Sunday, April 20, 2014

SEJADAH BERDIRI


Jumaat 23 OKTOBER 2009 yang lalu, saya diberitahu bahawa berlaku fenomena sejadah berdiri di sebuah sekolah agama di Klang.  Saya mengerut dahi, memikiri ia barangkali diambil contoh dari beberapa peritiwa yang dilaporkan berlaku di Kelantan dan Kedah.

2 orang muslimah menunjukkan gambar 2 sejadah ‘berdiri’ yang dirakamkan oleh mereka di surau sekolah tersebut.  Satu di hadapan dan satu lagi di belakang.  Terdapat rehal al-Quran di hadapan 2 sejadah yang ‘berdiri’ tu.

“Wah, ni siap ada sutrah ni.  Bagus ni.  Ikut sunnah.”  Saya bergurau.

“Hehe”  dua orang muslimah yang menunjukkan gambar itu kepada saya tersenyum.

“Sudah dirungkai sejadah-sejadah tu?”  Saya bertanya.

“Ya, sudah”  Mereka menjawab.

“Alhamdulillah, bagus.  Jangan dikongsi dengan sesiapa pun akan gambar tu.  Jangan di’publish’ di internet seperti di blog atau youtube.  Nanti ‘susah’”  Pesan saya, lalu menasihati mereka beberapa perkara yang berkaitan dengan peristiwa tersebut.

Ada 2 kemungkinan sahaja.  Samada ia benar atau palsu. 

Jika ia benar, orang yang melihat fenomena itu sepatutnya mengambil iktibar dari hal yang berlaku.  Barangkali ia peluang buatnya melihat keajaiban tersebut dan hendaklah dia mengucapkan syukur padaNYA kerana asbab darinya imannya semakin bertambah kepada ALLAH subhanahu wata’ala.  Dan selepas itu, simpanlah ia kemas-kemas di dalam memori buat diri sendiri dan jika ingin berkongsi, kongsilah dengan orang yang dipercayai dan amanah orangnya.  Namun, dikhuatiri dengan mengongsikan berita tersebut, diri kita akan dihinggapi riak dan ujub.  Apa yang biasa dilakukan oleh para soleh, perkara-perkara ajaib yang berlaku pada dirinya, dia diamkan sahaja.  Ini dipanggil karomah.

Itu jika benar.  Dan tidak mustahil ia mungkin benar.  Kerana ALLAH subhanahu wata’ala berkuasa untuk menjadikan sesuatu samada akal boleh menerimanya atau tidak.  Kerana DIA MAHA BERKUASA.  DIA kata “kun”, “fayakun”.

Namun, pelikkah peristiwa sejadah ‘berdiri’ yang berlaku?  Benarkah berita itu, sehingga perlu untuk kita mengambilnya sebagai sesuatu yang serius?  Jangan tergesa-gesa dan terburu-buru mempercayainya.  Orang yang cerdik akan selidik dahulu berita yang sampai kepadanya.  Antara percaya dengan tidak sikapnya, sehinggalah disahkan akan kesahihan berita itu.  Bukan sahaja disahkan kesahihan berita, malah sahih pulak untuk dijadikan hujjah.

Saya cenderung untuk tidak mengambilnya sebagai suatu berita yang serius (namun hakikat hal benar atau salah saya serahkan pada Yang Maha Mengetahui).  Ada beberapa sebab:

Berita tentang sejadah berdiri yang dikatakan sedang solat ini sudah saya dapat lebih kurang 2 tahun yg lalu melalui youtube.  Ia barangkali ditiru dari kejadian yang berlaku di sana oleh budak-budak nakal yang ingin mengusik. 

Ia barangkali dilakukan oleh individu atau sekumpulan individu yang bertujuan ingin menimbulkan keinsafan di kalangan masyarakat.  Tapi, menggunakan penipuan dan pembohongan untuk menyampaikan mesej taqwa.  Ini suatu tindakan yang salah.  Terlalu ramai orang melakukan perkara ini.  Konon untuk meninsafkan orang lain.  ‘Hadith-hadith palsu’ dicipta oleh golongan ini.

Media perdana melaporkan peristiwa tersebut berlaku di Kelantan, kemudian di Kedah dan ia akan menjadi contoh untuk dilakukan di tempat-tempat lain untuk disensasikan.  Biasanya begitulah berlaku.

Bentuk sejadah yang ‘berdiri’ itu tidak pelik.  Kerana ia mudah dilakukan oleh sesiapa pun.  Justeru, ia bukan benda yang ajaib yang perlu kita rasa ajaib.
Muslimin muslimat sekalian,

Memang fitrah manusia suka akan berita-berita sensasi, pelik dan ajaib ini.  Sebahagian kisah2 sensasi, ajaib dan pelik ini digunakan untuk menarik perhatian manusia lain, untuk diambil manfaat dan iktibar, untuk menginsafkan orang lain, untuk suka-suka, untuk berhibur dan bermacam-macam tujuan.

Namun, apabila kisah2 ajaib dan pelik ini ingin dikaitkan dengan agama, kita harus berhati-hati.  Kerana hal agama bukan benda main-main.  Ia suatu yang tinggi yang datangnya dari Yang Maha Tinggi.  Takut ia menjadi fitnah kepada agama yang suci. 

Kejadian yang berlaku pada diri kita sudah sangat ajaib untuk kita berasa ajaib.  Tubuh badan yang terdiri dari pelbagai sistem boleh saja kita syukuri dan takjubi akan kejadiannya. 

Malah awan yang berjalan di langit, semut yang merangkak, air yang mengalir, udara yang disedut, bukit yang gah berdiri, matahari, bulan dan segala-gala yang wujud dan berlaku di sekeliling kita bisa saja menjadikan kita manusia yang sangat-sangat bersyukur, andai kita mahu merenung dan berfikir tentangnya dan mengaitkannya pula dengan Yang Maha Pencipta.

Menyentuh kisah sejadah ‘berdiri’ yang kecoh musim ini, kita tidak memerlukan kisah ajaib yang tidak ajaib ini.  Apa yang merisaukan kita adalah kisah-kisah ini bakal menjadikan kita ummat yang ditertawakan.  Telah banyak kisah-kisah yang disebut di dalam akhbar dan internet yang dikhabarkan sebagai ajaib dan pelik dan dikaitkan pula dengan ISLAM, walhal ia direka-reka oleh individu yang tidak bertanggungjawab.  Tujuannya baik, namun disebabkan caranya salah, dengan mudah ia dibuktikan palsu oleh orang lain.  Dan secara tidak langsung atau secara langsung, kepalsuan itu akan dikaitkan dengan agama kita lantaran sikap bodoh dan terburu-buru sebahagian ummatnya.  Terfitnahlah ISLAM!

Ikhwanul muslimin,

Terkandung di dalam Al-Quran dan as-Sunnah pelbagai rahsia untuk kita rungkaikan.  Dan dijamin ia adalah datang dari Tuhan Yang Maha Benar.  Telah ramai yang masuk ISLAM apabila mereka mula membaca dan memahami inti al-Quran dan as-Sunnah.  Kerana keajaibannya tidak dapat ditandingi dek lain-lain keajaiban.  Iman bisa naik dan subur tatkala kita cuba memahaminya.

Tinggalkanlah segala hal dan berita yang belum pasti.  Buangkanlah perasaan ghairah terhadap perkara-perkara pelik dan ajaib yang belum sohih.  Kembalilah kepada kalam ALLAH yang pasti benar.

Akhir kalam, renungkanlah firman ALLAH yang dipetik dari surah ali ‘Imran, ayat 190 & 191 yang berikut untuk sama-sama kita ambil manfaat daripadanya dan supaya kita menyedari bahawa kejadian yang indah yang terdapat di sekeliling kita sudah cukup untuk kita kagumi dan bersyukur:

إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ وَاخْتِلافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لآيَاتٍ لأولِي الألْبَابِ

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal,”



الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَى جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَذَا بَاطِلا سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

“(yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia.  Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.”



No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML