Friday, December 27, 2013

KEWAJIPAN MENGUNDI DAN LARANGAN MEMILIG PEMIMPIN YANG ZALIM

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, 
Firman Allah SWT  :

وَلَا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ مِنْ أَوْلِيَاءَ ثُمَّ لَا تُنْصَرُونَ

Maksudnya : "Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolongpun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan."(Surah Hud ayat 113)

Pada ayat ini Allah SWT memberi amaran bahawa orang-orang yang beriman kepada Nabi Muhammad SAW dan menganut agama yang dibawa baginda SAW supaya jangan sekali-kali cenderung kepada orang-orang zalim; iaitu bersahabat dan berbaik-baik dan mentaati musuh-musuh kaum muslimin yang selalu menyakiti mereka.

Selepas kewafatan Rasulullah SAW ummat Islam tidaklah boleh cenderung untuk melakukan sesuatu tindakan yang dilihat atau menjurus kepada menyokong golongan yang zalim dalam menentang perjuangan Islam yang dibawa oleh pewaris para anbiya yakni para ulama yang ikhlas dalam menyampaikan dakwah dan berusaha menegakkan agama Allah. Jika perbuatan sedemikian dilakukan ia bereti telah menempah azab seksa yakni dicampakkan ke dalam neraka serta tiadanya pertolongan Allah sedangkan Allah adalah satu-satunya tempat memohon pertolongan.

Berdasarkan kefahaman ayat di atas, jelas sekali cenderung (menyokong) kepada kezaliman adalah sesuatu perbuatan yang di larang oleh Islam apalagi mengambil seseorang yang zalim sebagai pemimpin kerana kezaliman seorang pemimpin lebih besar mudaratnya kepada orang ramai. Mereka yang memilih pemimpin yang zalim juga dikira sebagai orang yang zalim. Dalam erti kata yang lain segala sokongan terhadap dosa si pelaku kezaliman adalah satu pembabitan yang dihukumkan sama dosanya terhadap si penyokong.

Firman Allah SWT :

وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ مِنْكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ

Maksudnya : "Barangsiapa di antara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim." (Surah al-Maa-idah ayat 51)

Untuk lebih memahamkan firman-firman Allah di atas, sayugilah kita memerhatikan dialog di antara si tukang jahit dengan seorang ulamak silam yang terkenal iaitu Sufyan at Thauri.

Suatu ketika datang seorang lelaki bertanya kepada Sufyan at Thauri , dia berkata :"Aku ini penjahit pakaian untuk seorang raja (pemerintah yang zalim); adakah aku tergolong dalam kalangan penyokongnya?

Sufyan at Thauri menjawab : "Engkau bukan daripada kalangan penyokong tetapi engkau adalah golongan penzalim itu sendiri. Golongan penyokong ialah orang yang menjual kepada engkau jarum dan benang (untuk menjahit)."(Kitab al Mu'jam al Kabir)

Dalam situasi hari ini, sistem pengundian adalah sejenis mengiktiraf seorang pemimpin dengan pengakuan taat setia yakni suatu jalan usaha untuk membentuk pengagihan kuasa yang benar dan adil. Oleh kerana kebenaran dan keadilan itu adalah dituntut oleh agama maka ia menjadi satu kewajiban yang mesti ditunaikan oleh setiap kaum muslimin. Jelasnya satu undi daripada setiap orang dikira sebagai satu usaha untuk untuk melantik pemimpin masyarakat dan negara yang dilihat memiliki ciri-ciri kepimpinan yang dikehendaki Islam (berdasarkan penyaksian atau maklumat yang diperolehi melalui sumber yang sah). 

Bukankah Allah mengambil kira setiap perbuatan walaupun ianya sebesar zarah apakan lagi dalam hal sebesar ini.?

Sabda Rasulullah SAW maksudnya : "Sesiapa yang mati tetapi tidak pernah membai'ah pemimpin maka matinya adalah kematian dalam jahiliyah. (Hadis Sahih Riwayat Muslim no. 3441)

Firman Allah SWT :

وَأَقِيمُوا الشَّهَادَةَ لِلَّهِ ذَلِكُمْ يُوعَظُ بِهِ مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا

Maksudnya : "Dan hendaklah kamu tegakkan kesaksian itu kerana Allah. Demikianlah diberi pengajaran dengan itu orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat. Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar."(Surah at Thalaaq ayat 2)

Selanjutnya Allah SWT menyerukan supaya kesaksian itu supaya diberikan secara jujur, kerana Allah semata-mata tanpa mengharapkan bayaran, tanpa memihak, sebagaimana firman Allah SWT menjelaskan :

يا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ بِالْقِسْطِ شُهَدَاءَ لِلَّهِ وَلَوْ عَلَى أَنْفُسِكُمْ

Maksudnya : "Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah, biarpun terhadap dirimu sendiri."(Surah An Nisa' ayat 135)

Dalam ayat ini Allah SWT memerintahkan kepada para hamba-Nya yang beriman agar menjadi orang-orang yang benar-benar menegakkan keadilan di tengah-tengah masyarakat. Maka kerananya Allah SWT memerintahkan kepada mereka untuk melakukan perbuatan-perbuatan yang menyampaikan mereka kepada keadilan itu, seperti: keadilan dalam memilih pemimpin yang adil (yakni berkelayakan).

Maka mengundi dan melantik orang yang tidak wajar dilantik menurut syarak juga adalah suatu kezaliman (kejahatan) ini kerana ia dianggap seolah menyembunyikan kesaksian yang sebenar seperti yang dituntut oleh ayat di bawah, Allah SWT berfirman :

وَمَنْ يَكْتُمْهَا فَإِنَّهُ آثِمٌ قَلْبُهُ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ

Maksudnya : "Dan barangsiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya ia adalah orang yang berdosa hatinya; dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.(Surah al Baqarah ayat 283)

Untuk menambah lagi kefahaman kita hendaklah kita memerhatikan firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Maksudnya : "Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat seksa-Nya."(Surah al Maa-idah ayat 2)

Maka berikrarlah sebagaimana yang diajari Allah SWT kepada kita sepertimana dalam firmanNya :

وَلَا نَكْتُمُ شَهَادَةَ اللَّهِ إِنَّا إِذًا لَمِنَ الْآثِمِينَ

Maksudnya : "..dan tidak (pula) kami menyembunyikan persaksian kerana Allah; sesungguhnya kami kalau demikian tentulah termasuk orang-orang yang berdosa."(Surah al Maa-idah ayat 106)

Sahabat yang dimuliakan,
Seorang muslim-mukmin yang beriman dan bertakwa tidak akan membiarkan kepimpinan negara dikuasai oleh golongan sekular yang hanya mementingkan kepentingan diri sendiri, ahli keluarga dan kroni-kroni disekelilingnya.

Apabila kepimpinan terlalu lama dikuasai oleh mereka yang rasuah, mementingkan hiburan daripada pendidikan Islam , meminggirkan hukum hudud, qisas dan takzir (takzir mengikut nilai Islam) dan tidak ada usaha-usaha yang serius untuk memperkasakan hukum-hukum Allah SWT, merampaskan hak rakyat (mengswastakan air, letrik dan kenakan cukai-cukai yang tinggi), hak rakyat dinafikan untuk mendapatkan pendidikan percuma (pinjaman yang membebankan), membebankan rakyat dengan tol-tol yang dilebuh raya (sepatutnya rakyat mendapat lalun percuma), menghalang rakyat untuk menyuarakan pandangan dan mengadakan perhimpunan aman dan ketidak adailan dalam sistem kehakiman apabila melibatkan pemimpin negara atau kroni .

Akibat daripada tidak mengambil nilai-nilai akhlak Islam untuk diterapkan dalam pendidikan di sekolah dan universiti telah melahirkan gejala sosial yang parah dengan menghasilkan anak-anak tidak sah taraf ratusan ribu bilangannya hanya dalam masa beberapa tahun sahaja.

Sebagai seorang muslim-mukmin yang beriman dan bertakwa hendaklah kalian menghindari perbuatan mengundi bagi memenangkan mereka yang zalim. Dan perbuatan tidak mengundi juga adalah seolah-olah meredai mereka yang zalim untuk mendapat kuasa memerintah.

Kalian pasti akan ditanya di akhirat nanti kenapa kalian memberi saham dan sokongan kepada kezaliman?

Sahabat yang dikasihi,
Segala pertolongan daripada mereka yang zalim yang berbentuk duniawi janganlah dijadikan alasan untuk menyokong mereka yang zalim itu kerana ia tidak dapat digunakan untuk menebus azab seksa di akhirat. Sesungguhnya hanya Allah SWT adalah sebenar-benar penolong kepada kita. Oleh itu pilihlah pemimpin yang berazam untuk menegakkan Islam sebagai satu cara hidup dan mereka-meraka yang bersatu dibawah payong menentang kezaliman demi mencari keredaan Allah SWT. 

Mengikut kaedah syarak : Jika kalian diberi peluang untuk memilih di antara mukmin yang bertakwa dengan musim yang zalim maka pilihlah mukmin yang bertakwa . Jika kalian terpaksa berhadapan di antara dua mudarat iaitu mudarat yang kecil dengan mudarat yang besar maka pilihlah yang mudarat yang kecil. Semuanya atas pilihan kalian "tepuk dada tanya iman dan mata hati kalian mana yang lebih baik dan mana satu yang akan mendapat keredaan Allah SWT"

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML