Muslimin sekalian! Marilah sama-sama kita mengambil iktibar dari sabda junjungan Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
Umat-umat yang lain akan meratah, memusuhi dan menyerang kamu sebagaimana orang-orang yang meratah makanan yang terhidang di dalam hidangan mereka. Para sahabat bertanya: Adakah ketika itu bilangan kami sedikit wahai Rasulullah? Jawab Rasulullah: Tidak, bahkan bilangan kamu pada masa itu ramai, tetapi kamu pada masa itu umpama bunyi air banjir. Allah mencabut perasaan gerun terhadap kamu dari dalam hati musuh-musuh kamu dan kemudian Allah memasukkan ke dalam hati kamu. Para sahabat bertanya: Apa itu wahai ya Rasulullah? Jawab Rasulullah: Cintakan dunia dan takut mati.
Apa yang diberitahu oleh Rasulullah s.a.w. benar-benar berlaku pada hari ini apabila satu persatu kehinaan menimpa umat Islam samada mereka dibunuh, dijajah, diserang dan dizalimi dan yang terakhir ini serangan Amerika dan berita menggunakan peluru berpandu ke atas tanah air umat Islam iaitu Iraq.
Serangan ini berlaku pada masa jamaah umat Islam sangat ramai melebihi seribu juta orang seluruh dunia. Walau pun begitu ramai jamaah umat Islam, mengapa mereka tetap mendapat penghinaan daripada Allah Taala? Kenapakah dengan sumber kekayaan yang melimpah ruah yang dikurniakan oleh Allah Taala di bumi negara umat Islam daripada sumber galian, tanah yang subur dan rakyat yang ramai tiba-tiba semua itu menjadi sasaran kepada musuh-musuh Islam untuk menghancurkan umat Islam?
Sepatutnya ia digunakan oleh umat Islam sendiri untuk membina kekuatan dan kemuliaan. Sebaliknya banyak tanah yang umat Islam dijajah oleh musuh-musuh Islam dan umat Islam mengalami kezaliman seperti di Bosnia, Kosovo, Palestin, Iraq dan lain-lain lagi dengan dikuasai oleh penjajah dan kuasa besar dunia seperti Amerika, Rusia, China, India, Israel dan lain-lain.
Puncanya apabila negara dan tanah air umat Islam diperintah oleh raja atau ketua-ketua yang mengaku Islam, berlagak Islam, bercakap besar dan berbangga bahawa mereka mampu membawa kemajuan dan dikenali seluruh dunia dan menutup dada bahawa negara telah mencapai kemajuan dan berjaya menandingi negara lain.
Punca kelemahan umat Islam dapat dilihat melalui susur galur sejarah umat Islam. Umat Islam tidak pernah menerima penghinaan yang sebegini rupa sejak zaman Rasulullah s.a.w. sehingga di Khalifah Uthmaniyyah pada tahun 1924 Masehi.
Walaupun di dalam tempoh tersebut ada juga tanah air umat Islam diserang oleh musuh dan juga orang-orang Islam yang dizalimi tetapi ianya tidak lama adil masih ada tindakan daripada umat Islam yang menunjukkan umat Islam masih ada maruah dan harga diri mereka sendiri.
Pada masa itu lagi kerajaan Islam yang menegakkan hukum Allah dan syariat Allah Taala. Walau pun ada juga raja yang zalim tetapi kezaliman tersebut tidak sampai kepada peringkat meninggalkan hukum Allah Taala, kezaliman tersebut hanya berlaku ke atas diri mereka sendiri.
Apa yang berlaku selepas gugurnya khalifah Uthmaniyyah ialah hukum Allah Taala telah ditinggalkan, yang mengundang hukumnya daripada Allah Taala apabila tanah air umat Islam dikuasai oleh musuh-musuh Islam. Tanah air umat Islam dibahagikan-bahagikan sesama kuasa-kuasa kepada seumpama bahagian kuih dan makanan sesama mereka. Tanah air umat Islam dipecah perintah oleh musuh-musuh Islam sehingga tidak memberi peluang untuk bersatu.
Umat Islam meninggalkan perintah Allah Taala di dalam firmannya:
"Berpegang bahulah kamu dengan Allah (Islam) dan jangan kamu berpecah belah". Yang berlaku ialah masing-masing berpegang dengan fahaman kebangsaan dan semangat kenegerian di antara satu sama lain dan tidak berlaku tolong menolong sesama umat Islam.
Keadaan bertambah buruk apabila pemimpin-pemimpin yang menguasai mereka tidak bertanggungjawab untuk melaksanakan hukum Allah Taala. Mereka menipu rakyat dengan mengatakan merekalah yag paling baik dan paling layak. Orang lain tidak sanggup membawa kemajuan dan pembangunan seperti yang ada sekarang. Rakyat tidak sedar bahawa tidak akan ada keadilan dan kejujuran tanpa Islam, tanpa hukum Allah.
Buktinya apabila Amerika dan sekutu-sekutunya menyerang Iraq, mereka diam seribu bahasa. Mereka yang berbangga dengan kemajuan dan kekuatan dahulunya, kini membisu di hadapan keganasan Amerika dan kekejaman sekutu-sekutu mereka membunuh dan mencederakan umat Islam di Iraq.
Sebenarnya para pemimpin negara umat Islam hari ini tidak lebih daripada menjadi khadam kepada Amerika dan kuasa-kuasa besar dunia. Buktinya kita melihat mereka membenarkan negara mereka menjadi pengkalan tentera musuh-musuh Islam untuk membunuh umat Islam. Negara-negara umat Islam seperti Arab Saudi, Qatar, Bahrain, Kuwait dan lain-lain menyediakan tapak kepada tentera-tentera Amerika. Negara kita sendiri pernah membenarkan kapal-kapal perang musuh-musuh Islam berlabuh di pelabuhan dan pengkalan tentera laut.
Mereka ini berlagak menjadi pahlawan Islam apabila bercakap berkenaan dengan Islam malah lebih daripada ulama'-ulama' Islam sendiri. Percakapan mereka tentang Islam yang mengkagumkan itu hanyalah lakonan semata-mata untuk berselindung daripada pengetahuan rakyat bahawa mereka asalnya adalah khadam kepada musuh-musuh Islam.
Umat Islam perlu insaf dan kembali semula kepada apa yang sebenarnya memberi kemuliaan dan kekuatan kepada umat Islam. Tidak ada cara lain selain daripada kembali beramal dengan Islam, agama Allah Taala yang diajar oleh Rasulullah s.a.w.
Dan akan menolong orang yang menolong agamanya, sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa. Orang-orang yang kami kukuhkan (memberi kuasa) di muka bumi, mereka mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, menyuruh perkara baik dan mencegah kemungkaran, dan bagi Allah kesudahan sekalian urusan.
No comments:
Post a Comment