Monday, December 30, 2013

AMALAN AHLI SYURGA DAN AMALAN AHLI NERAKA

Hayatilah Amalan-amalan Ahli Syurga Dan Jauhilah Amalan-amalan Ahli Neraka



Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, 
Seseorang mukmin itu akan dimasukkan ke dalam syurga kerana rahmat Allah SWT.Tetapi untuk mendapat rahmat Allah SWT seseorang perlulah beriman dan bertakwa dan sentiasa beramal ibadah, beramal soleh, melaksanakan suruhan Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya. Begitu juga seseorang manusia itu dimasukkan ke dalam neraka adalah kerana maksiat dan dosa yang dilakukannya ketika di dunia dan meninggalkan suruhan Allah SWT. dan memiliki sifat-sifat syirik, kufur, fasik, nifak dan zalim .

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Sesungguhnya di dalam syurga itu terdapat kamar-kamar atau gedung-gedung yang bahagian luarnya dapat dilihat dari bahagian dalamnya, dan bahagian dalamnya dapat dilihat dari bahagian luarnya, Allah SWT telah mempersiapkan buat orang yang suka memberi makan orang miskin, lembut dalam berbicara, suka berpuasa, dan mengerjakan solat di malam hari sewaktu manusia sedang tidur. (Hadis Riwayat Tirmidzi)

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah al-Harrani rahimahullaah pernah ditanya tentang amalan ahli syurga dan amalan ahli neraka. Kemudian beliau menjawab sebagai berikut:

“Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Rabb semesta alam. Amalan ahli syurga adalah beriman dan bertakwa. Sedangkan amalan ahli neraka adalah kufur, fasik, dan maksiat."

Terdapat beberapa amalan yang menyebabkan Allah SWT reda dan dimasukkan hamba-Nya kedalam syurga, begitu juga kerana kemurkaan-Nya , Dia memasukkan hamba-Nya kedalam neraka.

Amala-amalan tersebut adalah seperti berikut :

Amalan-amalan ahli syurga:

1. Melaksanakan lima rukun Islam .

Imam Al-Bukhari meriwayatkan bahawa seorang Arab Badui datang menghampiri Nabi SAW seraya bertanya: "Beritahukan kepadaku tentang suatu amal perbuatan; bila kulaksanakan, aku dapat masuk syurga." Jawab Rasulullah SAW, "Engkau menyembah Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan suatu apa pun, mendirikan solat yang fardu, mengeluarkan zakat yang wajib, serta berpuasa di bulan Ramadan." Maka orang itu berkata: "Demi Allah yang jiwaku di tangan-Nya, aku tidak akan berbuat lebih dari ini!" Setelah orang itu pergi, Nabi SAW  berkata: "Barangsiapa ingin melihat seorang ahli syurga, lihatlah ia."

2. Mengucap dua kalimah syahadah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :“Aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan bahawasanya aku adalah rasul Allah. Tidaklah seorang hamba yang bertemu Allah dengan dua kalimah ini tanpa sebarang syak melainkan akan masuk syurga.” (Hadis Riwayat Muslim)

3. Memberi makan orang miskin.

4. Lemah lembut dalam berbicara.

5. Suka berpuasa.

6. Melaskanakan solat malam.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Sesungguhnya di dalam syurga itu terdapat kamar-kamar atau gedung-gedung yang bahagian luarnya dapat dilihat dari bahagian dalamnya, dan bahagian dalamnya dapat dilihat dari bahagian luarnya, Allah SWT telah mempersiapkan buat orang yang suka memberi makan orang miskin, lembut dalam berbicara, suka berpuasa, dan mengerjakan solat di malam hari sewaktu manusia sedang tidur. (Hadis Riwayat Tirmidzi)

7. Orang-orang yang bertakwa.

8. Orang yang mendermakan hartanya ketika senang dan susah.

9. Orang yang menahan kemarahannya.

10. Orang yang memaafkan kesalahan orang lain.

11. Orang yang apabila melakukan perbuatan keji dan menzalimi diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah dan memohon keampunan kepada Allah.

12. Orang yang tidak meneruskan perbuatan keji yang telah mereka lakukan sedangkan mereka tahu akibatnya.

Firman Allah SWT :

﴿وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَوَاتُ وَالْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ (133) الَّذِينَ يُنْفِقُونَ فِي السَّرَّاءِ وَالضَّرَّاءِ وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ (134) وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَنْ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا اللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَى مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ (135)﴾ [آل عمران]

Maksudnya : "Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa. Iaitu orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang lain. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik. Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan yang keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengatahui (akan salahnya dan akibatnya)."(Surah Ali-Imran ayat 133-135) 

13. Orang-orang yang beriman.

14. Orang yang khusuk dalam solatnya.

15. Orang yang meninggalkan perkara yang sia-sia.

16. Orang-orang yang mengeluarkan zakat.

17. Orang yang menjaga kemaluannya melainkan kepada isteri-isterinya atau hamba yang dimiliki

18. Orang yang menjaga amanah dan janjinya.

19. Orang yang sentiasa menjaga solatnya.

Firman Allah SWT :

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ (1) الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ (2) وَالَّذِينَ هُمْ عَنِ اللَّغْوِ مُعْرِضُونَ (3) وَالَّذِينَ هُمْ لِلزَّكَاةِ فَاعِلُونَ (4) وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ (5) إِلَّا عَلَى أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ (6) فَمَنِ ابْتَغَى وَرَاءَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْعَادُونَ (7) وَالَّذِينَ هُمْ لِأَمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ (8) وَالَّذِينَ هُمْ عَلَى صَلَوَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ (9) أُولَئِكَ هُمُ الْوَارِثُونَ (10) الَّذِينَ يَرِثُونَ الْفِرْدَوْسَ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ (11)[الْمُؤْمِنُونَ]

Maksudnya : "Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya. Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia. Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu). Dan mereka yang menjaga kehormatannya. Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas. Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya. Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya. Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi. Yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya." (Surah al- Mukminun ayat 1 - 11).

20. Berbicara jujur, menunaikan amanat, menepati janji, berbakti kepada orang tua (birrul walidain) menyambung hubungan kerabat, berbuat baik kepada tetangga, anak yatim, orang miskin, dan yang menjadi tanggungannya dari kalangan manusia atau binatang.

21. Ikhlas beribadah kepada Allah, bertawakkal kepada-Nya, cinta kepada-Nya dan kepada Rasul-Nya, takut kepada Allah  dan berharap rahmat-Nya, kembali kepada-Nya, bersabar menetapi hukum-Nya, dan menyukuri nikmat-nikmat-Nya.

22. Suka membaca Al-Quran, berzikir kepada Allah, berdoa kepada-Nya, meminta dan berharap kepada-Nya.

23. Beramar makruf (menyuruh orang berbuat kebaikan), bernahi munkar (melarang orang dari berbuat buruk), berjihad di jalan Allah dalam memerangi orang kafir dan munafik.

24.  Adil dalam semua urusannya, adil terhadap semua makhluk sampai terhadap orang kafir, dan amalan-amalan yang serupa.

25. Menyambung tali persaudaraan terhadap orang yang memutuskannya, memberi kepada orang yang kedekut kepadamu, memaafkan orang yang menzalimimu.

Amalan-amalan  ahli neraka.

1. Berbuat syirik kepada Allah, mendustakan para rasul, kufur dan hasad dengki,  berdusta, berhianat, berbuat zalim, perbuatan keji lagi hina, ingkar janji, memutus silaturahim, takut untuk pergi berjihad, bakhil, tidak selaras di antara zahir dan batin, berputus asa dari rahmat Allah, merasa aman dari azab Allah, berkeluh kesah (tidak sabar) ketika di timpa musibah, sombong dan tidak menyukuri nikmat, meninggalkan kewajiban terhadap Allah, melanggar batasan-batasan-Nya, melanggar perkara yang diharamkan-Nya.

2. Takut terhadap makhluk dan tidak takut terhadap khaliq, berharap kepada makhluk dan tidak kepada khaliq, bertawakal kepada makhluk dan tidak kepada khaliq, beramal dengan riya dan sum’ah, menyalahi Al-Quran dan sunnah, taat kepada makhluk dan tidak kepada khaliq, fanatik kepada kabatilan, mencela ayat-ayat Allah, menentang kebenaran, menyembunyikan ilmu dan kesaksian yang sebenarnya harus disampaikannya. Membenci para alim ulama dan engan bertaubat kepada Allah SWT.

3. Melakukan sihir (santau dan sejenisnya), derhaka kepada orang tua, membunuh jiwa yang Allah haramkan tanpa jalan yang benar, makan harta anak yatim, makan riba, lari dari peperangan, menuduh wanita solehah telah berbuat zina.

4. Hasad dengki, iri hati dan suka mengadu domba, membuat fitnah dan mengumpat.

Sahabat yang dimuliakan,
Tidak mungkin  kedua-dua amalan ini boleh bersama kerana amalan ahli syurga semuanya masuk kategori ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya. Sedangkan amalan ahli neraka semuanya masuk kategori maksiat terhadap Allah dan Rasul-Nya. Firman Allah S.W.T.

تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ وَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ يُدْخِلْهُ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا وَذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ وَمَنْ يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَيَتَعَدَّ حُدُودَهُ يُدْخِلْهُ نَارًا خَالِدًا فِيهَا وَلَهُ عَذَابٌ مُهِينٌ

Maksudnya : “(Hukum-hukum tersebut) itu adalah ketentuan-ketentuan dari Allah. Barang siapa taat kepada Allah dan Rasul-Nya, nescaya Allah memasukkannya ke dalam syurga yang mengalir di dalamnya sungai-sungai, sedang mereka kekal di dalamnya; dan itulah kemenangan yang besar. Dan barang siapa yang menderhakai Allah dan Rasul-Nya dan melanggar ketentuan-ketentuan-Nya, nescaya Allah memasukkannya ke dalam api neraka sedang ia kekal di dalamnya; dan baginya seksa yang menghinakan.”
(Surah  Al-Nisa’ ayat 13-14)

Dari Saydina Ali k.wj. katanya: “Pada suatu hari kami menghantar jenazah ke perkuburan Baqi Al Gharqad. Rasulullah S.A.W. mendatangi kami, lalu baginda duduk. Maka kami pun duduk pula di keliling baginda. Baginda memegang sepotong ranting, menunduk, dan menggaris-garis pasir dengan ranting.

Kemudian baginda bersabda” Tidak seorang jua pun di antara kamu melainkan tempatnya telah ditentukan Allah Ta’ala di syurga atau neraka. Telah ditetap Allah apakah dia celaka atau bahagia.

Maka bertanya seorang sahabat, “ Ya Rasulullah! Kalau begitu apakah tidak lebih baik kita diam saja menunggu suratan takdir nasib kita tanpa beramal?”

Jawab baginda,” Orang yang telah ditetapkan Allah menjadi orang yang bahagia, adalah kerana dia beramal dengan amalan orang bahagia, dan orang yang telah ditetap Allah menjadi orang celaka adalah kerana dia beramal dengan amalan orang celaka. Kerana itu beramallah!.

"Semua sarana telah disiapkan, adapun orang-orang bahagia, mereka dimudah untuk mengamalkan amalan orang-orang bahagia. Dan orang-orang celaka, mereka dimudahkan untuk beramal dengan amalan orang-orang celaka.”

Kemudian baginda membaca ayat maksudnya : "Adapun orang-orang yang suka memberi dan bertakwa maka Kami siapkan baginya jalan yang mudah. Dan adapun orang-orang bakhil dan merasa dirinya cukup , serta mendustakan pahala yang terbaik. Maka akan Kami siapkan baginya jalan yang sukar”.

Sabda Nabi S.A.W. yang bermaksud , :
"Al-Mizan itu berada ditangan Allah. Dia akan meninggikan sebahagian golongan dan merendahkan yang lain sehingga kehari kiamat. Hati manusia berada diantara dua jari Allah Al-Rahman. Jika dikehendaki Dia akan menjadikannya istiqamah dalam kebenaran dan jika dikehendakiNya akan disesatkanNya.”
(Hadis Riwayat Ahmad, al-Nasa’ei, Ibnu Majah dan al-Hakim).

Disebabkan terlalu mudahnya hati itu berubah, kita digalakkan beramal dengan doa ini dan doa memohon ketetapan hati yang diamalkan oleh Nabi S.A.W.

Nabi S.A.W berdoa : "Ya Allah, Tuhan yang menunjukkan hati, tunjukkanlah hati-hati kami kepada jalan ketaatan pada-Mu.”
(Hadis Riwayat Muslim).

"Ya Allah, Tuhan yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hati-hati kami kepada agama-Mu.” (Hadis Riwayat Ahmad dan al-Hakim).

Sahabat yang dikasihi,
Oleh itu marilah kita sama-sama berazam dan terus beramal dengan amalan-amalan ahli syurga dan di jauhi daripada amalan-amalan ahli neraka. Maka teruslah berdoa semoga Allah SWT tetapkan hati-hati kita untuk terus istiqamah dan tidak berubah-ubah hinggalah kita kembali menemui Allah SWT. dengan mendapat husnul khatimah.




No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML