Thursday, January 2, 2014

HAK

Wanita Solehah : Hak Yang Perlu di Rebut

Sahabat yang dimuliakan, 
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
"Sesungguhnya dunia dan seluruh isinya adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita yang solehah."
(Hadis Riwayat Muslim)

Sabda baginda lagi yang bermaksud :
"Tidak aku tinggalkan suatu fitnah sesudahku lebih merbahaya kepada kaum lelaki melainkan godaan wanita."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Begitulah kedudukan wanita, tidak kira samaada ia sebagai remaja, gadis perawan, sebagai isteri atau sebagai ibu. Apabila ia seorang yang solehah, maka mereka merupakan sebaik-baik kedudukan di antara seisi dunia. Tetapi jika sebaliknya, mereka merupakan suatu fitnah yang merbahaya kepada dunia. Walaupun mereka tidak berniat untuk membuat fitnah, tetapi wanita itu sendiri dengan kehadirannya boleh membawa fitnah jika tidak dipandu dan dikawal oleh syariat.

Masakan tidak, memandangnya saja boleh menimbulkan fitnah jika tubuhnya tidak dibaluti pakaian yang menutup aurat. Melangkah saja ia boleh mendatangkan fitnah jika ia melangkah tanpa mengikut peraturan syariat.

Allah s.w.t. tidak mengenakan sedemikian kawalan yang ketat keatas mereka jika mereka tidak sedemikian bahaya.Bukankah Rasulullah s.a.w. telah mengingatkan tentang wanita dalam sabdanya yang bermaksud :
"Wanita adalah alat perangkap (yang digunakan oleh) syaitan."
(Hadis Riwayat Asy-Shihaab)

Maka amatlah wajar bagi wanita memahami kedudukan mereka, supaya mereka boleh berusaha mendapatkan kedudukan mereka sebagai perhiasan dunia yang terbaik, yang solehah, yang dapat memberi ketenteraman kepada gelora yang melanda masyarakat manusia dan dapat menjauhi diri mereka sebagai perangkap syaitan. Berlakunya gejala sosial dewasa ini dengan lahirnya anak-anak luar nikah adalah kerana wanita telah menyalahgunakan kedudukan dan kemuliaan yang telah Allah kurniakan kepada mereka.

Pergaulan bebas diluar batas yang Islam benarkan menyebabkan kerosakkan dan kehancuran nilai-nilai murni kaum wanita sendiri. Maka amatlah wajar juga wanita ini berusaha memadamkan segala fitnah yang mungkin timbul, yang mengiringi mereka ke mana saja mereka pergi.

Untuk menjadi wanita solehah yang berperanan sebagai gadis perawan, isteri, ibu dan mujahidah serta terhindar daripada segala fitnah yang timbul, ia mestilah mencontohi keperibadiaan wanita-wanita Islam terdahulu, yang telah terbukti kesolehahan dan sumbangan besar mereka kepada pejuangan Islam.Kenang-kenangkan kemuliaan peribadi, pengorbanan dan perjuangan Siti Khadijah, Siti Aisyah, Siti Fatimah Az-Zahra, Rabiyatul Adawiyah, Zainab al-Ghazali dan tokoh-tokoh wanita silam. 
Sesungguhnya mereka telah meninggalkan teladan dan mutiara yang tak ternilai buat kita.

Berdasarkan hadis dari Nabi s.a.w menyatakan bahawa keutamaan dan pahala kepada wanita yang bersembahyang di dalam bilik dan di dalam rumah melebihi daripada Masjid Nabawi. Sepertimana kita ketahui bahawa  sembahyang di Masjid Nabawi pahalanya amat besar sehingga tidak terkira jumlahnya daripada bersembahyang di masjid-masjid lain di dunia ini. Melainkan bila ada majlis-majlis ilmu yang diadakan di masjid-masjid yang mana wanita digalakkan hadir untuk mendengar dan mempelajarinya.

Selain daripada itu banyak lagi keterangan tentang kelebihan dan gandaan pahala terhadap kaum wanita yang melakukan tugas mereka yang tugas itu berkait rapat dengan tugas sebagai isteri dan ibu.

Sahabat yang dikasihi Allah,
Apabila seorang wanita telah berkahwin, ia tidak diwajibkan untuk bekerja dan menyara keluarga kerana tugas untuk memberi nafkah adalah tugas dan tanggungjawab suami, tetapi sekiranya ia memiliki kelulusan dan kemahiran dan bekerja tidaklah dilarang dengan syarat ia menjaga akhlak dan kesopanan dirinya. Begitu juga jika ia redha untuk membantu suami dalam perbelanjaan keluarga tidaklah dilarang. Tetapi perlu diingatkan bahawa tugas asasi wanita adalah mentaati suami dan mendidik anak-anak tugas ini adalah tugas yang lebih utama daripada tugas yang lain.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : "Apabila seorang wanita (isteri) itu telah melakukan sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadhan, menjaga maruahnya dan mentaati perintah suaminya, maka ia dijemput di akhirat supaya masuk Syurga mengikut pintunya mana yang ia suka (mengikut pilihannya)."

Dalam hadis yang lain Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : "Mana-mana wanita yang melayani suaminya, meminyak rambut suaminya, menyikat janggutnya, mengunting misainya, mengerat kukunya, maka ia di akhirat ia diberi minum oleh Allah daripada air Syurga dan ia diringankan siksaan ketika sakaratulmaut (dekat hendak mati), di dalam kubur ia perolehi taman-taman seperti taman Syurga dan namanya tercatit sebagai orang yang lepas daripada siksaan Neraka dan selamat melintasi Titian Sirat tanpa menempuh kesusahan."

Saydatina Aisyah berkata, jika para wanita tahu akan betapa besarnya pahala memenuhi (melayan) hak suami, nescaya mereka sanggup mencuci debu-debu ditapak kaki suami mereka dengan muka mereka sendiri.

Sabdanya lagi yang bermaksud : "Sukakah aku beritahu siapakah dan bagaimana sifat isterimu yang bakal di tempatkan di Syurga?. Jawab para sahabat ,'Bahkan kami suka.' Sabda Nabi s.a.w , 'Iaitu tiap-tiap isteri yang bersifat kasih sayang dan melahirkan banyak anak. Dan apabila ia dimarahi oleh suaminya, ia menyerah diri untuk di hukum sehingga suaminya redha (memaafkan kesalahannya)..."

Sahabat,
Wanita sayugianya menyedari bahawa tugas, tanggungjawab dan peranan mereka adalah berat, sukar untuk dilaksanakan dan sulit untuk di selesaikan tanpa panduan dan pemahaman yang benar-benar ikhlas dan mendalam. Sedarlah, bahawa jalannya sukar untuk menjadi suatu perhiasan yang terbaik atau untuk memiliki pangkat solehah itu, tapi usaha ke arah itu adalah wajib dibuat.

Juga sedarlah, bahawa diri wanita itu adalah senjata syaitan yang paling ampuh untuk melahirkan kerosakan kepada lelaki khasnya dan masyarakat amnya, dan senjata ini telah terbukti berkesan jika diikuti rentetan sejarah kehidupan manusia sejak penciptaan Nabi Adam a.s. Dari itu, berwaspadalah dan teruskan usaha mengejar anugerah Syurga yang dijanjikan Allah kepada wanita-wanita yang solehah.

 Sahabat yang dihormati,
Terdapat di dalam kitab 'Uqud Al-Lujan' bahawa Nabi s.a.w bersabda maksudnya : Empat wanita yang menjadi penghuni Syurga :

Pertama : Wanita yang menjaga dirinya daripada perkara yang haram dan ia tetap berbakti kepada Allah (mematuhi hukum Allah).

Kedua : Wanita yang banyak keturunan (melahirkan banyak anak ) lagi penyabar serta ia menerima sahaja pemberian Allah itu dan ia sabar dengan kehidupan yang serba kurang (qana'ah) dan apa sahaja yang diberikan suaminya.

Ketiga : Wanita yang bersifat pemalu. Apabila suaminya pergi (keluar menjalankan tugas) ia menjaga dirinya dan tetap beramanah dengan harta suaminya. Jika suaminya pulang ia menjaga mulutnya daripada berkata yang boleh menguriskan hati suaminya.

Keempat : Wanita yang kematian suami dan ia mempunyai anak, dan ia tetap menjaga diri dan terus menerus menjaga dan mendidik anaknya (yang yatim) dan ia tidak bersedia untuk berkahwin kerana takut anak-anaknya terbiar."

Demikianlah gambaran daripada hadis-hadis Nabi s.a.w. tentang kelebihan darjat kaum wanita dan betapa mudahnya mereka mendapat darjat yang tinggi itu di sisi Allah serta betapa mudahnya jalan yang dibuka oleh Allah untuk memasuki Syurga.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML