Diari Kehidupan Wanita Solehah
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Wanita Solehah ibarat sekuntum bunga yang harum yang telah di jaga dan di pelihara dengan baik. Perjalanan harian kehidupannya penuh dengan keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t. Sentiasa menjaga kehormatan diri, menutup aurat, cukup berhati-hati di dalam percakapan, pergaulan dan tidak menimbulkan fitnah dan syak wasangka.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
"Sesungguhnya dunia dan seluruh isinya adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita yang solehah." (Hadis Riwayat Muslim)
Sabda baginda lagi yang bermaksud :
"Tidak aku tinggalkan suatu fitnah sesudahku lebih merbahaya kepada kaum lelaki melainkan godaan wanita." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Wanita Solehah adalah mereka yang berilmu, cerdik dan pintar. Setiap hari mendalami Ilmu Islam, mengkaji tafsir Al- Quran, hadis Nabi, memahami ilmu realiti semasa dan tahu cara-cara mengubati penyakit masyarakat. Di malam hari menjadi seorang abid, membaca Al-Quran, berzikir kepada Allah, sembahyang tahajjud dan berdoa kepada Allah hingga menitiskan air mata.
Wanita Solehah sentiasa menghiasi diri dengan akhlak Islam dan sifat-sifat terpuji yang boleh melindungi dirinya dari kemurkaan Allah SWT, bersedia menjadi isteri yang taat kepada suami, berfikiran positif terhadap poligami dan bersedia berkongsi kasih sayang jika di takdirkan berlaku di dalam rumah tangga.Menjaga kehormatan diri, menjaga harta suami dan meneruskan proses tarbiah keatas anak-anak ketika ketiadaan suami di rumah.
Wanita Solehah juga pandai mengemas dan menghias rumah. Pandai menguruskan perbelanjaan keluarga dengan berjimat cermat dan tidak boros. Pandai mengambil hati suami dan anak-anak dan tahu menyediakan menu makanan yang berhasiat untuk keluarga dan berkemahiran menjahit pakaian.
Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “….Seseorang wanita apabila memakai bau-bauan, kemudian melewati (melintasi) di hadapan orang ramai dalam sesuatu majlis (yang ada lelaki dan bukan muhram dengannya), maka wanita itu dikira sama (dosanya) dengan zina” (Hadis Riwayat Ahmad dan al-Tarmizi)
Abu Hurairah menceritakan bahawa dia pernah bertemu dengan seorang wanita sedang pulang daripada masjid dan ia berbau wangiannya, lalu beliau menegur “Wahai hamba Allah, apakah kamu pulang dari masjid. Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa Allah SWT tidak akan menerima solat wanita yang memakai bau-bauan ke masjid sehingga dia pulang dan mandi ……” (Hadis Riwayat Abu Daud, Nasaie,Ibnu Majah dan Baihaqi)
Wanita Solehah mestilah melengkapkan diri dengan ilmu akademik, sain dan teknoloji, kedoktoran, kejururawatan dan pendidikan.Ilmu-ilmu ini amat penting untuk pembangunan masyarakat Islam yang berteraskan Al-Quran dan Sunnah.Kedoktoran dan kejururawatan amat di perlukan untuk merawat pesakit-pesakit terutama wanita Islam.
Bidang pendidikan pula amat di perlukan untuk mendidik generasi baru umat Islam kearah melahirkan satu generasi seperti generasi sahabat-sahabat Rasulullah SAW.
Wanita Solehah bersedia menjadi ibu mithali mendidik anak-anak hingga menjadi anak-anak yang soleh dan solehah. Sentiasa meniupkan semangat jihad, menanamkan asas-asas Islam dan aqidah Islam dalam jiwa anak-anaknya.
Bersabar menghadapi keranah anak-anak dan sentiasa mengujudkan biah soleha di dalam rumah hingga menjadi "rumahku, syurgaku". Dari sinilah akan melahirkan Baitul Muslim dan seterusnya masyarakat Islam dan Daulah Islamiah.
Wanita Solehah bukan sahaja menjadi isteri dan ibu solehah tetapi dia juga menjadi murabbi dan da'ie. Sentiasa sebuk menjalankan kerja-kerja dakwah dan tarbiyyah untuk mengajak para wanita lain agar mereka bersama-sama menjadi wanita-wanita yang benar-benar beriman kepada Allah SWT.
No comments:
Post a Comment