Sunday, April 20, 2014

GAMBAR JENAZAH TERSENYUM

Hati mukmin mana yang tidak cemburu apabila mendapat tahu seseorang itu meninggal dunia dalam keadaan husnul khatimah.  Apatah lagi apabila dibuktikan dengan foto-foto.  Kadang-kadang tersebar di dalam masyarakat akan foto orang yang meninggal dunia dalam keadaan tersenyum atau riak wajahnya seakan-akan sedang ketawa.  SubhanALLAH!

Tapi awas!  Jangan terlalu cepat percaya dan menyebarkannya.  Lebih mendatang kerisauan jika ada yang menyebarkan foto-foto tersebut lalu mengaitkannya dengan kebenaran Islam.  Kenapa?  Lihat gambar berikut:

Jenazah tersenyum - Kursus Jenazah


Gambar-gambar di atas telah saya kumpul dari sumber internet sekitar kursus pengurusan jenazah yang diadakan di pelbagai tempat.  Tujuannya adalah untuk memberitahu kepada tuan/puan bahawa ada kemungkinan gambar-gambar yang disebarkan di internet itu diambil dari kursus-kursus sebegitu.

Mereka menyalin gambar-gambar tersebut lalu mendakwa ia adalah foto manusia yang mati dalam iman, mati dalam kebenaran atau mati dalam perjuangan Islam.  Tujuannya mungkin baik (atau pun mungkin juga jahat), tapi cara tersebut memang sah salah!

Jadi, berhati-hatilah dari termakan dakwaan oleh manusia-manusia yang nakal perbuatan mereka.

Apa Salahnya?
Tentu ada yang berkata:  “Apa salahnya sebarkan gambar tersebut untuk tujuan kebaikan walau caranya salah?”

Ia salah yang besar apabila kalian mengaitkannya dengan kebenaran Islam.  Ia salah apabila kalian kaitkannya dengan perjuangan agama nan suci.  Kerana kelak apabila manusia tahu bahawa gambar-gambar yang kalian jadikan sokongan itu merupakan bukti palsu, maka akan terpalitlah juga kepada Islam.  Islam tidak perlukan sokongan dari dakwaan-dakwaan palsu dan gambar-gambar rekaan.  Islam itu kukuh dengan kata-kata ALLAH dalam Al-Quran dan kata-kata RasulNYA sebagaimana terkumpul di dalam hadith-hadith.

Isu sebegini sebenarnya sudah banyak kali timbul dalam masyarakat.  Dan saya rasa peringatan ini mesti diteruskan walaupun berulang kali dikeluarkan kerana manusia memang begitu sifatnya.  Lupa dan kadang-kadang nakal.  Saya pun pernah menulisnya sebelum ini.  Baca di sini:

  1. Sejadah Berdiri
  2. Cahaya Misteri Mirip UFO Di Atas Kubah Batu:  Betul atau Palsu?
  3. Berhati-hati Guna Berita Ajaib/Aneh Untuk Tujuan Dakwah/Agama


Berhentilah dari perbuatan yang tidak menguntungkan ini.  Dan buat yang menerima foto-foto atau maklumat seperti ini, fikir banyak kali sebelum menyebarkannya.  Lebih baik kalian menyebarkan sesuatu yang benar-benar sahih seperti ayat-ayat Al-Quran dan hadith-hadith Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam, daripada kalian menyebarkan sesuatu yang belum pasti dan yang terbit dari sangka-sangka sahaja.

Gambar Jenazah Yang Sebenar
Tiadakah gambar jenazah dalam keadaan tersenyum yang sebenar?  Ada, memang ada.  Berikut adalah beberapa gambar yang sempat saya kumpul dari internet:

Jenazah tersenyum - sebenar


Di luar sana ada gambar sebenar dan ada gambar palsu.  Elakkan dari menggunakan gambar palsu.  Hati-hati.

Jangan Hukum Mengikut Zahir Jenazah
Memang kita tidak dapat menolak dari hati kita akan sangkaan baik kepada hamba-hamba ALLAH yang mati dalam keadaan yang baik pada pandangan mata.  Melihat ketenangan wajah mereka ketika meninggal dunia, tersenyum pula, bahkan ada yang nampak seakan tertawa pasti menerbitkan rasa cemburu dalam hati kita lantas kita mengatakan mereka mati dalam husnul-khatimah.  Itu fitrah kita manusia yang hanya menilai pada zahir pandangan.  Mungkin mereka bahagia, mungkin tidak.  Namun, kita berharap dan mendoakan mereka agar mereka benar-benar mati dalam keadaan ALLAH redha.  Kita doakan juga hal sedemikian buat diri kita.

Begitu jugalah jika kita melihat seseorang yang meninggal dunia dalam keadaan yang sangat susah, tersiksa, muram wajahnya atau pecah terbarai tubuhnya, jangan terlalu lekas kita menghukum dia mati dalam keadaan hina dan jauh dari rahmat ALLAH.  Khuatir kita tersilap lalu mendapat dosa akibat menfitnahnya.  Sedangkan hakikat sebenar ALLAH sahaja yang tahu.

Semoga tulisan ini ada manfaatnya buat saya dan tuan/puan sekalian.  Kepada ALLAH lah kita pinta agar kita hidup dan mati dalam keadaan DIA redha kepada kita, amin…



No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML