Konflik yang berlaku di bumi Syam iaitu Syria dan bumi sekitarnya sepatutnya membeliakkan mata dan hati ummat Islam. Bukan hanya kerana ia melibatkan ummat Islam yang dibunuh, disembelih, dirogol dan dizalimi dengan pelbagai cara yang dahsyat, tapi juga ia mengingatkan kita akan hadith-hadith yang menceritakan mengenai dekatnya Hari Kiamat.
Contohnya hadith mengenai Nabi `Isa `alaihissalam yang akan turun di timur Damsyiq, Syria. Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam telah bersabda yang maksudnya:
“ALLAH Ta`ala mengutus Al-Masih (`Isa) bin Maryam sallAllahu `alaihi wasallam di mana Baginda turun pada menara putih di sebelah timur Damsyiq…”
(HR Muslim)
Dan hadith mengenai Dajjal akan dibantu oleh Yahudi dari Isfahan. Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam bersabda yang maksudnya:
“Orang Yahudi Isbahan (اصبهان) sebanyak 70,000 yang lengkap dengan pakaian seragamnya at-toyalisah (الطّيالسة) akan selalu mengikuti Dajjal.”
(HR Muslim)
Mungkin kedahsyatan yang berlaku kepada ummat Islam di Syria merupakan sebab untuk ALLAH turunkan pertolonganNYA dengan menurunkan NabiNYA, Al-Masih `Isa `alaihissalam di sana, iaitu di bahagian timur Damsyik secara spesifiknya. Entah zaman ini atau zaman akan datang peristiwa itu berlaku kita tidak pasti bila? Namun, ia merupakan detik-detik akhir dekatnya Hari Kiamat.
Apa pula kaitan dengan Isbahan? Isbahan atau Isfahan adalah sebuah daerah yang terletak di Iran. Kita sedia maklum bahawa Iran di antara negara yang kuat membantu pembantaian ummat Islam di Syria. Iran telah membekalkan bantuan ketenteraan kepada kerajaan Basyar al-Assad dalam misi membunuh ummat Islam di Syria.
Justeru, peristiwa ngeri pembantaian ummat Islam yang kini berlaku di Syria harus menjadi salah satu isu yang mesti difokusi oleh ummat Islam yang hidup di akhir zaman ini.
Berikut pula adalah video yang semakin menggoncangkan hati kita. Ia menceritakan mengenai hadith-hadith Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam mengenai kemasukan kuasa Rom dari arah al-A`maaq atau Daabiq yang merupakan tanda besar akan semakin dekatnya peristiwa yang telah disebut oleh Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam ketika hayat Baginda, iaitu peristiwa turunnya Nabi `Isa `alaihissalam. Tadzkirah buat kita semua!
Al-Malhamah – Peperangan Besar Antara Ummat Islam & Bangsa Rom
Hadith utama yang disebut di dalam video di atas ialah sepotong hadith yang diriwayatkan dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu. Ia mengenai peperangan besar antara ummat Islam dan bangsa Rom yang dipanggil peperangan itu sebagai Al-Malhamah.
Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam telah bersabda:
لا تقومُ الساعةُ حتَّى ينزلَ الرومُ بالأعماقِ ، أوْ بدابقٍ . فيخرجُ إليهمْ جيشٌ مِنَ المدينةِ . مِنْ خيارِ أهلِ الأرضِ يومئذٍ . فإذا تصافُّوا قالتِ الرومُ : خلُّوا بينَنا وبينَ الذينَ سُبُوْا مِنَّا نقاتلُهُمْ . فيقولُ المسلمونَ : لا . واللهِ ! لا نُخلِّي بينَكمْ وبينَ إخوانِنا . فيقاتلونَهُمْ . فينهزمُ ثلثٌ لا يتوبُ اللهُ عليهمْ أبدًا . ويقتلُ ثلثُهمْ ، أفضلُ الشهداءِ عندَ اللهِ . ويفتتحُ الثلثُ . لا يُفتنونَ أبدًا . فيفتتحونَ قُسطنطينيةَ . فبينَما همْ يقتسمونَ الغنائمَ ، قدْ علَّقوا سيوفَهُمْ بالزيتونِ ، إذْ صاحَ فيهم الشيطانُ : إنَّ المسيحَ قدْ خلَفَكمْ في أهليكُمْ . فيخرجونَ . وذلكَ باطلٌ . فإذا جاءُوا الشامَ خرجَ . فبينَما همْ يعدونَ للقتالِ ، يسوونَ الصفوفَ ، إذْ أُقيمتِ الصلاةُ . فينزلُ عِيسى ابنُ مريمَ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ . فأمَّهُمْ . فإذا رآهُ عدوُّ اللهِ ، ذابَ كما يذوبُ الملحُ في الماءِ . فلوْ تركَهُ لانذابَ حتى يهلكَ . ولكنْ يقتلُهُ اللهُ بيدِهِ . فيريهِمْ دمَهُ في حربتِهِ
“Tidak akan terjadi Hari Kiamat, sehingga bangsa Rom turun di al-A`maaq atau di Daabiq. Kemudian datanglah suatu pasukan yang menghadang mereka dari Madinah, yang berasal dari penduduk pilihan bumi.
Apabila mereka berbaris-baris, maka berkatalah orang Rom: “Biarkanlah (jangan kalian halangi) antara kami dengan orang-orang yang memisahkan diri dari kami (yang telah memeluk Islam) untuk kami perangi.” Maka kaum Muslimin berkata: “Tidak! Demi ALLAH, kami tidak akan membiarkan kamu memerangi saudara-saudara kami.” Lalu mereka memerangi kaum Muslimin.
Maka kalah (lari) satu pertiga yang ALLAH tidak menerima taubat mereka selama-lamanya, terbunuh satu pertiga yang merupakan Syuhada’ yang lebih afdhal di sisi ALLAH, dan satu pertiga menyerang yang mana mereka tidak ditimpa fitnah selama-lamanya serta mereka menakluki Konstantin.
Maka sedang mereka membahagikan harta rampasan, mereka menggantungkan pedang-pedang mereka di pokok zaitun, tiba-tiba Syaitan berteriak kepada mereka: “Sesungguhnya al-Masih (Dajjal) telah berada pada ahli keluarga kamu.” Maka mereka keluar. Dan yang demikian itu tidak betul. Apabila mereka tiba di Syam, ia pun keluar.
Maka sementara mereka bersiap sedia untuk berperang, mereka meluruskan saf. Tiba-tiba diiqamahkan solat, lalu turun Nabi `Isa bin Maryam sallAllahu `alaihi wa sallam dan mengimamkan mereka. Apabila musuh ALLAH (iaitu Dajjal) melihatnya, maka leburlah ia seperti leburnya garam dalam air. Akan tetapi ALLAH membunuhnya di tangannya (Nabi `Isa), maka darah mereka diperlihatkan kepada mereka (kaum Muslimin) pada lembingnya (Nabi `Isa).”
(HR Muslim)
Peta menunjukkan lokasi beberapa tempat yang disebutkan di dalam hadith-hadith di atas. |
Penafsiran kepada hadith di atas ada disebut oleh beberapa ulama dalam video di atas.
Sebelum Al-Malhamah
Sebelum berlaku peperangan besar antara ummat Islam dan bangsa Rom yang disebut di dalam hadith di atas, suatu pakatan atau perdamaian atau gencatan senjata antara dua pihak ini telah berlaku terlebih dahulu. Pakatan bersama tersebut diadakan bagi menghadapi suatu musuh, iaitu musuh ummat Islam dan musuh kuasa Rom secara bersama.
Hal itu ada disebut di dalam hadith dari Dzu Makhmar (ذو مخمر) radhiAllahu `anhu, iaitu Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam telah bersabda:
ستصالحُكمُ الرُّومُ صلحًا آمنًا، ثمَّ تغزونَ أنتم وَهم عدوًّا، فتنتَصرون، وتغنَمونَ، وتَسلَمون، ثمَّ تنصَرِفونَ حتَّى تنزلوا بمرجٍ ذي تلولٍ، فيرفعُ رجلٌ من أَهلِ الصَّليبِ الصَّليب، فيقول: غلبَ الصَّليبُ، فيغضَبُ رجلٌ منَ المسلمينَ، فيقومُ إليْهِ فيدقُّهُ، فعندَ ذلِكَ تغدِرُ الرُّومُ، ويجتمعونَ للملحمةِ
“Kalian akan mengadakan perdamaian dengan bangsa Rum dalam perdamaian yang aman. Lalu kalian akan berperang bersama mereka melawan suatu musuh. Maka kalian menang, mendapat harta rampasan perang dan selamat.
Kemudian kalian kembali sehingga sampai ke sebuah kawasan berbukit yang banyak tumbuhan, maka seorang lelaki dari kumpulan Salib (Kristian) mengangkat tanda salib dan berkata: “Menanglah salib”.
Maka seorang lelaki dari kaum Muslimin berasa marah lalu bangun menuju ke arahnya dan membunuhnya. Maka ketika itu bangsa Rom melanggar perjanjian dan berkumpul untuk melancarkan peperangan besar (al-Malhamah)”
(Sahih Ibnu Majah)
Potongan dari hadith di atas ada juga disentuh di dalam video tersebut. Ada dibuat penafsiran di dalam video tersebut mengenai siapakah musuh yang ditentang secara bersama oleh ummat Islam dan bangsa Rom itu. Hanya ALLAH Yang Maha Mengetahui akan hakikat sebenarnya.
Di dalam kitab Sahih al-Bukhari, dicatatkan bahawa `Auf bin Malik radhiAllahu `anhu meriwayatkan hadith dari Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam mengenai tanda besar semakin dekatnya Hari Kiamat, iaitu:
ثم هُدْنَةٌ تكونُ بينكم وبين بني الأصفرِ ، فيَغدرونَ فيأتونكم تحتَ ثمانينَ غايةٍ ، تحت كلِّ غايةٍ اثنا عشرَ ألفًا
“Apabila gencatan senjatan yang dilakukan antara kalian dan Bani al-Asfar (bangsa Rom) lalu mereka berkhianat dan datang kepada kamu di bawah 80 bendera. Di bawah setiap bendera itu ada 12,000 pejuang.”
(HR al-Bukhari)
Nah, itulah beberapa hadith yang dikaitkan dengan perkembangan di Syria oleh beberapa ulama sebagaimana yang ditunjukkan di dalam video tersebut. Ia suatu berita yang menggegarkan hati dan meningkatkan iman.
Apa yang berlaku di Syria bukan sahaja menjadi muhasabah iman kepada kita, bahkan ia sepatutnya ampuh mentaqwakan hati kita lalu bersiap sedia menghadapi peristiwa besar akhir zaman. Samada benar atau tidak perkembangan di Syria boleh dikaitkan dengan hadith-hadith di atas, itu hanya ALLAH Ta`ala sahaja yang tahu. DIA lah Tuhan Yang Maha Mengetahui Segalanya. Namun, berdasarkan hadith-hadith di atas, ia memberikan kita tanda-tanda zahir bahawa ia semakin hampir! Usaha yang paling penting bagi setiap individu ambil ialah bertaqwa kepada ALLAH!
Semoga ALLAH menetapkan kita semua di dalam hidayah dan taufiqNYA, ditetapkan hati kita semua pada agamaNYA, dimatikan kita dalam keadaan berserah diri kepadaNYA, serta ditemukan kita kepada ALLAH dalam keadaan DIA redha kepada kita, amin…
ALLAHU A`LAM.
No comments:
Post a Comment