Orang Mukmin Akan Menyediakan Amal Soleh Yang Berterusan Ketika di Dunia ini
Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap mukmin akan bercita-cita apabila kembali menemui Allah S.W.T. untuk menempah tempat duduknya di syurga di hari akhirat nanti. Cita-cita yang murni ini tidak akan berjaya diperolehi apabila tidak ada apa-apa pelaburan yang dibuatnya ketika di dunia. Dunia adalah tempat berusaha dan membuat pelaburan sebanyak mungkin untuk mendapat kedudukan yang tinggi di akhirat nanti.
Jika kita bercadang untuk memperolehi keuntungan yang besar dalam perniagaan ketika di dunia ini maka kita akan berusaha, merancang dan menyediakan modal yang besar dan mengawasi setiap perjalanan perniagaan kita tanpa dibuat sambil lewa sahaja. Begitu juga hasil pelaburan yang akan kita perolehi di akhirat nanti maka kita kena jalankan amalan dan kerja-kerja luar biasa untuk mendapat ganjaran pahala besar yang berlipatkali ganda.
Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang memberi contoh kebaikan, maka ia mendapat pahala dan pahala orang-orang yang meniru perbuatannya hingga hari kiamat; dan sesiapa yang memberi contoh kejahatan, maka ia mendapat dosa dan dosa orang-orang yang meniru perbuatannya hingga hari kiamat.” (Petikan Kitab Tanbihul Ghafilin halaman 13)
Terdapat 9 golongan yang akan mendapat ganjaran yang besar di hari akhirat kerana kerja-kerja cemerlang yang telah disumbangkannya ketika di dunia.
Golongan tersebut adalah seperti berikut :
1. Pemimpin yang adil.
2. Ulama yang menulis kitab (ilmu yang bermanfaat)
3. Pengasas Jemaah Islamiah
4. Ahli Sains yang menciptaan alat yang bermanfaat.
5. Dermawan sentiasa menyumbang untuk amal jariah
6. Pendakwah Islam (mengIslamkan ramai orang bukan Islam dan laksanakan amar makruf nahi mungkar
7. Para mujahidin (berjihad dijalan Allah)
8. Penulis Islam yang mengajak kepada kebaikan menulis dan menyampaikannya ilmu yang bermanfaat.
9. Pengasas rumah anak yatim, maahad tahfiz dan sekolah agama.
Huraiannya adalah seperti berikut :
Pertama : Pemimpin yang adil.
Pemimpin yang adil akan mendapat naungan Arasy di Padang Mahsyar nanti.
Dari Abu Hurairah Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : “Tujuh Golongan yang akan dinaungi oleh Allah dibawah Naungan-Nya pada hari yang tidak ada naungan selain naungan-Nya yaitu pemimpin yang adil, pemuda yang senantiasa rajin beribadah kepada Allah swt, laki-laki yang hatinya selalu terpaut dengan masjid, 2 orang yang saling mencintai karena Allah, berkumpul dan berpisah hanya karena Allah. Laki-laki yang diajak berzina oleh perempuan yang berkedudukan tinggi lagi berparas cantik lantas ia berkata “Sesungguhnya aku takut kepada Allah SWT”, Laki-laki yang bersedekah secara sembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya, dan laki-laki yang senantiasa berdzikir kepada Allah hingga mengalir deras airmatanya”. ( Hadist Riwayat Bukhari-Muslim )
Pemimpin yang adil adalah pemimpin umat Islam yang menjadikan undang-undang Allah sebagai peraturan hidup dalam pemerentahannya. Adil dalam pembahagiaan kekayaan negara kepada rakyat yang berhak mendapatkannya. Tidak rasuah dan mengutamakan kroni dan ahli keluarganya tetapi mendahulukan keperluan rakyat. Segala pembangunan dan perancangannya yang dibuat untuk kemaslahatan rakyat jelata dan kebaikan itu berterusan maka dia akan mendapat pahala yang besar walaupun dia sudah meninggal dunia. Dia akan dimasukkan ke dalam syurga yang tinggi. Tetapi bila dia mengabaikan amanah dan berlaku zalim maka dia tak akan mencium bau syurga.
Daripada Abu Hurairah ra berkata : Rasulullah SAW bersabda maksudnya :"Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni neraka yang belum lagi aku melihat mereka. Pertama, golongan (penguasa) yang mempunyai cemeti-cemeti bagaikan ekor lembu yang digunakan untuk memukul orang. Kedua, perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang, berlenggang-lenggok waktu berjalan, menghayun-hayunkan bahu. Kepala mereka (sanggul di atas kepala mereka) bagaikan bonggol (goh) unta yang senget. Kedua-dua golongan ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan dapat mencium bau wanginya. Sesungguhnya bau wangi syurga itu sudah tercium dari perjalanan yang sangat jauh daripadanya". (Hadis Riwayat Muslim)
Kedua : Ulama yang menulis kitab (ilmu yang bermanfaat)
Pahala yang besar diperolehi oleh para sahabat yang membukukan al-Quran, ulama-ulama hadis , ulama-ulama yang menulis kitab tauhid, feqah, tasauf dan ilmu-ilmu Islam yang lain yang mengandungi peduman hidup umat Islam sepanjang zaman.
Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : “Apabila seseorang manusia itu meninggal dunia maka terputuslah segala amalannya melainkan daripada tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu pengetahuan yang dapat diambil manfaat daripadanya dan anak soleh yang mendoakan untuknya”.(Hadis Riwayat Imam Muslim)
Dalam hadis yang lain, Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Allah senang terhadap orang yang belajar, namun lebih senang terhadap orang yang belajar dan mengajarkannya".
Termasuk juga ulama-ulama yang mampu memberikan fatwa dan ijtihad dalam urusan agama dan bila di amalkan oleh umat Islam maka mereka akan mendapat ganjaran yang besar disisi Allah SWT.
Ketiga : Pengasas Jemaah Islamiah
Ketika umat Islam berpecah belah dan mereka membawa diri masing-masing maka Allah S.W.T. memberi hidayah dan datangkan pemimpin umat Islam yang menyatukan balik mereka supaya kembali kepada al-Quran dan sunah Rasulullah S.A.W. dan mencontohi manhaj tarbiah yang dibawa oleh Nabi S.A.W. maka pengasas ini mempunyai saham yang cukup besar.
Setiap seratus tahun akan ada ulama besar yang akan lahir memberi semangat baru kepada umat Islam yang berpecah belah dan mengajak kembali kepada al-Quran dan as-sunnah Nabi SAW.
Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Dan hendaklah dikalangan kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung." (Surah Ali-Imran ayat 104)
Sabda Nabi S.A.W. maksudnya : "Memperkatakan nikmat Allah adalah tanda syukur, dan mengabaikannya adalah kufur. Berjemaah itu dirahmati, sedangkan berpecah belah itu mengundang azab." (Hadis Riwayat Ahmad dalam Musnad Ahmad)
Keempat : Ahli sains yang menciptaan alat yang bermanfaat.
Para ahli sains yang mencipta alat-alat yang bermanfaat untuk kegunaan manusia seperti letrik, telefon, komputer, kenderaan, alat untuk orang buta membaca (tulisan braille), mesin basuh, peri sejuk dal lain-lain lagi akan mendapat saham pahala yang berterusan jika penciptanya adalah orang Islam yang beriman. Termasuk juga kajian saintifik untuk sesuatu ilmu seperti ilmu falak, sains, matematik, geografi, sejarah dan lain-lain lagi. Jika hasil kajian itu dimanfaatkan oleh manusia lain hingga kehari kiamat pengkajinya akan mendapat pahala yang berterusan. Para saintis Islam dahulu sebenarnya adalah pengasa kepada ilmu sians sekarang ini maka mereka yang memulakan penemuan baru hingga digunakan oleh ahli sains terkemudian adalah mendapat saham yang besar.
Kelima : Dermawan sentiasa menyumbang untuk amal jariah
Islam mengalakkan umat Islam mencari harta yang halal supaya harta tersebut boleh di keluarkan sebagai zakat dan juga boleh disumbangkan untuk kemaslahatan umat Islam dan jihad fisabilillah. Kedudukan seorang hartawan yang dermawan sungguh mulia di sisi Allah S.W.T.
Berdasarkan hadis di atas seorang hartawan lagi dermawan akan mendapat perlindungan Arasy dihari kiamat. Dalam hadis yang lain mengatakan seorang dermawan akan masuk syurga dahulu sebelum ulama dan para syuhada.
Sedekah jariah yang disumbangkan untuk sekolah agama, masjid, maahad tahfiz, wakaf tanah perkuburan dan lain-lain lagi akan mendapat pahala yang berterusan.
Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud :"Sesungguhnya orang yang dermawan itu dekat dengan Allah, dekat pula dengan manusia dan dekat dengan syurga, jauh dari neraka. Sesungguhnya orang yang kikir (kedekut) itu jauh dari Allah, jauh pula dari manusia dan jauh dari syurga tetapi dekat dengan neraka. Seseorang yang bodoh tetapi dermawan itu lebih dicintai Allah daripada seorang alim yang pandai tetapi kikir. Penyakit yang paling parah adalah kikir."
(Hadis Riwayat Tarmizi dan Dar al-Quthni)
Keenam : Pendakwah Islam (mengIslamkan orang bukan Islam dan laksanakan amar makruf nahi mungkar)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang menyeru kepada petunjuk maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang mengerjakannya, Allah tidak mengurangkan sedikit pun pahala daripadanya. Dan barang siapa yang menyeru kepada kesesatan maka dia akan berdosa seperti mana dosa orang yang melakukannya, Allah tidak akan mengurangkan sedikit pun dosa itu daripadanya.” (Hadis riwayat Muslim)
Menyampaikan seruan kepada perkara yang makruf dan menjauhi perkara mungkar itulah yang dinamakan dakwah kepada Allah. Dengan adanya umat Islam yang berdakwah, agama akan terus hidup dan berkembang di atas muka bumi Allah ini. Berdakwah perlu jalan serentak iaitu kepada orang Islam yang lemah imannya dan kepada orang bukan Islam.
Perlu ditegaskan, kewajipan berdakwah terpikul pada bahu setiap muslim dari pelbagai lapisan dan kedudukan berdasarkan kemampuan masing-masing dalam menegakkan kebenaran serta menghapuskan kebatilan.
Dalam konteks dakwah, Allah menggariskan etika berdakwah yang baik iaitu bersikap santun dalam tindak tanduk kerana orang bukan Islam tidak tertarik dan juga tidak dapat melihat keindahan Islam jika yang digambarkan adalah kekasaran.
Bersifat santun bukan bererti tidak tegas atau menyerah kalah menurut kehendak orang bukan Islam. Bukankah Rasulullah SAW pada era permulaan dakwah Islam pernah diberikan tawaran harta benda, pangkat kedudukan dan wanita oleh Musyrikin Makkah supaya meninggalkan dakwahnya.
Namun, Rasulullah tetap istiqamah dan tegas dengan dakwahnya menyeru kepada keadilan dan keindahan Islam. Oleh itu, setiap Muslim perlu insaf, menyedari peranan dan tanggung jawab masing-masing memikul amanah dakwah Islam.
Jika kita berdakwah kepada orang bukan Islam , dengan izin Allah mereka beriman di atas usaha-usaha kita , maka pahala yang besar dan berterusan akan kita perolehi daripada orang tersebut hingga kepada keturunannya sehingga ke hari kiamat.
Ketujuh : Para mujahidin (berjihad dijalan Allah)
Firman Allah dalam ayat 74 surah an-Nisa’ :
فَلْيُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ الَّذِينَ يَشْرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا بِالآخِرَةِ وَمَن يُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ فَيُقْتَلْ أَو يَغْلِبْ فَسَوْفَ نُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا
Maksudnya : "Oleh itu (orang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada kesenangan dunia hendaklah mereka berperang pada jalan Allah. Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu dia gugur syahid atau beroleh kemenangan maka Kami akan menganugerahkannya ganjaran pahala yang besar"
Kesungguhan dan kecekalan nabi Muhammad s.a.w dan pejuang Islam dalam menjaga dan mengembangkan dakwah Islam sehingga sanggup gugur syahid di medan perjuangan wajib diteruskan barulah kita dianugerahkan dengan kemuliaan di dunia dan akhirat. Tugas menyebarkan Islam bukan dijanjikan dengan kejayaan yang mudah sebaliknya menuntut kepada penat dan lelah, tidak dihamparkan dengan permaidani merah.
Kelapan : Penulis Islam yang mengajak kepada kebaikan menulis dan menyampaikannya ilmu yang bermanfaat.
Kemajuan sains dan teknologi , internet dan ICT jika digunakan dengan baik akan memberi banyak manfaatnya. Ilmu-ilmu Islam yang banyak terdapat dibuku-buku ilmiah, penulisan ulama-ulama terdahulu yang merangkumi berbagai bidang ilmu pengetahuan telah dipermudahkan . llmu-ilmu Islam yang bermanfaat telah di catatkan dalam blog-blog, facebook, web site, E-Mail dengan mudah boleh dibaca dan difahami untuk dimanfaatkan bersama oleh umat Islam dan para pendakwah Islam.
Para penulis Islam perlulah berhati-hati dalam setiap penulisan, perlulah merujuk kepada bahan-bahan yang sahih iaitu daripada al-Quran sendiri, tafsir al-Quran, hadis-hadis Nabi SAW, penulisan ualam-ulama muktabar yang dahulu dan terkini dan merujuk fatwa dan ijtihad ulama yang tersohor masa kini . Setiap bahan yang disampaikan dan diambil menfaat oleh umat Islam seluruh dunia maka saham pahala yang berterusan tidak putus-putusa akan diperolehinya, insya Allah.
Kesembilan : Pengasas rumah anak yatim, maahad tahfiz dan sekolah agama dal lain-lain.
Kelebihan membela anak-anak yatim banyak disabdakan oleh Nabi SAW. Cukup dengan hadis berikut sebagai pembakar semangat:
“Aku dan pengasuh anak yatim (kelak) di syurga seperti dua jari ini (Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam menunjuk jari telunjuk dan jari tengah dan merapatkan keduanya.” (Hadis Riwayat Bukhari)
“Demi yang mengutus aku dengan hak, Allah tidak akan menyeksa orang yang mengasihi dan menyayangi anak yatim, berbicara kepadanya dengan lembut dan mengasihi keyatiman serta kelemahannya…” (Hadis Riwayat at-Tabhrani)
Sungguh mulia bagi yang menjadi pembela anak-anak yatim. Membena rumah untuk anak-anak yatim, memberi kasih sayang, menyara kehidupan mereka dan memberi pendidikan yang sempurna maka ganjaran besar akan mereka perolehi. Mereka akan mendampingi Nabi SAW pada hari akhirat nanti dengan dampingan yang sangat rapat.
Begitu juga pengasas kepada maahad tahfiz, sekolah agama, sekolah pondok, pusat pengajian Islam dan madrasah yang menganjurkan pengajian ilmu-ilmu Islam akan mendapat saham bangunan yang dibena dan juga ilmu yang bermanfaat yang akan diterima oleh para penun tutnya.
Sahabat yang dikasihi,
Jika kita bergantung sepenuhnya amal soleh dan amal ibadah yang kita kerjakan ditakuti ianya tidak mampu nak menampung dengan dosa-dosa yang banyak telah kita kerjakan setiap hari tanpa kita sedari. Dosa mengumpat, dosa fitnah dan dosa tidak laksanakan amanah adalah merupakan dosa-dosa yang akan menghapuskan amalan-amalan kita tanpa disedari. Bukan itu saja malahan ibadah kita pula tidak khusyuk, mungkin kita membuat sesuatau kerana riak atau ujub dan tidak melakukan dengan ikhlas.
Oleh itu untuk mendapat pahala yang luar biasa dan kebaikan yang berpanjangan perlulah kita melaksanakan perkara-perkara diatas yang telah dinyatakan. Marilah sama-sama kita beramal dan meyediakan prasarana berupa bangunan fizikal, buku-buku yang bermanfaat, bahan-bahan tarbiah, penulisan-penulisan yang mendatangkan kebaikan dan ilmu Islam, mengajak manusia kembali mentauhidkan Allah SWT, menyeru kepada yang makruf dan mencegah daripada kemunkaran adalah merupakan pakej-pakej pahala yang besar dan berterusan insya Allah akan dapat membantu kita ketika berada di hari akhirat nanti.
No comments:
Post a Comment