Monday, December 30, 2013

AMALAN ZAHIR DAN BATIN

Perbaikilah Amalan Zahir dan Batin Kamu

Sahabat yang dirahmati Allah,
Hidup di dunia ini adalah umpama persinggahan di R & R iaitu tempat rawat dan rehat. Perhentian sementara untuk membersihkan diri, tidur seketika, solat, qada' hajat, makan, minum, isi minyak kenderaan dan memeriksa kenderaan. Distinasi sebenar masih jauh lagi, masih memerlukan komitman untuk meneruskan perjalanan supaya tidak tergendala di pertengahan jalan. Sekiranya di R & R kita leka dan tidak menggunakan masa yang ada untuk mengemaskan diri dan kenderaan, di khuatiri diperjalanan yang jauh berlaku kemalangan disebabakan mengantuk atau kerosakan dan kehabisan minyak kenderaan.

Oleh itu kalian perlulah sedar bahawa di dunia yang sementara ini, Allah s.w.t. telah memberi masa yang cukup untuk kita persiapkan diri dengan amalan-amalan soleh, amal ibadah, jihad dan pengorbanan, menghiasi diri dengan akhlak yang mulia dan  mengutamakan amalan-amalan kerohanian yang tinggi.

Untuk melengkapkan diri sebagai hamba Allah yang di redhai-Nya maka amalan zahir dan batin perlu berjalan serentak tidak boleh di pisahkan, umpama isi dengan kuku, malam dengan siang dan juga seperti wanita dengan lelaki. Diantara satu dengan lain saling lengkap melengkapi.Sekiranya salah satu daripadanya cacat atau tidak berfungsi maka akan berlakulah ketempangan dan tidak berlaku keseimbangan.

Sahabat yang dimuliakan,
Amalan zahir yang utama terletak pada Rukun Islam yang lima iaitu mengucap dua kalimah Syahadah (Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya), solat fardu lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, membayar zakat dan mengerjakan fardu haji ke Baitullah (jika ada kemampuan). Amalan zahir yang lain yang dituntut untuk di laksanakan umpama solat sunat, puasa sunat, sedekah, membaca al-Qur'an, membantu orang Islam lain dari kesusahan dan lain-lain lagi.

Amalan batin yang dituntut adalah khusyuk dalam solat, ikhlas, bertakwa, bertawakkal, tawaduk, rasa takut (khauf), rasa mengharap (roja'), baik sangka, syukur, sabar dan membuangkan segala sifat mazmumah yang terdapat dalam hati.

Berhati-hatilah kalian di dalam melaksanakan syariat lahir dan batin, janganlah dicampur adukkan di antara kebaikan dan kemungkaran. Satu masa melakukan ketaatan dan pada masa yang lain melakukan kemungkaran, dosa dan maksiat kepada Allah s.w.t. Umpamanya melakukan perintah fardu di samping amalan sunat, adakalanya pemurah dan lemah lembut, tetapi dalam masa yang sama kehidupannya masih lagi terlibat dengan riba', dedah aurat, pergaulan bebas, mengumpat, memfitnah, mencerca, sombong dan cinta dunia.

Imam al-Ghazali ada berkata : "Kalau kamu tidak boleh (belum mampu) bangun untuk solat Tahajud malam (amalan sunat), jangan buat dosa (haram) di siang hari. Kerana tidak ada gunanya berbakti kepada Allah di malam hari (tahajud) tetapi derhaka (buat perkara haram) di siang hari."

Sahabat ada menceritakan pada Nabi s.a.w. peribadi seorang wanita, iaitu pada siang harinya ia berpuasa sunat dan pada malam harinya ia solat tahajud, tetapi ia suka menyakiti hati jirannya, maka Nabi s.a.w. menyatakan bahawa tidak ada kebaikan yang dibuat oleh wanita ini dan tempatnya adalah di Neraka! nauzubillah.

Sahabat yang dihormati,
Janganlah kalian menjadi seperti seorang yang banyak mengerjakan amalan-amalan lahir tetapi cuai terhadap amalan-amalan batin. Pada zahirnya nampak sempurna, baik, warak tetapi hatinya penuh hasat dengki, jahat sangka, sombong, bakhil, riak, ujub, cinta dunia, mementingkan diri dan lain-lain lagi. Selain itu ia juga suka menghina dan memandang rendah kepada orang yang kurang ibadah, kerana menyangka dirinya hebat. Dia rasa tenang dan senang dengan ibadahnya dan rasa yakin akan selamat di hari akhirat. Ia menyangka dengan amalannya pasti Allah akan berinya kedudukan yang mulia di dalam Syurga.

Hakikat sebenarnya orang seperti ini di anggap derhaka pada Allah dalam amalan taatnya dan ia sebenarnya jauh dari Allah dan hatinya terputus dengan Allah.

Sahabatku,
Oleh itu dalam menilai amalan, biarlah amalan kalian sedikit walaupun sekadar buat yang fardu sahaja, tetapi di hati tersemat rasa takut pada Allah. Walaupun banyak dan hebat ibadah seseorang, tetapi selagi hatinya tidak zuhud dengan dunia, selama itu ibadahnya tidak ada nilai.

Begitu juga apabila amalan seseorang ia telah melakukan segala perintah Allah, tetapi dalam masa yang sama di dalam hatinya ada sifat ria', ujub, bangga diri, belum tentu Allah terima amalannya.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Ada pun orang yang enggan dan menyombongkan diri maka Allah akan menyeksa mereka dengan seksaan yang pedih."
(Surah Al-Nisa' ayat 173).

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : " Sesungguhnya yang amat aku takuti sekali di antara segala perkara yang terjadi ke atas kamu ialah syirik kecil." Sahabat bertanya : "Apakah syirik kecil itu?" Baginda s.a.w. menjawab : "Ialah ria' (beramal dengan tidak ikhlas) kerana menunjuk-nunjukkan amalan." Kemudian baginda s.a.w. menyambung : "Di akhirat kelak, iaitu sewaktu setiap manusia melihat amalannya, Allah s.w.t.berfirman yang bermaksud : "Pergilah kamu semua kepada sesuatu yang kamu niatkan (menunjuk-nunjukkan ) amalan kamu ketika di dunia. Lihatlah apa yang kamu  boleh perolehi balasan dari mereka itu."
(Hadis Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi).

Dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w. menegaskan : "Allah s.w.t. tidak menerima sesuatu amal yang di dalamnya terselit perasaan ria' walaupun sebesar zarrah (atom)."

Akhirkata, pertingkatkanlah amalan kalian samaada yang zahir dan batin. Laksanakanlah dengan hati yang ikhlas dan tawaduk, nescaya hidup kalian akan diredhai oleh Allah s.w.t di dunia dan di akhirat.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML