(Makan Terhidang, Sunat-sunat Fitrah, Maksud Bid'ah Ahlul Bait Dan Bertunang Berdua-duaan)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal jawab Agama Siri 123 adalah membicangkan persoalan utamakan makan dulu sebelum solat jika makanan sudah terhidang, sunat-sunat fitrah, maksud bid'ah. siapa ahlul bait dan hukum berdua-duaan semasa bertunang.
896. Soalan : Jika makanan telah terhidang dan telah masuk waktu solat, adakah kita kena solat dahilu atau makan dulu? Boleh ustaz berikan hadis-hadis yang menjelaskan persoalan tersebut?
Jawapan :
Ada orang menyangka bahawa sekalipun makanan sudah terhidang, yang terbaik itu solat dahulu, selepas itu barulah makan. Sehingga ada yang apabila mereka duduk di keliling hidangan, kemudian bangun meninggalkannya dan pergi menunaikan solat. Amalan seperti itu dirasakan oleh sesetengah pihak sebagai lebih mengikut kehendak agama. Namun, jika kita merujuk kepada hadis-hadis Nabi s.a.w kita akan dapati penegasan yang sebaliknya. Antaranya hadis daripada Anas bin Malik r.a.: bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah makan sebelum kamu menunaikan solat Maghrib, dan jangan kamu tergopoh-gapah semasa makan malam kamu.”(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).
Dalam hadis yang lain daripada Abdullah bin Umar, baginda SAW. bersabda:
“Apabila dihidangkan makan malam seseorang kamu, sedangkan solat (jamaah) telah didirikan, maka mulailah dengan makan malam. Janganlah dia tergopoh-gapah sehinggalah dia selesai.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).
Riwayat di atas juga menambah bahawa Ibn Umar r.a. apabila dihidangkan untuknya makanan, manakala solat pula sedang didirikan, maka beliau tidak mendatangi solat melainkan hingga beliau selesai makan, walaupun beliau mendengar bacaan imam.
Hikmah daripada arahan Nabi SAW agar mendahulukan makan ialah agar pemikiran kita tidak diganggu ketika solat dengan ingatan kepada makanan yang telah kita lihat terhidang di hadapan mata sebelum bersolat tadi. Ini boleh mengganggu kekusyukan solat seseorang. Dengan itu para ulama menyatakan dimakruhkan solat setelah makanan terhidang di hadapan mata. Ini merangkumi semua solat, bukan khusus pada solat Maghrib sahaja. Kata al-Imam an-Nawawi (meninggal 676H) dalam Sharh Sahih Muslim mengulas hadis-hadis berkaitan:
“Di dalam hadis-hadis tersebut dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ia boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk”.
Dalam Faidh al-Qadir l-Imam al-Munawi (meninggal 1031H) pula menyebut bahawa arahan ini merangkumi semua solat dengan katanya: “Hadis tersebut menyatakan hendaklah didahulukan makan malam sebelum solat Maghrib. Namun ia juga dipraktikkan juga pada solat-solat yang lain. Ini kerana punca arahan ini ialah bimbang hilangnya khusyuk.”
Ini bukan bererti kita mengutamakan makan dari solat. Sebaliknya kita makan terlebih dahulu kerana ingin menjaga kekusyukan solat. Hal yang sama apabila kita dilarang bersolat dalam keadaan terasa ingin membuang air besar ataupun air kecil. Nabi bersabda:
“Tiada solat (jangan dirikan solat) dalam keadaan makanan terhidang dan dalam keadaan menahan air besar atau air kecil” (Hadis Riwayat Muslim).
Ini bukanlah bererti kita menganggap buang air besar dan kecil itu lebih utama dari solat, sebaliknya mendahului kedua perkara itu demi menjaga kepentingan solat.
Al-Imam Ibn Hajar al-`Asqalani (meninggal 852H) dalam Fath al-Bari memetik ungkapan Ibn Jauzi (meninggal 597H) . “Ada orang menyangka bahawa mendahulukan makanan sebelum solat adalah bab mendahulukan hak hamba ke atas hak Tuhan. Sebenarnya bukan demikian, tetapi ini adalah menjaga hak Allah agar makhluk masuk ke dalam ibadahnya dengan penuh tumpuan. Sesungguhnya makanan mereka (para sahabat) adalah sedikit dan tidak memutuskan mereka daripada mengikuti solat jemaah.”
Dengan itu, makan dahulu setelah makanan terhidang kemudian baru bersolat adalah sunnah Nabi SAW. Maka apabila makanan terhidang, ibubapa hendaklah memberikan anak-anak makan terlebih dahulu ketika berbuka, sehingga mereka selesai maka barulah bersolat. Inilah sunnah.
Melakukan susunan yang seperti itu, mendapat pahala. Namun makanlah dengan kadar yang diajar oleh Islam, bukan makan sehingga mengah lalu gagal bersolat dengan sempurna.
Di sana ada cara untuk mengelakkan kemakruhan ini, iaitu elakkan menghidangkan makanan terlebih dahulu sebelum solat. Elakkan mata terpandang kepada makanan yang telah dihidangkan. Selepas selesai bersolat barulah dihidangkan. Namun, jika kelaparan itu kuat, bau makanan telah masuk ke hidung, sehingga ingatan kepada makanan sangat kuat sekali belum melihatnya, hendaklah dia makan terlebih dahulu.
Juga sudah pasti tidak makruh bersolat sekalipun makanan sudah terhidang jika keinginan kepada makanan tiada. Ini kerana punca (‘illah) larangan bersolat semasa makanan terhidang ialah agar tidak mengganggu kusyuk. Jika seseorang memang tiada keinginan kepada makanan, sudah pasti tidak menggangu kusyuk sekalipun makanan sudah terhidang.
897. Soalan : Apakah sunat-sunat fitrah yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW? Boleh ustaz memberi pencerahan mengenai sunat-sunat tersebut. Terima kasih.
Jawapan :
Sunat-sunat Fitrah yang terdapat di dalam hadis Rasulullah SAW adalah seperti berikut :
1. Berkhatan
Berkhatan adalah memotong selaput kulit yang menutupi kepala zakar lelaki atau memotong sedikit hujung daging yang ada di sebelah atas faraj perempuan. Berkhatan termasuk di antara amalan-amalan yang telah disyariatkan oleh Allah SWT terhadap hambaNya. Ia adalah sebagai pelengkap fitrah yang telah dianugerahkan oleh Allah kepada mereka. Dari Abu Hurairah ra berkata Rasulullah SAW bersabda :
“Nabi Ibrahim yang dijuluki Khalil Ar-Rahman (Kekasih Allah yang maha penyayang) berkhatan setelah berusia lapan puluh tahun dan beliau berkhatan dengan menggunakan kapak.” (Hadis Riwayat Bukhari)
2. Mencabut Bulu Ketiak
Perbuatan mencabut bulu ketiak adalah sunat. Jika sakit maka bolehlah digunakan pisau cukur atau alat-alat yang lain. Boleh juga isteri mencabut bulu ketiak suami dan suami mencabut bulu ketiak isteri. Amalan sebegini boleh menambahkan lagi kemesraan suami isteri. Rasulullah SAW bersabda :
“Lima perkara fitrah iaitu berkhatan, mencukur bulu kemaluan, memotong kuku, mencabut bulu ketiak (cukur), memendekkan misai.” (Hadis Riwayat Muslim)
3. Mencukur Bulu Kemaluan
Mencukur bulu-bulu yang tumbuh di sekitar qubul dan dubur. Ibnu Hajar dalan fathul bari menjelaskan bahawa sunat mencukur bulu-bulu yang tumbuh di sekitar kemaluan depan dan belakang. Dari Anas ra berkata :
“Nabi SAW membenarkan kami untuk tidak menggunting misai, memotong kuku, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu kemaluan selama empat puluh malam dan tidak boleh lebih dari tempoh itu.” (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud)
4. Memotong Kuku
Memotong kuku termasuk sunat fitrah. Para ulama fiqah sepakat, memotong kuku hukumnya sunat dan tidak dimestikan pada waktu tertentu, tetapi sunat memotong pada hari Jumaat. Dari Abi Hurairah ra berkata :
“Nabi SAW menggunting kumis dan memotong kuku setiap hari Jumaat, pagi-pagi sebelum beliau pergi solat Jumaat.” (Hadis Riwayat At-Thabrani dan Al-Bazar)
Imam An-Nawawi mengatakan bahawa sunat memulai dengan memotong kuku kedua tangan dahulu sebelum memotong kuku kaki. Mulai dengan telunjuk kanan, kemudian jari tengah, kemudian jari manis, kemudian kelingking, kemudian ibu jari. Sesudah itu jari kelingking, jari manis, jari tengah, telunjuk dan diakhiri dengan ibu jari. Sesudah itu ditukar ke kaki kanan, mulai dengan kelingking kanan dan disudahi dengan kelingking kiri.
4. Menipiskan Misai
Hukum menipiskan misai adalah sunat. Tidak harus dibiarkan panjang kerana ianya menyerupai orang majusi. Dari Ibnu Umar berkata :
“Nabi SAW bersabda : Bezakan identity kamu dengan kaum musyrikin, iaitu dengan memanjangkan janggut dan menipiskan misai.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
5. Memelihara Janggut
Bagaimanapun, ia tidak boleh dipotong terlampau pendek hingga seakan-akan dicukur dan tidak boleh pula dibiarkan begitu sahaja tanpa rawatan hingga terlihat tidak kemas. Yang terbaik adalah mengambil jalan tengah. Sebab, sikap sedemikian itu adalah simbol kesempurnaan. Di samping itu, janggut yang lebat menunjukkan kelelakian dan kematangan. Dari Ibnu Umar ra berkata Nabi SAW bersabda :
“Berbezalah dengan orang-orang musyrik, peliharalah janggut dan cukurlah misai.” (Hadis Riwayat Bukhari)
6. Merapikan Rambut
Abu Qatadah membubuh minyak ke atas rambutnya sebanyak dua kali sehari dan ini merupakan perintah Nabi SAW yang berbunyi : Malah hendaklah kamu sentiasa menghormatinya dengan cara merapikannya. Mencukur rambut kepala dibolehkan dan begitu juga memanjangkannya dengan syarat dirawat dengan baik. Dari Abu Hurairah ra berkata :
“Nabi SAW bersabda : Sesiapa yang mempunyai rambut, hendaklah orang itu memuliakannya dengan cara merapikannya.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Mencukur atau gunting sebahagian rambut dan meninggalkan sebahagian yang lain hukumnya ialah makruh tanzih. Dari Ibnu Umar ra berkata :
“Rasulullah SAW melarang daripada Al-Qaza. Lalu ada seseorang yang bertanya kepada Nafi : Apakah yang dimaksudkan dengan Al-Qaza itu? Nafi menjawab : Mencukur sebahagian rambut kepala seseorang kanak-kanak menakala sebahagiannya lagi dibiarkan.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Zaman sekarang ini telah menjadi budaya anak-anak muda mengikuti gaya rambut yang berbagai, ada yang berbentuk ala trojen, ada bentuk ala Korea dan Jepun dan banyak lagi jenis rambut yang digayakan oleh orang muda zaman sekarang ini. Berdasarkan hadis di atas mengatakan orang yang memotong rambut sebahagian dan ditinggalkan sebahagian itu adalah makruh. Tetapi kita kena ingat perkara yang makruh ini sangat hampir dengan perkara yang haram. Takut-takut perbuatan mengayakan rambut itu menjadi haram dengan sebab-sebab yang tertentu. Sebagai sikap berjaga-jaga lebih baiklah elakkan dari memotong dan mengayakan rambut seperti itu.
7. Membiarkan Uban
Lelaki dan perempuan disunatkan memelihara atau membiarkan uban tanpa dicabut, kerana uban ini melambangkan seseorang itu telah berusia atau telah tua dan masa dia hidup di dunia ini sudah tidak lama lagi. Hal ini juga akan membuatkan seseorang itu sentiasa mengingati mati. Orang yang menyimpan uban juga akan dihapuskan oleh Allah satu kesalahan yang telah dilakukannya. Rasulullah SAW bersabda :
“Janganlah kamu mencabut uban, kerana ia merupakan cahaya bagi seorang muslim. Allah akan mencatat satu kebaikan, mengangkat satu darjat dan menghapus satu kesalahan dari setiap muslim yang beruban selama masih memeluk agama Islam.” (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud, At-Tirmizi, An-Nasai dan Ibnu Majah)
898. Soalan : Ustaz, apakah yang dimaksudkan dengan bid'ah yang sering diperbahaskan di facebook hingga menimbulkan perpecahan dikalangan umat Islam? Minta ustaz memberikan pencerahannya kerana saya menjadi keliru dengan perkara ini. Wassalam.
Jawapan :
Menurut As-Sheikh Imam Abu Amru Abdul Aziz bin As-Salam dalam penghujung kitabnya Al-Qawaid, beliau berkata:
"Bid'ah ini dibahagikan kepada wajib, sunat, haram, makruh dan harus. Dan cara menentukannya ialah dengan merujuk kepada kaedah-kaedah syarak. Jika termasuk dalam kaedah yang mewajibkan jadilah wajib. Jika termasuk dalam kaedah yang mensunatkan jadilah sunat. Jika termasuk dalam kaedah yang mengharamkan jadilah haram. Jika termasuk dalam kaedah yang memakruhkan jadilah makruh dan jika termasuk dalam kaedah yang mengharuskan jadilah harus."
Contoh bid'ah wajib ialah meletakkan kaedah nahu dan sorof, membukukan Al- Quran, menyusun ilmu-ilmu seperti usuluddin, feqah dan sebagainya.
Contoh bid'ah sunat ialah mengadakan sekolah-sekolah dan madrasah-madrasah dan solat Terawikh berjemaah.
Contoh bid'ah makruh seperti menghiasi masjid dan mashaf.
Contoh bid'ah harus pula ialah bersalam-salaman selepas solat, membahagi-bahagikan makanan, minuman dan sebagainya.
Sesuatu yang tidak dilakukan oleh Raslullah SAW dan para sahabat bukanlah bererti tidak dianjurkan oleh syarak. Pendapat mengatakan bahawa perkara itu bid'ah adalah tidak tepat, dilihat kepada dua sudut iaitu pertama sesuatu yang tidak dilakukan oleh Rasulullah SAW tidak menunjukkan ia tidak dianjurkan oleh syarak atau tidak juga dilarang, maka ia dianggap harus selagi tidak ada dalil yang melarangnya dan kedua ialah pendapat yang mengatakan: "Kalaulah ia baik, sudah tentu ia dilakukan oleh orang yang lebih baik daripada kita" adalah pendapat seolah-olah syariat Islam adalah sesuatu yang jumud sedangkan Islam itu syumul.
Islam mampu menetapkan hukum pada setiap amalan atau peristiwa yang berlaku samada dalam muamalah atau sebahagian daripada ibadah yang tidak ditentukan oleh syariat iaitu dengan berpandukan kaedah-kaedah dan prinsip-prinsip yang terdapat dalam syariat.
Di antara persoalan yang sering timbul ialah menghukum bid'ah ke atas persoalan khilafiah atau yang ditetapkan oleh hadis dhaif.
Jawapannya termasuk dalam kesalahan yang nyata menetapkan hukum bid'ah ke atas perkara yang para ulama tidak sekata mengenainya dari sudut sabit (wujud) atau tiadanya atau dari sudut kuat atau lemah dalilnya. Begitu juga pada perkara yang ditetapkan oleh hadis yang dianggap dhaif oleh para ulama hadis kerana dengan label tersebut, menyebabkan kita menghukum para sahabat dan generasi salafus soleh sebagai pembawa bid'ah kerana seorang mujtahid akan menganggap ijtihadnya lebih masyhur daripada ijtihad orang lain.
Sebagai contoh Saidatina Aisyah pernah berselisih pendapat dengan Ibn Abbas pada satu hukum yang telah ditetapkan oleh Ibn Abbas. Tidak timbul isu Aisyah membid'ahkan Ibn Abbas.
Demikian juga keadaannya pada perkara yang ditetapkan berpandukan hadis yang dhaif. Tidak boleh juga menghukumnya sebagai bid'ah kerana hukum memang sabit secara umum, tetapi lemahnya berlaku pada sanad hadis yang mungkin disebabkan kecacatan pada rawi atau pada matan hadis.
Kita jangan bersegera melabelkan seseorang itu dengan bid'ah dan sesat. Terdapat sesetengah golongan yang sampai ke peringkat melampaui batas sehingga berani mempertikaikan autoriti para ulama besar dan melemparkan tuduhan tersilap, bid'ah dan kurang mengkaji hadis-hadis Rasulullah SAW. Di antara ulama yang mereka pertikaikan ialah imam-imam mazhab yang empat. Sedangkan mereka telah pun diperakui oleh umat Islam kelayakan mereka untuk dijadikan ikutan.
Terdapat juga sebahagian yang lain mempertikaikan ulama lain yang mempunyai pendapat yang tidak sesuai dengan selera dan prinsip hidupnya walaupun mereka yakin bahawa mereka yang dipertikaikan itu benar dalam beberapa aspek yang lain seperti mempertikaikan pandangan Syafie dalam Qunut dan sebagainya.
Hadis dibawah menjelaskan bahawa membaca doa Qunut semasa solat Subuh adalah bukan bid'ah.
Dari Muhammad bin Sirin, bahawa ia berkata, “Aku berkata kepada Anas bin Malik r.a, “Apakah Rasulullah SAW. Qunut pada solat Subuh? ‘Ia menjawab, ‘Ya, sesaat setelah rukuk.” (Hadis Sahih Riwayat Muslim ( I:468no.298)
Di dalam hadis yang lain : Dikatakan oleh Umar bin Ali Al Bahiliy, dikatakan oleh Khalid bin Yazid, dikatakan Abu Ja’far Ar-Razy, dari Ar-Rab i’ bin Anas berkata : Anas r.a ditanya tentang qunut Nabi SAW bahawa apakah betul baginda SAW berqunut sebulan, maka berkata Anas ra : Baginda SAW selalu terus berqunut hingga wafat, lalu mereka mengatakan maka Qunut Nabi SAW pada solat subuh selalu berkesinambungan hingga baginda SAW wafat, dan mereka yang meriwayatkan bahawa Qunut Nabi SAW hanya sebulan kemudian berhenti maka yang dimaksud adalah Qunut setiap solat untuk mendoakan kehancuran atas musuh-musuh, lalu (setelah sebulan) baginda SAW berhenti, namun Qunut di solat subuh terus berjalan hingga baginda SAW wafat.
Berkata Imam Nawawi : Mengenai Qunut subuh, Rasulullah SAW tidak meninggalkannya hingga baginda SAW wafat, demikian riwayat sahih dari Anas r.a. (Syarah Nawawi ala shahih Muslim)
Di antara perkara yang sering dikaitkan dengan bid'ah sedangkan perkara-perkara tersebut adalah perkara khilafiah (yang diperselisihkan oleh ulama) seperti tawasul , membuat majlis tahlil, membaca talkin semasa jenazah dikuburkan, menggerakkan atau mengangkat jari telunjuk ketika tahiyyat, berdoa selepas solat fardu, doa secara berjemaah, membaca Qunut dalam solat Subuh, berdoa dimalam Nisfu Syaaban, hukum berselawat selepas azan, memohon syafaat dengan Rasulullah SAW, azan pertama pada hari Jumaat, sunat Qabliyyah Jumaat, bilangan rakaat solat Terawikh, menghadiahkan pahala bacaan Al-Quran kepada mereka yang telah mati, perayaan Maulid Ar-Rasul dan sebagainya.
Terdapat segolongan pemuda (baru tamat belajar dari luar negara) yang melampau dalam meletakkan pengertian bid'ah sehingga menghukumkannya terhadap perkara-perkara kecil, kerana mengikut hawa nafsu atau kerana terpengaruh dengan manhaj (prinsip) jamaah tertentu yang menganggap bid'ah ialah sesuatu amalan yang baru diwujudkan dan tidak pemah dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat baginda. Mereka lupa atau sengaja melupai keluasan dan kesyumulan Islam yang sesuai pada setiap masa dan tempat, malah setiap sesuatu yang muncul samada yang berbentuk istilah atau peristiwa sehinggalah ke hari kiamat.
Kita sepatutnya mengetahui pengertian bid'ah yang sebenarnya. Kita jangan terlalu cepat menghukum sesuatu perkara itu bid'ah yang dholalah (yang sesat).
Bid'ah yang wajib diperangi ialah bid'ah dalam perkara akidah yang membawa kepada syirik seperti ajaran Syiah, ajaran-ajaran sesat, dan bid'ah saiyyiah (buruk). Dalam masa yang sama, kita pula jangan meringan-ringankan perkara bid'ah sehingga menokok tambah dalam perkara agama seperti mengambil hukum ciptaan manusia yang bertentangan dengan hukum-hukum Allah SWT.
Panduan dalam menentukan sesuatu itu bid'ah atau tidak ialah merujuk kepada Al-Quran, As-Sunnah, Ijma', qiyas dan pandangan ulama-ualama muktabar. Wallahu a'lam.
899. Soalan : Ustaz, golongan Syiah mendakwa mereka adalah pembela ahlu bait Nabi SAW. Soalan saya siapakah sebenarnya ahlu bait Nabi SAW? Minta ustaz menghuraikannya untuk mengelakkan kekeliruan ini. Terima kasih.
Jawapan:
Kalimat ahlul bait terdiri dari dua kata: al-ahl [arab: أهل] dan al-bait [arab: البيت].
Ahlu bait secara bahasa, bahawa ahlul bait Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam bukan hanya keturunan bani Hasyim atau keturunan Ali bin Abi Thalib radhiyallahu ‘anhu, termasuk juga para isteri Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam.
Kata Ahlu dalam Al-Quran
Ada beberapa ayat yang menyebutkan kata ahlu dalam Al-Quran. Dengan memahami ayat ini, kita boleh menyimpulkan makna kata ahlu dalam bahasa Al-Quran,
Pertama, kisah Nabi Ibrahim a.s.
Di surat Hud ayat 69 hingga 73, Allah menceritakan tentang Ibrahim yang kedatangan tamu malaikat. Tamu itu dijamu daging anak sapi panggang, namun mereka tidak menyentuhnya. Mereka memberitahukan misi kedatangannya dan memberi kabar gembira bahwa isteri pertama Ibrahim, Siti Sarah akan dikaruniai seorang anak bernama Ishaq. Sarah yang waktu itu ada di rumah merasa sangat bahagia bercampur keheranan, sambil tertawa. Di akhir kisah di rumah Nabi Ibrahim a.s., Allah SWT menceritakan jawapan Malaikat atas keheranan Sarah,
قَالُوا أَتَعْجَبِينَ مِنْ أَمْرِ اللَّهِ رَحْمَتُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ عَلَيْكُمْ أَهْلَ الْبَيْتِ إِنَّهُ حَمِيدٌ مَجِيدٌ
Maksudnya : "Para Malaikat itu berkata: “Apakah kamu (wahai Sarah) merasa heran tentang ketetapan Allah? (Itu adalah) rahmat Allah dan keberkatan-Nya, dicurahkan atas kalian, hai ahlul bait! Sesungguhnya Allah Maha Terpuji lagi Maha Pemurah.” (Surah. Hud ayat 73).
Ahlu bait Ibrahim pada ayat di atas adalah isteri baginda, Siti Sarah . Kerana, ketika malaikat ini mendatangi kepada Ibrahim, baginda belum memiliki keturunan dari isterinya, Sarah.
Kedua, kisah Nabi Musa a.s., sekembalinya dari negeri Madyan
Nabi Musa dinikahkan oleh orang soleh penduduk Madyan dengan puterinya. Maharnya, menjadi pegawai orang itu selama 8 tahun. Setelah berlaku masa pengabdian kepada mertuanya, Musa kembali ke Mesir untuk membebaskan bani Israil dari penjajahan Firaun dan bala tentaranya. Ketika di perjalanan, Musa melihat api. Allah ceritakan,
فَلَمَّا قَضَى مُوسَى الْأَجَلَ وَسَارَ بِأَهْلِهِ آنَسَ مِنْ جَانِبِ الطُّورِ نَارًا قَالَ لِأَهْلِهِ امْكُثُوا إِنِّي آنَسْتُ نَارًا لَعَلِّي آتِيكُمْ مِنْهَا بِخَبَرٍ أَوْ جَذْوَةٍ مِنَ النَّارِ لَعَلَّكُمْ تَصْطَلُونَ
Maksudnya : "Tatkala Musa telah menyelesaikan waktu yang ditentukan dan Dia berangkat dengan ahlunya, dilihatnyalah api di lereng gunung ia berkata kepada ahlunya: “Tunggulah (di sini), Sesungguhnya aku melihat api, Mudah-mudahan aku dapat membawa suatu berita kepadamu dari (tempat) api itu atau (membawa) sesuluh api, agar kamu dapat menghangatkan badan”. (Surah Al-Qashas ayat 29).
Allah sebut, isteri Nabi Musa ‘alaihis salam dengan ahlunya, ahlu Musa. Kerana isteri jelas bagian dari ahlul bait.
Ketiga, tentang perintah Allah kepada para isteri Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam untuk tidak tabarruj dan berdiam di rumah,
وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَى وَأَقِمْنَ الصَّلَاةَ وَآتِينَ الزَّكَاةَ وَأَطِعْنَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ إِنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيُذْهِبَ عَنْكُمُ الرِّجْسَ أَهْلَ الْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيرًا
Maksudnya : "Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliyah yang dahulu dan dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan taatilah Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan dosa dari kamu, Hai ahlul bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya. (Surah. Al-Ahzab ayat 33)
Ibnu Abbas radhiallahu ‘anhu mengatakan,
قوله: { إِنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيُذْهِبَ عَنْكُمُ الرِّجْسَ أَهْلَ الْبَيْتِ } قال: نزلت في نساء النبي صلى الله عليه وسلم خاصة.
“Firman Allah di atas turun khusus terkait para isteri Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam.” (Tafsir Ibnu Katsir, 6:410)
Ikrimah rahimahullah (ahli tafsir generasi tabiin) mengatakan,
من شاء باهلته أنها نزلت في أزواج النبي صلى الله عليه وسلم
“Siapa yang ingin mengetahui ahlul bait baginda, sesungguhnya ayat ini turun tentang para isteri Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam.” (Tafsir Ibnu Katsir, 6:411)
Tafsir inilah yang ditegaskan oleh As-Syaukani dalam Fathul Qadir,
قال ابن عباس وعكرمة وعطاء والكلبي ومقاتل وسعيد بن جبير: إن أهل البيت المذكورين في الآية هن زوجات النبي – صلى الله عليه وسلم – خاصة
Ibnu Abbas, Ikrimah, Atha, Al-Kalbi, Muqatil, dan Said bin Jubair mengatakan: ‘Bahwa makna ahlul bait yang disebutkan dalam ayat (Al-Ahzab: 33) adalah para isteri Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam saja. (Fathul Qadir, 4/321).
Ahlu Bait Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam dalam Hadis
Mereka adalah Bani Hasyim dan Bani Muthalib.
Dari Zaid bin Arqam radhiyallahu ‘anhu, beliau menceritakan,
قَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمًا خَطِيبًا فِينَا بِمَاءٍ يُدْعَى خُمًّا بَيْنَ مَكَّةَ وَالْمَدِينَةِ ؛ فَحَمِدَ اللَّهَ تَعَالَى وَأَثْنَى عَلَيْهِ وَوَعَظَ وَذَكَّرَ ثُمَّ قَالَ : ” …وَإِنِّي تَارِكٌ فِيكُمْ ثَقَلَيْنِ أَوَّلُهُمَا كِتَابُ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ فِيهِ الْهُدَى وَالنُّورُ فَخُذُوا بِكِتَابِ اللَّهِ تَعَالَى وَاسْتَمْسِكُوا بِهِ – فَحَثَّ عَلَى كِتَابِ اللَّهِ وَرَغَّبَ فِيهِ – قَالَ : وَأَهْلُ بَيْتِي أُذَكِّرُكُمْ اللَّهَ فِي أَهْلِ بَيْتِي أُذَكِّرُكُمْ اللَّهَ فِي أَهْلِ بَيْتِي أُذَكِّرُكُمْ اللَّهَ فِي أَهْلِ بَيْتِي “
Suatu hari, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam pernah berkhutbah di hadapan kami, di dekat mata air, namanya Khum, antara Mekah dan Madinah. Baginda memuji Allah dan memberi nasihat. Kemudian baginda bersabda, “…aku tinggalkan di tengah kalian dua hal, yang pertama kitabullah. Di dalamnya terdapat petunjuk dan cahaya. Ambillah kitabullah, dan pegangi kuat-kuat – beliau memotivasi untuk berpegang dengan kitabullah. Kemudian baginda bersabda: “dan ahlu baitku. Aku ingatkan kalian di hadapan Allah tentang ahlu baitku… Aku ingatkan kalian di hadapan Allah tentang ahlu baitku… Aku ingatkan kalian di hadapan Allah tentang ahlu baitku.”
Setelah menyampaikan hadis ini, Hushoin bertanya kepada Zaid, ‘Siapakah yang dimaksud ahlu bait baginda, wahai Zaid? Bukankah para isteri baginda termasuk ahlu bait baginda?’
Jawab Zaid,
إِنَّ نِسَاءَهُ مِنْ أَهْلِ بَيْتِهِ وَلَكِنَّ أَهْلَ بَيْتِهِ مَنْ حُرِمَ الصَّدَقَةَ بَعْدَهُ.. هُمْ آلُ عَلِيٍّ وَآلُ عَقِيلٍ وَآلُ جَعْفَرٍ وَآلُ عَبَّاسٍ
Isteri baginda termasuk ahlu bait, namun termasuk ahlu bait baginda adalah orang yang haram menerima zakat setelah baginda.. mereka adalah keluarga Ali, keluarga Aqil, keluarga Ja’far, dan keluarga Abbas. (Hadis Riwayat Ahmad 18464 dan Muslim 2408).
Ali, Aqil, Ja’far, dan Abbas, semuanya adalah bani Hasyim.
Sementara dalil bahwa bani Muthallib termasuk ahlul bait adalah hadis dari Jubair bin Muth’im radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam bersabda,
إِنَّمَا بَنُو الْمُطَّلِبِ وَبَنُو هَاشِمٍ شَيْءٌ وَاحِدٌ
“Bani Muthallib dan bani Hasyim adalah satu kesatuan.” (Hadis Riwayat Bukhari 2907, An-Nasai 4067 dan yang lainnya).
Al-Muthallib adalah saudara Hasyim. Hasyim memiliki anak namanya Syaibah. Hasyim meninggal ketika Syaibah masih kecil. Kemudian dia dibawa oleh bapa saudaranya, Al-Muthalib ke Mekah. Setelah itu, orang mengenal Syaibah dengan julukan Abdul Muthalib. Syaibah atau Abdul Muthalib adalah datuk Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam.
Kesimpulannya: Ahlu bait Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam adalah para isteri baginda, keturunan baginda, Bani Hasyim, dan bani Muthalib.
Wallahu a'lam
Isteri Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dan Syiah
Syiah mengaku bahawa mereka adalah pembela ahlul bait. Mengaku kelompok paling mencintai ahlul bait. Tapi, pada kesempatan yang sama, mereka melaknat para isteri Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam, terutama A’isyah dan Hafshah. Bahkan salah satu bagian syahadat mereka adalah mengutuk A’isyah dan Hafshah, dan menegaskan bahawa mereka di neraka. Syiah sebenarnya bukan pembela ahlul Bait tetapi memfitnah dan merosakkan kemuliaan ahlul bait Rasulullah SAW. Syiah membuat fitnah kepada Saidina Ali k.wj dan Saidina Husin kerana berbohong dan berdusta atas nama mereka yang mulia ini.
900. Soalan : Apakah hukumnya seseorang yang baru bertunang keluar berdua-duaan tanpa ada mahramnya?
Jawapan :
Peminangan adalah melahirkan keinginan untuk berkahwin atau permintaan dari seorang lelaki kepada seorang perempuan untuk mengahwininya, sama ada dilakukan oleh lelaki itu secara langsung atau tidak langsung iaitu dengan perantaraan orang lain yang boleh dipercayai sesuai dengan ketentuan agama.
Jelas di sini bahawa ikatan perkahwinan adalah tanda keinginan seorang lelaki kepada seorang perempuan untuk mengahwininya dengan ikatan perkahwinan yang sebenar. Sebenarnya ikatan perkahwinan ini tiada istilah yang membolehkan mereka keluar berdua-duaan walaupun berjumpa seketika untuk menyampaikan sesuatu hasrat yang terpendam atau sebaliknya.
Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya, "Janganlah seorang lelaki berdua-duaan dengan wanita, sesungguhnya yang ketiga di antara mereka berdua adalah syaitan." (Hadis Riwayat Imam Ahmad).
Dapat difahami bahawa Islam tidak membenarkan pasangan lelaki dan perempuan yang sudah bertunang atau belum bertunang berjumpa berdua-duaan walaupun dalam apa jua alasan. Sebab ini akan menimbulkan fitnah dan buruk sangka orang ramai terhadap pasangan tersebut. Bagi pendapat saya, jumpa walaupun membincangkan hal-hal penting pun juga tidak boleh dan haram, kerana dikuatiri perbuatan tersebut dapat menghampiri zina. Jika tidak menghampiri zina, maka ia akan berlaku fitnah di atas perempuan atau pasangan tersebut dengan mengatakan bahawa perempuan atau pasangan tersebut tidak mempunyai maruah. Adakah anda suka orang awam mengatakan anda tidak mempunyai maruah? Kalau tidak suka, maka jangan berjumpa berdua-duaan di tempat tersembunyi atau di tempat awam.
Firman Allah yang bermaksud : “Perempuan-perempuan Yang soleh itu ialah Yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan Yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua Yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, Dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya.” (Surah An-Nisa ayat 34)
Wanita yang soleh adalah wanita yang memelihara kehormatannay sebagai seorang wanita yang suci dan tidak pernah difitnah disebabkan perbuatannya atau keluar berdua-duaan dengan lelaki atau tunangnya. Janganlah mencari 1001 alasan untuk menghalalkan perbuatan yang memang jelas di dalam Islam adalah haram sepertimana keluar berdua-duaan kononnya untuk membincangkan sesuatu masalah, hanya pergi membeli belah dan sebagainya. Allah sangat membenci orang yang sentiasa mencari jalan untuk menghalalkan perkara yang haram. Jelas bahawa yang haram itu jelas dan yang halal itu jelas dan tidak ada perkara yang perlu dipertikaikan lagi.
Menurut pandangan Dr.Yusof Al Qardawi dalam Fatawa Muasoroh (fiqh kontemporari) mengatakan bahawa :
“Selama mana akad kahwin (ijab dan qabul) belum ditunaikan oleh tunang laki dan tunang wanita (belum sah nikah/kahwin mereka mengikut 'uruf-adat, syarak dan undang-undang), maka keadaan masih seperti hukum asal.”
Hukum asal yang dimaksudkan oleh Dr. Yusof Al-Qardawi dalam masalah ini ialah seperti berikut :
Tidak halal dan haram bagi makhtubah (tunang wanita) untuk berkhalwat(berdua-duaan sehingga menimbulkan fitnah) dengan khatibnya (tunang lelaki) kecuali bersama-sama mahtubah (tunang wanita) itu ada salah seorang mahramnya seperti ayahnya atau abangnya
.
Tidak halal dan haram bagi makhtubah (tunang wanita) untuk bermusafir atau melancong dengan khatibnya (tunang lelaki) kecuali bersama-sama mahtubah (tunang wanita) itu ada salah seorang mahramnya seperti ayahnya atau abangnya.
Kesimpulan dari fatwa yang dikeluarkan oleh tokoh ulama moden iaitu Syeikh Dr. Yusof Al-Qardawi menyatakan haram sama sekali bagi pasangan lelaki dan perempuan yang belum bertunang atau sudah bertunang berdua-duaan tanpa teman dari orang yang mahram dengannya seperti ibu, ayah, kakak, abang atau sebagainya. Perlu bawa teman dari mahramnya adalah untuk mengelakkan dari berlakunya maksiat atau fitnah orang terhadap pasangan tersebut. Bahaya fitnah ini, kerana disebabkan fitnah manusia boleh berbunuhan antara satu sama lain, disebabkan fitnah juga suami dan isteri boleh bercerai dan sebabkan fitnah juga pasangan bertunang tersebut akan binasa.
Jika ada apa-apa perkara yang ingin dibincangkan, bolehlah melalui talifon, YM, Facebook dan sebagainya, malah teknik ini dapat mengelakkan lagi dari melakukan maksiat dan sebagainya. Jadikan teknologi itu sebagai manfaat untuk orang yang dah bertunang untuk saling kenal mengenali antara satu sama lain. Tapi ingat jangan sampai laqa (lalai) sehingga boleh menyumbang kearah maksiat. Gunakan kebijakkan akal yang Allah anugerahkan kepada manusia untuk bertinda berdasarkan pemikiran yang positif dan berlandaskan hukum Allah. Paling baik sekali, panggil tunang lelaki datang kerumah ketika mana ibu dan ayah ada di rumah dan berbincanglah di depan ibu dan bapa, hal ini lebih berkesan untuk menjauhkan lagi dari perbuatan menghampiri zina atau maksiat. Bila setiap perkara tidak membelakangi kedua ibu bapa, maka itu merupakan tanda reda ibu bapa dan apabila memperolehi reda ibu bapa, maka itu merupakan reda Allah.

No comments:
Post a Comment