Monday, December 30, 2013

TANGGUNGJAWAB SEBAGAI ORANG ISLAM

Orang Islam Yang Bertanggungjawab Tidak Akan Meninggalkan Kerja -kerja Amar Makruf Nahi Mungkar.

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Hidup sebagai seorang mukmin sentiasa dipertanggungjawabkan dengan tugas dan amanah yang besar. Selain diamanahkan menjadi seorang suami dan ayah untuk membimbing keluarganya, dia juga bertanggungjawab untuk memimpin umat ini semoga tugas sebagai khalifah Allah dimuka bumi ini dapat di jalankan dengan sempurna.

Tugas untuk memimpin umat ini bergerak di dalam Jemaah Islam di panggil sebagai daie dan murabbi. Tugas sebagai daie dan murabbi bukanlah tugas yang mudah dan boleh dibuat sambil lewa kerana kerana kesilapan kita memimpin umat Islam dan berlaku penyelewengan akan mengakibatkan  Islam di fitnah dan menyebabkan orang akan lari daripada ajaran Islam maka kita akan menanggung dosanya.

Tugas untuk mengajak kepada kebaikan dan meninggalkan kemungkaran adalah tugas yang amat mulia kerana tugas ini adalah tugas para rasul yang diutus oleh Allah S.W.T. Islam tidak akan tersebar luas apabila tugas amar makruf nahi mungkar ini tidak dilaksanakan dan gejala kerosakan dan kefasadan akan tersebar luas dan semakin parah bila umat Islam hanya mementingkan diri sendiri dan tidak mahu pikul bersama tugas yang mulia ini. Pasti bala Allah S.W.T akan turun ditempat itu jika tidak ada usaha-usha yang berterusan mencegah kemungkaran dan mengajak kepada kebaikan.


Ketahuilah, bahawasanya amar makruf (menyuruh melakukan kebaikan) dan nahi mungkar (mencegah melakukan kejahatan) adalah puncak tertinggi dalam agama. Ia merupakan suatu soal yang amat penting sekali, yang kerananya Allah  S.W.T. telah mengutuskan para Nabi sekalian.

Andaikata tugas ini dilengahkan dan segala jentera amar makruf dan nahi mungkar itu dicuaikan, sama ada dalam ilmu pengetahuan mahupun amalan, tentulah kesesatan bermaharajalela dan kejahilan terus akan melanda setiap orang, dan ketika itu negara akan menjadi rosak binasa manakala rakyatnya menjadi kacau bilau.

Tugas menjalankan amar makruf dan nahi mungkar, iaitu menyuruh membuat kebaikan dan melarang dari membuat kejahatan menjadi wajib, di kaji dari beberapa ayat al-Quran al-Karim seperti berikut:

Allah S.W.T. berfirman maksudnya : “Dan hendaklah  ada di antara kamu  segolongan umat yang menyeru (manusia) kepada kebajikan menyuruh kepada yang makruf  dan mencegah dari yang mungkar, merekalah orang yang beruntung." 
(Surah Ali-Imran ayat 104)

Ayat yang tersebut di atas jelas sekali menunjukkan kewajiban hukum amar makruf dan nahi munkar. Sebab perkataan ' waltakun 'yang bermaksud hendaklah ada, ini adalah suatu perintah, dan zahir sekali perintah itu menunjukkan kewajiban perkara yang disuruh. Kemudian dalam ayat itu diterangkan pula perkataan beruntung yang mana pencapaian tingkat itu bergantung dengan melakukan perintah yang wajib tadi. Perhatikanlah firmanNya: 'Wa Ulaika Humul Muflihuun' yang maksudnya: Merekalah orang yang beruntung. Ternyata padanya bahwa tugas itu merupakan wajib fardu Kifayah, bukannya fardu ‘Ain, yang mana bila sesuatu ummat atau golongan menjalankan perintah atau tugas itu, maka gugurlah kefarduannya ke atas manusia yang lain.

Allah S.W.T. berfirman lagi yang bermaksud :
“Dan orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan setengah mereka menjadi pemimpin kepada setengah yang lain; mereka menyuruh mengerjakan yang baik dan melarang dari mengerjakan yang jahat dan mereka mendirikan sembahyang.”
(Surah at-Taubah: 71)

Allah S.W.T. telah mensifatkan orang-orang yang beriman itu sebagai orang-orang yang menyuruh mengerjakan kebaikan, maka dengan itu sesiapa yang meninggalkan tugas menyuruh membuat yang baik itu terkeluarlah ia daripada golongan orang-orang yang disifatkan oelh Allah Ta’ala dalam ayat tersebut sebagai orang yang beriman:

Berfirman Allah lagi maksudnya :
"Telah dilaknat orang-orang kafir dari Bani Israil dengan lisan Daud dan Isa putera Maryam. Yang demikian itu, disebabkan mereka derhaka dan selalu melampau batas. Mereka tidak saling mencegah perbuatan mungkar yang selalu mereka perbuat. Sesungguhnya amat buruklah apa yang selalu mereka perbuat itu." (Surah al-Maaidah ayat 78-79)

Ayat tersebut merupakan kemuncak ancaman dan kemurkaan dari Allah  S.W.T. kerana yang menyebabkan mereka ditimpa laknat itu ialah kerana mereka meninggalkan nahi mungkar; iaitu mencegah orang dari melakukan kejahatan.

Allah S.W.T. berfirman lagi maksudnya :
“Kamu sekalian adalah sebaik-baik ummat yang dilahirkan untuk kepentingan manusia, kamu menyuruh berbuat kebaikan dan melarang berbuat kejahatan.” (Surah ali-Imran ayat 110)

Ayat tersebut menunjukkan bahwa tugas amar makruf dan nahi mungkar itu paling utama sekali kerana Allah telah memberi kepujian kepada orang yang menjalankan tugas ini, sebagai sebaik-baik ummat di atas muka bumi ini.

Berfirman Allah S.W.T. lagi maksudnya :
 "Maka tatkala mereka melupakan apa yang diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang dari perbuatan jahat dan Kami timpakan kepada orang-orang yang zalim seksaan yang keras, disebabkan mereka selalu berbuat fasik."
(Surah al-A'raaf ayat 165)

Berfirman Allah S.W.T. maksudnya :
“Dan tolong-menolong kamu atas kebajikan dan takwa dan janganlah kamu tolong-menolong atas dosa dan permusuhan.”
(Surah al-Maidah ayat 2)

Perintah ini adalah suatu kemestian dan maksud tolong-menolong itu ialah mengajak melakukannya dan mempermudahkan jalan kepada melakukan kebajikan serta menutup jalan-jalan yang boleh menyampaikannya kepada kejahatan, dan permusuhan sekadar kemampuan.

Adapun terdapat riwayat daripada hadis yang memberitakan tentang amar makruf dan nahi munkar ialah apa yang diriwayatkan dari Abu Bakar as-Siddiq r.a. dari Rasulullah  S.A.W. sabdanya maksudnya :
“Tiada ada suatu kaum pun yang melakukan maksiat-maksiat, sedang dalam kalangan kaum itu ada orang yang mampu mencegah mereka dari perbuatannya itu tetapi ia tiada berbuat, tiadakah ia merasa bimbang bahwa Allah hampir-hampir akan menimpakan seksaNya atas mereka sekalian.”

Dalam dalil-dalil yang tersebut di atas, nyatalah bahwa tugas amar makruf dan nahi mungkar itu menjadi seperkara yang wajib, dan kewajibannya pula tiada terluput sama sekali, selagi ada kemampuan untuk melaksanakannya, kecuali jika sudah ada orang lain yang memenuhi tugas itu.

Sahabat yang dimuliakan,
Orang mukimin yang dipilih menjadi para daie atau pendakwah hendaklah  menjalankan tugas menyuruh berbuat baik dan melarang dari berbuat jahat mempunyai tiga tata-cara atau adab yang penting menghiasi akhlaknya. Perkara tersebut adalah seperti berikut :
(1) Berilmu
(2) Warak
(3) Berbudi pekerti baik

Berilmu maksudnya: Patutlah ia mengetahui letak duduknya perkara-perkara yang hendak disuruh atau dilarang, supaya ia tiada terkeluar dari had dan batasan syariat Islam.

Warak  maksudnya: Mencegah seseorang dari melakukan kemungkaran itu saja, dan jangan ia sekali-kali melampaui batas yang diizinkan oleh syariat dalam tugas ini, disebabkan oleh tujuan-tujuan yang lain. Hendaklah kata-katanya itu masuk akal, dapat diterima oleh orang itu. Kalau tidak tentulah ia akan dijadikan bahan ejekan dalam menjalankan tugas menyuruh atau melarang ini. Kelak orang itu akan menunjukkan sikap berani terhadapnya.

Adapun berbudi pekerti baik pula, seberapa boleh biarlah ia bersikap lemah-lembut dan berbalas kasihan kepada sesiapa pun, sebab ia merupakan pokok bab ini dan tujuan asalnya. Berilmu dan berwarak saja tidak mencukupi, kerana bila kemarahan menguasai diri tiada memadailah untuk menahannya hanya dengan berilmu dan berwarak semata-mata, melainkan jika ada pada tabiat kita sifat berbudi pekerti baik yang akan melenyapkan perasaan marah dan tidak sabar itu.

Dengan terkumpulnya ketiga-tiga sifat ini pada diri seseorang maka akan sempurnalah maksud untuk membimbing dan terkiralah ia salah satu cara mendekatkan diri kepada Allah. Dengan itu sajalah akan tertolaknya kemungkaran, dan tanpanya tentu sekali kemungkaran itu tidak dapat dihapuskan.

Sekali peristiwa pernah Khalifah al-Makmun diberi nasihat oleh seorang dan orang itu menggunakan ucapan-ucapan yang kasar dan keras. Maka berkata  Khalifah al-Makmun kepadanya : "Wahai manusia! Berkata lunaklah! Sebenarnya Allah telah mengutus orang lebih mulia daripadamu kepada orang yang lebih hina dariku. Dalam menggalakkan hakikat lemah-lembut dan lunak kata-kata, Allah telah berfirman:
“Maka katalah (wahai Musa dan Harun) kepada Firaun dengan kata-kata yang lemah-lembut semoga ia akan ingat atau takut.” (Surah Taha ayat 44)

Orang yang mahu membimbing orang lain, patutlah ia meniru sikap lunak dan lemah-lembut kerana para Anbia sentiasa mengunakan pendekatan yang lemah lembut untuk mengajak manusia beriman kepada Allah S.W.T. dan meninggalkan kemugkaran yang dilakukannya.

Sahabat yang dikasihi.
Untuk menjadi para daie atau pendakwah bukan semestinya kita perlu memiliki ilmu yang tinggi seperti para ulama, tetapi sebenarnya kita semua adalah para pendakwah kerana Nabi S.A.W ada bersabda maksudnya : "Sampaikanlah daripadaku satu ayat." Oleh itu kita wajib sampaikan Islam ini kepada isteri, anak-anak, jira tetangga, kawan-kawan pejabat, saudara mara , sahabat handai dan sesiapa saja orang yang kita kenal atau pun tidak.

Jika ada kenalan kita orang yang bukan Islam perlu juga kita sampaikan tentang kebaikan Islam semoga terbuka pintu hatinya untuk menerima Islam. Kalau ada bahan-bahan tarbiah yang ringkas mengenai kebaikan Islam hulurkanlah kepada mereka supaya mereka dapat membacanya dan cuba mendekati dengan ajaran Islam.

Biasakanlah diri kita memberi nasihat yang baik dan cegahlah kemungkaran yang kita lihat berlaku dihadapan mata. Jika kita sampaikan dakwah atau ilmu Islam ini kepada mereka dan mereka amalkan ilmu tersebut kita akan mendapat ganjaran pahala yang besar di sisi Allah S.W.T. Sekiranya mereka tak terima atau tidak amalkan kita tetap mendapat pahala kerana kita telah berusaha memberi nasihat yang baik . Ingatlah hidayah itu milik Allah S.W.T. dan Dia akan beri kepada sesiapa yang Dia kehendaki.

Dalam suatu hadis, Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Tolongilah saudara kamu samada dia menzalimi atau di zalimi." Lalu seorang lelaki bertanya : "Wahai Rasulullah, aku akan menolongnya jika dia di zalimi. Apa pula pendapatmu jika dia yang menzalimi, bagaimana aku menolongnya?" Lalu Rasulullah S.A.W. menjawab: "Engkau hendaklah menegahnya daripada melakukan kezaliman itu, maka itulah cara menolongnya". (Hadis sohih riwayat Imam Bukhari daripada Anas. Sila lihat Nuzhatul Muttaqin, Syarah Riyadus Solihin, jilid 1, m/s 206. )

Berpandukan hadis ini, maka kita diseru supaya sentiasa menolong, samada orang yang menzalimi atapun yang di zalimi dengan syarat pertolongan itu akan membawa kepada maslahah ataupun kebaikan kepada kita, agama dan juga kepada saudara seagama kita. Maka cara menolong orang yang di zalimi adalah dengan menyekatnya daripada melakukan kezaliman tersebut atau pun menasihatkannya dengan baik.  Dan perlu kita faham bahawa kezaliman adalah setiap perkara yang dianggap dosa dan mungkar oleh agama.

Hubungan kekuatan iman dalam kalbu mukmin terukur pada sejauh mana kemauan dan kemampuannya dalam amar makruf nahi mungkar. Sabda Nabi S.A.W maksudnya :
“Barangsiapa melihat kemungkaran, harus mengubahnya dengan tangannya, jika tidak mampu maka ubahlah dengan lisannya, jika tidak mampu maka dengan hatinya. Dan itu adalah selemah lemah iman”. (Hadis Riwayat Muslim)

Oleh itu marilah kita besama-sama memikul tugas amar makruf nahi mungkar dan sentiasa istiqamah dengan tugas ini kerana di hari akhirat pasti kita akan ditanya oleh Allah S.W.T. adakah kita telah melaksanakan tugas ini dengan  ikhlas dan bersungguh-sungguh?. Jika jawapannya kita telah melaksanakan ketika di dunia maka kita akan terselamat daripada azab yang pedih kerana satu kesalahan besar jika kita tinggalkan suruhan Allah S.W.T. ini, dan amalan-amalan kita yang lain akan dihitung dengan cara yang mudah kerana pahala menjalankan tugas ini lebih berat daripada amalan sunat kita.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML