Thursday, January 2, 2014

EMPAT SYARAT WANITA SOLEHAH UNTUK KE SYURGA

Wanita Solehah Berusaha Untuk Memenuhi Empat Syarat Untuk Memasuki Syurga


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Apabila seorang wanita (isteri) itu telah melakukan sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadan, menjaga maruahnya dan mentaati perintah suaminya, maka ia dijemput di akhirat supaya masuk syurga mengikut pintunya mana yang ia suka (mengikut pilihannya).”  (Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan Thabrani)

Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa Allah SWT Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang telah memberi peluang keemasan kepada setiap wanita yang beriman bahawa untuk memasuki syurga-Nya yang penuh kenikmatan adalah melalui empat syarat sahaja. Sedangkan seorang lelaki yang beriman ia kena melalui banyak halangan dan dugaan dan melaksanakan beberapa tanggung jawab kepada Allah SWT. terlebih dahulu barulah ia layak memasuki syurga Allah SWT melainkan para syuhada yang syahid di jalan Allah SWT.

Empat syarat tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Melakukan solat lima waktu.

Solat merupakan pemisahan antara keimanan dan kekufuran yang haq dan yang bathil.Allah SWT berfirman yang bermaksud:”Maka dirikankanlah solat itu (sebagaimana biasa)sesungguhnya solat itu adalah kewajipan yang ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman ” (Surah An-Nissa’ ayat 103)

Diriwayatkan dari Jabir r.a. katanya, Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Perumpamaan solah lima waktu ialah seperti seseorang yang mandi di sebatang sungai yang dalam yang mengalir di hadapan rumahnya sebanyak lima kali sehari.”(Hadis Riwayat Muslim)

Kedua : Puasa di bulan Ramadan.

Dari Abu Hurairah r.a. bersabda Rasulullah SAW. maksudnya :: “Setiap amanalan anak Adam (manusia) itu digandakan satu kebaikan dengan sepuluh yang seumpamanya hingga kepada 700 kali ganda. Firman Allah s.w.t. (maksudnya) :” Kecuali puasa yang dikerjakan untuk Ku, maka Aku-lah yang membalasnya. Dia menahan syahwatnya dan meninggalkan makan kerana Aku” Bagi orang yang puasa itu ada dua kegembiraan, iaitu gembira ketika berbuka (atau berhari raya) dan gembira ketika menemui Tuhannya kelak. Dan, demi bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum daripada bau kasturi.” (Hadis Riwayat Muslim )

Ketiga : Menjaga maruahnya.

Wanita solehah yang menjaga maruahnya adalah wanita yang sentiasa menghiasi diri dengan akhlak Islam dan sifat-sifat terpuji yang boleh melindungi dirinya dari kemurkaan Allah SWT. Bila ia keluar rumah sentiasa menutup aurat dan menjaga perhiasan diri tidak bersolek berlebih-lebihan dan berwangi–wangian hingga menimbulkan fitnah, menjaga pergaulannya, menjaga lidah dan tidak mengumpat dan mengadu domba. Dia adalah wanita yang berilmu, cerdik dan pintar. Setiap hari mendalami Ilmu Islam, mengkaji tafsir Al- Quran, hadis Nabi, memahami ilmu realiti semasa dan tahu cara-cara mengubati penyakit masyarakat. Di malam hari menjadi seorang abid, membaca Al-Quran, berzikir kepada Allah, sembahyang tahajud dan berdoa kepada Allah hingga menitiskan air mata.

Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud :”Sesungguhnya dunia dan seluruh isinya adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita yang solehah.”(Hadis Riwayat Muslim)

Keempat : Mentaati perintah suami.

Rasulullah SAW. bersabda yang maksudnya:“Sebaik-baik isteri ialah yang dapat menyenangkan hati suaminya apabila engkau (suami) melihatnya dan apabila disuruh dia menurut perintahmu, dan dia dapat menjaga kehormatan dirinya dan hartamu ketika engkau tiada di rumah.”(Hadis Riwayat Thabrani)

Seorang lelaki perlu pergi berjihad fisabilillah tetapi wanita jika taat akan suaminya serta menunaikan tanggungjawabnya kepada Allah SWT akan turut menerima pahala seperti pahala orang pergi berperang fisabilillah tanpa perlu mengangkat senjata.

Sahabat yang dimuliakan,
Wanita yang layak untuk memiliki peluang dan jalan yang mudah ini adalah khusus untuk wanita yang berkahwin kerana dengan perkahwinan ini barulah teruji kesetiaannya menjadi isteri dan ibu yang solehah. Barulah segala kelebihan dan pahala yang berlipat ganda akan diperolehi semasa berkhidmat sebagai isteri dan ibu yang penuh bertanggungjawab.

Kekurangan untuk wanita yang tidak berkahwin khususnya bagi kaum wanita, adalah lebih banyak berbanding dengan lelaki. Kerana umumnya bagi kaum wanita, pintu syurga lebih banyak bermula dan berada di sekitar rumahtangga, suami dan anak-anak. Bagi kaum wanita, untuk mendapat maqam solehah dan menjadi ahli syurga di akhirat adalah amat mudah. Ini adalah berdasarkan hadis Nabi SAW di atas.

Sekiranya seorang wanita itu tidak berkahwin, ia tidak akan dapat mencapai kesempurnaan pada maqam yang keempat. Walau sehebat mana sekalipun ia bersembahyang, berpuasa dan menjaga maruah, wanita yang tidak berkahwin tidak akan mendapat kelebihan pada mentaati suami.

Oleh itu wanita dianjurkan berkahwin apabila telah menemui pasangan yang sekufu. Yang dimaksudkan sekufu yang utama ialah dari segi iman, takwa, berilmu walaupun lelaki tersebut telah berkahwin dan bukan seorang hartawan.

Sabda Rasulullah s.a.w. maksudnya : “Apabila datang kepada kamu lelaki yang beragama dan berakhlak maka kahwinlah dia, kalau tidak akan timbul fitnah dan kebinasaan. Para sahabat bertanya, “Bagaimana kalau ia telah berkahwin?” Jawab baginda, “Kahwinilah juga ia (diulang sebanyak tiga kali).”

Maksudnya disini bukanlah menjadi satu masaalah bagi lelaki yang telah berkahwin untuk melamar dan mengawini seorang wanita. (berpoligami)

Begitulah besarnya pahala bagi wanita yang berkahwin. Tidak perlu bersusah-payah untuk keluar rumah seperti kaum lelaki atau berslogan seperti kebanyakan wanita hari ini. Hanya dengan duduk di rumah sebagai seorang isteri dan ibu sudah memperolehi banyak pahala.

Kalau suami reda dengan perlakuan seorang isteri itu maka akan terus masuk syurga tanpa melalui kesukaran. Nikmat ini tidak akan dapat diperolehi oleh wanita yang menolak perkahwinan kerana dia telah menolak untuk menjadi calon wanita solehah yang berada di bawah naungan suami.

Sahabat yang dihormati,
Kenapakah Nabi SAW ada mengatakan ramai ahli neraka adalah wanita? Apakah salah silapnya yang menjadikan penghuni neraka majoritinya adalah wanita.?

Daripada Usamah r.a. daripada Nabi SAW sabdanya, “Aku berdiri dimuka pintu syurga lalu (kelihatan) kebanyakan orang yang masuk kedalamnya ialah orang-orang yang miskin, sedangkan orang-orang kaya ditahan, manakala ahli-ahli neraka pula disuruh bawa ke dalam neraka. Ketika aku berdiri dipintu neraka pula (kelihatan) kebanyakan yang masuk ke dalam ialah orang-orang perempuan”. (Hadis Riwayat Muslim)

Apabila dibuat beberapa kajian sebab musabab kenapa wanita ramai di neraka maka terdapat beberapa faktor yang menyebabkan keadaan ini boleh berlaku.

Sebab-sebabnya adalah seperti berikut :

1. Wanita sering tidak bersyukur dengan nikmat rezeki yang dibawa balik oleh suaminya. Suka kepada kemewahan dan perhiasan yang hebat-hebat dan cantik.

2. Wanita sering menderhakai pada suaminya. Suka berbantah-bantah dan sentiasa menegakkan pendapatnya tanpa menghiraukan perasaan suami. Wanita yang meminta cerai kerana suaminya bercadang berpoligami bukan kerana dia dizalimi maka ini adalah   satu dosa kerana hak berpoligami adalah hak yang diberikan oleh Islam kepada kaum lelaki dengan syarat suami berkemampuan.

3. Wanita sering tidak menjaga kehormatan diri seperti suka membuka aurat (tidak bertudung kepala) dan suka berhias-hias untuk memperlihatkan kecantikannya kepada yang bukan mahram atau suami . Ada yang bertudung kepala tetapi memakai seluar dan baju yang ketat hingga menampakkan bentuk -bentuk badannya. Wanita juga tidak dapat menjaga batas pergaulan yang ditetapkan syariat.

 Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Ada dua golongan penghuni neraka yang aku belum pernah melihatnya: Lelaki yang tangan mereka mengenggam cambuk yang mirip ekor sapi untuk memukul orang lain dan wanita-wanita yang berpakaian namun telanjang dan lenggang-lenggok. Kepalanya bergoyang-goyang seperti bonggol unta. Mereka itu tidak masuk syurga dan tidak pula mencium baunya. Padahal sesungguhnya bau syurga itu boleh tercium dari jarak sekian dan sekian.” (Hadis Riwayat Muslim).

4. Wanita sukar untuk menjaga lidahnya daripada mengumpat dan mengadu domba. Dan sering menggunakan lidahnya untuk menyakiti hati suami dan orang lain. Terdapat juga sebahagian wanita yang fasik tidak dapat mengawal nafsunya hingga sanggup melakukan zina.

5. Wanita kadangkala meninggalkan solat disebabkan kesibukkan dalam kenduri kendara , ketika sakit di hospital dan ketika bermusafir. Wanita juga kerap meninggalkan solat ketika peringkat akhir haid. Contoh jika habis haid jam 3 petang sedangkan beliau berada dipejabat sedangkan waktu zohor masih ada, biasanya wanita akan mengqada solat zohor di buat waktu asar selepas balik dari pejabat selepas mandi hadas besar dirumah. Sedangkan dalam Islam solat wajib dikerjakan apabila sudah bersih daripada hadas besar dan disegerakan mandi hadas besar.

6.Wanita juga sering melambat-lambatkan mengqadakan puasa Ramadan hingga masuk tahun baru yang akan mengakibatkan di kenakan fidyah puasa. Wanita kurang prihatin mengenai bayaran fidyah puasa yang akan mengakibatkan berhutang dengan Allah SWT di akhirat nanti.

Sahabat yang dikasihi,
Oleh itu wahai sahabat-sahabatku kaum wanita yang beriman! Jauhlah diri kalian daripada enam amalan dan perbuatan yang dinyatakan di atas, yang boleh mendatangkan dosa besar dan akan mengheret kalian ke neraka. Rebutlah peluang keemasan ini iaitu melakukan ketaatan kepada empat perkara yang dinyatakan di atas. Ini adalah tawaran Allah SWT yang paling mudah untuk kalian memasuki syurga Allah SWT melalui mana-mana lapan pintu-pintu syurga yang kalian pilih.


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML