Sunday, April 20, 2014

UTRUJJAH, TAMAR, RAIHANAH, HANZOLAH : KITA DIIBARAT YANG MANA???


Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam ada memberikan suatu perumpamaan mengenai seseorang yang menggelarkan diri mereka sebagai Muslim dan bagaimana hubungan mereka dengan Al-Quran.  Baginda mengibaratkan mereka seperti buah utrujjah, buah tamar, raihanah dan buah hanzolah.

Dari Abu Musa al-Asy`ari radhiAllahu `anhu katanya Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam telah bersabda:

مَثَلُ الْمُؤْمِنِ الَّذِى يَقْرَأُ الْقُرْآنَ مَثَلُ الأُتْرُجَّةِ رِيحُهَا طَيِّبٌ وَطَعْمُهَا طَيِّبٌ وَمَثَلُ الْمُؤْمِنِ الَّذِى لاَ يَقْرَأُ الْقُرْآنَ مَثَلُ التَّمْرَةِ لاَ رِيحَ لَهَا وَطَعْمُهَا حُلْوٌ وَمَثَلُ الْمُنَافِقِ الَّذِى يَقْرَأُ الْقُرْآنَ مَثَلُ الرَّيْحَانَةِ رِيحُهَا طَيِّبٌ وَطَعْمُهَا مُرٌّ وَمَثَلُ الْمُنَافِقِ الَّذِى لاَ يَقْرَأُ الْقُرْآنَ كَمَثَلِ الْحَنْظَلَةِ لَيْسَ لَهَا رِيحٌ 
وَطَعْمُهَا مُرٌّ

“Perumpamaan orang mu’min yang membaca al-Quran ialah seperti buah utrujjah (الأُتْرُجَّةِ), baunya enak dan rasanya pun enak.

Dan perumpamaan orang mukmin yang tidak membaca al-Quran ialah seperti buah kurma (التَّمْرَةِ), tidak ada baunya, tetapi rasanya manis.

Adapun perumpamaan orang munafik yang membaca al-Quran ialah seperti tumbuhan harum raihanah (الرَّيْحَانَةِ), baunya enak sedang rasanya pula pahit.

Dan perumpamaan orang munafik yang tidak membaca al-Quran ialah seperti buah hanzolah (الْحَنْظَلَةِ), tidak ada baunya dan rasanya pun pahit.”

(Muttafaq ‘alaih)

Setelah membaca hadith di atas, sepatutnya datang menerpa ke dada kita akan suatu perasaan ingin muhasabah mengenai di dalam kategori manakah kita?  Kita ini ibarat apa?

Sudah tentu kita tidak mahu terjebak masuk ke dalam golongan orang-orang yang munafiq, iaitu orang-orang yang hanya di luar sahaja mengaku Islam, tetapi di dalam hati terisi rasa benci dan tidak senang terhadap Islam dan ajaran-ajarannya.  Mudah-mudahan kita termasuk di kalangan mukmin, iaitu orang-orang yang mengaku Islam dan 100% beriman kepada ALLAH dan semua yang disuruh kita beriman padanya.

Hadith di atas diletakkan oleh al-Imam an-Nawawi di dalam bab Keutamaan Membaca Al-Quran di dalam kitabnya Riyadhus Solihin.  Sudah tentu hadith tersebut ada kaitan dengan galakan untuk membaca Al-Quran dan kelebihannya jika dibandingkan dengan tidak membacanya.

Orang munafiq yang membaca Al-Quran walaupun hatinya tidak beriman, tetapi disebabkan oleh dia membaca Al-Quran maka seakannya kelihatan dia itu baik pada pandangan manusia.  Sehinggakan harum baunya dapat diketahui manusia, walhal sebenarnya hatinya tidak beriman kepada ajaran-ajaran Al-Quran.

Golongan ini mungkin membaca Al-Quran dengan tujuan yang tidak sepatutnya seperti bertujuan digelar manusia sebagai seseorang yang pandai dan merdu membaca Al-Quran, untuk menang pertandingan, mengambil keuntungan dari Al-Quran, mendapat kedudukan dan lain-lain lagi yang lebih teruk.  Seakan raihanah sifat mereka.  Harum dibau manusia, tapi rasa di dalamnya pahit.  Kerana qalbunya tidak mencintai Al-Quran dengan cara yang sepatutnya.

Manakala bagi orang yang beriman tetapi tidak membaca Al-Quran, seakan keindahan imannya tidak semerbak harumnya.  Keindahan imannya tersembunyi disebabkan oleh perbuatannya yang tidak membaca Al-Quran.  Sayang sekali.  Kecantikan agamanya terperap tidak terpancar aroma darinya.  Ibarat tamar yang manis rasanya, tapi baunya tidak ada.

Walaupun berimannya seseorang itu sudah cukup baik buatnya, tapi seharusnya biarlah aroma iman itu tersebar sampai dapat dibau oleh orang sekeliling lantas memberikan kesejahteraan buat sesiapa yang mendekatinya.  Tidak ada cara lain untuk mencapai keadaan ini melainkan hendaklah si mukmin itu membaca Al-Quran.  Dengan membaca Al-Quran lah kecantikan iman seseorang bisa tersebar lalu menyinggah ke hati manusia yang menghampirinya.  Ibarat utrujjah sifatnya.  Bukan sahaja rasanya sedap, bahkan aromanya cukup dapat membuatkan manusia tertarik terhadapnya.  Maksud saya tertarik kepada keimanan pembaca Al-Quran itu.

Semoga saya dan tuan/puan semua diibaratkan utrujjah sebagaimana yang telah diibaratkan oleh Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam di dalam hadith di atas.  Iaitu beriman sungguh-sungguh kepada ALLAH dan menjadikan Al-Quran sebagai dampingan untuk ditadabburi, yakni dibaca, direnung, dihayati, diimani, diamalkan dan disebarkan.  Semoga hidayah dan taufiq ALLAH sentiasa tercurah buat kita, amin…

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML