Amalan Yang Mendekatkan Diri Kepada Allah
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Untuk menjadi hamba Allah yang taat maka kita perlulah melaksanakan yang wajib dan meninggalkan yang haram. Bersihkanlah diri kita dari dosa dengan memohon ampun kepada Allah SWT. dan janganlah menzalimi orang lain nescaya dihari akhirat nanti kita akan dihitung di bawah cahaya . Allah SWT akan mengasihi hamba-hamba-Nya diakhirat nanti apabila mereka berkasih-kasihan didunia ini semata-mata kerana Allah SWT.
Sebagai seorang insan biasa iman ada masa naik dan turun. Kadangkala kita melakukan dosa tanpa kita sedari, dari itu sentiasalah beristighfar siang dan malam kerana Nabi SAW beristighfar seratus kali sehari. Buangkanlah segala perasaan buruk sangka dan hasad dengki sesama muslim dalam diri kita dan sifat-sifat keji yang lain nescaya kita akan menjadi orang yang mulia disisi Allah SWT dan manusia lain pun akan menghormati dan memuliakan diri kita.
Kita perlu meyakini bahawa semua rezeki datangnya dari Allah SWT. Allah SWT akan mengurniakan rezeki yang lumayan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dijalan yang tiada disangka-sangka dengan syarat kita hendaklah menjadi orang yang bertakwa, sentiasa bertawakkal kepada Allah dan sentiasa bersih dari hadas (kecil dan besar). Orang yang sentiasa berwuduk akan dimurahkan rezeki oleh Allah SWT.
Sahabat yang dimuliakan,
Sifat marah adalah salah satu sifat tercela. Apabila datang perasaan marah cepat-cepatlah mengambil wuduk kerana kepanasan marah dapat disejukkan dengan air. Syaitan amat suka melihat anak Adam berada dalam keadaan marah kerana dengan marah, manusia akan hilang pertimbangan dan bertindak mengikut nafsu dan ianya akan membawa kepada kebinasaan. Allah SWT amat kasih pada hamba-hamba-Nya yang dapat mengawal kemarahan dengan mohon perlindungan daripada-Nya. Dihari kiamat nanti orang yang dapat mengawal kemarahan dirinya di dunia akan terselamat dari kemurkaan Allah SWT.
Doa dan munajat adalah senjata orang mukmin. Kita dituntut untuk sentiasa berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT .kerana kita amat berhajat kepada pertolongan Allah SWT, tanpa pertolongan Allah SWT siapalah kita ini, hamba yang lemah dan dhaif dan tidak bermaya disisi Allah SWT. Kekuatan doa dapat merubah qada dan qadar kerana Allah SWT merasa malu apabila hamba-Nya berdoa Dia tidak kabulkan doa tersebut.
Rasulullah SAW bersabda. yang diriwayatkan daripada Salman Al-Farisi:“Sesungguhnya Allah itu Hidup dan Maha Pemberi, Dia malu jika seseorang mengangkat kedua tangannya kepada-Nya lalu Dia mengembalikan kedua tangannya (membalas doa orang itu) dalam keadaan kosong serta rugi.”(Hadis riwayat Tirmidzi)
Sebelum doa dan munajat kita diterima oleh Allah SWT. pastikan kita tidak memutuskan silaturahim dengan kaum keluarga, jauhkan tidak bertegur sapa selama 3 hari, jangan derhaka kepada ibu bapa dan makanan dan minuman yang masuk dalam perut adalah makanan dan minuman yang halal. Termasuk juga sumber rezeki yang diperolehi untuk membeli makanan dan minuman mesti dari sumber yang halal.Termasuk meninggalkan makanan dan minuman yang syubhah.
Sahabat yang dihormati,
Apabila kita berdoa hingga menitiskan air mata kerana dosa dan kesalahan kita kepada Allah SWT, dan takut pada azab Allah SWT, Dia akan mengampunkan dosa kita dan kita akan termasuk salah satu golongan yang akan mendapat perlingungan Allah SWT di hari kiamat nanti. Mereka yang sabar ketika ditimpa sakit juga akan mendapat ganjaran pahala dan akan mendapat pengampunan daripada dosa-dosa yang telah lalu.
Jika kita beribadah kepada Allah SWT. kerjakanlah dengan hati yang kyusuk dan tawaduk. Fokuskanlah hati dan jiwa sepenuhnya kepada Allah SWT sehingga seolah-olah kita melihat Allah SWT. Seandainya hati kita belum sampai ketahap ini, maka yakinilah bahawa Allah SWT. sedang melihat dan memerhatikan ibadah kita, dengan ini kita akan termasuk golongan muhsinin (ikhlas).
Janganlah kita suka membuka keaiban saudara seagama, mengadu domba, mengumpat dan memfitnah. Jika kita tinggalkan perbuatan tercela ini nescaya Allah SWT. akan menutup keaiban kita dihari akhirat dan kita akan dijauhi dari seksaan api neraka. Sebahagian daripada penghuni neraka adalah disebabkan mereka tidak mahu menjaga lidahnya ketika didunia iaitu suka membuka keaiban orang , mengadu domba, mengumpat dan memfitnah orang lain.
Sahabat yang dikasihi,
Dikira sebesar-besar kebaikan disisi Allah SWT apabila kita memperelokkan budi pekerti, merendahkan diri dan sabar diatas bala dan musibah dan ujian-ujian daripada Allah SWT keatas diri kita. Janganlah kita menjadi orang yang buruk akhlaknya dan sedikit ketaatannya terhadap perintah-perintah Allah SWT kerana mereka-mereka ini akan mendapat kutukan daripada Allah SWT.
Akhir sekali jadilah diri kita hamba Allah yang dermawan. Pergunakanlah harta yang kita miliki untuk berzakat, bersedekah dan beramal jariah kerana sesungguhnya amalan mulia ini akan melahirkan hubungan silaturahim dan ukuwah Islamiyah. Sebaik-baiknya menghulur dengan tangan kanan sehinggakan tangan kiri tak tahu. Percayalah amalan mulia ini akan mendapat dua kebaikan iaitu meredakan kemurkaan Allah di dunia dan di akhirat dan di akhirat nanti ianya termasuk golongan yang mendapat perlindungan daripada Allah SWT.
No comments:
Post a Comment