT PANDANGAN ISLAM

Wanita Menurut Pandangan Islam

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Islam datang bukan sekadar memartabatkan wanita, sebaliknya mengembalikan manusia seluruhnya kepada fitrah mereka. Islam menjelaskan kedudukan manusia  serta hala tuju kehidupan mereka di muka bumi ini.

Dengan ungkapan kalimah syahadah manusia dibebaskan dari segala belenggu kezaliman dan penindasan sesama makhluk. Wanita bebas dari cengkaman dan kezaliman kaum lelaki dan lelaki bebas dari belenggu syaitan serta kerakusan nafsu sendiri.

Wanita dicipta bukan untuk menjadi pesaing kepada lelaki, tidak juga untuk berkhidmat dan taat kepada kerakusan nafsu mereka. Dengan bahasa yang cukup jelas dan tegas, Allah SWT menyeru semua manusia sama ada lelaki mahupun wanita agar mengabdikan diri dan menyembahNya semata-mata. 

Firman Allah SWT maksudnya : “Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertakwa.” (Surah Al-Baqarah ayat 21)

Lelaki dan wanita adalah hamba kepada Allah Maha Pencipta. Kedua-keduanya diciptakan untuk menjadi pasangan kepada satu sama lain, sebagai melengkapkan sunnah pencitaan seluruh makhluk di alam maya ini.

Firman-Nya lagi yang bermaksud : “Maha Suci Tuhan Yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; samada dari yang ditumbuhkan oleh bumi atau dari diri mereka ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya.” (Surah Ya Sin ayat 36)

Firman Allah SWT maksudnya : “Dan tiap-tiap jenis Kami ciptakan berpasangan, supaya kamu mengingati (kekuasaan kami dan mentauhidkan Kami).” (Surah Adz-Dzariat ayat 49)

Berlandaskan fitrah dan hakikat penciptaan ini, Allah SWT. telah mengatur hubungan antara lelaki dengan wanita dan menjelaskan peranan masing-masing terhadap satu sama lain bermula daripada penciptaan Hawwa sebagai pasangan kepada Adam.

Sebagai pasangan, tanggungjawab serta peranan yang diamanahkan kepada lelaki dan wanita bertepatan dengan fitrah kejadian mereka demi kelangsungan dan kesejahteraan umat manusia sepanjang masa. Lelaki tidak lebih mulia kerana dia menjadi suami dan ayah. Wanita tidak jadi hina kerana dia menjadi isteri dan ibu. Inilah hakikat yang mesti diinsafi dan didukungi tanpa was-was dan ragu-ragu.

Firman Allah SWT maksudnya : “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada). Kemudian jika keduanya (suami isteri) mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya). Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut dan bertakwalah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan.” (Surah Al-Baqarah ayat 233)

Sahabat yang dimuliakan,
Meskipun dinyatakan tugas wanita melahirkan dan menyusukan anak, tidak bermakna wanita Islam hanya terkurung di dalam rumah tanpa melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan, pembangunan umat dan Negara.

Wanita wajib terlibat dalam melahirkan masyarakat yang sejahtera dan harmoni sebagaimana termaktub di dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah At-Taubah ayat 71)

Doa Asiah yang diabadikan di dalam surah at-Tahrim menjadi bukti bahawa wanita mukminah sentiasa peka terhadap apa yang berlaku di keliling kelalangnya.

Firman Allah SWT yang bermaksud : “Dan Allah mengemukakan satu misal perbandingan kepada orang-orang mukmin, iaitu: Perihal isteri Firaun, ketika dia berkata: 'Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisi-Mu dalam syurga dan selamatkanlah daku dari Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas), serta selamatkanlah daku dari kaum yang zalim;” (Surah At-Tahrim ayat 11)

Islam juga mengiktiraf sumbangan wanita dalam memantapkan ekonomi keluarga sebagaimana digambarkan melalui kisah pertemuan Nabi Musa a.s. dengan dua orang gadis sopan dan beriman di ladang ternakan kambing.

Firman Allah SWT maksudnya : “Dan ketika dia sampai di telaga air negeri Madyan, dia dapati di situ sekumpulan orang-orang lelaki sedang memberi minum (binatang ternak masing-masing) dan dia juga dapati di sebelah mereka dua perempuan yang sedang menahan kambing-kambingnya. dia bertanya: 'Apa hal kamu berdua?' Mereka menjawab: 'Kami tidak memberi minum (kambing-kambing kami) sehingga penggembala-penggembala itu membawa balik binatang ternak masing-masing dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya.' Maka Musa pun memberi minum kepada binatang-binatang ternak mereka, kemudian dia pergi ke tempat teduh lalu berdoa dengan berkata: 'Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan'.” (Surah Al-Qasas ayat 23-24)

Dan wanita berhak memberi pandangan dalam menentukan halatuju serta polisi yang dilaksanakan di dalam negara. Sebagai contoh, Asiah mengemukakan cadangan supaya Firaun mengubah polisinya membunuh setiap bayi lelaki Bani Isreal. Dengan kebijaksanaan dan kemantapan hujjah yang dikemukakan oleh Asiah, Firaun akur. Dan Nabi Musa a.s. terselamat.

Firman Allah SWT maksudnya : “Dan (ketika melihat kanak-kanak itu) berkatalah isteri Firaun: (Semoga dia menjadi) cahaya mata bagiku dan bagimu; janganlah kamu membunuhnya; mudah-mudahan dia berguna kepada kita atau kita jadikan dia anak. Padahal mereka tidak menyedari (kesudahannya).”(Surah Al-Qasas ayat 9)

Sahabat yang dikasihi,
Sesungguhnya Islam adalah deen fitrah yang wasat, yang mengajar umatnya prinsip-prinsip keadilan, kesaksamaan dan kebebasan. Umat yang berpegang teguh dengan prinsip tersebut diiktiraf sebagai ummatan wasato ( أمة وسطا ), iaitu umat yang sederhana dan adil, umat yang terbaik dan terunggul.

Islam tidak ada kena mengena dengan sebarang bentuk kezaliman dan penindasan yang ditimpakan ke atas wanita, baik sebelum atau sesudah kedatangannya; baik yang dilakukan atas nama agama, budaya atau adat resam semata-mata.

Justeru, wanita patut rasa bertuah dan bersyukur kepada Yang Maha Esa lagi Maha Bijaksana. Hanya di bawah naungan syariatNya wanita terbela, di bawah naungan syariatNya wanita benar-benar berharga.

Inilah aspirasi dan misi yang hendak diketengahkan oleh Wanita IKRAM ke persada masyarakat. Islam adalah rahmatan lil’alamin. 

Islam diturunkan oleh Allah, Pencipta manusia lelaki dan wanita. Tidak lojik sama sekali sekiranya Allah memihak kepada lelaki dan meminggirkan wanita atau sebaliknya. Aspirasi ini akan kita jaja ke seluruh Negara agar didengari dan dihayati oleh setiap peringkat terutamanya generasi muda yang akan menjadi pemimpin pada hari muka. Merekalah yang bakal mencorak dan mewarnai masa depan umat dan negara.

Sesungguhnya tema yang dipilih untuk sambutan hari wanita sedunia pada tahun ini: “Connecting Girls, Inspiring Future ; Menghubungkan Remaja Puteri , Menginspirasikan Masa Depan” bukanlah sesuatu yang baru. Sejak dahulu Islam mengiktiraf kepentingan golongan muda. Terdapat banyak nas-nas yang berkaitan dengan kedudukan dan keistimewaan pemuda/pemudi sama ada di dalam al-Quran atau al-Hadis.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML