Friday, December 27, 2013

SOAL JAWAB AGAMA PART 2

(Hukum Membaca Al-Fatihah, Syarat-syarat Membaca al-Fatihah dan Lain-lain Lagi)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal jawab Agama Siri 124 adalah membicangkan persoalan hukum membaca surah al-Fatihah, syarat-syarat membaca al-Fatihah, membaca Bismillah dengan kuat , makmum perlu membaca al-Fatihah di belakang imam, imam di sunatkan senyap seketika selepas membaca al-Fatihah, sunat membaca lafaz isti'azah dan sunat membaca surah selepas membaca al-Fatihah.

901. Soalan : Apa hukum membaca al-Fatihah di dalam solat? Dan apakah syarat-syarat bacaan al-Fatihah yang sempurna?

Jawapan :

Membaca al-Fatihah adalah wajib pada setiap rakaat solat. Sabda Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam-; “Tidak ada solat bagi seorang yang tidak membaca ummul-Quran (yakni surah al-Fatihah)” (Hadis Riwayat Imam Muslim dari ‘Ubadah bin as-Shamit r.a.). 

Maksud tidak ada solat ialah; solat tidak sah.

Syarat-syarat bacaan al-Fatihah yang sempurna adalah :

1. Membacanya dengan memperdengarkan kepada diri sendiri. Tidak memadai membaca di dalam hati. Adapun bagi orang bisu, memadai dengan menggerakkan lidah dan dua bibirnya sekadar yang mampu.

2. Wajib menjaga makhraj serta tajwidnya. Begitu juga, wajib mengikut susunan dan berturut-turut iaitu tanpa diselangi antara ayat-ayatnya dengan berhenti yang lama.

3. Hendaklah dibaca dengan bahasa Arab. Tidak sah solat jika dibaca dengan bahasa lain, sama ada seseorang itu memahami bahasa Arab atau tidak.

902. Soalan : Adakah Bismillah sebahagian dari al-Fatihah?  dan bagi solat jahriyyah (yakni yang sunat diperdengarkan bacaan al-Quran di dalamnya), adakah Bismillah itu perlu dibaca dengan kuat atau dibaca perlahan sahaja?

Jawapan :


Ya. Bismillah adalah sebahagian dari al-Fatihah dan wajib dibaca tatkala membaca al-Fatihah. Dalilnya ialah apa yang tertera di dalam mushaf al-Quran di mana Bismillah ditulis sebagai ayat pertama dari al-Fatihah dan apa yang ditulis di dalam al-Quran merupakan ijmak para Huffaz.

Bagi solat jahriyyah (yakni yang sunat diperdengarkan bacaan al-Quran di dalamnya), adakah Bismillah itu perlu dibaca dengan kuat atau dibaca perlahan sahaja?

Dalam masalah ini ada dua pandangan;

Pandangan pertama; Iaitu pandangan ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie; Bismillah wajib dibaca dengan kuat (yakni diperdengarkan) kerana ia adalah salah satu ayat dari al-Fatihah sebagaimana yang tertera di dalam mushaf. 


Terdapat hadis dari Ummu Salamah –radhiyallahu ‘anha- menceritakan: “Rasulullah menghitung Bismillah sebagai satu ayat (dari al-Fatihah)”. (Hadis Riwayat Imam Ibnu Khuzaimah dengan sanad yang soheh. Kedudukan sanad hadis ini sebagai soheh juga ditegaskan oleh Dr. Mustafa al-Khin dan Dr. Mustafa al-Bugha dalam kitab mereka al-Fiqhul-Manhaji (Jil. 1, hlm. 131).). 

Dalam musnad Imam Syafi’ie terdapat riwayat dari Soleh Maula at-Tauamah yang menceritakan; “Sesungguhnya Abu Hurairah r.a. membuka solatnya dengan membaca Bismillah”. (Hadis yang miripnya diriwayatkan juga oleh Abdurrazzaq, ad-Daruqutni, Ibnu al-Jarud, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan al-Hakim. Darjatnya adalah soheh menurut Imam ad-Daruqutni, al-Baihaqi dan al-Hakim dengan dipersetujui oleh az-Zahabi. Lihat; Musnad Imam as-Syafi’ie, ditahqiq dan ditakhrij oleh; Dr. Rif’at Fauzi ‘Abdul-Muttalib, jil. 1, hlm. 256, ter. Dar al-Basyair al-Islamiyyah, Beirut (2005)).

Pandangan kedua; Iaitu pandangan jumhur ulama; Bismillah hendaklah dibaca secara perlahan, tidak dikuatkan. Mereka berdalilkan hadis dari Anas r.a. yang menceritakan; “Aku telah pernah menunaikan solat bersama Rasulullah SAW., Abu Bakar, Umar dan Ustman, maka aku tidak pernah mendengar seorang pun dari mereka yang membaca Bismillah”. (Hadis Riwayat Imam Muslim)


Dalam menselarikan antara dua riwayat yang zahirnya kelihatan saling bercanggah itu, ada baiknya kita mengambil pandangan Imam Ibnu Khuzaimah yang menyebutkan; membaca Bismillah dengan kuat atau membacanya dengan perlahan kedua-duanya adalah harus kerana kedua-duanya dilakukan oleh Rasulullah. Tidak ada salah satu darinya yang dilarang. Perbezaan dalam hal ini adalah diharuskan. (Lihat; ulasan Dr. Rif’at Fauzi ‘Abdul-Muttalib dalam Musnad Imam as-Syafi’ie, jil. 1, hlm. 256, ter. Dar al-Basyair al-Islamiyyah, Beirut (2005)). 

Hal yang sama ditegaskan oleh Imam Ibnul-Qayyim dalam Zadul-Ma’ad; Rasulullah SAW adakalanya baginda membaca Bismillah dengan kuat, namun baginda menyembunyikannya (yakni membacanya dengan suara perlahan) adalah lebih kerap dari menguatkannya. (Lihat; Zadul-Ma’ad, jil. 1)

903. Soalan : Adakah makmum juga perlu membaca al-Fatihah di belakang imam? Atau memadai dengan bacaan al-Fatihah imamnya?Adakah imam disunatkan senyap seketika apabila habis membaca al-Fatihah, sebelum meneruskan bacaan ayat atau surah selepasnya?

Jawapan :

Dalam masalah membaca al-Fatihah di belakang imam ada dua pandangan ulama;

Pertama; Menurut ulama-ulama mazhab Imam Syafi’ie; makmum wajib membaca al-Fatihah di belakang imamnya sama ada di dalam solat sirriyah atau jahriyyah, sama ada ia dapat mendengar bacaan imamnya atau tidak. Mereka berdalilkan hadis dari Abu Hurairah r.a. yang menceritakan bahawa Nabi SAW  bersabda; ‘Sesiapa menunaikan solat tanpa membaca di dalamnya ummul-Quran (yakni al-Fatihah), maka solatnya adalah cacat (tidak sempurna)’. Baginda mengulangi sabdanya itu sebanyak tiga kali. Lalu ditanya kepada Abu Hurairah r.a.; ‘Bagaimana jika kami menunaikan solat di belakang imam?’. Jawab Abu Hurairah r.a.; ‘Bacalah al-Fatihah itu dalam diri kamu’” (Hadis Riwayat Imam Muslim, Tirmizi dan Ibnu Majah).

Kedua; Menurut jumhur ulama (Imam Abu Hanifah, Malik dan Ahmad); tidak wajib lagi makmum membaca al-Fatihah kerana al-Fatihahnya telah ditanggung oleh imamnya. Cuma Imam Ahmad membezakan antara dua keadaan;

(Pertama); ketika imam tidak membaca dengan kuat atau makmum tidak dapat mendengar bacaannya; maka ketika itu disunatkan makmum membaca al-Fatihah di belakang imamnya. Jika ia tidak membacanya, tidaklah mengapa (yakni solatnya masih sah) kerana ia disunatkan sahaja dan bacaan imam telah memadai untuknya. Begitu juga, disunatkan juga ia membacanya jika imamnya senyap seketika selepas membaca al-Fatihah untuk memberi peluang makmumnya membaca al-Fatihah.

(Kedua); Jika imam membaca dengan kuat dan makmum dapat mendengar bacaannya, ketika itu tidak disunatkan makmum membacanya (malah dimakruhkan), sebaliknya makmum hendaklah mendengar dan memberi perhatian kepada bacaan imamnya.

Ulama-ulama mazhab Imam Ahmad berdalilkan ayat al-Quran yang bermaksud; “Dan apabila al-Quran itu dibacakan, maka dengar dengan memberi perhatian kepadanya serta diamlah supaya kamu beroleh rahmat” (Surah al-A’raf, ayat 204). 

Begitu juga, berdalilkan sabda Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam-; “Sesungguhnya dilantik imam itu adalah untuk diikuti. Maka apabila ia bertakbir, maka hendaklah kamu turut bertakbir dan apabila ia membaca (al-Quran) hendaklah kamu senyap (dan mendengarnya)” (Hadis riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu).

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya, “Sesiapa mempunyai imam, maka bacaan imam adalah bacaan untuknya” (Hadis Riwayat Ibnu Abi Syaibah, ad-Daruqutni dan Ibnu Majah). 

Kesimpulannya ; Sebaik-baiknya kita membaca surah al-Fatihah selepas imam membaca surah al-Fatihah kerana tidak sah solat jika tdak membaca surah al-Fatihah. Nabi SAW bersabda; ‘Sesiapa menunaikan solat tanpa membaca di dalamnya ummul-Quran (yakni al-Fatihah), maka solatnya adalah cacat (tidak sempurna)’. Baginda mengulangi sabdanya itu sebanyak tiga kali. Lalu ditanya kepada Abu Hurairah r.a.; ‘Bagaimana jika kami menunaikan solat di belakang imam?’. Jawab Abu Hurairah r.a.; ‘Bacalah al-Fatihah itu dalam diri kamu’” (Hadis Riwayat Imam Muslim, Tirmizi dan Ibnu Majah).

904. Soalan : Adakah imam disunatkan senyap seketika apabila habis membaca al-Fatihah, sebelum meneruskan bacaan ayat atau surah selepasnya?Apakah lafaz Isti’azah yang boleh dibaca di dalam solat?

Jawapan :


Sebahagian ulama di antaranya Imam Syafi’ie dan Imam Ahmad mensunatkan imam supaya berhenti seketika selepas membaca al-Fatihah (sebelum meneruskan bacaan ayat atau surah yang lain) bagi memberi peluang kepada makmumnya membaca al-Fatihah di belakangnya. Mereka berdalilkan hadis dari Samurah bin Judub radhiyallahu ‘anhu yang menceritakan bahawa ia menghafal dari Nabi (yakni dari perbuatan baginda ketika solat) dua saktah (yakni dua ketika di mana baginda sengap); (pertama) selepas baginda mengucapkan Takbiratul-Ihram, dan (kedua) selepas membaca “غير المغضوب عليهم ولا الضالين” (yakni selepas membaca al-Fatihah)” (Hadis riwayat Imam Abu Daud).

Namun sebahagian ulama yang lain antaranya Imam Abu Hanifah dan Imam Malik- memakruhkannya. Menurut mereka hadis di atas adalah dhaif. (Al-Mughni, 1/346).

Hukumnya membaca Isti’azah sebelum membaca al-Fatihah adalah sunat..

Membaca Isti’azah disunatkan sebelum membaca al-Quran sama ada di dalam solat atau di luar solat. Firman Allah (bermaksud); “Apabila kamu hendak membaca al-Quran, maka hendaklah (terlebih dahulu) kamu memohon perlindungan dengan Allah dari hasutan syaitan yang direjam” (Surah al-Nahl ayat 98).

Menurut Imam Syafi’ie; Isti’azah sunat diulangi pada setiap rakaat dan yang paling utama ialah pada rakaat pertama. Imam Abu Hanifah pula berpandangan; Isti’azah hanya dibaca pada rakaat pertama sahaja. Tidak sunat diulangi pada rakaat-rakaat yang lain.

Apakah lafaz Isti’azah yang boleh dibaca di dalam solat?

Lafaz pertama;

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

“Aku berlindung dengan Allah dari syaitan yang direjam”.

Lafaz ini diambil dari ayat al-Quran tadi.

Lafaz kedua;

أعُوذُ باللّه السَّمِيعِ العَلِيمِ مِنَ الشَّيْطانِ الرََّجِيمِ مِنْ هَمْزِهِ وَنَفْخِهِ وَنَفْثِهِ

“Aku berlindung dengan Allah Tuhan yang maha mendengar lagi mengetahui dari kejahatan syaitan yang direjam; dari kegilaannya, kebongkakannya dan sya’irnya”.

Diriwayatkan dari Abi Sa’id al-Khudri radhiyallahu ‘anhu                                                                 yang menceritakan bahawa Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- selepas membaca doa Iftitah, baginda membaca Isti’azah di atas sebelum membaca al-Fatihah. (Hadis Riwayat Imam Ahmad, at-Tirmizi dan lain-lain)

Apa hukum mengucapkan aamin selepas membaca al-Fatihah? Adakah makmum mengucapkan aamin serentak dengan imam atau selepas imam mengucapkannya?

Mengucapkan aamin selepas membaca al-Fatihah adalah sunat. Ini berdasarkan sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Apabila imam selesai membaca “غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ”, maka hendaklah kamu membaca; “آمِينَ” (aamin)” (Riwayat Imam Muslim dari Abu Musa –radhiyallahu ‘anhu-). Sabda Nabi lagi; “Apabila qari (yakni imam) telah membaca “غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ”, lalu orang di belakangnya (yakni makmum) membaca; “آمِينَ” dan bertepatan bacaan aminnya dengan bacaan amin penduduk langit (yakni para malaikat), nescaya akan diampunkan dosanya yang telah lalu” (Riwayat Imam Muslim).

Mengucapkan aamin itu disunatkan kepada orang yang bersolat sendirian, menjadi imam atau menjadi makmum. Dalam solat jahriyyah sunat ucapan aamin diperdengarkan dan dalam solat sirriyyah sunat diperlahankannya iaitu mengikut bacaan al-Fatihah. Dalam solat berjamaah, makmum hendaklah mengucapkan aamin serentak dengan imamnya, iaitu tidak mendahuluinya dan tidak juga selepasnya, akan tetapi bersama-samanya berdalilkan hadis Abu Musa di atas.

905. Soalan : Apa hukum membaca ayat atau surah selepas al-Fatihah?Adakah ayat atau surah selepas al-Fatihah itu disunatkan pada setiap rakaat?

Jawapan : 


Hukumnya adalah sunat. Sabda Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam; “Sesiapa yang membaca ummul-Kitab (surah al-Fatihah), maka mencukupi ummul-Kitab itu baginya (sebagai bacaan al-Quran yang diwajibkan di dalam solat). Dan sesiapa yang menambah (dengan membaca ayat atau surah lain), maka ia adalah paling baik” (Hadis Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu)

Surah selepas al-Fatihah itu disunatkan pada rakaat pertama dan kedua sahaja. Ini berdasarkan hadis dari Abi Qatadah yang menceritakan; “Nabi membaca pada dua rakaat yang awal (yakni rakaat pertama dan kedua) di salam solat Zohor dan Asar al-Fatihah dan satu surah yang lain. Kadang-kadang baginda memperdengarkan kepada kami bacaan ayatnya. Pada dua rakaat yang akhir (yakni rakaat ketiga dan keempat), baginda hanya membaca al-Fatihah sahaja”. (Hadis Riwayat Imam Muslim).


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML