Di dalam Al-Quran telah disebutkan secara jelas mengapa Al-Quran diturunkan. Berikut adalah beberapa ayat Al-Quran yang menerangkan antara tujuan ia diturunkan untuk kita sama-sama hayati:
1. Petunjuk bagi orang-orang yang mahu bertaqwa.
ذَٰلِكَ الْكِتَابُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًى لِّلْمُتَّقِينَ
“Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari ALLAH dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.”
(Surah al-Baqarah, 2:2)
2. Petunjuk bagi seluruh manusia, penjelasan/keterangan kepada petunjuk dan juga sebagai pembeza baik dan salah.
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ
“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.”
(Surah al-Baqarah, 2:185)
3. Sebagai kitab yang menjelaskan mengenai perkara yang telah disembunyikan oleh Ahli-ahli Kitab.
يَا أَهْلَ الْكِتَابِ قَدْ جَاءَكُمْ رَسُولُنَا يُبَيِّنُ لَكُمْ كَثِيرًا مِّمَّا كُنتُمْ تُخْفُونَ مِنَ الْكِتَابِ وَيَعْفُو عَن كَثِيرٍ ۚ قَدْ جَاءَكُم مِّنَ اللَّهِ نُورٌ وَكِتَابٌ مُّبِينٌ
“Wahai Ahli Kitab! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul KAMI (Muhammad, s.a.w) dengan menerangkan kepada kamu banyak dari (keterangan-keterangan dan hukum-hukum) yang telah kamu sembunyikan dari Kitab Suci, dan ia memaafkan kamu (dengan tidak mendedahkan) banyak perkara (yang kamu sembunyikan). Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari ALLAH, dan sebuah Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata keterangannya.”
(Surah al-Ma’idah, 5:15)
4. Membimbing keluar dari kegelapan kepada cahaya kebenaran dan jalan yang lurus lagi benar.
يَهْدِي بِهِ اللَّهُ مَنِ اتَّبَعَ رِضْوَانَهُ سُبُلَ السَّلَامِ وَيُخْرِجُهُم مِّنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ بِإِذْنِهِ وَيَهْدِيهِمْ إِلَىٰ صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ
“Dengan (Al-Quran) itu ALLAH menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaanNYA, dan (dengannya) TUHAN keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, dengan izinNYA; dan (dengannya juga) TUHAN menunjukkan mereka ke jalan yang lurus.”
(Surah al-Ma’idah, 5:16)
5. Sebagai nasihat, pengajaran dan penawar kepada penyakit hati
يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ جَاءَتْكُم مَّوْعِظَةٌ مِّن رَّبِّكُمْ وَشِفَاءٌ لِّمَا فِي الصُّدُورِ وَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.”
(Surah Yunus, 10:57)
6. Sebagai iktibar, mengesahkan kandungan kitab terdahulu, sebagai keterangan akan kandungan kitab terdahulu dan sebagai petunjuk dan rahmat.
لَقَدْ كَانَ فِي قَصَصِهِمْ عِبْرَةٌ لِّأُولِي الْأَلْبَابِ ۗ مَا كَانَ حَدِيثًا يُفْتَرَىٰ وَلَٰكِن تَصْدِيقَ الَّذِي بَيْنَ يَدَيْهِ وَتَفْصِيلَ كُلِّ شَيْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً لِّقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ
“Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam Al-Quran) bukanlah ia cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab ugama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman.”
(Surah Yusuf, 12:111)
7. Sebagai hukum
وَكَذَٰلِكَ أَنزَلْنَاهُ حُكْمًا عَرَبِيًّا
“Dan demikianlah Kami menurunkan Al-Quran sebagai hukum dalam bahasa Arab.”
(Surah ar-Ra`d, 13:37)
8. Sebagai nasihat dan peringatan.
هَٰذَا بَلَاغٌ لِّلنَّاسِ وَلِيُنذَرُوا بِهِ وَلِيَعْلَمُوا أَنَّمَا هُوَ إِلَٰهٌ وَاحِدٌ وَلِيَذَّكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ
“(Al-Quran) ini disampaikan kepada manusia supaya mereka diberi peringatan dan diberi nasihat dengannya; dan supaya mereka mengetahui (dengan hujjah-hujjah yang tersebut di dalamnya) bahawa sesungguhnya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa; dan supaya orang-orang yang mempunyai fikiran, beringat dan insaf.”
(Surah Ibrahim, 14:52)
9. Sebagai peneguh iman buat orang-orang yang beriman, petunjuk dan menyampaikan berita gembira buat orang-orang yang berserah diri kepada ALLAH, iaitu bagi para muslimin.
قُلْ نَزَّلَهُ رُوحُ الْقُدُسِ مِن رَّبِّكَ بِالْحَقِّ لِيُثَبِّتَ الَّذِينَ آمَنُوا وَهُدًى وَبُشْرَىٰ لِلْمُسْلِمِينَ
“Katakanlah (wahai Muhammad): Al-Quran itu diturunkan oleh Ruhul Qudus (Jibril) dari Tuhanmu dengan cara yang sungguh layak dan berhikmat, untuk meneguhkan iman orang-orang yang beriman, dan untuk menjadi hidayah petunjuk serta berita yang mengembirakan bagi orang-orang Islam.”
(Surah An-Nahl, 16:102)
Semoga dengan mengetahui kenapa Al-Quran diturunkan menjadikan kita mukmin yang lebih memahami serta objektif terhadap tujuan Al-Quran yang mulia. Tiada cara lain untuk mencapai maksud tujuan Al-Quran diturunkan melainkan dengan mendampinginya, mentadabburinya dengan cara memahami maksud ayat-ayat Al-Quran.
Bacalah dan fahamilah maknanya. Susulilah ia dengan penghayatan dan pengamalan. In shaa’ ALLAH, dengan itu tujuan Al-Quran ke atas diri kita secara individu dan masyarakat keseluruhannya akan tercapai.
No comments:
Post a Comment