Jauhi Perasaan Was-was Kerana Ianya Daripada Gangguan Syaitan
Sahabat yang dirahmati Allah,
Perasaan was-was sering berlaku semasa kita sedang melakukan ibadah kepada Allah s.w.t.
Was-was samaada batal wudhuk atau tidak, was-was semasa mengambil wudhuk, semasa takbir untuk bersolat dan sedang bersolat terlupa berapa rekaat. Semua jenis was-was ini adalah datangnya daripada gangguan syaitan dan iblis.
Antara sebab utama berlakunya was-was; tidak memahami atau berpuas hati dengan praktikal Nabi s.a.w yang mudah dan senang dalam ibadah. Was-was wujud kerana terlalu melayan gangguan perasaan.
Kata al-Imam Ibn al-Qaiyyim: “Tanpa syak lagi sesungguhnya syaitan adalah punca kepada was-was. Mereka yang was-was mentaati syaitan, menyahut seruannya dan mengikuti perintahnya. Mereka berpaling daripada sunnah dan jalan baginda sehinggalah seseorang mereka menganggap apabila dia berwudhuk sama seperti wudhuk Rasulullah s.a.w, atau mandi seperti baginda masih tidak bersih dan tidak hilang hadasnya. Jikalau tidak disebabkan dia diberikan kemaafan kerana kejahilannya, maka tindakan itu dianggap menentang Rasulullah s.a.w”
Sahabat Rasulullah s.a.w. iaitu ‘Utsman bin Abil ‘Ash datang kepada Rasulullah dan mengadu,“Wahai Rasulullah, sesungguhnya syaitan telah hadir dalam solatku dan membuat bacaanku salah dan rancu”. Rasulullah s.a.w. menjawab, “Itulah syaitan yang disebut dengan Khinzib. Apabila kamu merasakan kehadirannya, maka meludahlah ke kiri tiga kali dan berlindunglah kepada Allah s.w.t.. Akupun melakukan hal itu dan Allah s.w.t. menghilangkan gangguan itu dariku” (Hadis Riwayat Muslim)
Masalah was-was yang dijelaskan di atas ini berlaku pada semua orang. Bezanya ialah kadar was-was yang dihadapi. Sesetengah orang turut terjebak dengan mainan syaitan, tetapi kebanyakan orang berupaya mengatasinya dengan mudah.
Maksudnya, Nabi s.a.w mengajar agar seseorang yang merasa terbatal wuduknya secara was-was atau tidak pasti tidak berhenti dari solat sehingga beliau benar-benar yakin terbatal. Solatnya tetap sah, mainan perasaan tidak diambil kira. Termasuklah dalam hal ini mereka yang terasa macam terkeluar air kencing, tetapi tidak pasti samada hanya perasaan atau benar-benar berlaku, maka solat masih dianggap sah. Melainkan dia yakin tanpa ragu bahawa angin atau air kecil benar-benar telah terkeluar.
Sahabat yang dimuliakan,
Untuk mengatasi was-was ini ulama' Islam telah memberi panduan hukum supaya kita segera mengatasi atau menghilangkan was-was tersebut.
Pertama : Jika asalnya sudah mengambil wudhuk jika timbul was-was samaada wudhuk itu batal atau tidak maka berpegang pada hukum asal iaitu masih ada wudhuk lagi.
Kedua : Bagi mereka yang menghadapi masalah semasa mengambil wudhuk, orang yang berkenaan hendaklah faham dan sedar bahawa apa yang berlaku adalah akibat was-was syaitan, dan jangan mengulangi membasuh anggota wudhuk lebih daripada tiga kali. Selagi seseorang itu mengulangi basuhan pada anggota wudhuk, maka was-was yang dialami akan menjadi lebih hebat lalu akhirnya keadaan menjadi lebih gawat.
Dalam sebuah hadis Nabi s.a.w bersabda maksudnya : "Bagi wudhuk itu ada satu kumpulan syaitan dinamakan al-Wilhan, maka berhati-hatilah."
Akibat daripada gangguan makhluk jenis ini, seseorang itu boleh terganggu akibat was-was yang menyelinap dalam dirinya, menyebabkan orang yang berkenaan mengulangi bacaan niatnya berkali-kali, membasuh anggota wudhan sebagainya. Terasa juga air tidak sampai pada celah-celah kuku dan sebagainya. Semuanya itu berlaku akibat daripada was-was syaitan yang boleh menyebabkan seseorang itu mengambil wudhuk hingga basah dan mengambil masa yang begitu lama.
Ketiga : Jika semasa takbir untuk memulakan solat ada gangguan syaitan maka bacalah surah an-Nas, minta perlindungan Allah s.w.t supaya terhindar daripada gangguan syaitan. Yakin niat yang dilakukan itu betul dan sah dan jangan rasa ragu-ragu. Nama syaitan yang menganggu adalah Khinzab.
Saat mulai membaca takbiratul ihram “Allahu Akbar” , ia ragu apakah takbir yang dilakukannya itu sudah sah atau belum sah. Sehingga ia langsung mengulanginya lagi dengan membaca takbir. Peristiwa itu terus menerus terulang, terkadang sampai imamnya hampir ruku’.
Ibnul Qayyim berkata, “Termasuk tipu daya syaitan yang banyak menggangu mereka adalah was-was dalam bersuci (berwudhu) dan niat atau saat takbiratul ihram dalam solat”. Was-was itu membuat mereka tersiksa dan tidak nyaman"
Keempat : Terlupa bilangan rekaat semasa solat.
Jika semasa sedang solat terlupa samaada sudah dilakukan rekaat ke 3 atau ke 4, maka perlu dianggap baru rekaat ke3 dan tambah satu rekaat lagi dan selepas tahyat akhir sujud sahwi dua kali sujud.
Abu Hurairah r.a berkata, “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah bersabda, “Jika salah seorang dari kalian solat, syaitan akan datang kepadanya untuk menggodanya sampai ia tidak tahu berapa rakaat yang ia telah kerjakan. Apabila salah seorang dari kalian mengalami hal itu, hendaklah ia sujud dua kali (sujud sahwi) saat ia masih duduk dan sebelum salam, setelah itu baru mengucapkan salam” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Abu Hurairah r.a berkata, “Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya, “Apabila dikumandangkan adzan solat, syaitan akan berlari seraya terkentut-kentut sampai ia tidak mendengar suara adzan tersebut. Apabila muadzin telah selesai adzan, ia kembali lagi. Dan jika iqamat dikumandangkan ia berlari. Apabila telah selesai iqamat, dia kembali lagi. Ia akan selalu bersama orang yang solat seraya berkata kepadanya, ingatlah apa yang tadinya tidak kamu ingat! Sehingga orang tersebut tidak tahu berapa rakaat ia shalat” (Hadis Riwayat Bukhari)
Kelima : Melihat kekiri dan kanan akibat godaan syaitan.
Orang yang melihat ke kiri atau ke kanan, itulah akibat godaan syaitan penggoda. Kerana itu, setelah takbiratul ihram, pusatkan pandangan pada satu titik. iaitu tempat sujud. Sehingga perhatian kita menjadi fokus dan tidak mudah dicuri oleh syaitan.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a, ia berkata, “Saya bertanya kepada Rasulullah s.a.w. tentang hukum melihat ketika solat”. Rasulullah s.a.w. menjawab, “Itu adalah curian syaitan atas solat seorang hamba” (Hadis Riwayat Bukhari)
Keenam : Menguap ketika solat adalah daripada syaitan .
Rasulullah s.a.w. bersabda, “Menguap ketika solat itu dari syaitan. Kerana itu bila kalian ingin menguap maka tahanlah seboleh mungkin” (Hadis Riwayat Thabrani).
Dalam riwayat lain Rasulullah s.a.w. bersabda, “Adapun menguap itu datangnya dari syaitan, maka hendaklah seseorang mencegahnya (menahannya) selagi boleh. Apabila ia berkata ha… berarti syaitan tertawa dalam mulutnya” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ketujuh : Rasa seperti buang angin.
Adapun rasa ‘keluar angin’ (kentut) tetapi tidak pasti atau tidak yakin bahawa betul-betul keluar atau hanya perasaan sahaja, maka itu tidak membatal wudhuk dan solat. Nabi s.a.w mengajar kita agar perasaan was-was seperti ini tidak diambil kira. Sabda Nabi s.a.w maksudnya, “Seorang lelaki mengadu kepada Nabi s.a.w bahawa dia merasa sesuatu semasa dalam solatnya, apakah dia patut berhenti?. Jawab Nabi s.a.w: “Jangan sehinggalah mendengar bunyi (kentut) atau mendapati bau (kentut)”. (Hadis Riwayat Bukhari)
Sabda Nabi s.a.w maksudnya, “Apabila salah seorang dari kalian bimbang atas apa yang dirasakan di perutnya apakah telah keluar sesuatu darinya atau tidak, maka janganlah sekali-kali ia keluar dari masjid sampai ia yakin telah mendengar suara (keluarnya angin) atau mencium baunya” (Hadis Riwayat Muslim)
Kelapan : Merasai air kencing terkena pakaian.
Bagi mengelakkan was-was yang merasai air kencing terkena pakaian atau masih terkeluar dari kemaluan, dicadangkan agar selepas membuang air kecil, diambil air dan direnjis pada pakaian yang berhampiran. Tujuannya, agar jika ternampak apa-apa kesan air, maka anggaplah itu air renjisan tadi.
Al-Imam Ahmad telah ditanya oleh seorang lelaki yang selepas berwuduk masih merasa berhadas. Kata al-Imam Ahmad: “Ambil air dalam tapak tangan dan renjis pada kemaluanmu dan jangan peduli lagi, kerana itu menghilangkan syak insya Allah”.
Cadangan al-Imam Ahmad ini berteraskan hadis: “Bahawa Nabi s.a.w kencing, kemudian berwudhuk dan merenjiskan air pada kemaluan baginda” (Hadis Riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani).
Nabi s.a.w melakukan perbuatan tersebut sebagai panduan kepada kita.
Sahabat yang dikasihi,
Bagi orang yang rasa berdebar-debar, tidak menentu dan menjadi bingung, terasa sedih dan ada kalanya lupa bacaan-bacaan yang selalunya diingati ketika solat, orang yang seumpama ini sebenarnya mengalami was-was syaitan pada peringkat yang tinggi, bukan lagi seperti yang dialami oleh orang biasa. Besar kemungkinan ia mengalami gangguan iblis dan syaitan yang mengganggu rohnya.
Was-was adalah berpunca dari kurang faham sifat Islam ini. Sedang Nabi s.a.w memberitahu kita: “Agama itu mudah. Tiada seorang yang memberat-beratkannya melainkan dia menjadi susah. Maka bersederhanalah, dekatilah yang tepat dan gembirakanlah mereka”
(Hadis Riwayat al-Bukhari).
Oleh itu marilah sama-sama kita jauhi diri kita daripada perasaan was-was yang di bisikkan oleh syaitan. Sentiasalah mengingati Allah s.w.t dan sering membaca do'a perlindung daripada gangguan syaitan, sesungguhnya syaitan itu lemah dan tidak berupaya menganggu kita jika hati dan jiwa kita benar-benar yakin kepada Allah s.w.t.
No comments:
Post a Comment