Thursday, January 2, 2014

UMAT ISLAM KINI

Maruah Umat Perlu di Pulihkan.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Umat Islam sekarang ini dibebankan dengan berbagai-bagai permasalahaan yang tidak putus-putus datang silih berganti. Masaalah baru datang sedangkan masaalah lama masih belum selesai. Para pemimpin Islam bangun untuk memberi beberapa saranan dan cadangan tetapi tidak membuahkan hasil yang konkrit. Mungkin cadangan itu hanya berbentuk teori semata-mata.

Masaalah besar yang melanda umat Islam adalah masaalah murtad, keruntuhan akhlak para belianya (penagihan dadah, perzinaan, buang anak, merempet di jalan raya dan disiplin pelajar di sekolah amat merisaukan), perpecahan dan tuduh menuduh sesama muslim dan budaya fitnah memfitnah dan saman menyaman walaupun dalam perkara-perkara kecil yang boleh diselesaikan dengan cara rundingan dan maaf bermaafan. Ini tidak termasuk kadar jenayah yang dilakukan oleh umat Islam makin bertambah dari hari kehari.

Saranan untuk membina sebuah bangsa yang bermaruah, sudah menjadi perkara lumrah. Ramai orang, terutama pemimpin-pemimpin, bercakap tentang hal ini.

Walaubagaimanapun, hasilnya amat mengecewakan, apalagi jika diukur mengikut kehendak Islam. Menurut Islam, maruah sesuatu bangsa bukanlah dinilai pada kemampuan mencapai tahap hidup yang tinggi, pembangunan yang pesat, kemerdekaan mentadbir dan memerintah, atau sistem pertahanan yang kukuh sepertimana anggapan sesetengah pihak.

Maruah bangsa sebenarnya terletak pada tiga perkara iaitu iman, Islam dan akhlak. Justeru itu, usaha untuk meninggikan maruah bangsa dan menyelesaikan keruntuhan akhlak, sepatutnya tertumpu kepada tiga aspek ini. Maksudnya, kita mesti melaksanakan program pembangunan insan dengan menyemai dan menyuburkan ketiga-tiga perkara itu dalam diri setiap anggota masyarakat. Di atas tapak ini, barulah kemajuan dan pembangunan fizikal dapat dilaksanakan dengan selamat dan bermanfaat.

Kemajuan dan pembangunan walau setinggi mana tidak akan ada ertinya tanpa iman, Islam dan akhlak. Kita sepatutnya tidak terikut-ikut dengan slogan berpaling ke timur atau ke barat demi menebus maruah bangsa. Ukuran maruah yang digariskan oleh Al-Quran dan Sunah tidak dapat ditandingi oleh sebarang kayu ukur yang digunakan oleh golongan-golongan yang lain. Kita punya keyakinan dan identiti yang lebih agung dan suci.

Firman Allah SWT. yang bermaksud : "Allah telah berjanji menolong orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh. Sesungguhnya Dia menjadikan mereka khalifah (penguasa) di muka bumi,"(Surah An-Nur ayat 55)

Sahabat yang dihormati,
Malangnya fahaman yang salah tentang maruah itulah yang masih dilaung-laungkan dalam masyarakat kita. Program pembangunan lahiriah masih diutamakan sedangkan perkara-perkara asas yang berkait dengan iman, Islam dan akhlak sering dicabul sewenang-wenangnya. Hukum-hukum Islam kerap tergadai demi mengejar apa yang kononnya berupa kemajuan dan pembangunan.

Kalau adapun program-program pembangunan insan yang dilaksanakan, ia belum mampu menangkis kerosakan dan kepunahan yang berlaku. Ketika dilaungkan peri pentingnya membina cara hidup yang sihat, diwar-warkan program Tilawah Al-Quran, Foram Perdana, tetapi.. kelab-kelab malam, pusat perjudian, konsert-konsert yang melalaikan dan anasir-anasir kemusnahan yang lain diberi ruang yang seluas-luasnya untuk mengimbangi seruan tadi. Pada ketika umat Islam diseru kembali kepada menghayati ajaran Islam, hukum Allah dipersenda, ulama dihina, digam dan diperlekehkan. Bak kata pepatah, 'Tangan kanan membina, tangan kiri meruntuh.'

Hakikatnya, kita sedang mengalami dua bentuk kerugian, iaitu kerugian di dunia dan kerugian di akhirat. Di dunia, kemunduran ekonomi dan kepincangan politik terus mencengkam kita, di samping masyarakat semakin kronik dengan penyakit-penyakit sosial. Di akhirat, azab neraka menunggu pemimpin umat Islam yang engan dan cuai untuk membangunkan iman, Islam dan akhlak. 

Sedangkan jika umat Islam berusaha meninggikan maruahnya dalam ertikata yang sebenar, mereka akan terbela di dunia dan di akhirat. Umat yang benar-benar beriman akan di bela oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT. yang bermaksud : "Sesungguhnya berhak atas Kami menolong orang mukmin." (Surah Ar-Rum ayat 47)

Begitu juga, Allah SWT akan membantu orang-orang yang menegakkan agama-Nya, firman Allah SWT. yang bermaksud, "Jika sekiranya kamu menolong (menegakkan agama) Allah, nescaya Dia akan menolong kamu dan menguatkan pendirian kamu terhadap musuh-musuh kamu." (Surah Muhammad ayat 7)

Sahabat yang dikasihi,
Apabila dilihat generasi Rasulullah SAW dan para sahabat, mereka telah membuktikan kejayaan mereka menegakkan Daulah Islamiah yang berdaulat dan maruah mereka sangat tinggi kerana mempunyai iman yang kental, gigih menegakkan Islam dan memiliki akhlak yang terpuji. Mereka sangat perihatin terhadap perkara-perkara yang mempunyai kaitan dengan iman, Islam dan akhlak. Dan mereka akan mempertahankannya sekalipun terpaksa mengorbankan nyawa.

Setelah berjaya menegakkan pembangunan insan, para sahabat mula mengorak langkah membina satu tamadun dan pembangunan fizikal yang sukar ditandingi. Dunia sujud di tapak kaki mereka. Dan mereka beroleh dua kemuliaan iaitu di dunia dan di akhirat, sesuai dengan apa yang menjadi pegangan mereka;' Hidup biar mulia, mati biar syahid!'

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML