Amalan Sunah Sebelum, Ketika dan Selepas Tidur
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Tidur dan bangun sebenarnya adalah perkara yang sangat penting, kerana ia adalah pemula kepada kehidupan seharian. Sekiranya dia tidur mengikut Sunnah Rasullullah SAW, maka tidurnya akan jadi ibadat. Allah SWT hanya akan terima ibadat yang dilakukan dengan ikhlas. Tidur adalah ibadat yang paling ikhlas. Seseorang tidak perlu dipaksa atau terpaksa untuk tidur. Ganjaran Allah SWT untuk orang yang amalkan sunah sangat besar.
Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam menjadi Guru sepanjang zaman dan teladan serta ikutan terbaik seluruh insan. Didikannya terperinci sehingga bab tidur pun turut ada adabnya.. Benarlah baginda suatu contoh ikutan sehingga akhir zaman.
Antara sunnah-sunnah Nabi SAW sebelum, ketika dan selepas tidur:
Pertama : Sebelum Tidur.
1. Tidur dengan berwuduk terlebih dahulu.
Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW : “Apabila kamu hendak tidur maka berwuduklah sebagaimana wuduk untuk solat, kemudian berbaringlah di atas sisi kananmu.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).
Sabda Nabi SAW didalam hadis riwayat Ibnu Hibban: "Barangsiapa yang tidur dalam keadaan suci, tidur pada pakaiannya malaikat. Maka ia tidak bangun (ketika terjaga) kecuali berkata malaikat (berdoa): “Ya Allah berilah keampunan kepada hambaMu sifulan (disebut nama oleh malaikat dalam doanya ini) kerana sesungguhnya ia telah tidur dalam keadaan suci."
2. Membaca Surah As-Sajdah dan Surah Al-Mulk.
Dari Jabir bin Abdullah, beliau berkata: “Rasulullah tidak akan tidur hingga baginda membaca Surah As-Sajdah dan Surah Al-Mulk” (Hadis Riwayat Ahmad, Tirmidzi, Nasai dan Hakim dalam Sahih al-Jami’ dan Silsilah Ahadis As-Sahihah)
3. Rasulullah SAW juga telah mengingatkan umatnya bahawa syaitan sering menganggu manusia ketika tidur. Oleh itu, umat Islam adalah dianjurkan supaya mengamalkan Solat Witir setiap kali sebelum tidur. (Hadis Riwayat Bukhari).
4. Nabi SAW memberi peringatan agar mengibas atau membersih tempat tidur kita sebanyak 3 kali. Ini berdasarkan hadis:
Nabi SAW bersabda maksudnya , "Apabila salah seorang di antara kalian bangun dari tempat tidurnya, lalu hendak tidur lagi di atasnya, hendaklah ia terlebih dahulu membersihkannya dengan sarungnya tiga kali. Sebab, ia tidak tahu secara pasti apa yang terjadi di atasnya sesudah dia tinggalkan." (Muttafaq alaih)
Dari Abu Hurairah dia berkata Nabi SAW bersabda : ” Jika seseorang kalian pergi ke katil tidurnya, hendaklah ia mengibas atau membersihkan katilnya dengan bahagian dalam sarungnya, kerana dia tidak mengetahui apa yang ada di sebalik katilnya. Setelah itu ia berdoa , "Dengan nama-Mu, wahai Rabbku, aku letakkan badanku, dan dengan nama-Mu pua aku bangkit kembali, dan Jika Engkau tahan jiwaku, maka rahmatilah ia. Jika engkau biarkan lepas, maka jagalah ia sebagaimana Engkau menjaga jiwa-jiwa hambaMu yang soleh.” (Hadis riwayat al-Bukhari no. 6320, Muslim no. 2714.)
Menurut sebuah hadis yang lain diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud:
"Jika kamu hendak tidur, maka berwuduklah bagaikan kamu hendak Solat, kemudian berbaring atas pinggang kanan dan bacalah doa ini : "Ya Allah aku serahkan diriku kepada-Mu dan mengadapkan wajah ku pada-Mu dan menyerahkan semua urusanku kepada-Mu dan menyandarkan punggungku kepada-Mu kerana mengharap dan takut kepada-Mu, tiada perlindungan dan tiada tempat selamat daripada seksa-Mu kecuali kembali kepada-Mu. Aku percaya kepada Kitab yang Engkau turunkan dan Nabi yang telah Engkau utuskan." dan jadikanlah bacaan doa itu yang terakhir daripada bacaanmu (perkataanmu sebelum tidur)."
5. Dianjurkan juga membaca ayat Kursi, membaca dua ayat terakhir surat Al-Baqarah atau membaca surat Ali ‘Imran ayat 190-200. (Hadis Riwayat Bukhari).
6. Membaca Surah al-Kaafirun sebelum tidur.
Sabda Nabi SAW didalam hadis riwayat Ahmad, Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasai (didalam ‘Amal al-Yaum Wa al-Lailah), ad-Darimi, Ibnu Hibban, al-Hakim, Ibnu as-Sunni:
"Apabila kamu berbaring ditempat tidurmu maka bacalah “al-Kaafirun” kemudian tidurlah di atas penyudahnya kerana sesungguhnya ia adalah perlepasan dari syirik."
7. Jangan tidur menghadap kaki arah kiblat. Ini adalah kedudukan tidur orang yang telah mati. Berbaringlah disisi kanan.
Sabda Nabi SAW : “Apabila kamu hendak tidur maka berwuduklah sebagaimana wuduk untuk solat, kemudian berbaringlah di atas sisi kananmu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).
Tidur cara Rasulullah SAW dengan mengiring badan ke kanan dan tapak tangan di bawah pipi. Dan dalam hadis riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasai (didalam ‘Amal al-Yaum Wa al-Lailah), Ibnu as-Sunni dari Hafshah r.a. katanya: "Sesungguhnya Rasulullah SAW apabila hendak tidur, meletakkan tangan kanannya dibawah pipinya kemudian membaca sebanyak tiga kali:
اللَّهُمَّ قِنِى عَذَابَكَ يَوْمَ تَبْعَثُ عِبَادَكَ
Maksudnya: "Ya Allah, peliharalah aku dari azabMu pada hari Engkau membangkitkan hamba-hambaMu."
8. Membaca Tasbih Fatimah. Apa itu Tasbih Fatimah? Subhanallah 33 kali, Alhamdulillah 33 kali, Allahuakbar 34 kali.
Dari Abu Hurairah r.a katanya, Fatimah meminta kepada Nabi SAW seorang khadam (pembantu) dan mengadukan bahawa beliau terlalu penat bekerja. Jawab Nabi SAW :”Engkau tidak akan mendapatkannya daripada kami. Mahukah engkau kutunjukkan sesuatu yang lebih baik daripada seorang khadam? Iaitu, tasbih 33 kali, tahmid 33 kali dan takbir 34 kali ketika engkau hendak tidur.” (Hadis Riwayat Muslim)
9. Baca 3 Qul tiup ke tapak tangan dan sapu keseluruh badan untuk menghindarkan gangguan jin dan syiatan , sihir dan niat jahat manusia.
Mengumpulkan kedua telapak tangannya. Kemudian ditiup dan dibacakan: surat Al-ikhlas, Al-Falaq dan An-Naas. Kemudian dengan kedua telapak tangan tadi mengusap tubuh yang dapat dijangkau dimulai dari kepala, wajah dan tubuh bagian depan. Hal ini dilakukan sebanyak tiga kali.(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
10. Niat untuk bangun Tahajjud.
Tahajjud adalah sebaik-baik pelindung daripada sihir dan buatan orang. Hadis riwayat Imam al-Nasa’i dalam Sunannya, Kitab Qiyam al-Lail, no: 1763. Sabda Rasulullah SAW: "Sesiapa yang (berniat) akan mengerjakan solat malam, lalu tertidur, Allah pasti menulis untuknya pahala solat malam dan tidurnya merupakan sedekah untuknya."
11. Membaca doa sebelum tidur.
Berdasarkan hadis riwayat Ahmad, al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasai.
Adalah Rasulullah SAW apabila masuk tidur Baginda membaca:
بِاسْمِكَ اللَّهُمَّ أَحْيَا وَأَمُوْتُ
(Dengan namaMu Ya Allah aku hidup dan mati)
12. Ketika Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam melihat seorang sahabatnya yang tidur meniarap, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam mengejutnya seraya bersabda: “Bangunlah! Ini ialah cara tidur yang dibenci oleh Allah.” (Hadis Riwayat Bukhari -Sahih Adab Al-Mufrad)
Tidak tidur dengan tengkurap, berdasarkan sabda Nabi SAW maksudnya, “Sesungguhnya itu adalah cara tidur yang dimurkai Allah ‘azza wa jalla”. (Hadis Riwayat Abu Daud dengan sanad yang sahih)
13. Maafkan semua kesalahan manusia pada kita . Bersihkan hati daripada hasad dengki, iri hati dan bertaubat kepada Allah SWT sebelum tidur dengan beristighfar.
Kedua : Amalan Ketika Tidur.
1. Terbangun daripada tidur.
Apabila tiba-tiba terbangun di tengah malam, maka dianjurkan meminta kepada Allah SWT kerana saat itu adalah saat yang mustajab, sebagaimana sabda Nabi SAW. “Tidaklah seorang muslim yang tidur dalam keadaan suci dan berdzikir lalu tiba-tiba terbangun di malam hari kemudian mohon kepada Allah kebaikan dunia dan akhirat kecuali Allah akan mengabulkannya” (Hadis Riwayat Abu Daud).
2. Mimpi buruk .
Apabila mendapat mimpi buruk baca doa maksudnya: “Aku berlindung dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna daripada kemarahan-Nya, seksaan-Nya, dan kejahatan hamba-hamba-Nya, dan daripada godaan syaitan (bisikannya) serta jangan sampai mereka datang (kepadaku)”. (Hadis Riwayat Abu Daud & At Tirmizi)
Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Mimpi baik itu daripada Allah dan mimpi buruk itu daripada syaitan, maka ketika salah seorang daripada kamu mimpi buruk, meludahlah ke arah kiri tiga kali, kemudian minta perlindungan kepada Allah, maka mimpinya tidak akan mengkhuatirkan." (Hadis Riwayat Muslim)
3. Mimpi baik.
Dalam riwayat yang lain Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : “Apabila seseorang darimu melihat mimpi yang menggembirakannya maka hendaklah ia mengucapkan 'alhamdulillah' dan ceritakannya kepada orang yang lain, dan sebaliknya apabila ia melihat mimpi yang menduka citakannya, maka mimpi itu adalah dari syaitan, kerana itu hendaklah ia mengucapkan isti’azah (a’uuzubillahi minasysyaitanir rajiim) dan jangan ceritakannya kepada orang lain kerana mimpi itu tidak mendatangkan mudarat kepada nya.”(Hadis Riwayat Bukhari dari Abi Sa’id).
Ketiga : Selepas Tidur
1. Bangun daripada tidur.
Terdapat juga suatu Hadis lain dimana Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:
"Syaitan akan mengikat hujung kepala seseorang yang sedang tidur dengan tiga ikatan, menyebabkan kamu tidur dengan cukup lama. Apabila seseorang diantara kamu bangkit seraya menyebut nama Allah, maka akan terlepaslah ikatan yang pertama. Apabila ia berwuduk maka akan terbuka ikatan kedua. Apabila ia Solat , maka akan terlepaslah semua ikatannya. Ia akan merasa sesuatu kesegaran dan ketenangan hati, jika tidak ia akan merasa malas dan kekusutan hati". (Hadis Riwayat Imam Bukhari).
2. Menyapu kesan-kesan tidur pada muka dengan tangan.
Imam Nawawi dan Imam Ibn Hajar meriwayatkan, sunat menyapu kesan-kesan tidur yang terlekat pada muka dengan menggunakan tangan apabila bangun daripada tidur. Ini berdasarkan hadis Rasulullah S.A.W.:
Daripada Ibn ‘Abbas r.a. katanya yang bermaksud , “Suatu malam dia pernah tidur di rumah Maimunah isteri nabi SAW yang juga merupakan emak saudara beliau, lalu saya berbaring di hujung tempat tidur, dan Rasulullah SAW bersama isteri baginda berbaring di sepanjang tempat tidur, Rasulullah SAW tidur sehingga pertengahan malam atau sebelum atau selepasnya sedikit, baginda bangun, dan duduk sambil menyapu tidur (kesan tidur) dari muka baginda dengan tangan.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
3. Membaca doa sesudah bangun dari tidur:
اَلْحَمْدُ ِللهِ الَّذِى أَحْيَانَا بَعْدَمَا أَمَاتَنَا وَإِلَيْهِ النُّشُورُ
Maksudnya : "Segala puji bagi Allah yang menghidupkan aku kembali setelah mematikan aku dan kepada Allah akan bangkit"
Membuka ikatan syaitan pertama.
4. Membersihkan mulut dengan bersiwak (bersugi)
Apabila Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bangun dari tidur, baginda membersihkan mulutnya dengan bersiwak.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
5. Basuh tangan tiga kali.
Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, “Apabila kamu bangun dari tidur, janganlah memasukkan tangannya ke dalam bekas air sebelum dia mencucinya tiga kali.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
6. Masukkan air kehidung.
Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, “Apabila kamu bangun dari tidur, beristintsaarlah (memasukkan air ke dalam hidung) tiga kali kerana syaitan bermalam di rongga hidung.” (Hadis Riwayat. Bukhari dan Muslim)
7. Berwuduk.
Membuka ikatan syaitan kedua.
8. Solat Tahajud./ Solat Wuduk.
Membuka ikatan syaitan ketiga.
Sahabat yang dikasihi,
Ini hanya sedikit sahaja amalan-amalan dari Rasulullah SAW dan banyak lagi yang terdapat dalam hadis-hadis sahih yang lain. Sekiranya kita tidak mampu buat semua perkara di atas, janganlah pula kita meninggalkan semuanya. Berusahalah buat semaksima yang termampu. In syaa Allah moga-moga Allah mempermudahkan segala urusan kita dan mampu untuk melaksanakan amalan sunah sebelum, ketika dan selepas tidur.
No comments:
Post a Comment