Teruskanlah beri nasihat dan peringatan. Samada kepada seseorang individu yang kita ambil berat akan dirinya atau kepada umum. Teruskan dan teruskan, walaupun berulang kali…
Kenapa?
1. Kita ambil sahaja iktibar dari diri kita sendiri. Betapa kita sendiri pun bukan sekali dinasihat terus patuh. Bukan sekali diberikan peringatan terus berubah. Betul atau tidak?
Apabila kita renung pengalaman kita sendiri, banyak amalan atau perkara yang kini kita mampu buat sebenarnya telah kita dengar mengenainya bertahun-tahun dulu. Baru kini mampu buat dan tekun dengannya. Itu pun setelah berkali-kali diberikan nasihat dan teguran. Dulu, kita belum lagi terbuka hati dan bersemangat untuk melakukannya. Ia tentunya hidayah dan taufiq dari ALLAH `Azza wa Jalla. Tiada daya dan tiada kekuatan diri kita melainkan dengan izin ALLAH.
Justeru, orang lain juga begitulah keadaan mereka secara umumnya. Mungkin setelah beberapa kali dinasihati barulah mereka mahu berubah. Maka teruskanlah nasihat. Jika tuan/puan kagum akan diri tuan/puan yang mampu menasihati seseorang dengan sekali nasihat lalu dia terima, percayalah bahawa dia sebenarnya sebelum ini telah pun beberapa kali mendengar nasihat itu. Cuma kini, barulah direzekikan kepadanya untuk berubah dan dapat terima nasihat tersebut.
2. Kita ambil juga iktibar dari kita yang selalu lupa dan lalai. Contohnya jika kita telah pun mampu berubah menjadi manusia yang baik dari sebelumnya dan mampu mengamalkan banyak dari ajaran agama, tentu sampai pada suatu masa kita lalai atau leka dan kadang-kadang didatangi sifat malas. Memang kita manusia begitu. Tiba-tiba apabila datang nasihat dari orang lain atau kita terbaca suatu peringatan yang sebenarnya nasihat dan peringatan itu telah pun kita ketahui, maka tersedarlah kita. Itu akan menyedarkan kita dari kelupaan dan kelalaian serta akan mendatangkan muhasabah dan membangkitkan motivasi buat kita.
Samalah dengan orang lain. Mungkin nasihat yang kita berikan, walaupun ia nasihat yang mungkin dipandang remeh oleh orang atau ia nasihat yang sudah berulang kali didengar manusia, tetapi mana tahu, ia mungkin menjadi peringatan dan semangat baru buat orang lain. Menyedarkan yang lalai. Mengingatkan yang lupa. Membangkitkan motivasi bagi yang lemah dan malas.
3. Apabila kita terus memberikan nasihat dan berulang-ulang pula, sebenarnya diri kita itulah yang kita beri nasihat. Hati kita terlebih dulu ditegur, sebelum nasihat itu masuk ke dalam hati orang lain. Mata kita sendiri dahulu yang membaca peringatan itu, sebelum ia dilihat mata orang lain. Dan telinga kita dahululah yang terima mesej tersebut, sebelum mesej yang kita ucapkan itu sampai ke telinga orang lain.
Nah, ia pastinya memberikan kebaikan buat diri sendiri dalam menjalani kehidupan ini dan disedarkan selalu dengan tadzkirah dari diri sendiri. Menasihati orang lain sebenarnya kesannya lebih kepada diri sendiri.
4. Semua amalan manusia sedang dicatit oleh dua malaikat yang cukup cergas, setia dan bersiap sedia mencatit semua amalan kita tanpa terlepas sedikit pun. ALLAH Ta`ala berfirman:
إِذْ يَتَلَقَّى الْمُتَلَقِّيَانِ عَنِ الْيَمِينِ وَعَنِ الشِّمَالِ قَعِيدٌ. مَّا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ
Maksudnya: “Semasa dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya, dan yang satu lagi di sebelah kirinya. Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).” (Surah Qaaf, 50:17-18)
Semua yang kita lakukan, contohnya perbuatan memberikan nasihat kepada orang lain akan turut dicatit oleh malaikat-malaikat tersebut. Dan semoga ia menjadi sebab untuk mendapat rahmat ALLAH pada Hari Akhirat nanti. Jika sekali kita berikan nasihat, maka sekalilah yang dicatit. Jika banyak kali kita memberikan nasihat, maka berulang-ulang kalilah pula dicatit oleh malaikat walaupun ia nasihat yang dipandang remeh oleh manusia. Dan mudah-mudahan ia akan memberatkan catitan amalan kebaikan buat kita kelak, dengan izin ALLAH.
Firman ALLAH `Azza wa Jalla berikut dapat menggerakkan kita untuk memperbanyakkan amal:
فَأَمَّا مَن ثَقُلَتْ مَوَازِينُهُ. فَهُوَ فِي عِيشَةٍ رَّاضِيَةٍ
Maksudnya: “(Setelah berlaku Hari Kiamat), maka (manusia akan diberikan tempatnya menurut amal masing-masing); adapun orang yang berat timbangan amal baiknya. Maka ia berada dalam kehidupan yang senang lenang.” (Surah al-Qari`ah, 10: 16-17)
Firman ALLAH `Azza wa Jalla berikut dapat menyedarkan kita bahawa amalan yang kita pandang remeh sekali pun akan diperlihatkan dan diberikan kebaikan buat kita, in shaa’ ALLAH:
فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ
Maksudnya: “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!” (Surah al-Zalzalah, 99:7)
Banyak ayat-ayat al-Quran dan hadith-hadith Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam yang menggalakkan kita agar melakukan kebaikan dalam cara apa sekali pun asal sahaja bertepatan dengan syariat Islam. Jika orang tak terima nasihat kita pun, tetap perbuatan menasihati itu akan dicatit dan dikira sebagai kebaikan dan pahala dari sisi ALLAH, in shaa’ ALLAH.
5. Dan jika manusia terima nasihat kita dan amalkan pula, ma shaa’ ALLAH lagi besarlah pahala yang bakal diperolehi oleh kita. Hadith Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam berikut mungkin dapat mendatangkan motivasi kepada kita kerana ia bukan sahaja menggalakkan kebaikan, bahkan menjanjikan suatu gandaan pahala yang banyak kepada kita jika kita menyampaikan nasihat kepada orang lain lalu diterima dan diamalkan pula oleh mereka yang kita sampaikan. ALLAHU AKBAR!
Dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam telah bersabda yang maksudnya:
“Barangsiapa yang mengajak kepada petunjuk/kebenaran, maka dia mendapat pahala seperti pahala-pahala orang yang mengikutinya dengan tidak mengurangi pahala – pahala mereka sedikit pun.” (HR Muslim)
Dengan menghayati hadith di atas, kita sebagai manusia tentu akan berusaha untuk membuatkan manusia lain terima nasihat kita seterusnya mengamalkannya. Kerana kita mahukan ganjaran yang berlipat kali ganda. Maka, untuk membuatkan manusia terima nasihat kita, bukan sahaja kita harus terus-terusan sampaikan nasihat, bahkan yang sepatutnya ialah kita mempelbagaikan cara menyampaikannya. Kekreatifan dan keinovatifan dakwah bisa datang mengikut pengalaman masing-masing dan keadaan. Asal sahaja tidak bercanggah dengan syariat Islam, nah silakan!
Apa pun, hidayah dan taufiq itu adalah milik ALLAH Jalla wa A`la. Kita cuma menyampaikan setakat yang kita mampu. Kita bukanlah pengubah manusia, tetapi ALLAH lah yang mempunyai kuasa itu. Itulah sikap yang perlu ada pada kita jika kita mahu menyampaikan nasihat kebaikan. Sampaikan dan sampaikan, keputusannya terserah kepada ALLAH.
Semua yang kita lakukan bakal memberikan kebaikan kepada diri kita sendiri, justeru teruskanlah sampaikan nasihat dan peringatan. Walaupun berulang-ulang kali. Walaupun ia dipandang remeh dan kecil oleh manusia. Mudah-mudahan nanti kita pada Hari Akhirat bisa ketawa bahagia dengan keredhaan ALLAH Jalla wa A`la, amin…
No comments:
Post a Comment