Monday, December 30, 2013

AMALAN PENGHAPUS DOSA KECIL

Amalankan Dua Belas Amalan Untuk Menghapuskan Dosa-dosa Kecil.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Terdapat dua belas amalan-amalan yang akan dapat menghapuskan dosa-dosa kecil yang kita lakukan.

Amalan-amalan tersebut adalah seperti berikut :

1. Mengelokkan wuduk.

2. Mengerjakan solat tasbih.

3. Berpuasa dan beribadah di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan mencari keredaan Allah SWT.

4. Mengucap syukur (alhamdulillah) setiap selepas makan dan memakai pakaian.

5. Duduk di dalam masjid menunggu solat ke solat lain.

6. Berzikir selepas solat.

7. Berjalan menuju masjid dalam keadaan berwuduk.

8. Berzikir kepada Allah SWT secara bersendirian atau berkumpulan.

9. Memperbanyakkan tasbih, tahmid, tahlil , takbir dan hauqqalah

10. Mengerjakan solat fardu berjemaah.

11. Solat di saf hadapan.

12. Solat subuh berjemaah dan tetap duduk (di masjid) untuk berzikir kepada Allah hingga matahari terbit dan solat Duha 2 rekaat.

Huraiannya :

1. Mengelokkan wuduk.

Dari Umar bin Khattab r.a, dari Nabi SAW bahawasanya baginda bersabda yang bermaksud :

"Tidaklah salah seorang di antara kamu berwuduk, maka ia sempurnakan wuduknya kemudian berkata, 'Aku bersaksi bahawa tidak ada tuhan kecuali Allah semata yang tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya,' kecuali dibukakan baginya delapan pintu syurga, ia boleh masuk dari mana sahaja yang dikehendakinya." (Hadis Riwayat Muslim )

Di dalam hadis yang lain Nabi SAW. bersabda yang bermaksud : "Jika seorang hamba yang muslim atau mukmin berwuduk ketika ia basuh wajahnya, keluarlah dari wajahnya semua kesalahan yang dilihat dengan kedua matanya bersama air atau bersama tetes air terakhir. Jika membasuh kedua tangannya, keluarlah dari kedua tangannya semua kesalahan yang dilakukan tangannya bersama keluarnya air atau tetes terakhir air. Jika membasuh kedua kakinya, keluarlah semua kesalahan yang diperbuat kakinya bersama air atau tetes terakhir air, sampai ia selesai wuduk dalam keadaan bersih dari dosa." (Hadis Riwayat Muslim).

2. Mengerjakan solat tasbih.

Ikrimah daripada Ibnu Abbas r.a., beliau berkata : Rasulullah SAW. bersabda kepada Abbas bin Abdul Mutalib yang bermaksud :

"Wahai Abbas pamanku. Apakah engkau suka aku memberi hadiah istimewa yakni kuajarkan sepuluh macam perbuatan yang dapat menghapus dosa? Apabila paman mengerjakannya Allah akan mengampuni dosa-dosamu, yang awal atau yang akhir, yang lama atau yang baru, yang disengaja maupun tidak sengaja, yang kecil atau yang besar, yang tersembunyi atau pun yang nampak.

Sepuluh perkara tersebut iaitu bahawa engkau solat empat rekaat, setiap rekaat engkau baca al-Fatihah dan sebuah surah. Apabila engkau telah membaca dalam rekaat pertama,tetaplah engkau dalam keadaan berdiri dan bacalah subhanallah wal hamdulillah wala ilaha illallah wallahu akbar (Maha Suci Allah dan segala puji bagi Allah dan tidak ada tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Agung) sebanyak lima belas kali, kemudian rukuk dan bacalah kalimah tersebut sepuluh kali semasa dalam keadaan rukuk, kemudian engkau bangun dari rukuk dan bacalah kalimat itu sepuluh kali kemudian turun untuk sujud dan bacalah sepuluh kali semasa engkau dalam keadaan sujud. Apabila bangun dari sujud bacalah sepuluh kali kemudian engkau sujud dan bacalah sepuluh kali selepas itu engkau bangun dan bacalah sepuluh kali. Maka kesemuanya berjumlah tujuh puluh lima dalam setiap rakaat. Kerjakanlah kesemuanya dalam keempat rakaat.

Apabila engkau mampu mengerjakan solat tasbih setiap hari satu kali maka kerjakanlah. Apabila tidak mampu kerjakanlah seminggu sekali. Apabila tidak mampu, lakukanlah sebulan sekali. Apabila engkau tidak mampu juga, kerjakanlah setahun sekali. Jika engkau tidak mengerjakannya, lakukanlah sekali sahaja semasa hidupmu."
(Hadis Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah)

3. Berpuasa dan beribadah di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan mencari keredaan Allah SWT.

Nabi SAW. bersabda maksudnya : “Barangsiapa berpuasa satu hari demi di jalan Allah, dijauhkan wajahnya dari api neraka sebanyak (jarak) tujuh puluh musim.” (Hadis Riwayat Ahmad, Bukhari dan Muslim, dan Nasa`i).

Daripada Abi Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang bangun malam Ramadan beribadat dalam keadaan ikhlas dan mengharapkan keredaan Allah, maka diampunkan dosanya yang telah lalu” (Hadis Riwayat Bukhari)

4. Mengucap syukur (alhamdulillah) setiap selepas makan dan memakai pakaian.

Doa lepas makan : "Segala pujian bagi Allah yang telah memberi makanan dan  minuman kepada kami, dan yang telah menjadikan kami orang-orang muslim." (Hadis Riwayat Abu Daud)

Dari Abu Malik Al-Harits bin Ashim Al-Asy’ari r.a. berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Kebersihan itu adalah sebagian dari iman. Alhamdulillah itu memberatkan timbangan. Subhanallah dan Alhamdulillah keduanya memenuhi ruang antara langit dan bumi. Solat itu adalah cahaya, sedekah itu adalah burhan (bukti/petunjuk). Kesabaran adalah cahaya. Al-Quran adalah hujah (bukti) untuk membelamu atau menentangmu. Setiap manusia bekerja, maka ada yang menjual dirinya dengan bekerja berat untuk keselamatannya atau kehancurannya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud : “Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memberikan pernyataan; 'Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Ku-tambah nikmat-Ku kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih” (Surah Ibrahim ayat 7).

5. Duduk di dalam masjid menunggu solat ke solat menghapuskan dosa.

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Mahukah kamu sekalian aku tunjukkan sesuatu yang dapat menghapus dosa dan mengangkat derajat. Mereka menjawab: 'ya wahai Rasulullah'. Baginda bersabda: 'menyempurnakan wuduk ketika masa sulit dan memperbanyak langkah kemasjid serta menunggu solat satu ke solat yang lain, kerana hal itu adalah ribath ( merapatkan hubungan dengan Allah SWT)” (Hadis Riwaayt Muslim dan Al Tirmidzi).

6. Berzikir selepas solat.

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda maksudnya : “Sesiapa yang membaca kalimat berikut di setiap selesai solat,

سُبْحَانَ اللهِ(33 ×) وَالْحَمْدُ لِلَّهِ (33 ×)وَاللهُ أَكْبَرُ (33 ×) لاَ إِلَـهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرُ

“Maha Suci Allah (33 x), segala puji bagi Allah (33 x) . dan Allah Maha Besar. (33 x) , Tidak ada Tuhan (yang hak disembah) kecuali Allah Yang Maha Esa, tidak ada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya kerajaan. Bagi-Nya pujaan. Dia-lah Yang Mahakuasa atas segala sesuatu.” ... maka akan diampuni kesalahannya, sekalipun seperti buih di laut.” (Hadis Riwayat Muslim, 3/262, no. 939.)

7. Berjalan menuju masjid (solat berjemaah) dalam keadaan berwuduk.

Sabda Rasulullah SAW. maksudnya, "Sesiapa yang berjalan untuk pergi mendirikan solat fardu berjemaah, maka ianya seperti pahala haji, dan sesiapa yang berjalan untuk pergi mendirikan solat sunat (iaitu duha) , maka ianya seperti pahala umrah sunat". (Hadis Riwayat Imam Ahmad bin Hanbal, Abu Daud,Tabrani , Baihaqi )

Diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari yang bermaksud: Dari Abi Hurairah radiallahu-anhu ia berkata, sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, “Apabila sesaorang itu sudah berwuduk dengan sempurna dan berjalan ke masjid dengan niat semata-mata hendak bersembahyang, maka setiap langkah yang dilaluinya itu akan mendapat pahala dan menghapuskan satu dosanya."

8. Berzikir kepada Allah SWT secara bersendirian atau berkumpulan.

Dari Bukhari, Muslim, Tirmidzi dan Ibn Majah, diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a: Rasulullah SAW bersabda : Allah SWT berfirman maksudnya : "Aku adalah berdasarkan kepada sangkaan hambaKu terhadapKu. Aku bersamanya ketika dia mengingatiKu. Apabila dia mengingatiKu dalam dirinya, nescaya aku juga akan mengingatinya dalam diriKu. Apabila dia mengingatiKu di majlis, nescaya Aku juga akan mengingatinya di dalam suatu majlis yang lebih baik daripada mereka. Apabila dia mendekatiKu dalam jarak sejengkal, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sehasta. Apabila dia mendekatiKu sehasta, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sedepa. Apabila dia datang kepadaKu dalam keadaan berjalan seperti biasa, nescaya Aku akan datang kepadanya seperti berlari-lari anak."

9. Memperbanyakkan tasbih, tahmid, tahlil , takbir dan hauqqalah.

Al-Baqiyatush Shalihat terdiri atas kalimat :

1. Tasbih : Subhanallah 2. Tahmid : Alhamdulillah 3. Tahlil : Laa Ilaaha Illallaah
4. Takbir : Allahu Akbar 5. Hauqqalah : Lahaula Walakuwwata Illaabilla

Dari Ummu Hani ra dia berkata:”Suatu ketika lewatlah Rasulullah SAW dihadapanku. Lalu saya berkata , “Ya Rasulullah SAW  saya sudah tua dan lemah. Beritahukanlah padaku suatau amalan agar dapat saya kerjakan sambil duduk” . Baginda bersabda:” Bacalah Subhanallah 100 kali, itu seimbang bagimu dengan memerdekakan 100 orang budak dari keturunan Ismail. Bacalah Alhamdulillah 100 kali, itu seimbang bagimu dengan mensedekahkan 100 ekor kuda yang bercahaya dan terkendali yang disedekahkan dijalan Allah. Bacalah Allahu Akbar 100 kali , itu seimbang bangimu dengan menyembelih 100 ekor unta yang terkurban dan diterima disisi Allah SWT. Dan bacalah Laa ilaaha illallah 100 kali” Abu Khalfin berkata aku kira pahalanya akan memenuhi antara langit dan bumi, dan tidak ada yang melebihinya darimu kecuali orang yang mengamalkannya melebihimu." (Hadis Riwayat Ahmad)

Dalam sebuah hadis menyebut daripada Abu Zar, beliau berkata: “Aku berjalan di belakang Rasulullah SAW, lalu baginda berkata kepadaku: “Wahai Abu Zar, mahukah aku tunjukkan kepada kamu satu perbendaharaan daripada beberapa perbendaharaan syurga? Aku berkata: "Mahu ya Rasulullah". Baginda bersabda: “La Haula wala Quwwata illa billah.”

10. Mengerjakan solat fardu berjemaah.

Sabda Rasulullah SAW maksudnya : "Barang siapa memelihara solat lima waktu dengan sempurna wuduk dan waktunya, adalah baginya cahaya dan tanda pada hari akhirat, dan barang siapa mensia-siakannya, nescaya dikumpulkan ia (kelak di neraka) dengan Firaun dan Haman." (Hadis Riwayat Ahmad)

Sabda Nabi SAW yang bermaksud : "Solat berjemaah melebihi solat bersendirian dengan 27 darjat (atau 27 kali ganda). " (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

11. Solat di saf hadapan.

Dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW. bersabda, “Seandainya orang-orang tahu (pahala) yang terdapat di dalam seruan (azan) dan barisan (saf) pertama kemudian mereka tidak mendapatkan cara untuk mencapainya kecuali dengan cara melakukan undian, pasti mereka akan mengadakannya.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 615. Muslim, no. 137)

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Sesungguhnya Allah ‘azza wa jalla dan para malaikat-Nya berselawat ke atas barisan (saf) yang pertama atau saf yang awal.” (Dinilai hasan oleh al-Albani di dalam Sahih at-Targhib wa at-Tarhib, 1/197)

12. Solat subuh berjemaah dan tetap duduk (di masjid) untuk berzikir kepada Allah hingga matahari terbit dan solat Duha 2 rekaat.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud : "Barangsiapa mengerjakan solat Subuh secara berjemaah lalu sesudah itu dia tetap duduk (di masjid) untuk berzikir kepada Allah sehingga matahari terbit (dan meninggi), kemudian solat (Duha) dua rakaat maka dia akan mendapat pahala sebagaimana pahala haji dan umrah. Dia berkata (Anas), Rasulullah bersabda: 'Yang sempurna, Yang Sempurna, Yang Sempurna'." (Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab al-Jumu’ah, no: 535.)

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita sama-sama tingkatkan amal ibadah, amal soleh dan amal kebajikan untuk kita menjadi hamba Allah SWT yang beriman, bertakwa dan bersih daripada noda dan dosa samaada dosa besar maupun dosa-dosa kecil. Terlalu banyak dosa-dosa yang kita kerjakan tanpa kita sedari yang akan memberatkan timbangan dosa di akhirat nanti, dari itu kita perlukan beramal dengan amalan-amalan yang nampak kecil tetapi amat berharga apabila di timbang  semasa Mizan di akhirat nanti. Amalkanlah amalan-amalan di atas sebagai usaha kita menuju kepada keredaan Allah SWT. Di samping amalan-amalan tersebut kita jangan lupa untuk memperbanyakkan beristighfar dan bertaubat kepada Allah SWT.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML