Hormati dan Kasihilah Ibu Bapa Kamu
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Dari mana asal kita?Tidak lain dari keturunan ibu dan bapa.
Begitulah satu renungan besar yang mesti terpahat di dalam sanubari.
Betapa susahnya si ibu membawa kandungan berbulan-bulan, saat melahirkan penentuaan antara hidup dan mati, menyusukan dan membesarkan dan mendidik kita, bapa pula bersusuh payah mencari rezeki dan menyara keluarga. Terlalu besar jasa dan pengorbanan mereka berdua dan kita tidak akan mampu membalasnya.
Abu Laith Samarqandi meriwayatkan bahawa datang seorang pemuda berkata kepada Rasulullah SAW "Ya Rasulullah, ibu saya sakit di tempat saya, maka sayalah yang memberi makan dan minum. Tangan sayalah yang mewudhukkan mereka, mengangkat di atas bahu saya. Apakah dengan itu terbalas jasa-jasa mereka?"
Jawab Nabi SAW yang bermaksud, "Belum satupun dari jasa-jasa mereka! Cuma kau telah berbuat baik, dan Allah akan memberi pahala yang besar terhadap amal kau yang sedikit itu."
Sahabat yang dimuliakan,
Untuk menjadi anak yang soleh dan solehah, kita semestinya berbakti semaksima mungkin kepada kedua ibu dan bapa. Hormatilah dan dengarlah nasihat mereka, sekiranya pilihan hati kita tidak direstui oleh ibu bapa , utamakanlah pendapat mereka kerana keredhan Allah bergantung kepada keredhaan ibu bapa. Janganlah menjadi anak yang derhaka, sesungguhnya anak yang derhaka tidak akan mencium bau Syurga.
Firman Allah SWT.yang bermaksud :
"Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun;(dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)."
(Surah al-Luqman ayat 14)
Berurusanlah dengan mereka dengan berendah hati untuk mengelak membantah dengan suara keras. Membentak sekalipun dengan satu perkataan umpama 'cis' menguris hati mereka. Tanyalah mana-mana orang tua dan mula lemah anggota kerana ketuaan, bantahan anak memang memilukan hati. Hati orang tua cukup sensitif.
Allah menjadikan orang tua lazimnya bersifat pengasih dan penyayang, lebih-lebih lagi orang tua yang sangat manis beribadat. Mereka suka melihat kelakuan anak yang sopan terhadap mereka, mengambil berat tentang mereka, dan menjadi kawan bicara mereka. Tugas seumpama itu tidak berat. Usahlah kesibukan membuat kita abaikan mereka. Jika berjauhan seringkalilah hubungi mereka melalui telefon tanya khabar, walaupun hanya dua tiga patah perkataan sebenarnya boleh mengembirakan hati ibu bapa. Bila ada masa lapang ambillah cuti dan ziarahlah mereka, sesungguhnya apabila kita membuat hati ibu dan bapa gembira menyebabkan Allah meredhai hidup kita.
Firman Allah SWT. yang bermaksud :
"Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan do'akanlah (untuk mereka dan berkata): "Wahai Tuhanku. Cucuri mereka dengan rahmat sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayang memelihara dan mendidikku semasa kecil."
(Surah al-Isra' ayat 24)
Ayat itu menuntut supaya kita membuang sifat besar diri terhadap mereka yang kelihatan lemah atau nyanyuk. Wajib kita rasa rendah di hati. Dituntut pula kita memasukkan do'a terhadap mereka dalam do'a harian kita. Begitulah suci hati kita terhadap ibu bapa saban hari tanpa diketahui oleh mereka.
Sahabat yang dikasihi,
Sekiranya ibu bapa kita telah meninggal dunia, kita masih boleh berjasa kepada mereka, iaitu kita berdoa untuk mereka semoga Allah SWT mengampunkan dosa-dosa mereka. Bukan setakat doa-doa kita sahaja boleh membantu mereka dialam barzah, tetapi sedekah, amal jariah dan amal soleh yang kita laksanakan, disamping kita memperolehinya, kedua ibu bapa yang berjasa mendidik kita sehingga kita menjadi anak yang soleh akan mendapat sahamnya. Begitu besarnya rahmat Allah SWT tidak mensia-siakan amal kebaikan yang di buat ketika di dunia ini.
Terdapat juga beberapa amalan kebaikan lain yang boleh kita laksanakan sebagai bakti kita kepada kedua ibu bapa walaupun mereka telah meninggal dunia seperti hadis dibawah.
Seorang dari suku Bani Salimah datang dan bertanya kepada Rasulullah SAW, "Kedua orang tuaku telah mati, apakah ada cara untuk aku berbakti kepada mereka?"
Jawab Nabi SAW, "Ya, membaca istighfar untuk kedua mereka, melaksanakan wasiat mereka, menghormati sahabat-sahabat mereka, dan menghubungkan keluarga mereka."
No comments:
Post a Comment