Friday, December 27, 2013

PANDANGAN YANG JERNIH

Pada suatu malam Shafiyah mengunjungi Rasulullah saw. yang sedang beriktikaf di masjid dalam sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan. Dia terpaksa menemui suaminya itu kerana ada masalah penting yang harus segera dibicarakan. Menjelang masuk waktu isyak, dia berdiri hendak pulang dan Nabi menghantarkannya sampai ke pintu masjid.

Mereka bertemu dengan dua orang sahabat Anshar yang akan melaksanakan solat jamaah. Kedua sahabat itu memberi salam, lantas berlalu dengan cepat. Rasulullah menegur, "Berhentilah sebentar. Yang di sampingku ini Shafiyah, isteriku." Kedua-dua orang sahabat Anshar itu bahkan mengucap, Subhanallah, janda Huyai bin Ka'ab." 

Nabi tahu maksud isi perkataan mereka itu. Baginda hanya berdiam diri seraya berpikir. Kalau mereka saja tidak memahami tujuan perkawinannya, apakah lagi umat di kemudian hari? Padahal setelah Khadijah meninggal, tiga tahun lamanya baginda telah menduda. Semua isteri berikutnya dinikahi berdasarkan perintah wahyu dan untuk tujuan-tujuan kemanusiaan sehingga seluruhnya adalah janda-janda yang telah tiada tempat bergantung kecuali seorang saja iaitu Aisyah. Oleh kerana itu, dengan sedih Nabi berkata: "Syaitan itu mengalir di dalam diri manusia mengikuti aliran darahnya. Malahan dijadikannya dada manusia sebagai tempat tinggalnya kecuali orang yang dilindungi Allah." 

Tatkala pada kali yang lain Rasulullah s.a.w. ditanya siapa yang dilindungi Allah itu, Baginda menjawab, "Mereka yang selalu memohon perlindungan Allah." 
"Siapakah gerangan?" tanya para sahabat pula. 
"Orang itu adalah yang banyak melakukan kebajikan, ikhlas amalnya dan bersih hatinya." 

Dari kedua peristiwa terpisah yang rasanya saling berkaitan itu, yang perlu kita ketahui adalah, ada hubungan apa antara sabda Nabi yang terakhir tersebut, dengan ucapan kedua sahabat Anshar mengenai Ummul Mukminin, Shafiyah? Untuk itu perlu kita singkap, siapa sebetulnya Shafiyah, yang dinikahi Nabi mendampingi isteri-isterinya yang lain itu. Dalam Perang Khaibar, yang bertujuan menghancurkan kekuatan tentera Yahudi yang selalu melakukan kejahatan terhadap umat Islam dan pemerintahan Madinah, salah seorang korban yang tewas adalah Huyai bin Ka'ab iaitu pemimpin kaum pemberontak itu. Dan Shafiyah adalah isterinya (Huyai). Tidak seorang pun yang bersedia memelihara Shafiyah, padahal nasibnya tidak menentu kerana waktu itu, masyarakat tempatan di situ ketika itu menganggap Yahudi sama najisnya dengan anjing-anjing buduk, akibat kedegilan mereka sendiri. 

Jadi, tatkala Nabi mengambil Shafiyah menjadi isterinya, tujuan baginda itu semata-mata untuk memberi keteladanan, betapa seharusnya umat Islam di dalam memandang manusia jangan hanya dengan sebelah mata. Ertinya, dengan niat berbuat baik, dengan keikhlasan yang sebenar-benarnya, dan dengan kebersihan hati yang tulus, manusia harus dilihat secara utuh. Sebab berdasarkan ajaran Islam, tidak ada manusia yang baik secara sempurna sebagaimana tidak ada yang seluruhnya buruk. Dibalik kekuatan ada kelemahan, dibalik kebaikan ada kekurangan. Begitu juga dicelah-celah kelemahan dan kejelekan, pasti tersimpan juga sekelumit kebajikan pada diri setiap orang. 

Jelas bahawa dari satu sisi, pelacur adalah pelacur, pencuri adalah pencuri. Mereka telah melakukan perbuatan yang melanggar susila, norma-norma agama, dan hukum negara. Akan tetapi, jika kita masuk ke dalam batin mereka, tidak selamanya pelacur sama jahatnya dengan pelacur, pencuri sama jahatnya dengan pencuri, bergantung pada sebabnya. Boleh jadi seorang peragut yang mati dipukul oleh orang ramai, mungkin ditangisi oleh anak-anaknya sebagai pahlawan keluarga kerana ia melakukan perbuatan buruk itu untuk membeli ubat bagi anaknya yang sakit, membeli makanan untuk anak-anaknya yang kelaparan. 

Oleh kerana itu, meskipun ada ancaman hukum potong tangan bagi para pencuri dan rejam bagi pezina, dalam hidup Nabi belum pernah satu pun yang dilaksanakan kecuali atas seorang perempuan Yahudi yang minta diadili berdasarkan hukum Taurat. Untuk itu Nabi bersabda, "Kemiskinan itu mendekatkan manusia pada kekafiran." 

Lima tahun yang lalu, saya kehilangan sebuah kereta, satu-satunya kenderaan saya, pada waktu menghantarkan anak kesebuah stesen kerana hendak berangkat ke madrasah. Hanya lima belas minit saya berada di kaunter. Ketika keluar ke tempat letak kereta semula, kenderaan saya sudah ghaib. Hari itu juga saya mengirimkan surat pembaca ke tiga akhbar Ibu Kota. Saya tulis begini: "Kereta itu saya beli dengan dengan wang tabungan saya dan isteri saya. Dan kereta itu saya gunakan untuk berdakwah kemana-mana. Tidak serupiah pun wang haram terdapat dalam pembelian kereta itu. Saya membeli dengan susah payah kenderaan tersebut kerana doktor melarang saya menunggang motosikal akibat jantung dan paru-paru saya yang sudah lemah. Jadi, tolong kembalikanlah kereta saya, mudah- mudahan anda diberkati Allah." 

Tiga hari kemudian ada seseorang yang menelefon saya bahawa kereta itu boleh diambil di belakang Hotel Indonesia pukul tiga petang. Alhamdulillah, penelefon itu tidak berdusta. Dan kembalilah kereta saya dalam keadaan baik dan seperti asal. Saya pun lantas menulis surat pembaca lagi ketiga-tiga akhbar yang bersangkutan, menyampaikan rasa terima kasih saya setulus-tulusnya kepada pencuri yang `baik hati' itu. 

Bukankah kejadian kecil ini membuktikan bahawa seorang penjahat pun, apabila disentuh hati nuraninya akan tergetar juga? Bahawa suara Tuhan masih mampu menembus tabir dosa yang menyelimuti dada manusia? Sebab setiap malam, Tuhan turun ke langit dunia dan berseru-seru, memanggil para hamba-Nya yang bersedia berlindung dalam pelukan-Nya. Suara-Nya mendayu bersama angin yang semilir, meningkahi titik-titik air yang menitis dari celah-celah jari-jemari kaum Muslimin yang sedang mengambil air wuduk. 

Dalam hadis Qudsi, firman Allah berbunyi, "Barang siapa mencari Aku, akan Kucari dia. Barang siapa mencintai Aku, akan Kucintai dia. Dan barang siapa meminta ampun kepada-Ku pasti akan Kuampuni dia" 

"Oleh sebab itu, tataplah dunia ini dengan hati putih. Pandanglah manusia dengan jiwa bersih. Kadang-kadang yang kauanggap buruk sebetulnya baik untuk engkau, sementara yang kau kira baik malahan amat buruk untuk engkau," ucap Imam Abu Laits, seorang sufi tua kepada para muridnya. Lalu ia pun membacakan sebuah firman Allah tentang keharusan orang beriman untuk memandang sampai jauh ke seberang, di balik yang terlihat, yang teraba, dan yang terasa. Firman Allah: "Jangan-jangan kamu membenci sesuatu, ternyata ia baik bagimu. Atau mungkin saja kamu mencintai sesuatu, padahal buruk untukmu." (An-Nisa:216)



Gambar Hiasan


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML