Sunday, April 20, 2014

PERKUBURAN AL-BAQI'

Perkuburan al-Baqi` (البقيع) yang juga dikenali sebagai Jannatul Baqi` (جنة البقيع) adalah kawasan lapang yang menempatkan tanah perkuburan bagi penduduk-penduduk Madinah.  Ia terletak di sebelah kiri Masjid Nabawi.

Kawasan ini telah dijadikan sebagai tanah perkuburan oleh Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam.  Ramai ahli keluarga dan para sahabat Baginda dikebumikan di kawasan perkuburan al-Baqi`.  Qadhi `Iyad rahimahullah meriwayatkan bahawa Imam Malik mengatakan seramai 10,000 para sahabat yang telah meninggal dunia di Madinah telah dikebumikan di perkuburan Baqi`.

Pada hayat Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam, Baginda selalu keluar pada lewat malam untuk menziarahi kawasan perkuburan ini serta mendoakan keampunan buat penghuni-penghuni kubur.



Perkuburan al-Baqi`

Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam mengajarkan kepada para sahabat akan suatu ucapan untuk mereka ucapkan apabila melalui kawasan kubur, iaitu:

السلام عليكم أهلَ الدِّيارِ ، من المؤمنين والمسلمين . وإنا ، إن شاء الله ، لَلاحقون . أسأل اللهَ لنا ولكم العافيةَ

“Kesejahteraan ke atas kamu semua wahai penghuni kampung, dari kalangan orang Mukmin dan Muslim.  Sesungguhnya kami dengan kehendak ALLAH akan mengikuti kamu.  Kami memohon kepada ALLAH untuk kami dan untuk kamu sekalian akan kesejahteraan.”

(HR Muslim, dari Abu Musa al-Asy`ari `Abdullah bin Qis)





Kawasan perkuburan ini dibuka untuk lawatan selepas waktu solat fardhu `Asar dan Subuh.  Hanya lelaki dibenarkan masuk.  Selain dari waktu tersebut, pintu pagar masuk ke kawasan perkuburan Baqi` akan ditutup.  Moga-moga dengan menziarahinya hati kita kuat ingat akan mati dan mengenangkan nasib kita pada Hari Akhirat.

Dan jika tuan-tuan mendapat peluang menghantar jenazah ke kuburan, rebutlah peluang tersebut.  Biasanya selepas solat fardhu di Masjid Nabawi akan diadakan solat jenazah dan sejurus selepas itu terus dihantar jenazah tersebut ke perkuburan Baqi` yang terletak bersebelahannya sahaja.  Besar ganjaran buat sesiapa yang dapat mensolatkan jenazah dan menghantarnya ke tanah perkuburan untuk dikebumikan.

Dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu, beliau berkata bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam telah bersabda yang maksudnya:

“Barang siapa menghadiri jenazah sampai jenazah itu disolatkan, maka ia mendapatkan satu qirath.  Dan barang siapa menghadirinya sampai jenazah itu dikuburkan, maka ia mendapatkan dua qirath.”

Ada yang bertanya: “Apakah dua qirath itu?”

Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:  “Sama dengan dua gunung yang besar.”

(Sahih Muslim)




Semoga kita semua mati dalam keadaan Islam dan ALLAH Ta`ala redhakan kita, amin…

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML